Nadira Sofea berasa muak.
Dia memandang wajah Maya Amani yang sedang tersenyum sinis di hadapannya, pipi wanita itu terangkat sedikit dengan ekspresi yang penuh keangkuhan.
“Apa yang kau merepek ni?” suara Nadira sedikit keras, terlepas tanpa sempat ditahan. Entah kenapa dia merasa dia sudah jemu untuk bertoleransi dengan perangai Maya yang adakalanya kebudak-budakan.
Maya mendengus perlahan, ketawa kecil yang dingin menyusup dari bibirnya.
“Aku merepek? Hei! Kau cermin sikit diri kau tu!” Maya memandangnya dengan mata menyindir.
“Cuba kau tengok mata aku, lepas tu cakap, yang kau tak pernah sukakan Noah? Hei, Nadira. Orang lain kau bolehlah nak bodohkan. Tapi bukan aku! Biar kau tak cakap pun, aku tahu yang dari dulu lagi kau ada simpan hati dekat Noah dalam diam, kan?”
Nadira menundukkan kepala.
Dia diam. Tidak berani menjawab. Kerana orang yang selama ini disukainya, memang Noah Abraham.
Saat itu juga, Maya tiba-tiba bersuara, nada terkejut dibuat-buat.
“Eh, Noah?”
Nadira tersentak lalu mendongak dengan pantas.
Noah sudah pun berdiri tidak jauh dari meja mereka. Entah sejak bila dia kembali, Nadira sendiri tidak pasti. Wajahnya serta-merta berubah pucat, jantungnya berdegup kencang.
Pandangan Nadira terpaku pada Noah, dadanya berdebar hebat.
Berapa banyak yang sudah dia dengar? Dan berapa banyak yang kini sudah terlambat untuk diperbetulkan?
Namun Noah tidak memandangnya.
Lelaki itu hanya memalingkan wajah ke sisi, seolah-olah tidak mahu melihat Nadira langsung.
Pada saat itu, Nadira tahu.
Cara Noah terdiam dan mengelak pandangan mencipta detik canggung yang mengesahkan satu perkara bahawa dia telah mendengar semuanya.
Maya menangkap reaksi itu dengan penuh kepuasan. Senyuman kecil terukir di bibirnya, sebelum dia mendekati Noah dan bersuara dengan nada lembut yang dibuat-buat.
“Tak payah nak rasa bersalah, Noah,” ujar Maya lembut. “Nadira dah bersuami. Tak ada siapa yang boleh ganggu kita lagi lepas ni.”
Pada pandangan Maya, semua ini sekadar reaksi semula jadi. Lelaki mana pun pasti menjauh apabila tersangkut dengan perempuan yang tidak tahu diri. Dia tidak pernah faham mengapa sepupu Emir Ilhan pernah memberi ruang kepada Nadira, selain sebagai hiburan sementara.
Mungkin sekadar rasa ingin tahu. Mungkin hanya mahu mencari sedikit kelainan.
“Nadira,” Noah akhirnya bersuara, menoleh ke arahnya.
“Awak dah kahwin?”
Nadira masih belum sempat membuka mulut apabila Maya mendahului.
“Ya, memang dia dah kahwin” jawab Maya tanpa tergesa-gesa. “Dulu dia pernah cakap. Kalau dia kahwin pun, dia tak akan bahagia. Sebab tu dia memilih untuk kahwin dengan keluarga Ilhan. Penat saya nasihat kat dia. Tapi dia ni… degil.”
Maya menghela nafas perlahan, nafas yang sengaja dilepaskan seperti memikul beban simpati yang berat. Wajahnya tampak redup, seolah-olah dia benar-benar kesal dengan keadaan yang menimpa Nadira.
“Memanglah keluarga Ilhan tu kaya. Banyak hartanah. Perniagaan besar,” katanya sambil mengangguk kecil, nada suaranya merendah, hampir berbisik. “Bila semua tu dah ada dalam tangan, hidup pun pasti terjamin. Tak ada nak takut apa-apa lagi dah. Sebagai isteri, mestilah suami akan bagi semua tu kat dia.”
Dia berhenti seketika, membiarkan jeda itu tergantung di udara, cukup lama untuk menimbulkan rasa tidak selesa.
“Tapi…” Maya menyambung, matanya beralih ke sisi, bibirnya terkatup nipis. “Suami dia itu…”
Ayatnya terputus begitu sahaja. Tiada penjelasan lanjut, tiada tuduhan yang jelas. Namun cara dia menggeleng perlahan sudah cukup untuk menyampaikan maksud yang tidak perlu disebut, sesuatu yang dianggap kekurangan, sesuatu yang memalukan, sesuatu yang kononnya perlu ditanggung oleh seorang isteri.
Dan itulah yang paling kejam, apabila penghinaan disampaikan tanpa perlu diucapkan sepatah pun secara terang.
Nadira dapat menangkap dengan jelas maksud tersirat dalam setiap kata-kata itu bahawa dia berkahwin dengan keluarga Ilhan semata-mata kerana tamakkan kekayaan.
Noah memandang Nadira dengan wajah yang jelas berubah.
“Apa-apa pun,” katanya, “terima kasih sebab berkahwin dan bagi ruang kat Maya.”
Maya mengangguk, senyumannya tidak menyembunyikan rasa lega. “Betul tu. Kalau bukan sebab tu, saya dengan Noah takkan pernah dapat bersama.”
Nadira menggigit bibir bawahnya kuat.
“Tak… bukan macam tu,” katanya akhirnya, mempertahankan diri dengan suara yang sedikit kaku. “Semua ni jadi, bukan macam yang awak fikirkan.”
Walaupun dia dan Noah tidak pernah benar-benar bersama dalam hidup ini, Nadira tidak sanggup jika lelaki itu menganggapnya seorang perempuan yang mata duitan dan gilakan harta benda.
Noah berkerut sekali lagi.
“Tak apa, Nadira. Awak tak perlu jelaskan apa-apa,” katanya perlahan, suara itu kedengaran terlalu tenang untuk situasi setegang ini. “Saya faham kenapa awak buat pilihan tu.”
Dia berhenti seketika, pandangannya jatuh dan terangkat semula, seolah-olah sedang memilih kata yang paling berlapik.
“Mungkin suami awak tu tak ada keupayaan secara fizikal dan ‘batin’. Tapi keluarga Ilhan tu tetap keluarga yang besar. Saya pasti diorang semua akan layan awak dengan baik.”
Kata-kata itu terasa dingin, meresap perlahan ke dalam dada Nadira.
Pada saat itu, segalanya menjadi jelas.
Saat itu juga, telefon bimbitnya bergetar.
Nadira mengeluarkannya dan terpaku melihat skrin. Mesej yang masuk hanyalah senarai nama hidangan. Tiada ayat lain. Tiada nama pengirim.
Dia tidak tahu siapa yang menghantarnya.
Namun mesej itu cukup untuk memberinya alasan.
“Maaf. Saya… ada urusan. Saya pergi dulu ya,” kata Nadira sambil bangun dari kerusi. Wajahnya tenang, terlalu tenang.
Dia memandang Noah tanpa getar.
“Noah. Dulu saya memang sukakan awak. Awak baik. Sanggup layan saya macam manusai biasa. Itu yang buatkan saya jatuh hati kat awak.”
Nadira berhenti seketika, menelan sesuatu yang pahit di dadanya.
“Tapi perasaan tu… dah berhenti.”
Dia menarik nafas.
“Maya tahu kenapa saya berkahwin dengan keluarga Ilhan. Soal awak nak percaya atau tak kebenaran kata-kata saya, itu terpulang pada awak. Saya pergi dulu.”
Dia menyukai Noah kerana lelaki itu satu-satunya yang tidak pernah memandangnya dengan jijik, satu-satunya yang pernah benar-benar mengambil berat.
Namun kini jelas, Noah tidak lebih daripada lelaki yang bersimpati secara palsu.
Kedua-dua keluarga mereka sudah lama saling mengenali. Tidakkah Noah benar-benar tahu siapa dirinya?
Namun jika Tengku Maria sendiri tidak mempercayainya, mengapa orang luar perlu berbuat demikian?
Selesai berkata-kata, Nadira melangkah keluar meninggalkan mereka berdua tanpa sebarang keraguan.
Sebaik pintu tertutup, suara Noah masih sempat kedengaran.
“Tak sangka yang Nadira jenis perempuan yang macam tu. Saya ingatkan dia ni polos, baik, selalu ikhlas.”
Maya menyahut dengan nada sedih yang dibuat-buat.
“Betul tu, Noah. Saya pun tak sangka…”
Nadira mengetatkan genggaman tangannya, bibirnya terkatup rapat, lalu terus melangkah pergi tanpa menoleh lagi.
Telefon di dalam poketnya berdering sekali lagi.
Dia menjawab tanpa melihat skrin.
Suara itu muncul di hujung talian, rendah dan tepat, suara yang tidak akan menerima ‘no’ sebagai alasan dan suara yang tak perlu pengenalan. Dia amat mengenali pemilik suara itu.
“Pergi restoran ni, bungkus apa yang aku minta,” kata Emir Ilhan perlahan. “Bawa balik cepat! Aku lapar!”
ns216.73.217.22da2


