Beberapa hari selepas peperiksaan SPM tamat, dunia aku terus bertukar jadi gelap. Aku dah macam mayat hidup, hari-hari berkurung dalam bilik tidur, menghadap siling dengan bantal yang sentiasa basah dengan air mata. Selera makan aku mati terus.
Keadaan aku yang dah macam orang hilang akal ni akhirnya buatkan mak dengan ayah aku naik risau gila. Disebabkan diorang tak tahu apa punca sebenar aku jadi macam tu, akhirnya ayah ambil keputusan untuk telefon Farid—minta tolong mamat tu datang ke rumah untuk panggil dan pujuk aku keluar dari bilik.
Petang tu, Farid tak datang sorang-sorang. Dia bawa Sarah sekali.
Pintu bilik aku diketuk perlahan sebelum kelibat dua orang kawan baik aku tu muncul dengan muka penuh simpati. Sebaik saja pintu bilik dikunci dari dalam, benteng pertahanan yang aku cuba bina beberapa hari ni terus roboh berkecai. Depan Sarah dan Farid, aku menangis semahu-mahunya sampai terduduk kat lantai.
"Wei, Balqis... kau kenapa ni? Tolonglah cerita kat kitorang. Jangan buat mak ayah kau risau macam ni," Sarah dah mula berair mata sambil peluk bahu aku.
Dalam esakan yang berbaki, aku gagahkan juga diri untuk buka cerita. Aku tumpahkan segala-galanya. Aku bagi tahu diorang apa yang Cikgu Hakim dedahkan kat aku kat koridor sekolah hari tu. Pasal Cikgu Bad... pasal Cikgu Suri... dan pasal kes tangkap basah dekat hotel tu.
"Hah?! Jantan tak guna betul!" Farid terus bangun, muka dia berubah merah padam menahan penumbuk.
Selama ni, diorang berdua memang langsung tak tahu kenapa perangai aku berubah mendadak macam singa betina lepas tu terus jadi murung. Diorang ingatkan aku cuma overthink pasal kes bilik guru atau stres sebab kertas SPM. Bila diorang tahu hal sebenar... masing-masing melabel Cikgu Bad dengan segala nama makian yang ada.
Tengah kitorang khusyuk melayan perasaan marah dan sedih kat dalam bilik, tiba-tiba...
Kreeekkk...
Pintu bilik aku terkuak dari luar. Rupanya pintu tu tak dikunci rapat!
Aku, Sarah, dengan Farid terus tersentak. Pandangan kitorang serentak beralih ke arah pintu. Di situ, mak dengan ayah aku berdiri tegak dengan muka yang tersangatlah pucat, tapi mata ayah dah mula memancar api kemarahan yang amat dahsyat. Diorang... diorang terdengar semuanya dari awal sampai habis!
"Balqis! Apa semua ni?!" Suara ayah petang tu naik tinggi,, bergema kuat satu rumah sampai adik aku kat bawah pun senyap sunyi.
Ayah terus melangkah masuk dengan dada yang berombak laju. Sumpah, aku tak pernah tengok ayah semenakutkan ini. "Siapa Cikgu Bad tu?! Jadi selama ni, belakang ayah... kau bercinta dengan cikgu sekolah sendiri?! Pastu jantan tu sekarang kena tangkap basah?!"
"Ayah... Balqis minta maaf, ayah..." aku melutut kat kaki ayah sambil menangis teresak-esak, tapi ayah terus pusingkan badan.
"Mulai hari ni, aku tak izinkan kau jumpa atau berhubung lagi dengan jantan tak guna bernama Badrul tu! Kau jangan buat malu keluarga!" tengking bapa, mukanya merah padam, betul-betul kecewa dan marah dengan apa yang menimpa anak dara dia.
Manakala mak pulak, muka dia dah penuh dengan air mata sbb terkejut. Tanpa buang masa, mak terus seluk poket kain batik, keluarkan telefon, dan laju saja jari mak mendail nombor abang long aku yang belajar kat KL.
Sebaik saja panggilan bersambung, mak terus ceritakan segala-galanya dari A sampai Z. Suara mak kedengaran tersekat-sekat, menahan rasa sedih dan geram yang teramat sangat sambil mata mak memandang tepat ke arah aku yang masih tersedu-sedan kat lantai bilik.
Mak ceritakan macam mana aku boleh terjebak dengan cikgu sekolah sendiri, sampailah ke kes jantan tu kena tangkap basah dengan cikgu lain beberapa minggu lepas. Mak betul-betul ralat sbb selama ni diorang ingatkan aku murung sbb stres SPM, rupanya sbb kena aniaya dengan lelaki. Aku tak tahu apa reaksi abang ngah kat dalam talian tu, tapi aku tahu... abang ngah jenis yang tersangatlah protektif pasal adik-perempuan dia.
Habislah... kes percintaan rahsia aku dengan 'WRQ 8878' yang aku sangka komedi romantik budak sekolah, akhirnya rasmi bertukar jadi kes keluarga yang memalukan!
………………………….……………………………………………
Hujung minggu pun tiba. Keadaan kat dalam rumah aku masih lagi sunyi sepi, masing-masing melayan perasaan sendiri. Tengah aku termenung kat dalam bilik, tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi deruman enjin motosikal yang sangat aku kenali masuk ke pekarangan rumah.
Abang Ngah dah balik dari KL!
"Assalamualaikum!" kedengaran suara garang tapi tenang Abang Ngah memberi salam kat luar.
Aku cepat-cepat bangun, keluar dari bilik dan terus melangkah ke ruang tamu untuk bersalam dengan satu-satunya abang lelaki yang aku ada. Selepas bersalam, Abang Ngah cuma hadiahkan satu senyuman tawar kat aku, sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik untuk letak beg baju dia.
Tak sampai beberapa minit kemudian, Abang Ngah keluar balik dan terus tuju ke bilik aku. Dia kuak pintu perlahan, melangkah masuk, dan terus duduk kat birai katil. Dia pandang muka aku lama-lama.
"Dik... Kau macam mana? Sihat?" tanya Abang Ngah, nada suara dia bertukar lembut, sangat prihatin pasal keadaan khabar aku.
Air mata aku hampir nak menitis balik bila dengar suara prihatin Abang Ngah. Aku duduk kat sebelah dia, dan sekali lagi, aku gagahkan diri untuk cerita semua benda dari A sampai Z tanpa ada satu pun yang tertinggal. Aku ceritakan segala sakitnya hati aku bila tahu kebenaran pasal mamat nerd tu. Abang Ngah cuma diam, mendengar dengan penuh sabar sambil rahang dia bergerak-gerak menahan geram.
Selesai je aku bercerita, Abang Ngah tarik nafas dalam-dalam. Dia pandang tepat ke dalam anak mata aku.
"Sekarang ni, aku nak tanya... Kau nak aku bawak kau pergi jumpa dengan Cikgu Bad tu ke tak? Kita cari dia, kita settle depan-depan."
Aku terdiam sejenak. Cadangan Abang Ngah tu memang mampu untuk bagi aku peluang lepaskan segala makian kat muka Cikgu Bad. Tapi... bila aku fikir balik, untuk apa? Untuk apa aku melutut atau menangis depan seorang jantan yang terang-terangan dah hancurkan kepercayaan aku dengan cara paling jijik?
Aku geleng kepala perlahan.
"Tak nak lah, Ngah. Aku tak nak jumpa dia lagi. Aku nak move on. Aku dah redha dengan apa yang jadi. Anggap je kitorang memang tak ada jodoh, dan tuhan nak selamatkan Balqis daripada lelaki macam tu sebelum kitorang pergi lagi jauh," jawab aku dengan nada yang cukup tenang. Sebuah ketenangan yang datang dari hati yang benar-benar dah pasrah.
Abang Ngah tersenyum nipis, lalu dia usap kepala aku penuh sayang. "Baguslah macam tu. Aku tahu kau kuat."
Beberapa hari pun berlalu selepas perbualan aku dengan Abang Ngah. Kehidupan aku dah mula kembali ke landasan biasa. Aku dah mula keluar bilik, dah boleh makan dengan betul, dan dah mula tolong mak kat dapur.
Petang tu, masa aku tengah lipat kain kat ruang tamu, telefon bimbit aku kat sebelah tiba-tiba bergetar.
Ting!
Jantung aku secara refleks berdegup kencang. Aku capai telefon, dan alangkah terkejutnya aku bila tengok nama contact 'WRQ 8878' naik dekat skrin notifikasi! Selepas berminggu-minggu ghaib dengan satu tick, hari ni mesej dia masuk.
Aku buka chat tu dengan tangan yang sedikit menggigil.
WRQ 8878:
Assalamualaikum.
Cuma perkataan itu. Satu salam ringkas.
Aku tatap skrin telefon tu lama-lama. Dua patah perkataan yang berwarna biru, menandakan aku dah pun membaca mesej tu. Aku tunggu... kut-kut ada karangan penjelasan baru, atau ada susulan mesej lain yang menyusul.
Sembilan minit... setengah jam... sampai ke malam.
Tak ada. Langsung tak ada mesej lain. Tak ada panggilan telefon, tak ada ayat merayu, tak ada apa-apa lagi dari dia. Dia cuma hantar salam tu, mungkin sekadar nak test sama ada nombor dia dah kena block atau tidak, atau mungkin... dia sendiri dah tak ada sekelumit keberanian pun nak reka penipuan baru depan aku.
Aku tarik nafas panjang, lalu menghembuskannya perlahan. Rasa sebu, rasa marah, dan rasa cemburu yang membakar dada aku selama ni, tiba-tiba rasa macam terbang ditiup angin petang. Aku tatap buat kali terakhir nombor plat kereta yang pernah menjadi nama kegemaran aku dalam phone ni.
Tanpa menaip sepatah pun balasan, aku terus tekan butang back, telungkupkan telefon atas meja, dan sambung lipat kain baju kurung sekolah aku.
Kali ni, aku tahu... kisah kitorang betul-betul dah selesai. Selamat tinggal, Cikgu Bad. Selamat tinggal, 'WRQ 8878'
ns216.73.216.69da2


