Nadira berdiri mematung. Sentuhan di bibirnya tadi terasa seperti satu pencerobohan yang melampaui batas. Nafasnya masih tidak teratur, dadanya naik turun menahan gelombang marah dan malu yang berselang-seli.
Dengan sisa kekuatan yang ada, dia menolak Emir. Lelaki itu terdorong sedikit ke belakang, dahinya berkerut, lebih kepada terkejut daripada menahan sakit. Ikutkan hati, mahu saja Nadira menolak sekuat tenaga biar tubuh yang sudah sedia parah itu terhempas ke lantai. Namun, kerana masih punya rasa manusiawi, dia menahan diri.
“Awak ni memang melampau! Jangan sentuh saya!” Suara Nadira tegas, membelah kesunyian ruang kecil itu.
“Awak tahu saya ni siapa kan? Saya isteri Emir Ilhan. Sepupu awak! Bukan orang suruhan, bukan tempat awak nak main-main, bukan orang yang awak suka hati je boleh paksa ikut suka awak!”
Nadira menegakkan badan, cuba memungut sisa maruah yang masih tersisa. Matanya mencerun tajam, menelan liur yang terasa pahit.
“Saya cuma tolong sebab awak parah sangat. Tapi kalau awak berani buat macam tu lagi, saya tak akan teragak-agak buat hidup awak menyesal. Jangan berani nak cabar saya, Luth! Saya… saya boleh je humban awak ke bawah dari tingkat lima ni! Biar orang-orang tu tangkap awak!”
Emir tidak membalas segera. Dia sekadar memerhati wajah Nadira yang merah padam. Sukar untuk dibezakan sama ada wanita itu sedang marah atau gugup, namun satu perkara yang pasti, mata itu kelihatan sangat bersinar dan cantik apabila sedang berapi begitu.
Satu senyuman nipis yang mengusik terukir di bibirnya.
“Kau… isteri aku,” bisiknya perlahan, seolah-olah segala hukum dunia tunduk pada kenyataan itu.
Nadira mengetap gigi. Darahnya terasa mendidih. Baru sahaja dia ingin mengumpul sedikit rasa simpati terhadap \'Luth\', namun perangai sialan dan tidak bermoral lelaki itu muncul semula sekelip mata.
“Awak dengar sini baik-baik, Luth.” Nadira menyilangkan tangan ke dada, cuba menahan tubuhnya daripada terus menggeletar. “Dah dua malam awak buat saya trauma. Semalam awak hina saya, hari ni awak ‘terkam’ saya dalam keadaan cedera parah macam ni, paksa saya keluarkan peluru, paksa saya buat macam-macam untuk awak!”
“Aku tak paksa, Nadira,” Emir mencelah sambil menarik nafas yang terasa sesak di dada. “Aku beri kepercayaan kat kau.”
Nadira terdiam seketika. Kepercayaan. Perkataan itu terlalu asing, terlalu berat untuk dihadam dalam keadaan sekarang. Namun, dia mengeraskan hati. Dia tidak mahu tertipu lagi.
“Ah! Malaslah nak cakap lagi dengan lelaki gila ni. Kalau awak nak mati sangat, pergi jauh dari saya!” katanya dingin.
Dia berpaling, ingin ke dapur untuk menyental bau hanyir darah yang masih melekat pada tangannya. Namun, suara Emir kembali menyapa, kali ini lebih provokatif.
“Hey, cousin-in-law... kenapa kau nak setia sangat dengan si Emir tu? Dia tak anggap kau isteri kau pun, kau tu cuma ‘isteri celup’. Semalam dia tak ada jenguk kau pun kan? Kau rela nak hidup macam janda?”
Nadira hanya diam mendengar cemuhan.
Emir menambah “Aku ada cadangan. Apa kata… kau jadi ‘teman’ aku je?”
Suara Emir rendah, sengaja menikam tepat di belakang leher Nadira. Nadira berhenti melangkah. Bahunya menegang hebat. Dia berpaling sedikit, memberikan wajah penuh amaran yang paling tajam.
“Saya tak nak awak,” nadanya padat dan keras. “Dan saya tak akan pernah nak awak.”
Emir hanya mengangkat kening, langsung tidak terasa hati. Reaksi Nadira yang begitu defensif itu, anehnya, membuatkan dia rasa semakin mahu mendekat. Semakin dilarang, semakin dia teruja untuk melanggar batas itu.
Nadira segera melarikan pandangan. Dia memfokuskan matanya pada apa sahaja objek di dalam bilik itu, langsir lusuh, dinding yang mengelupas, asalkan bukan pada sepasang mata tajam yang seolah-olah mampu menelanjangi rahsia hatinya.
“Dah tak ada apa-apa lagi kan? Awak telefonlah sesiapa jemput awak. Tak pun, panggil ambulans,” ujar Nadira, cuba memberi kata putus.
“Tolong. Biar aku rehat dulu.” Lelaki itu kemudian memejamkan mata rapat, menahan denyutan perit di bahunya sehinggalah nafasnya menjadi teratur dan dia terlelap akibat keletihan melampau dan kehilangan banyak darah.
Melihat Emir sudah tidak sedarkan diri, Nadira mengambil peluang untuk keluar sebentar. Dia perlu ke pasar kecil di hujung blok untuk membeli bahan basah. Peti sejuknya kosong, stok makanan yang ditinggalkan dua minggu lalu sudah pun rosak dan tidak lagi boleh digunakan.
Walaupun namanya tercatat gah sebagai anak perempuan ketiga keluarga Alexander, realiti hidupnya hanyalah sebuah ironi. Jika dia sakit, tiada siapa peduli. Jika dia lapar, tiada siapa yang akan bertanya. Di rumah itu, dia hanyalah bayang-bayang yang tidak bernyawa. Kerana itulah dia pandai berdikari, hidup minimalis bukanlah satu beban baginya, tetapi satu cara untuk bertahan.
Dan walau betapa dia membenci \'Luth\', dia bukanlah manusia yang sanggup membiarkan seseorang mati di depan matanya.
“Kalau dia mati dalam rumah ni, tak pasal-pasal aku pula yang kena usung mayat dia. Macam mana aku jawab nanti kalau orang tanya kenapa sepupu suami aku mati kat rumah sewa aku? Padahal kami baru je kahwin!” gumamnya separuh marah, separuh ngeri membayangkan senario itu.
Nadira menghela keluh panjang sebelum mula mereneh sup ayam ringkas di dapur kecilnya. Sambil mengacau kuah yang mendidih, dia cuba menghadam segala kegilaan yang berlaku sejak semalam.
Dari perkahwinan paksa yang menghancurkan impiannya…
Dicium paksa di hadapan pagar rumah sendiri…
Sehinggalah adegan \'bedah DIY\' mengeluarkan peluru sebentar tadi.
“Hari gila apa yang aku tengah lalui ni?” bisiknya pada diri sendiri.
*****
Apabila malam mula melabuhkan tirai, Nadira berdiri di hujung katil dengan perasaan berbelah bahagi.
“Awak... awak dah bangun?” suaranya halus, hampir tenggelam dalam kesunyian malam.
Kelopak mata Emir terangkat perlahan. Pandangannya masih nampak berat, tetapi ketajaman mata itu tetap ada.
“Saya ada buat sup...” Nadira menelan liur, cuba mengumpul keberanian. “Kalau awak nak makan, saya hidangkan.”
Dia berdiri dua langkah jauh dari katil, sengaja menjaga jarak radius selamat bagi mengelakkan sebarang tindakan luar kawalan daripada lelaki itu lagi. Namun, Emir hanya mengerling sinis.
“Amboi. Jauhnya duduk. Takut kena sambar la tu,” sindir Emir, nadanya lemah namun masih berbisa.
“Ya,” jawab Nadira sepatah. Dia menarik nafas lega apabila melihat Emir tidak terus mengganggunya.
Nadira meletakkan mangkuk sup di atas meja lipat murah di sisi katil. Ruang studio itu terlalu sempit, biarpun dia cuba menjauh, dia tetap berada dalam jangkauan renungan Emir. Bilik itu hanya memuatkan sebuah katil bersaiz 1.5 meter, sofa buruk, dan sebuah almari buku lama. Tiada ruang untuk dia melarikan diri.
Emir bangkit duduk perlahan-lahan. Dengan selamba, dia menarik sedikit selimut ke bawah, mendedahkan balutan luka yang mula merembas darah segar.
“Luka terbuka lagi. Boleh tak awak suapkan saya? Saya takut kalau bergerak banyak nanti makin teruk,” katanya senada, seolah-olah perkara itu sudah biasa berlaku.
Nadira meraup wajah, geram. Dia mahu marah, tetapi melihat wajah pucat itu, hatinya kembali dijentik rasa kasihan. Dengan berat hati, dia menghampiri Emir. Dia memegang mangkuk dan mula menyuap lelaki itu sedikit demi sedikit.
Suasana menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi sudu berlaga dengan mangkuk, dan detak jantung Nadira yang bergendang kuat dalam dada. Dia cuba memasang wajah tegas.
“Saya tolong awak ni bukan sebab kasihankan awak. Saya cuma tolong sebab tak nak susahkan suami saya nanti kalau awak mati. Jangan berani nak buat perangai gatal awak tu lagi. Kalau tak, saya akan buatkan awak menyesal. Faham tak?” Nadira memberi amaran keras.
Emir menjungkit kening sedikit, secalit senyuman tersembunyi di hujung bibirnya yang pecah. “Are you… threatening me?”
“No. I’m warning you,” balas Nadira pantas, matanya tetap tertumpu pada mangkuk sup.
Emir diam, hanya menghirup sup itu sambil terus merenung wajah Nadira. Ada sesuatu dalam pandangan itu, sesuatu yang lebih berbahaya daripada sebutir peluru.
Setelah mangkuk kosong, Nadira segera bangkit. Dia mahu cepat-cepat keluar ke balkoni, mahu menghirup kopi sambil menikmati angin malam untuk menenangkan fikirannya yang bercelaru. Namun, suara Emir memanggilnya dengan nada yang sangat rendah.
“Nadira.”
Dia berpaling. Emir sedang bersandar pada kepala katil, wajahnya pucat lesu namun senyum sinisnya masih tersisa.
“Terima kasih... sebab selamatkan aku hari ni.”
Nadira kaku. Lidahnya kelu untuk membalas ucapan yang kedengaran tulus itu. Dia hanya mampu mengangguk perlahan, membiarkan mata mereka bertautan seketika sehinggalah lelaki itu kembali terlena. Suasana rumah kecil itu kembali sunyi, namun perasaan di dalam dada Nadira kini menjadi semakin tidak menentu.
ns216.73.216.26da2


