Pagi itu, kedamaian kecil Nadira diragut oleh deringan nyaring daripada telefon vintage miliknya. Telefon butang usang itu mungkin sudah layak menjadi bahan pameran di muzium, namun itulah satu-satunya jambatan yang menghubungkan dirinya dengan dunia luar.
Bagi Nadira, ketiadaan aplikasi moden dan lambakan notifikasi adalah satu rahmat. Biarpun tindakannya itu dianggap mementingkan diri oleh rakan kuliah atau pensyarah, itulah benteng terakhirnya untuk menjaga kesihatan mental. Cuma panggilan suara dan SMS ringkas yang menjadi penghuni perantinya, itu pun jarang sekali diterima.
Dia menggosok mata, menatap skrin yang berkelip. Ada keraguan yang membebani jemari saat mahu menekan butang jawab. Sebaik melihat nama pemanggil, hatinya terus jatuh ke dasar.
“Hello, ayah?” sapa Nadira, perlahan.
“Ayah dengar kau datang rumah semalam. Siapa hantar?”
Suara Datuk Alexander menerpa dingin. Meskipun baru sahaja semalam dia bergelar isteri orang, ayahnya langsung tidak mengendahkan hal itu. Sepatah ucapan tahniah pun tidak kedengaran, apatah lagi pertanyaan tentang kebajikan atau kebahagiaan dirinya. Hatinya pedih. Ini bukan sosok ayah yang pernah membesarkannya dulu.
Nadira cuba mengatur nafas agar kedengaran stabil. “Sepupu Emir... Luth,” jawabnya jujur.
Satu dengusan tidak puas hati kedengaran di hujung talian.
“Ada masa nanti, bawa Maya berjumpa keluarga dorang. Kalau ada lelaki yang sesuai, kenalkan pada dia. Suruh dia tambah kenalan. Ini semua untuk masa depan dia.”
Nadira terkaku. Suara ayahnya tetap beku seperti biasa. Amat jarang lelaki itu menghubunginya, malah dia sendiri sudah lupa bila kali terakhir mereka berbual di telefon. Panggilan yang datang tiba-tiba ini rupa-rupanya bukan untuk bertanya khabar, tetapi untuk satu agenda lain.
Ayahnya menghubungi bukan kerana risaukan Nadira, sebaliknya sudah mula mengatur langkah demi memastikan masa depan Maya lebih cerah. Maya sentiasa menjadi yang utama, anak emas yang ditatang. Nadira pula hanyalah pilihan terakhir, pengantin simpanan yang dipergunakan sekadar untuk menampal retak maruah keluarga.
“Saya cuba... tapi saya belum jumpa Emir lagi, ayah,” balas Nadira. Suaranya pecah sedikit, menahan takungan air mata yang mula memenuhi ruang mata. Dia cuba mengawal nada suaranya agar kedukaannya tidak dihidu, kerana dia tahu, tiada sesiapa yang peduli jika hatinya berkecai.
Tiba-tiba, nada suara Datuk Alexander bertukar kasar.
“Habis tu? Apa yang kau buat semalaman kat sana? Semua benda kau tak boleh buat? Suami sendiri pun belum jumpa! Atau suami cacat kau tu memang tak nak hadap pun muka kau? Kenapa kau ni lembab sangat, hah, Nadira? Suka nak menyusahkan aku!”
Nadira menekup mulutnya erat, menahan esakan daripada pecah. ‘Kalau aku suka menyusahkan keluarga, kenapa serahkan aku kat lelaki yang tak pernah aku pilih?’ Soalan-soalan pedih itu hanya berani bernafas di dalam hati, tidak sesekali di bibir.
Dia menelan hakikat pahit itu sebelum menjawab dengan nada yang perlahan namun jujur.
“Mungkin kalau Maya yang kahwin, Emir akan muncul. Saya kan cuma pengantin simpanan yang tak berguna dan tak punya rupa,” balas Nadira.
Talian menjadi sunyi sepi.
Pada saat itu juga, pintu bilik air terbuka. Emir melangkah keluar dengan hanya berseluar, sementara sehelai tuala tergantung longgar di pinggangnya. Balutan luka di dadanya masih kemas, namun aura dominannya langsung tidak berkurang sedikit pun.
Langkah Emir terhenti apabila telinganya menangkap sisa suara Nadira, suara yang jelas cuba disenyapkan namun sarat dengan luka yang dalam.
Dia melihat Nadira sedang duduk di birai katil. Rambut hitam tebal wanita itu mengurai jatuh seperti rumpai laut yang membalut pinggangnya yang ramping. Jari-jemari Nadira menggenggam telefon lama itu dengan begitu kuat sehingga urat biru timbul jelas di belakang tangannya.
Air mata memenuhi kelopak mata Nadira, jernih seperti air di musim luruh namun dia berkeras tidak membiarkan setitis pun jatuh. Tubuhnya yang kecil tampak menggigil, namun dia tetap duduk tegak, seolah-olah sedang menahan seluruh dunianya daripada runtuh.
Sekilas, hati Emir bergetar. Lama dia merenung susuk itu.
Dan dia sedar, isteri baharunya yang selama ini dianggap tidak menarik, tidak menonjol, malah membosankan, kini kelihatan jauh lebih menyenangkan daripada apa yang disangkakan. Ada sesuatu pada gadis yang sedang keras menahan tangis itu, sesuatu yang membuatkan mata Emir mustahil untuk berpaling.
Di sebalik kelembutan gerak dan tutur kata yang berhati-hati, tersimpan sebuah keberanian dan sekeping hati yang tetap memilih untuk peduli, meskipun dunia tidak pernah memudahkan hidupnya.
Emir memerhati dari jarak dekat, namun pekikan suara di hujung talian itu cukup nyaring untuk menembusi ruang udara antara mereka. Dia melihat Nadira yang hanya membisu, membiarkan dirinya dicarat-carat oleh kata-kata nista tanpa daya untuk memutuskan talian. Wajah wanita itu bertukar pucat lesu, sementara jemarinya mengepal telefon antik itu dengan begitu kuat sehingga urat-urat biru timbul jelas di bawah kulitnya yang halus.
Tanpa sepatah kata, Emir melangkah menghampiri. Dengan satu gerakan yang tenang tetapi tegas, dia merenggut telefon itu dari genggaman Nadira dan terus mematikan panggilan. Klik. Kesunyian yang tiba-tiba itu terasa lebih memekakkan telinga daripada jeritan tadi.
Keningnya terangkat sedikit. ‘Masih ada manusia pakai telefon zaman batu macam ni?’ Hatinya berbisik sinis melihat peranti yang hanya mampu melakukan panggilan dan SMS itu. Namun, apabila dia memandang tepat ke arah Nadira, suaranya kedengaran datar tetapi menikam lembut sesuatu di dalam dada wanita itu.
“Kalau kau tak nak dengar, tak payah dengar.”
Nadira terpinga-pinga. Dia mengangkat wajah perlahan-lahan, matanya masih berkaca biarpun dia cuba sedaya upaya untuk tidak tumpah. Pandangannya kabur, dia tidak nampak dengan jelas raut wajah Emir saat itu, namun anehnya, kata-kata yang cukup ringkas itu seolah-olah menjadi ubat yang menenangkan hatinya.
Seakan ada satu kuasa ghaib yang membuatkan air matanya terhenti. Hatinya terasa hangat. Selama ini, tiada sesiapa pernah menyuruhnya berhenti menderita. Tidak pernah ada yang menyuruhnya menjauh daripada kata-kata yang menyakitkan. Lelaki yang berdiri di hadapannya ini langsung tidak tahu apa yang berlaku, namun entah bagaimana, dia menjadi orang pertama yang berdiri tegak di tengah badai yang sedang memukul hidup Nadira.
“Jangan biarkan orang lain pijak kepala kau,” ujar Emir sekali lagi.
Mata mereka bersatu dalam satu garis lurus. Nadira terpana, bukan kerana ketampanan wajah lelaki itu, tetapi kerana kekuatan yang baru sahaja diraihnya lewat kata-kata ringkas tersebut. Namun, saat itu juga mindanya kembali waras. Alarm bahaya dalam kepalanya menjerit nyaring.
Dia mengalihkan pandangan, menoleh ke kiri dan kanan. Barulah dia sedar di mana dia berada sekarang.
“Kenapa saya atas katil?!” Nadira menjerit kecil, segera menjauhkan diri. “Bukan semalam saya tidur kat sofa ke?”
Dia terus melompat duduk, wajahnya kini berubah panik bercampur marah. Emir langsung tidak memberi reaksi pada jeritan itu. Dia hanya mengangkat muka sedikit dengan renungan yang malas, tetapi tetap tepat menikam jiwa, seolah-olah dia sudah menjangka soalan itu akan keluar.
“Awak?” Suara Nadira meninggi. “Ini kerja awak, kan?!”
Dia menelan liur, seluruh tubuhnya tegang. Bayangan dirinya dibaringkan tanpa sedar dan disentuh tanpa izin meremangkan bulu tengkuknya. Emir menyandar perlahan pada kepala katil, wajahnya setenang laut hitam sebelum tibanya ribut.
“Kalau bukan aku...” suaranya rendah, mendatar, dan terlalu yakin.
“Siapa lagi yang boleh angkat saya selain awak? Kita berdua je dalam bilik ni! Saya bukannya jenis yang mengingau atau berjalan dalam tidur!” Nadira tersentak sendiri dengan kata-katanya. Wajahnya merah padam menyala, nafasnya tercungap-cungap menahan amarah yang membuak.
Namun, sebelum dia sempat melepaskan serangan verbal yang lebih dasyat, Emir menunduk sedikit. Jarinya mengetuk perlahan permukaan katil yang kini diduduki Nadira.
“Nadira,” katanya perlahan, nadanya kini hampir kedengaran seperti satu amaran.
“Kalau kau fikir itu perkara paling ‘menakutkan’ yang aku boleh buat...”
Dia mengangkat wajah, mata hitamnya mengunci pandangan Nadira tanpa memberi ruang untuk wanita itu bernafas.
“Maknanya... kau belum betul-betul kenal siapa aku.”
ns216.73.216.26da2


