Bunyi tembakan tadi masih terngiang-ngiang, seakan-akan mengejar bayang-bayang mereka dari belakang. Nadira terpaku, nafasnya tersekat di kerongkong apabila melihat seorang lelaki terhumban keluar dari van yang memecut gila, berguling di atas tar kasar sebelum berhenti tepat di depan kakinya.
Sebelum sempat jeritan Nadira pecah, secepat kilat muncung pistol yang dingin sudah menekan pelipisnya.
“Bawa aku pergi. Cepat.”
Suara itu rendah, garau, dan sangat dikenali. Mata Nadira membulat besar. “L... Luth?!”
Luth, atau sebenarnya Emir, sedang mendengus kasar. Wajahnya tegang menahan kesakitan yang amat sangat, manakala renungan matanya seakan-akan menelan sisa cahaya di lorong sempit itu. Nadira berasa dunianya berpusing. Baru sahaja pagi tadi lelaki ini mencium paksa bibirnya, dan sekarang, dia muncul dalam keadaan berlumuran darah di kawasan perumahannya yang daif.
Nadira tidak pasti apa yang lebih menakutkan, pistol di kepalanya, atau lelaki yang sedang memegang picu itu.
“Apa... apa awak buat kat sini?” tanya Nadira gagap. Tubuhnya menggigil hebat.
Emir menarik nafas panjang, cuba mengumpul sisa kekuatan. Dia sempat menyelitkan pistol itu ke belakang pinggangnya sebelum memandang tajam ke arah Nadira. “Aku yang patut tanya kau. Apa kau buat kat kawasan macam ni?”
Nadira menelan liur yang terasa pahit. “S-Saya tinggal kat sini.”
Dahi Emir berkerut seribu. Seolah-olah dia tidak percaya bahawa seorang wanita dari golongan elit, sanggup tinggal di kawasan black area yang berbahaya ini.
“Bawa aku ke tempat kau. Sekarang!”
“Eh, kenapa pula? Awak yang datang sini sendiri, pandai-pandailah awak balik sendiri! Saya tak jemput awak pun, so please... excuse me!” Nadira cuba mempertahankan diri, berpaling ingin pergi.
“Tunggu!” Emir merentap kasar lengan Nadira. “Kau nak aku bagitahu Emir yang kau dengan aku dah \'main\' semalam?”
“Apa?! Bila masa kita \'main\'? Jijiklah awak ni! Jangan nak fitnah saya!” Nadira membentak, wajahnya merah padam.
Emir memang gemar mengusik dan menggertak hanya kerana dia mahu melihat reaksi garang Nadira. Namun, saat ini bukan masanya untuk bermain. Bunyi derapan kaki yang semakin menghampiri menyentakkan lamunan mereka. Kelibat dua lelaki berpakaian hitam muncul di hujung lorong, masing-masing memegang senjata.
Tanpa amaran, Emir menyambar pergelangan tangan Nadira dan menariknya masuk ke celah lorong yang lebih gelap. “Jangan banyak tanya! Ini bukan masanya. Jalan!”
Jantung Nadira terasa mahu pecah. Langkah kakinya pantas mengikut sahaja tarikan Emir. Dia tidak tahu siapa musuh lelaki ini, tetapi melihat keadaan Emir yang bergelut untuk terus tegak, dia tahu ini bukan pergaduhan biasa.
Nadira hampir terjatuh apabila Emir menolak pintu kayu usang di sebuah rumah tinggal dan menariknya masuk untuk bersembunyi. Mereka menahan nafas. Suasana sunyi sepi, hanya bunyi jejak kaki pemburu di luar yang melintasi pintu itu membuatkan bulu roma Nadira meremang.
Setelah keadaan dirasakan selamat, Emir melepaskan genggamannya. Dia menunduk sedikit, cuba mengatur nafas yang semakin pendek. Setitis, dua titis... darah mula menitik deras ke atas lantai.
Nadira menutup mulut, matanya membulat ngeri. Dia baru menyedari bahawa seluruh bahagian belakang baju Emir sudah lencun dengan darah yang pekat. Jaket kulit hitam yang dipakainya tadi telah menyembunyikan kecederaan itu daripada pandangan mata kasar.
“Awak… awak berdarah banyak sangat ni!” Nadira bersuara cemas, rasa ngeri menjalar ke seluruh urat sarafnya. “Kita pergi hospital sekarang! Kalau tak, nanti awak—”
“Jangan!” Emir memintas dengan nada yang sangat tenang, seolah-olah nyawanya tidak berada dihujung tanduk. Dia melangkah keluar dari rumah usang itu semula dengan langkah yang sedikit tempang. “Bawa aku masuk ke rumah kau. Sekarang.”
*****
Suasana di dalam unit studio yang kecil itu terasa semakin menghimpit. Nadira menjenguk ke kiri dan kanan lorong, persis seorang pencuri yang baru sahaja merompak bank, sebelum menarik Emir masuk dan mengunci pintu dengan cemas.
Emir berdiri kaku di tengah ruang yang sempit itu. Matanya melilau memerhati sekeliling, jauh daripada siling kristal dan lantai marmar Vila Andara. Di sini semuanya sederhana, sesak, dan ironinya... sangat sunyi.
“Kunci… pintu,” arah Emir, suaranya kedengaran dingin dan semakin lemah.
Baru sahaja Nadira berpaling selepas mengunci selak—
Pukkk!
Tubuh sasa Emir tumbang ke lantai.
Nadira menjerit kecil, tangannya segera menekup mulut. Dia meluru ke arah Emir, cuba mengangkat bahu lelaki itu namun tubuh itu terasa seberat bongkah konkrit. Saat tangannya menyentuh belakang baju Emir, dia tersentak. Cecair pekat, panas, dan berbau hanyir melekat pada jemarinya.
“Luth! Bangun! Bangun!” Suara Nadira bergetar hebat. Walaupun mulut lelaki ini \'jahanam\' dan perangainya biadap, dia tetap seorang manusia yang sedang nyawa-nyawa ikan di depan matanya.
“Luth! Bangunlah! Saya bawa pergi hospital ya? Saya tak tahu nak buat apa ni!” Nadira sudah mula teresak.
Emir membuka matanya sedikit. Renungan itu masih tajam, namun perlahan-lahan mulai kabur. Tiba-tiba, dia menyambar tangan Nadira dengan genggaman yang sangat kuat. Sejujurnya, terselip rasa takut jika Nadira meninggalkannya, namun entah mengapa, hanya wanita ini yang dia percaya saat ini.
Melihat linangan air mata di wajah Nadira, Emir merasa hairan. Mengapa \'wanita bodoh\' ini menangis untuknya?
“Apa... apa yang kau takutkan?” tanya Emir tersekat-sekat, cuba mencari sisa nafas. “Kalau aku mati... kau boleh hidup bebas. Itu yang kau nak, kan?”
Nadira ternganga. “Apa awak merepek ni! Boleh tak jangan bergurau dalam masa macam ni? Kejap, saya ambil telefon, nak call ambulans!”
Saat dia cuba menarik diri, genggaman Emir menjadi semakin kemas, seolah-olah tidak mahu melepaskan talian hayatnya.
“Jangan. Tolong,” suara Emir turun menjadi serak dan garang. “Sebelum ambulans datang, mungkin… aku dah mati dulu.”
Nadira terpaku. Dia sedar itu bukan sekadar kata-kata kosong. Musuh Luth pasti sedang memerhati setiap hospital di kota ini.
“Habis tu? Saya kena buat apa? Cakaplah!”
Emir memejamkan mata, menahan denyutan perit di bahunya sebelum memaksa diri memberi arahan.
“Dapur. Cari... pisau tajam. Pemetik api. Lilin. Kain balut. Tuala.”
Nadira terkedu. Perlahan-lahan dia mula menangkap maksud arahan itu. Dia menggeleng kuat, langkahnya berundur setapak demi setapak.
“Tak... awak tak boleh keluarkan peluru tu sendiri!” Air mata Nadira mengalir semakin deras.
Emir membuka mata. Pandangan hitamnya menembusi tepat ke dalam anak mata Nadira, dingin tanpa belas kasihan.
“Siapa cakap… aku buat sendiri?”
Dia menyentap tangan Nadira, menarik wanita itu sehingga wajah mereka hampir bersentuhan. Bau besi darah dan nafas hangat memenuhi ruang sempit antara mereka. Emir mengukir senyuman nipis, senyuman yang membuatkan bulu roma Nadira meremang. Dalam keadaan hampir maut begini pun, lelaki ini masih kelihatan kacak di luar norma, jika bukan kerana perangainya yang tidak bermoral itu.
“Kau,” bisik Emir perlahan. “Kau yang akan keluarkan peluru tu… untuk aku.”
Nadira rasa jantungnya seolah-olah jatuh ke perut. “A-apa? Saya? Awak dah gila ke? Saya takut darah! Saya tak pernah buat benda macam ni!”
ns216.73.216.23da2


