Beberapa bulan berlalu dengan tenang, sampailah ke hari kejadian. Petang tu, aku pandu kereta Myvi baru aku keluar sekejap pergi ke kedai Aceh dekat dengan kawasan perumahan aku untuk beli barang dapur yang mak pesan.
Selesai je bayar, aku melangkah keluar dari kedai sambil jinji plastik barang. Tapi, baru je tangan aku nak tarik pemegang pintu kereta... Sreeettt!
Sebuah kereta sejenis Honda Jazz silver tiba-tiba masuk dan terus berhenti mengejut, betul-betul menghadang bahagian depan kereta aku!
Jantung aku tersentak gila-gila. Mataku terbeliak. Aku cam sangat rupa bentuk kereta tu. Malah, bila mata aku tertancap dekat nombor plat kenderaan tu... WRQ 8878.
Darah aku terus menyerbu ke muka. Pintu pemandu kereta tu terbuka, dan susuk tubuh Cikgu Bad melangkah keluar dengan muka yang nampak cengkung dan serabut.
"Balqis..." dia panggil nama aku.
Tapi saat itu, sikit pun tak ada rasa rindu atau kesian dalam hati aku. Yang ada cuma rasa meluat, benci, dan jijik yang teramat sangat! Aku dah tak kuasa nak tengok muka jantan tak guna ni. Tanpa fikir panjang, aku terus melompat masuk ke dalam Myvi, kunci pintu dari dalam, hidupkan enjin, dan terus masuk gear mengundur. Aku pusing stereng habis-habisan, tekan minyak, dan laju saja aku pandu kereta memecah jalan raya, tinggalkan dia terpinga-pinga kat kedai Aceh tu.
Sepanjang aku memandu laju tu, telefon bimbit aku kat atas dashboard tak berhenti-henti bergetar.
Bzzzz! Bzzzz! Bzzzz!
Panggilan telefon masuk bertalu-talu tanpa henti. Di skrin, terpampang nama contact yang dah lama aku biarkan sepi tu. Dia call tak benti-henti macam orang gila! Sumpah, aku jadi rimas dan semak gila-gila dengan bunyi bising tu. Akhirnya, dengan tangan yang menggigil menahan geram, aku sambungkan ke handsfree dan tekan butang angkat.
"Cikgu nak apa lagi?!" aku tertinggi suara, spontan.
"Balqis... tolonglah, Balqis. Tolong dengar cikgu explain sekejap je. Sumpah, sekejap je! Cikgu merayu..." kedengaran suara Cikgu Bad kat hujung talian, bunyinya tersangatlah terdesak dan separuh menangis.
Aku jeling cermin pandang belakang. Sah, kereta Honda Jazz silver tu tengah mengekor rapat kereta aku dari belakang.
Daripada aku eksiden kat jalan raya sbb layan jantan ni, baik aku setelkan terus petang ni. Aku beri isyarat lampu ke kiri, dan aku berhentikan kereta Myvi aku dekat sebuah kawasan tanah lapang yang agak sunyi dan jauh sikit dari jalan utama. Di cermin pandang belakang, aku nampak kereta Honda Jazz silver 'WRQ 8878' tu turut berhenti di belakang kereta aku.
Aku matikan enjin, tapi aku sikit pun tak ada niat nak keluar. Aku cuma duduk kaku, genggam stereng kereta kuat-kuat. Dada aku rasa sempit, sakit yang teramat sangat sampai nak bernafas pun rasa sesak. Air mata yang aku tahan sejak kat kedai Aceh tadi, akhirnya luruh satu-demi satu membasahi pipi. Aku rasa... aku dah tak mampu dah nak harung benda ni. Aku penat. Hati aku terlalu sakit dan kecewa.
Melalui cermin sisi, aku nampak Cikgu Bad keluar dari kereta dia. Langkah kaki dia nampak tergetar-getar, berjalan laju menuju ke arah pintu pemandu kereta aku.
Bila dia sampai kat luar pintu, aku cuma turunkan sedikit sahaja cermin tingkap kereta—sekadar muat untuk suara kitorang kedengaran. Aku tetap pandang depan, langsung tak sanggup nak toleh tengok muka dia.
"Balqis... tolonglah pandang cikgu, Balqis..." suara Cikgu Bad kat luar kedengaran tersangatlah terdesak, separuh menangis.
Aku cuma diam. Seribu bahasa.
"Cikgu tahu awak dah tahu apa yang jadi kat sekolah, kan? Cikgu minta maaf sangat-sangat, Balqis. Cikgu tahu cikgu dah hancurkan kepercayaan awak... Cikgu terkhilaf, cikgu lemah malam tu. Cikgu hantar puluhan missed call sbb cikgu tak nak awak dengar cerita ni dari mulut orang lain..."
Cikgu Bad terus-terusan memberi penjelasan, bercakap panjang lebar bersandarkan dinding kereta aku. Suara dia penuh dengan rasa kesal, merayu-rayu minta dimaafkan. Tapi semua kata-kata dia tu langsung tak mampu nak ubat hati aku yang dah berkecai jadi abu. Di sebalik semua penjelasan dia tu, aku cuma mampu menangis dalam diam, melayan rasa terkilan sbb aku betul-betul dah mula sayangkan dia sebelum ni. Saya ingatkan cikgu betul-betul ikhlas nak merisik saya...
Selepas beberapa ketika dia bercakap sorang-sorang, suasana bertukar sunyi. Cikgu Bad diam kat luar, menanti respon aku.
Dengan sisa tenaga yang ada, aku kesat air mata dengan belakang tangan. Tanpa memandang dia, aku buka mulut. Suara aku kedengaran tersangatlah perlahan dan rapuh.
"Saya cuma nak tanya dua soalan je dekat cikgu. Lepas ni, tolong jangan cari saya lagi."
Cikgu Bad kat luar tersentak. "Apa dia, Balqis? Tanyalah..."
"Pertama... Apa status hubungan Cikgu Bad dengan Cikgu Suri sekarang?"
Suasana tanah lapang tu terasa makin sejuk. Cikgu Bad tarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab dengan nada yang tersangatlah kesal. "Cikgu... cikgu dah bernikah fast lane dengan Cikgu Suri, Balqis. Pihak keluarga terpaksa setelkan cepat-cepat lepas kes hari tu... tapi sumpah, cikgu tak cintakan dia! Cikgu masih inginkan awak, Balqis! Cikgu kena goda..."
Aku pejam mata rapat-rapat. Sakitnya tuhan je yang tahu bila dengar mamat yang aku sayang kini dah sah jadi suami orang, tapi dalam masa yang sama masih bercakap pasal nafsu tamak dia. Aku persetankan semua alasan dia kena goda tu. Aku terus potong kata-kata dia untuk soalan kedua.
"Soalan kedua... Pertunangan lalu Cikgu Bad dengan bekas tunang cikgu dulu. Betul ke sebab bekas tunang cikgu yang kantoi checkin, bukan cikgu?"
Sebaik saja soalan tu keluar dari mulut aku, Cikgu Bad terus terdiam seketika. Lidah dia kelu. Dia langsung tak menjawab soalan aku, melainkan kedengaran helaan nafas dia yang berat dan ucapan, "Sorry, Balqis... cikgu mintak maaf..." yang berulang kali.
Air mata aku mengalir makin deras. Cukuplah. Jawapan sorry dia tu dah mengiyakan segalanya. Kes tunang dulu pun rupa-rupanya berpunca daripada perangai tak senonoh dia sendiri. Selama ni dia cuma bertopengkan watak cikgu skema yang nerd untuk pancing budak mentah macam saya.
"Terima kasih... untuk perkenalan yang tak seberapa ni, Cikgu Bad," ucap aku, senada dan tersangatlah sayu.
Sebelum sempat dia merayu lagi, aku terus tekan butang untuk naikkan semula cermin tingkap kereta rapat-rapat, mengunci terus suara dia kat luar. Aku hidupkan enjin, masuk gear, dan perlahan-lahan pandu kereta Myvi aku keluar dari kawasan tanah lapang tu, tinggalkan dia sorang-sorang dalam keheningan petang.
Kali ni, aku menangis semahu-mahunya kat atas stereng. Aku menangis bukan sbb aku nak dia balik, tapi sbb aku kecewa dengan sebuah harapan yang aku bina setinggi gunung, akhirnya runtuh menghempap diri aku sendiri.
Sambil memandu keluar dari kawasan tanah lapang tu, telefon bimbit aku di atas dashboard masih lagi menyala dan bergetar bertalu-talu tanpa henti. Nama contact dia naik lagi. Dan lagi.
Aku jeling cermin pandang belakang. Kereta Honda Jazz silver 'WRQ 8878' tu langsung tak bergerak. Jauh di belakang, kereta dia kekal kaku di tengah tanah lapang, manakala kelibat Cikgu Bad pun dah tak ada kat luar. Sah, dia dah masuk semula dalam kereta dan tengah pegang phone dial nombor aku.
Disebabkan getaran phone tu buatkan pemanduan aku jadi tak fokus, aku ambil keputusan untuk berhentikan kereta Myvi aku dekat bahu jalan yang agak selamat.
Aku capai telefon. Panggilan yang masuk buat kali kesekian kalinya tu aku tekan butang angkat, lalu aku dekatkan ke telinga.
Tapi, aku cuma mendiamkan diri. Lidah aku kelu, dada aku sebu.
Di hujung talian, Cikgu Bad juga senyap untuk beberapa saat. Hanya kedengaran helaan nafas kitorang yang masing-masing sarat dengan beban emosi. Akhirnya, Cikgu Bad memecah kesunyian, tapi kali ni suara dia langsung tak mendesak macam tadi. Nada suara dia bertukar lembut, sangat tenang, seolah-olah dia betul-betul nak bincang dan explain dengan baik dari hati ke hati.
"Balqis... cikgu minta maaf sangat-sangat sebab dah lukakan hati awak..." suara dia kedengaran rapuh. "Sumpah, cikgu masih nak dekat awak, Balqis. Cikgu merayu, bagilah cikgu peluang kedua. Awak tunggu cikgu, boleh? Nanti... lepas semua keadaan dah okay, lepas kes ni dah reda... cikgu ceraikan Suri. Lepas tu, cikgu akan datang merisik awak macam yang cikgu janjikan dulu."
Zap!
Aku tergamam terus. Seluruh urat nadi aku rasa macam berhenti berfungsi.
Gila. Jantan ni memang dah gila! Berani dia buat rancangan semudah itu untuk ceraikan isteri yang baru dia nikahi demi nak tebus balik kesalahan dia dekat aku? Perkahwinan ni sejenis permainan ke bagi dia?
Tanpa membalas sepatah perkataan pun, tangan aku terus bergerak mematikan panggilan telefon. End call. Aku dah tak sanggup nak tadah telinga dengar plan karut daripada seorang lelaki yang dah hilang kompas waras dia.
Perlahan-lahan, air mata aku jatuh makin lebat, menitis ke atas skrin telefon yang dah gelap. Dengan tangan yang tergetar-getar, aku hidupkan semula skrin, aku cari aplikasi WhatsApp dan aku tekan chat 'WRQ 8878'.
Aku pandang keyboard telefon yang kabur sbb dilimpahi air mata. Di ruangan mesej, aku taip bait-bait ayat terakhir yang keluar terus dari lubuk hati aku yang paling dalam:
“Akhirilah kisah kita. Kerana dalam kisah kita ni, saya yang letih, saya yang kalah, saya menyerah. Saya takkan usik hubungan cikgu. Cikgu dah bahagia, saya pun nak bahagia. Walaupun bebas bertindak, tapi tak menghalalkan jika ada hati yang terluka. Terima kasih cikgu untuk kenangan pahit ini.”
Butang send aku tekan. Dua tick masuk.
Sebaik saja mesej tu dihantar, aku terus letak telefon ke tepi. Serta-merta, benteng pertahanan yang aku cuba tahan sejak berbulan-bulan lepas akhirnya pecah sepenuhnya.
"Huk... hukk... arghhh..."
Aku menyembah muka ke stereng kereta dan meraung semahu-mahunya di dalam ruang Myvi yang sempit tu. Aku menangis gila-gila sampai dada aku rasa nak pecah, nafas aku tersekat-sekat, dan aku tersedu-sedu sorang diri menanggung kesakitan yang amat dahsyat ni. Aku menangisi pengorbanan aku, aku menangisi harapan aku, dan aku menangisi cinta pertama aku yang musnah dengan cara paling tragis.
Petang tu, aku menangis tertunduk-tunduk di atas stereng, dalam keadaan bilasan air mata yang mencurah-curah membasahi pipi, sehinggakan juntaian hujung rambut aku turut basah lencun. Basah dengan air mata duka seorang gadis yang terpaksa mengalah demi sebuah takdir yang kejam. Kisah kitorang... betul-betul dah tamat.
Tengah aku layan tangisan duka yang tengah menggila tu, tiba-tiba skrin telefon aku menyala lagi. Kali ni, nama 'Mak' pula yang naik kat skrin.
Aku tersentak. Aku cuba kawal nafas aku yang masih tersekat-sekat. Aku tengok jam dekat dashboard—Allahu, rupanya dah lama gila aku tersadai kat tepi jalan ni. Patutlah mak call, mesti mak hairan kenapa aku pergi kedai Aceh beli barang dapur punya lah lama sampai tak balik-balik.
Dengan suara yang serak, aku tekan butang angkat. "Hello, mak..."
"Balqis? Kamu kat mana ni? Lama sangat pergi kedainya... Eh, suara kamu kenapa ni? Kamu menangis ke, Qis?!" laju je mak menyoal kat hujung talian. Naluri seorang ibu, memang tak boleh nak tipu. Dia dengar sepatah perkataan pun dia dah tahu anak dia tengah tak okay.
"Tak ada apa, mak. Qis... Qis on the way balik ni," jawab aku pendek, sekadar mengiyakan keadaanku sebelum terus matikan talian. Aku tak nak mak makin gelabah kat rumah.
Aku kesat hujung rambut dan pipi aku yang basah lencun, hidupkan enjin, dan terus memandu balik ke rumah dengan fikiran yang kosong.
Sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam rumah, pekarangan ruang tamu kelihatan sunyi melainkan bunyi suara dari kaca televisyen. Rupa-rupanya Abang Ngah ada kat situ, tengah baring-baring tengok TV sebab dia masih dalam cuti semester.
Aku berjalan longlai, serahkan plastik barang kedai Aceh tu dekat atas meja dapur, dan terus melangkah laju nak masuk ke dalam bilik. Tapi, langkah aku tak cukup pantas untuk mengelak daripada pandangan mata helang Abang Ngah. Dia perasan muka aku yang sembap, rambut aku yang serabut, dan mata aku yang merah padam.
Tak sampai seminit aku duduk kat birai katil, pintu bilik aku dikuak perlahan. Abang Ngah masuk dengan muka yang dah mula berubah serius.
"Adik... Kau kenapa ni? Jantan tu cari kau lagi ke?" tanya Abang Ngah, nada suara dia dah mula kedengaran keras.
Aku dah tak ada tenaga nak bertekak atau berlakon kuat lagi. Dalam keadaan tersedu-sedu, aku terpaksa make it short. Aku ceritakan apa yang Cikgu Bad cakap kat telefon tadi.
"Cikgu Bad... dia call aku tadi. Dia... dia cakap dia nak ceraikan Cikgu Suri... lepas tu dia nak datang merisik aku" adu aku dengan suara yang sangat perlahan.
Buk!
Abang Ngah terus bangun dari birai katil. Penumbuk dia digenggam kuat sampai berbunyi urat-urat jari dia. Muka Abang Ngah petang tu terus berubah jadi merah padam. Kemarahan dia dah sampai ke tahap maksima. Sumpah, dia tak dapat nak tahan sabar lagi bila tahu adik perempuan dia dibuat main macam bola oleh jantan status suami orang!
"Jantan keparat betul! Memang tak serik-serik!"
Tanpa cakap banyak, Abang Ngah terus ragut telefon bimbit dari atas riba aku. Jari dia laju membuka aplikasi WhatsApp, terus search Cikgu Bad. Dia buka chat itu, di situ, Abang Ngah taip satu mesej yang sangat ringkas, padat, tapi tersangatlah keras dan berbaur ugutan:
“Datang rumah sekarang.”
Butang send ditekan.
"Ngah... jangan, Ngah..." aku cuba nak halang, suara aku kedengaran tersangatlah lemah.
Tapi aku dah tak mampu nak buat apa-apa lagi. Telefon aku dah selamat bertukar tangan ke dalam poket seluar Abang Ngah, dan Abang Ngah terus melangkah keluar dari bilik, menuju ke ruang tamu depan untuk tunggu kedatangan 'tetamu' yang menempah maut tu. Rumah kitorang petang tu... betul-betul bertukar jadi macam medan perang yang tunggu masa nak meletup je!
ns216.73.216.69da2


