Tengku Maria terpaku. Selama dua dekad, dia hanya melihat Nadira sebagai anak yang hodoh, lembap, dan tidak punya masa depan. Namun hari ini, buat pertama kalinya, dia melihat sepasang mata itu bernyala tajam, seperti bara yang bila-bila masa sahaja boleh menjilat semula tangan yang cuba memadamkannya.
Degup jantungnya tersentak. Ada satu sisi gelap dalam diri Nadira yang dia sendiri tidak pernah kenal. Tengku Maria segera memalingkan wajah, cuba menyembunyikan getar pada suaranya ketika dia berbisik kepada Maya.
“Sudahlah. Abaikan je dia. Tak payah nak pening-pening kepala nak fikir pasal budak tu lagi.”
Maya merengus tidak puas hati, bibirnya memuncung. Namun, dia terpaksa akur. Sebaik sahaja nama keluarga Ilhan disebut oleh Nadira tadi, seluruh keyakinan mereka seolah-olah retak seribu. Mereka sedar, Nadira yang sekarang bukan lagi Nadira yang boleh diperlakukan seperti hamba.
Tanpa memandang ke arah mereka lagi, Nadira mendaki tangga dengan langkah yang tenang namun penuh tekad. Suasana di dalam banglo itu terus membeku. Nadira tidak menunggu reaksi sesiapa; dia terus masuk ke biliknya dan mula mengemas barang sedikit demi sedikit.
Dua buah beg pakaian, beberapa naskhah buku lama, dan sebuah kotak kecil yang mengandungi kenangan, yang kebanyakannya sarat dengan luka. Hanya itu harta yang dikumpulnya selama dua puluh tahun di bawah bumbung ini.
Nadira menarik nafas panjang. ‘Sudahlah. Ada benda yang lebih pedih daripada tak ada barang, iaitu bila kau sedar kau sebenarnya tak ada sesiapa.’
Beberapa minit kemudian, Nadira turun bersama beg beroda kecilnya. Ruang tamu sudah sunyi sepi. Tengku Maria dan Maya mungkin sudah hilang minat untuk bertekak dengan manusia \'tak berharga\' sepertinya. Nadira tidak mahu membuang masa.
Daripada keluar melalui pintu depan dan terpaksa menghadap drama tambahan, dia memilih untuk menyelinap keluar melalui pintu di bahagian belakang.
Udara luar menyapa wajahnya. Dia menghela nafas yang terasa lega namun sesak dalam masa yang sama.
“Habis juga babak neraka versi rumah ni,” gumamnya sendiri. Dia menyeret begnya perlahan-lahan menuju ke arah perhentian bas di bahu jalan yang sempit. Dia langsung tidak peduli jika Emir marah kerana dia meninggalkan Vila Andara. Baginya, Emir sendiri pun tidak sudi melihat wajahnya.
Sementara itu, di dalam kereta mewah yang terparkir di hadapan pagar utama rumah Alexander…
Emir sudah lama menunggu. Dia bersandar pada kerusi pemandu sambil jari-jarinya mengetuk stereng dengan ritma yang tidak menentu. Wajahnya semakin gelap setiap kali dia mengerling ke arah jam.
“Mana perempuan ni?”
Dia memandang ke arah pintu pagar yang masih tertutup rapat. Hatinya mula terasa resah, satu perasaan yang dia sendiri tidak mahu akui. Memikirkan laporan latar belakang tentang layanan buruk keluarga Alexander terhadap Nadira, satu rasa amarah mula membuak di dadanya.
Dia menyentuh pipinya yang masih terasa pedih dek tamparan malam tadi. “Eh, perempuan tu punya selamba je tampar aku... macam mana pula dia boleh kena buli dengan mak sendiri?”
Tok! Tok!
Bunyi ketukan pada tingkap mengejutkan Emir. Dia menoleh dan melihat seorang wanita yang wajahnya cantik persis patung sedang berdiri di luar. Maya Amani. Wanita itu mengukir senyuman manis, namun di mata Emir, ia nampak sangat plastik dan penuh kepura-puraan.
Emir menurunkan tingkap keretanya sedikit, hanya cukup untuk melihat wajah wanita itu. Dia memerhati dengan pandangan yang dingin dan tidak berminat.
“Hello... Encik? Kenapa tak turun? Masuklah dulu dalam rumah,” pelawa Maya dengan nada yang sangat lunak.
“Awak siapa?” soal Emir tanpa nada, sengaja tidak menurunkan tingkap sepenuhnya.
Maya berdehem kecil, sempat membetulkan rambutnya sebelum mempamerkan senyuman \'terbaik\' yang dia ada. “Saya Maya. Kakak Nadira.”
Emir mengangkat kening sedikit. ‘Oh, jadi inilah perempuan yang sepatutnya jadi pengantin tu? Tapi tak cukup berani nak hadap risiko?’
Dia menelan kata-kata sinis itu di dalam hati. Dia hanya memandang Maya dengan pandangan yang membuatkan wanita itu berasa tidak selesa, seolah-olah Emir sedang melihat tembus ke dalam niat jahatnya.
Maya masih terpaku di luar jendela kereta. Hatinya membara. Dia telah menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri bagaimana lelaki setampan \'sepupu\' Emir itu mencium Nadira. Naluri cemburunya menyala seperti minyak disiram api, terutama apabila mengenangkan ego dirinya yang tercalar.
‘Macam mana lelaki handsome macam ni boleh ada nafsu nak cium puteri katak tu? Eww!’ gumamnya dalam hati.
“Err... Nadira ada cakap suruh saya ajak Encik masuk dulu. Dia tengah berkemas. Cuaca kat luar ni pun dah panas, apa kata masuk ke dalam? Jom?”
Emir hanya melepaskan tawa kecil. Tawa yang membuatkan Maya keliru. Emir tahu benar bahawa Nadira tidak akan sesekali mengajaknya masuk. Nadira membenci rumah ini, dan pastinya, Nadira juga sedang membenci dirinya selepas insiden semalam. Mana mungkin wanita itu mahu dia berada di sini?
Tanpa sepatah kata, Emir terus menekan pedal minyak. Kereta mewah itu meluncur pergi, meninggalkan Maya yang terpinga-pinga dengan wajah merah padam akibat diperlecehkan buat pertama kali dalam hidupnya.
Sementara itu, Nadira sudah pun tiba di tempat “persembunyiannya”, sebuah unit studio usang berukuran 450 kaki persegi. Dindingnya mempunyai tona cat yang tidak sekata dan pintu pagar yang sudah berkarat. Namun, di sinilah safe zone miliknya. Tempat dia boleh bernafas tanpa perlu menjadi bayang-bayang sesiapa.
Nadira meletakkan beg pakaiannya dan menghela nafas panjang. Perutnya berbunyi minta diisi. “Aduh, dari pagi tak makan. Turun beli makanan kejaplah.”
Dia mencapai dompet dan melangkah keluar menuju ke kedai runcit di lorong belakang kawasan flat tersebut. Lorong itu sunyi, dicemari graffiti dan bauan kota yang lembap. Sambil berjalan, matanya tertumpu pada skrin telefon, mencari kupon diskaun untuk berjimat.
Tiba-tiba—
BANG!
Satu dentuman kuat bergema. Nadira tersentak. “Bunyi apa tu? Tayar lori pecah ke?”
BANG! BANG!
Kali ini, dia yakin. Itu bunyi tembakan. Debaran di dadanya menjadi semakin sesak. Belum sempat dia melarikan diri, sebiji van hitam membelok laju ke dalam lorong itu. Bunyi tayar mencicit kasar menghampirinya seperti binatang liar yang terlepas dari rantai.
“Arghhhhh!” Nadira menjerit ketakutan sambil melompat ke tepi. Dia jatuh terduduk, nyaris dihempap kotak elektrik.
Pintu belakang van itu terkuak kasar. Seorang lelaki tinggi berpakaian hitam terjun keluar dan bergolek tepat ke arah kakinya. Lelaki itu kelihatan parah, darah menitis dari kening dan terdapat tompokan merah di tepi kepalanya.
Nadira cuba mengundur, namun lelaki itu lebih pantas. Dengan sisa tenaga yang ada, dia menerpa ke arah Nadira dan menekan sesuatu yang sejuk dan keras ke pelipis kepala wanita itu. Nadira mengerling dengan ekor mata.
Pistol.
Nafas Nadira terhenti. Dunianya seolah-olah menjadi gelap seketika. Lelaki itu bernafas kasar, seolah-olah baru sahaja memanjat keluar dari lubang kubur.
“Cepat... bawa aku pergi dari sini!” Suaranya garau, mendesak, dan penuh dengan ancaman maut.
Nadira menggigil hebat. Dia tidak tahu sama ada mahu menjerit atau melawan. Dalam cahaya lorong yang malap, dia cuba menatap wajah lelaki di hadapannya. Sebaik sahaja matanya menangkap raut wajah itu, seluruh darah dalam tubuhnya terasa beku.
“L... Luth?”
Lelaki yang sedang mengacukan pistol ke kepalanya saat ini adalah \'Luth\'. Lelaki yang sama yang menciumnya secara paksa pagi tadi.
“Cepat!” Suara itu mendesak lagi. Ya, itu memang suara yang sangat dia kenali.
ns216.73.216.23da2


