Tak sampai setengah jam kemudian, ketegangan kat dalam rumah kitorang makin memuncak bila telinga aku menangkap bunyi deruman enjin kereta Honda Jazz silver tu berhenti betul-betul kat depan pagar luar rumah.
WRQ 8878 dah sampai.
Dari dalam bilik, aku cuma mampu duduk membatu dengan dada yang berdegup kencang gila-gila. Aku dengar bunyi tapak kaki dia melangkah naik ke koridor rumah sebelum satu suara memberi salam yang tersangatlah perlahan dan tergetar-getar.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Masuk!"
Suara Abang Ngah menjawab salam tu kedengaran tersangatlah keras dan dingin. Aku tahu, Abang Ngah tengah tayang muka paling ketat yang dia ada dekat depan pintu petang tu.
Sebaik saja tapak kaki Cikgu Bad melangkah masuk ke dalam ruang tamu...
Zappp!
"Kau dengar sini!"
Satu tempikan kuat dari Abang Ngah bergema kuat satu rumah sampai aku yang kat dalam bilik ni pun tersentak gila.
"Kau ni cikgu ke bukan, hah?! Jangan ingat sbb kau tu bekas cikgu sekolah adik aku, aku tak berani nak rembat muka kau kat sini! Biar tahu sikit langit tu tinggi ke rendah!" tengking Abang Ngah, suara dia naik, betul-betul melepaskan lahar kemarahan yang dia tahan sejak tadi.
Melalui celahan pintu bilik yang terbuka sedikit, aku nampak Cikgu Bad terus tersandar dekat dinding ruang tamu. Muka dia yang skema dan nerd tu terus berubah pucat lesi, macam mayat hidup bila berhadapan dengan Abang Ngah.
"Mulai hari ni, kau jangan berani mati nak cari Balqis lagi! Langkah mayat aku dulu kalau kau berani nak rapat dengan dia! Kau dengar tak?!" Abang Ngah menuding jari tepat ke batang hidung Cikgu Bad. Suara Abang Ngah dah naik turun menahan geram yang amat sangat.
"Adik aku tu ada maruah! Dia bukan plan B kau kalau kisah hidup maksiat kau tu tak jadi baik! Kau dah kahwin dengan perempuan tu, kau hadaplah jantan oii! Jangan sebab kau tak bahagia, kau sesuka hati nak heret adik aku masuk dalam runtuhan hidup kau pulak! Dia bukan barang mainan kau!"
Bertalu-talu Abang Ngah membebel, memaki, dan menghamburkan segala rasa terbuku dekat muka Cikgu Bad. Cikgu Bad langsung tak berani nak bersuara. Dia cuma tunduk dengan badan yang menggigil rapat ke dinding.
Walaupun Abang Ngah tengah mengamuk tahap singa, tapi dia masih ada akal waras. Sedikit pun Abang Ngah tak naikkan kaki atau tangan untuk belasah jantan skema tu... melainkan…
Zap!
Sentuhan fizikal pertama berlaku bila Abang Ngah mara setapak ke depan, lalu tangan sasa dia terus menyentap dan mencekak kuat kolar baju kemeja Cikgu Bad sampai mamat tu terpaksa berjinjit sedikit.
"Kau faham tak apa aku cakap ni?!" Abang Ngah gertak rapat dekat muka dia dengan mata yang memancar api.
Cikgu Bad angguk kepala laju-laju dengan muka yang tersangatlah takut. Air mata jantan dia pun dah mula nak menitis sbb tak pernah seumur hidup dia kena gertak sampai macam ni sekali dengan abang kandung pelajar sendiri.
Cikgu Bad terkunci kata dalam cekakan tangan Abang Ngah. Suasana ruang tamu kitorang petang tu terasa tersangatlah tegang, sehinggakan bunyi deruan kipas siling pun jelas kedengaran.
Dari sudut ruang dapur, aku sempat nampak kelibat mak yang cuma berdiri kaku. Mak cuma memerhati dari jauh dengan muka yang sarat dengan rasa sedih dan kecewa. Mak sikit pun tak berniat nak masuk campur atau menghalang Abang Ngah, sebab mak tahu... tindakan Abang Ngah ni adalah demi mempertahankan maruah satu-satunya adik perempuan yang dia ada.
Di ruang tamu, Cikgu Bad yang mukanya dah merah padam menahan tangis akhirnya membuka mulut. Suara dia pecah, terketar-ketar di sebalik kolar bajunya yang masih tegang dicekak.
"A… Aku... minta maaf. Aku mengaku aku salah... Aku betul-betul minta maaf sbb dah lukakan hati Balqis... Aku takkan kacau dia lagi," rayu Cikgu Bad dengan sisa keberanian yang dia ada. Air mata jantan dia akhirnya tumpah juga dekat pipi.
Abang Ngah mendengus kasar. Pandangan mata dia sikit pun tak melembut dengan rayuan air mata buaya tu.
Zappp!
Tanpa belas kasihan, Abang Ngah terus merentap kolar baju kemeja Cikgu Bad sekali lagi dan menolaknya kasar sampai mamat tu hampir tersungkur dekat pintu depan. Cikgu Bad cepat-cepat betulkan cermin mata dia yang dah senget-benget dengan tangan yang menggigil.
"Dah! Aku tak hamaklah dengan maaf kau tu!" tengking Abang Ngah sambil menuding jari ke arah luar pagar rumah.
"Sekarang ni, kau berambus dari rumah aku! Berambus sebelum bapak aku balik! Kalau bapak aku ada kat rumah sekarang, bukan setakat kolar baju kau kena cekak... dengan kereta Jazz kau kat luar tu sekali bapa aku jahanamkan! Berambus!"
Cikgu Bad langsung tak berani nak pandang belakang lagi. Dengan langkah yang lintang-pukang, dia terus berlari keluar dari pintu rumah, melangkah laju menuju ke arah kereta Honda Jazz silver miliknya.
Dari celah tingkap bilik, aku nampak dia masuk ke dalam kereta dengan keadaan yang tersangatlah serabut. Enjin kereta dihidupkan, dan sreeettt! Kereta 'WRQ 8878' tu memecut laju meninggalkan perkarangan rumah aku, membawa pergi segala sisa kisah silam kitorang bersama debu-debu jalanan petang tu.
Sebaik saja kereta tu hilang dari pandangan, Abang Ngah menghempas pintu depan rumah dengan kuat. Keadaan kembali sunyi sepi.
Aku bersandar dekat dinding bilik, lalu perlahan-lahan melorot duduk di atas lantai. Air mata aku mengalir lagi, tapi kali ni... rasa sakit yang mencengkam dada tadi tiba-tiba rasa macam berkurangan. Rasa sebu dan sesak itu perlahan-lahan diganti dengan satu perasaan lega yang teramat sangat.
Buku kisah aku dengan Cikgu Bad bukan setakat dah ditutup, tapi petang ni, ia rasmi dah dikunci rapat-rapat oleh Abang Ngah. Selamat tinggal buat selamanya, 'WRQ 8878'.
Selepas bunyi hempasan pintu depan itu berlalu, keadaan rumah kembali diselubungi keheningan. Aku masih lagi tersandar layu di dinding bilik, merenung lantai dengan pandangan yang kosong. Air mata sisa tangisan tadi masih bersisa di pipi.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi derap langkah kaki menghampiri bilik aku. Pintu yang sedia terkuak sedikit itu ditolak perlahan dari luar.
Aku angkat kepala. Kelibat Abang Ngah berdiri di bendul pintu. Nafas dia masih lagi kedengaran naik turun, cuba meredakan sisa-sisa amarah yang berbaki di dada. Tapi sebaik saja mata kami bertentangan, pandangan mata helang Abang Ngah yang menakutkan kat ruang tamu tadi terus berubah jadi tersangatlah lembut dan redup. Pandangan seorang abang yang tersangat kasihan melihat keadaan adiknya.
Melihatkan raut wajah Abang Ngah, empangan air mata aku yang baru sekejap tadi surut, tiba-tiba pecah semula.
Tanpa fikir panjang, aku terus gagahkan lutut aku untuk bangun, melangkah laju ke arahnya, dan terus menghamburkan diri ke dalam pelukan Abang Ngah. Aku peluk tubuh sasa abang lelaki aku tu sekuat-kuat hati aku. Muka aku sembap dekat dada dia, dan bahu aku kembali terhinjut-hinjut menangis.
Abang Ngah tersentak sekejap, tapi tak lama lepas tu, kedua-dua belah tangan dia melingkar kemas membalas pelukan aku. Dia usap belakang rambut aku yang serabut penuh sayang, menenangkan aku seolah-olah aku ni masih lagi budak kecil yang tengah ketakutan.
"Terima kasih, Abang Ngah... Terima kasih sebab protect aku..." ucap aku dalam esakan yang bersisa. Suara aku tenggelam dekat dada kemeja dia.
Sumpah, masa tu aku rasa tersangatlah kerdil, tapi dalam masa yang sama, aku rasa tersangatlah selamat. Di sebalik hancurnya hati aku ditipu oleh jantan luar yang bernama Cikgu Bad, tuhan jentikkan rasa syukur yang tak terhingga dalam diri aku sebab dikurniakan seorang abang yang sanggup berdiri paling depan demi mempertahankan maruah aku.
Abang Ngah kemaskan lagi pelukan dia, lalu dia bisik perlahan dekat telinga aku.
"Dah... jangan nangis lagi. Kau kuat, kan? Jantan tak guna macam tu sikit pun tak layak nak dapat air mata kau. Biarkan dia dengan hidup dia. Lepas ni, kau fokus dekat masa depan kau je, tahu?"
Aku angguk kepala laju-laju dalam pelukan dia. Petang tu, bersama hangatnya pelukan seorang abang, aku tahu... aku dah bersedia untuk bina balik hidup aku yang baru.
ns216.73.216.69da2


