Suasana di dalam unit studio yang sempit itu kini berubah menjadi sebuah bilik pembedahan darurat yang cukup ngeri. Bau hanyir darah dan aroma lilin yang dibakar mula memenuhi ruang air, mencengkam setiap urat saraf Nadira.
“Saya takut darah! Saya tak pernah buat benda macam ni!” Nadira menggeleng kepala kuat. Seolah-olah cuba membuang arahan itu daripada kepalanya.
“Awak… kena buat juga.” Emir memotong kata-kata Nadira. Nada suaranya tegas, mendominasi, langsung tidak memberi ruang untuk sebarang bantahan.
Nadira rasa lututnya hampir hilang fungsi. Dia menelan air liur yang terasa kesat seperti pasir di kerongkong.
“Tak, Luth. Saya tak nak! Saya bukan doktor, tak pernah berminat pun nak jadi doktor. A-Apa kata kita pergi hospital sekarang. A-Atau… klinik! Kat belakang ni ada satu klinik. Kita boleh minta doktor situ tolong ubatkan awak.” balas Nadira bersungguh-sungguh. Dia benar-benar tidak mahu memikul beban ini. Gila! Bagaimana lelaki ini boleh sewenang-wenangnya meletakkan nyawanya di tangan seorang wanita yang baru dikenalinya?
“Cepat! Kalau tak, aku… mati.” Emir mengetap gigi, menahan denyutan yang semakin menggila. “Orang-orang kat luar tu masih cari aku. Kalau diorang jumpa kita kat sini, kau ingat… kau akan selamat? Kalau aku hidup, sekurang-kurangnya, aku boleh… lindung kau.”
Nadira terdiam. Kata-kata itu menusuk tepat ke realiti. Dia masih menggigil, namun melihat darah yang semakin membuak keluar dari celah jaket kulit Emir, dia tahu dia sudah kesuntukan masa. Ketakutan harus dibuang jauh-jauh jika dia tidak mahu melihat mayat lelaki ini kaku di tengah rumahnya.
Dengan tangan yang terketar-ketar, Nadira melangkah ke dapur kecilnya. Dia mengumpulkan barang-barang yang diminta. Pisau tajam, pemetik api, lilin, pembalut, tuala.
Dia kembali ke sisi Emir dan meletakkan segala peralatan itu di atas lantai. “Luth.. kalau… kalau saya tersalah buat macam mana?” Suaranya pecah, air mata bergenang semula. “Awak boleh mati, awak tahu tak?!”
Emir memandangnya lama. Untuk pertama kali dalam hidup Nadira, dia melihat sekelumit sinar kepercayaan dalam renungan yang selalunya gelap itu.
“Kau boleh,” Genggamannya pada pergelangan tangan Nadira semakin kuat, namun suaranya turun sedikit, seakan-akan cuba menenangkan badai di jiwa wanita itu. “Aku percaya kau, Nadira Sofea.”
Nadira terpaku. Dia automatik mengangguk.
Buat pertama kali dalam hidupnya, ada seseorang menyebut namanya dengan nada kepercayaan. Bukan sebagai satu hinaan, bukan herdikan, dan bukan sekadar perintah kosong. Ada seseorang yang menyerahkan seluruh nyawanya ke dalam tangannya. Ironinya, orang itu adalah lelaki yang paling dia benci dan lelaki yang paling berbahaya yang pernah wujud dalam hidupnya.
Nadira menarik nafas panjang, cuba menstabilkan degupan jantungnya yang menggila. “Baik, saya janji akan buat yang terbaik. Tapi ingat... kalau awak mati, itu salah awak, bukan saya.”
Satu senyuman nipis terukir di bibir Emir yang kian pucat, walaupun tubuhnya sudah hampir rebah sepenuhnya. “Itu janji paling romantik yang aku pernah dengar.”
Nadira menahan nafas sewaktu bilah pisau yang telah disteril dengan api lilin itu menyentuh kulit di sekitar luka Emir. Tangan kecilnya terketar, namun dia cuba cekalkan hati mengikis perlahan tepi luka untuk mencari kedudukan peluru yang tertanam.
Dia sempat mencuri pandang ke arah Emir. Lelaki itu nampak sangat pucat, peluh dingin mengalir deras di pelipis, namun tiada sebarang pekikan atau rintihan yang keluar. Hanya keningnya yang berkerut rapat dan matanya yang tidak pernah berhenti memerhatikan setiap gerak-geri Nadira.
Renungan itu terlalu dalam, seperti bara yang membakar kulit Nadira dari jauh. Nadira menggigit bibir, rasa serba tidak kena.
“Jangan tengok saya macam tu,” ujar Nadira akhirnya, suaranya bergetar menahan satu gelora yang dia sendiri tidak faham.
Emir tidak menjawab. Hakikatnya, dia langsung tidak setenang yang dipamerkan. Kesakitan dari dada ke bahu itu menyengat deras seolah-olah dicarat-carat, dan kehilangan darah yang banyak membuatkan pandangannya mula kabur berlapis-lapis. Dia tahu dia boleh pitam bila-bila masa.
Tetapi, setiap kali matanya bertembung dengan wajah Nadira, segala rasa sakit itu seakan-akan berkurang sedikit demi sedikit.
Nadira mengetap bibir kuat, mengumpul sisa keberanian, dan kembali meneruskan usaha mengeluarkan peluru itu.
Bunyi peluru yang jatuh berdenting ke dalam mangkuk kaca itu seolah-olah menjadi bunyi paling merdu buat Nadira. Lututnya serta-merta longlai, malah seluruh tubuhnya lencun dengan peluh dingin seolah-olah dia baru sahaja selesai berlari maraton.
Dia bergegas ke sinki, menyental tangannya yang merah dengan sabun sehingga bersih, sebelum kembali melulut di sisi Emir. Nafasnya masih tercungap-cungap, namun matanya tidak lepas memandang wajah lelaki itu.
“Sakit sangat tak? Awak... awak masih boleh bertahan lagi?” soal Nadira cemas. Nadanya sarat dengan kerisauan yang dia sendiri tidak sedari.
Selama proses ngeri tadi, Emir langsung tidak menjerit. Tiada rintihan, tiada keluhan. Ketabahan lelaki itu seolah-olah hanya wujud dalam filem aksi, dan melihatnya di depan mata sendiri membuatkan Nadira berasa kagum yang bercampur-baur dengan rasa seram.
“Aku nak kau ambil pen,” ujar Emir sambil bersandar lemah pada dinding, cuba mengatur nafas yang masih berat. “Aku akan tulis senarai ubat. Kau tolong pergi beli.”
Walaupun wajahnya pucat lesu seperti mayat, aura dominan Emir masih tidak pudar. Dia masih tetap si pengarah, dan Nadira hanyalah pelaksana. Nadira hanya mampu mengangguk laju, mencapai pen dan kertas sebelum bergegas keluar.
Demi keselamatan, Nadira terpaksa menjadi \'ejen rahsia\' segera. Dia tidak membeli semua ubat di satu tempat. Dia mengelilingi beberapa buah farmasi, membeli sedikit di sini dan sedikit di sana untuk mengelakkan syak wasangka. Langkah berhati-hati itu lahir secara semula jadi daripada nalurinya, mungkin kesan terlalu banyak menonton siri jenayah di televisyen.
Apabila dia kembali ke unit studionya dengan beberapa beg plastik berbeza logo, Emir memerhatinya dari celah mata yang layu. Satu senyuman halus terukir di bibirnya.
‘Bijak. Dan sangat berhati-hati.’ Ternyata laporan Bang Zul yang mengatakan wanita ini \'lembap\' adalah sampah semata-mata.
Nadira mengeluarkan ubat satu persatu dan kembali duduk di hadapan Emir. “Saya letak ubat dulu. Kalau pedih, beritahu saya ya?”
Dia cuba berlagak tenang, walaupun hujung jarinya masih menggigil halus sewaktu menyapu antiseptik pada luka tersebut. Emir hanya membisu, membiarkan Nadira merawatnya sambil matanya sesekali mencuri pandang wajah wanita itu.
Nadira sedar dia diperhatikan, namun dia sudah terlalu letih untuk peduli. Dari malam tadi dia diserang emosi bertubi-tubi, dari perkahwinan paksa, dihina keluarga sendiri, sehinggalah adegan hidup dan mati hari ini. Dia hanya mahu segalanya selesai supaya dia boleh merebahkan badan di atas katil.
‘Gila! Malang apalah yang menimpa aku ni?’ getus hatinya geram.
Apabila selesai membalut luka itu dengan kemas, Nadira melepaskan satu helaan nafas lega yang sangat panjang. Dia mula bangun untuk mengemas peralatan. Namun tiba-tiba—
Zapp!
Tangan Emir menyambar pergelangan tangannya. Dalam sekali sentapan, tubuh Nadira terdorong rapat ke dada sasa lelaki itu. Sebelum sempat dia memprotes, bibir Emir sudah merapat pada bibirnya.
Kali ini, kucupan itu berbeza. Ia tidak kasar. Ia hangat, lembut, dan perlahan, seolah-olah satu tanda terima kasih yang tidak terucap.
Mata Nadira terbeliak. Tubuhnya kaku, manakala jantungnya berdegup kencang seakan-akan hilang arah kompasnya. Dia merasa seolah-olah seluruh tubuhnya lumpuh di bawah pengaruh lelaki itu.
Emir melepaskan kucupan itu perlahan-lahan, namun wajahnya tetap dekat. Nafasnya yang hangat menggesel kulit pipi Nadira, membuatkan bulu roma wanita itu meremang.
“Aku dah cakap...” suaranya rendah, panas, dan mendominasi sepenuhnya ruang itu. “No glasses.”
Jari Emir mengangkat dagu Nadira sedikit, memaksa mata mereka bertemu. “Setiap kali aku nampak kau pakai benda tu, setiap kali tu jugalah aku akan cium kau.”
Dada Nadira terasa sempit. Kata-kata itu bergetar sehingga ke tulang belikatnya.
‘Lelaki ni memang tak sedar diri ke? Tadi sikit lagi nak mampus, sekarang masih lagi nak menyusahkan hidup aku!’ bisik hati Nadira sambil memberikan pandangan tajam yang penuh dengan maki hamun dalam fikirannya kepada Emir.
ns216.73.216.26da2


