Nadira tidak pernah berjalan dalam tidur. Dia pasti tentang itu.
Sebab itu, saat dia sedar dirinya berada di atas katil, pipinya serta-merta memerah. Dia menoleh perlahan ke arah lelaki di sisi, jantungnya berdegup tidak sekata.
“Awak…” suaranya terhenti di hujung kata.
Emir memalingkan wajah, nada suaranya dingin dan tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah.
“Hoi, tak nampak ke keadaan aku sekarang? Aku tengah sakit. Kau rasa aku ada masa nak angkat kau yang berat tu? Aku agak berat kau mungkin dalam 55 kilogram? Betul?”
“Awak! Dasar orang gila!”
Jawapan itu ringkas. Tidak menjawab soalan. Tidak mengaku. Tidak juga menafikan. Tapi Nadira tahu siapa pelakunya.
Nadira kaku.
Apa yanga dikesalkannya adalah, Ini kali pertama dia berada di atas katil bersama seorang lelaki. Aura gelap dan keras yang terpancar dari tubuh Emir terlalu kuat, menekan dada dan membuatkan fikirannya bercelaru. Lelaki itu tidak melakukan apa-apa, namun kehadirannya sahaja sudah cukup membuatkan ruang terasa sempit sehingga Nadira sukar bernafas..
Dia menggigit bibir, menarik selimut ke tepi dan bersiap untuk bangun. Namun belum sempat kakinya mencecah lantai, pergelangan tangannya ditangkap.
Pegangan itu tidak kasar, tetapi cukup kuat untuk menghentikannya.
Pandangan Emir jatuh ke wajahnya. Ada sesuatu berkilat di mata hitam itu, satu garis tanya yang samar.
“Kenapa tangan kau putih gebu sangat,” katanya perlahan.
“Kulit muka kau pula mulus, tapi pucat kekuning-kuningan? Pelik juga complexion kulit kau kan?”
Nadira tersentak. Dia menarik tangannya pantas, seolah-olah disentuh api.
“Tak payah sibuk! Ini namanya natural,” jawabnya selamba berlagak berani.
Tanpa menunggu apa-apa lagi, dia melompat turun dari katil seperti arnab menggelupur dan terus melarikan diri ke bilik air, menutup pintu dengan nafas tercungap-cungap.
Di belakangnya, Emir tidak bergerak.
Namun matanya penuh minat.
Dalam bilik air yang sempit itu, Nadira menatap pantulan wajahnya di cermin.
Pucat kusam. Kekuningan. Seolah-olah hidupnya sendiri sedang perlahan-lahan pudar.
Dia menghela nafas panjang.
Ya, ini wajah yang disolek buruk untuk menutup kecantikannya, satu-satunya cara bertahan hidup selama ini. Selama bertahun-tahun Tengku Maria menghukum kecantikannya sebagai dosa. “Jangan rampas perhatian Maya,” selalu begitu.
Nadira membuka kabinet kecil di bawah sinki, lalu mengeluarkan losen penanggal solekan. Perlahan-lahan, lapisan mekap tebal itu ditanggalkan.
Pantulan di cermin berubah.
Wajah sebenar Nadira terserlah, kulitnya cerah bersih, garis wajah simetri seakan diukir rapi, alisnya terletak kemas seolah-olah dilukis dengan sengaja. Mata bundarnya bersinar lembut, bening dan hidup, manakala bibirnya merah semula jadi tanpa perlu dipalit warna.
Nadira cantik, bukan cantik yang menjerit minta dipandang, tetapi cantik yang tenang, yang tak jemu dipandang, seimbang, dan kecantikan yang tak perlu dinafikan, walaupun tanpa secalit mekap di wajahnya.
Cantik. Sakit hati cantiknya.
Kalau bukan kerana dia tinggal sendiri di rumah sewa kecil ini selepas tamat universiti, mungkin Nadira sendiri sudah lama melupakan wajah asalnya.
Dia memandang pantulan di cermin tanpa sebarang rasa bangga. Tanpa rasa kagum, tanpa rasa megah diri.
Anak perempuan yang cantik, sepatutnya membuat seorang ibu bangga. Itulah yang selalu dia fikirkan dulu.
Namun sejak kecil, Tengku Maria sering menuding jari, menyalahkannya kerana terlalu menyerlah, kerana “mencuri cahaya” Maya Amani. Gaun cantik tidak pernah dibelikan untuknya. Pujian tidak pernah singgah. Setiap kali Nadira dipuji orang, wajah ibunya akan mengeras, masam mencuka seolah-olah kecantikan itu satu dosa. Sehingga kini Nadira merasa, kecantikan seakan satu sumpahan untuknya.
Jadi Nadira belajar mengalah. Belajar mengecilkan diri.
Dari murid terbaik kelas, dia sengaja menurunkan prestasi. Dari gadis yang digemari, dia memilih untuk kelihatan biasa.
Dari seorang anak yang ceria, dia membiasakan diri menjadi sunyi, hingga akhirnya dikenali sebagai gadis “tak menarik”, gadis yang tiada kawan.
Dia cuba sedaya upaya menjadi versi yang ibunya mahukan.
Namun anehnya, Tengku Maria tetap tidak pernah merasa gembira dengan apa yang dia sudah lakukan, ada sahaja yang tak kena. Tengku Maria tetap tidak pernah pernah menghargai apatah lagi memandangnya.
Perlahan-lahan, Nadira mula sedar akan satu hakikat yang paling menyakitkan, mungkin masalahnya bukan pada dirinya.
Mungkin, ibunya memang tidak pernah benar-benar menyayanginya.
“Sia-sia je semua ni…” bisiknya perlahan. “Cantik atau tidak, akhirnya aku tetap bukan pilihan sesiapa.”
Setelah hampir setengah jam menyolek muka semula menjadi kusam dan tidak menonjol, Nadira keluar.
Dia melangkah keluar dari bilik air dengan wajah yang dunia kenal, bukan kerana itulah dirinya. Tetapi kerana itulah yang dunia lebih selesa terima dan itu sahaja cara untuk dia hidup tanpa perlu menyakitkan keluarganya.
Emir masih di katil, membelek telefon bimbitnya. Muka lelaki itu seperti biasa, masih tidak berperasaan, tidak peduli, tidak berubah langsung.
Nadira berdeham kecil. “Err… saya nak keluar. Awak boleh telefon seseorang dari keluarga awak untuk jemput awak balik ke Vila Andara.”
Tiada reaksi.
Tiada anggukan.
Tiada tanda setuju.
Nadira mengetap bibir.
“Baiklah. Saya pergi.”
Dia mencapai beg lusuhnya dan keluar dari rumah sewa.
Pagi bergerak pantas. Nadira menjalani rutin seperti biasa dan hari ini misinya adalah untuk mencari kerja baru. Dia terpaksa berhenti kerja setelah Tengku Maria memaksa dia pulang untuk dijadikan pengantin simpanan, dan sekarang dia perlu bermula semula, menyara diri sendiri. Kerja apa sahaja dia sanggup lakukan, kerana dia juga harus meneruskan hidup.
Di hentian bas, dia berdiri sambil memeluk fail berisi resume. Angin pagi membawa bau asap jalan raya, tetapi Nadira tetap suka melihat bandar hidup. Sekurang-kurangnya, dunia luar tidak menghukumnya sesuka hati.
Tiba-tiba sebuah kereta hitam berhenti betul-betul di hadapannya.
Cermin tingkap turun perlahan, memperlihatkan senyuman lelaki yang terlalu dikenalinya.
“Nadira? Awak nak ke mana?”
Nada Noah Abraham, lelaki yang juga kenalan rapat keluarga mereka menyapanya lembut.
Mata Nadira bersinar kecil. “Noah? Buat apa awak dekat sini?”
“No time to talk here,” Noah membuka pintu penumpang. “Masuk dulu. Bahaya berhenti tepi jalan macam ni.”
Nadira menurut, Noah bukan orang asing. Malah satu-satunya lelaki yang pernah melayan dia sebagai manusia.
Belum sempat pintu ditutup sepenuhnya, Noah berkata, “Oh ya, aku sebenarnya ada temu janji makan dengan Maya. Jom ikut sekali.”
Nadira terkaku.
Dengan Maya?
Sudah lama orang kata Maya dan Noah sepadan, bagai merpati dua sejoli, kedua-duanya cantik, kedua-duanya terkenal, kedua-duanya dari keluarga sempurna.
Nadira cuba bersuara, “Saya ada hal lain, saya…”
“No excuses.”
Noah tersenyum sambil menekan GPS. “Kita dah lama tak makan sama. Please.”
Ayat itu menikam. ‘Dah lama tak makan sama.’
Ya. Sebab sejak Nadira dipaksa kahwin, semua hubungan dia dengan dunia luar terputus.
*****
Mereka tiba di restoran mewah dalam masa sepuluh minit.
Maya Amani sudah menunggu di meja. Gaun satin biru Valentino, rambut bergelombang, solekan sempurna seperti selebriti.
Saat Maya melihat Nadira berjalan bersama Noah, wajah itu berubah ketara, senyumannya gugur, diganti sinis yang cuba disembunyikan.
“Maya, saya terserempak dengan Nadira tadi,” Noah berkata ceria. “Saya bawa dia sekali. Tak kisah, kan?”
Maya tersenyum lembut.
“No biggie, at all!” Tapi pandangan matanya yang tajam seakan membunuh jiwa Nadira sekali lagi.
Noah bangun.
“I’ll go to the washroom first. You girls talk.”
Sebaik lelaki itu hilang dari pandangan, senyuman Maya padam sepenuhnya.
“Cepatnya kau cari lelaki lain. Tak cukup suami kau, Noah pun kau nak rembat juga ke?” Nada Maya tajam, rendah, penuh racun.
“Eh lupa, Sepupu suami kau tak cukup ke? Ramai-ramai jantan nak buat apa? Untuk koleksi kau?”
Nadira diam.
“Kau ni memang tak tahu malu.”
ns216.73.216.23da2


