Nadira Sofea terdiam seketika.
Nada dingin di hujung talian itu sudah cukup untuk membuatkan dadanya menegang dan terasa sesak sehingga sukar bernafas.
Luth, sepupu Emir Ilhan.
“Kenapa awak masih belum balik?” soal Nadira, suaranya belum sempat reda.
Di hujung talian, hanya keheningan seketika.
Belum sempat Nadira menunggu jawapan, talian itu diputuskan begitu sahaja.
Bip.
Nada kosong bergema di telinganya.
Nadira memandang skrin telefon yang telah mati, jantungnya berdegup terlalu kencang.
Tubuhnya meluncur turun mencangkung di tepi kaki lima, kedua-dua tangan menutup kepala.
Nafasnya menjadi pendek, bercelaru, seolah-olah dia sedang tenggelam tanpa siapa untuk berpaut.
Kenapa semua orang seolah-olah berlumba-lumba untuk memalukan dia?
Soalan itu berputar tanpa henti di kepalanya, menekan dari satu sudut ke sudut yang lain, seolah-olah mencari jawapan yang memang tidak pernah wujud.
Tengku Maria dan ayahnya sendiri melahirkannya ke dunia ini, tetapi kasih sayang yang sepatutnya mengalir secara semula jadi tidak pernah singgah dalam hidupnya. Sejak kecil, Nadira belajar menerima hakikat bahawa kewujudannya sekadar pelengkap yang tidak pernah cukup baik untuk keluarganya. Tidak pernah dibanggakan dan terlalu sukar untuk disayangi.
Dia dipaksa berkahwin masuk ke dalam keluarga Ilhan, bukan kerana cinta, bukan kerana pilihan, tetapi kerana dan agenda keluarganya. Tidak pernah sekalipun mereka bertanya apa itu yang dia mahu atau bagaimanakah khabarnya setelah mereka ‘menghumban’ dirinya tanpa rela untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Malah sehingga kini, suami sendiri tidak tahu akan kewujudan dirinya.
Dia tiba-tiba teringat pada Luth.
Bagaimana jika lelaki itu benar-benar memberitahu Emir bahawa dia cuba menggoda atau memperdayakannya?
Fikiran itu membuatkan dada Nadira semakin sesak.
Dia menarik nafas panjang, memaksa dirinya berdiri semula. Walaupun sebelum ini dia pernah mengugut Tengku Maria dan Maya dengan kebenaran yang disimpannya, namun jika Luth bercakap sesuka hati, keluarga Ilhan pasti tidak akan teragak-agak menjadikan dia korban demi menjaga nama keluarga mereka. Soal benar atau tidak, itu tidak lagi penting.
Nadira menggenggam telefon erat sebelum memasukkannya semula ke dalam beg.
Dia tidak pergi membungkus makanan seperti yang diarahkan.
Sebaliknya, Nadira melangkah ke pasar kecil berhampiran dan membeli sayur-sayuran, ikan serta bahan-bahan asas mengikut apa yang dia mahu. Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana dia enggan membiarkan Luth mengatur langkahnya di rumah sendiri.
Ini rumahnya. Hidupnya mungkin tidak sepenuhnya bebas, tetapi selagi dia berada di ruang ini, dia tidak akan menjadi bayang-bayang yang menurut tanpa suara. Jika Luth mahu makan, dia akan memasak dengan caranya sendiri, bukan kerana disuruh, bukan kerana diperintah.
Apabila pintu rumah sewa kecil itu dibuka, Nadira terpaku.
Luth sedang duduk di sofa tunggal yang sempit, tubuhnya yang tinggi dan tegap jelas kelihatan janggal di ruang kecil itu. Kepalanya disandarkan ke belakang sofa, kaki panjangnya dilipat santai, seolah-olah dia berada di ruang tamu vila mewah, bukan di rumah sewa yang sederhana.
Wajahnya pucat, rautnya tenang dan dingin.
Jika bukan kerana warna kulitnya yang sedikit pucat dan kesunyian yang menyelubungi dirinya, sukar untuk meneka bahawa lelaki itu baru sahaja mengalami kecederaan akibat ditembak.
Betapa Luth kelihatan aneh dan tidak sesuai untuk berada di rumah bujangnya.
Seorang pewaris keluarga besar, dibesarkan dalam kemewahan. Walau sikapnya dingin dan sukar dibaca, aura keanggunan itu tetap melekat tanpa perlu dipamerkan.
Nadira meletakkan plastik berisi barang dapur di sisi, lalu membongkok untuk menanggalkan kasut.
Belum sempat dia berdiri tegak, satu kehadiran mendekat secara tiba-tiba.
Bau pahit ubat dan aroma maskulin menyerbu deria.
Nadira mendongak pantas.
Emir sudah berdiri di hadapannya, memandang ke bawah ke arah barang-barang yang dibelinya.
“Mana makanan yang aku suruh kau bungkus?” soal Emir, keningnya terangkat sedikit.
Nadira mengangkat plastik itu, suaranya rata. “Saya ni orang susah Encik Luth. Mana mampu nak beli makanan siap. Mahal. Kalau saya guna duit saya untyuk beli makanan kat restoran mewah awak tu, alamatnya saya kena ikat perut sampai hujung bulan.” Jawab Nadira selamba dengan jelingan mata yang tajam ke arah Luth.
Emir menjengilkan matanya seakan tidak percaya dengan kata-kata Nadira. Baru sahaja dia hendak melampiaskan amarahnya, seraya itu juga dia terpandang pakaian yang dipakai oleh Nadira.
Baju-T lusuh yang terlalu besar itu tergantung longgar di tubuhnya, seluar kelabu yang dipakai sudah pudar dan tidak lagi rapi. Kasut Vans di kakinya koyak di bahagian hadapan, seperti barang yang dipakai selagi masih boleh berfungsi.
Emir menilai tanpa perubahan riak. Isterinya kelihatan lebih teruk daripada jangkaannya. Tidak terurus, tidak berusaha, dan jelas tidak seperti anak orang berada.
Namun Nadira tidak peduli apapun pandangan lelaki di hadapannya itu. Dia membawa barang-barang itu ke dapur kecil yang dipisahkan hanya dengan dinding nipis.
Hampir sejam kemudian, dia menghidangkan beberapa lauk ringkas, sayur tumis dan ikan rebus.
Emir meletakkan telefon bimbitnya ke tepi dan memandang hidangan itu.
Ringkas. Bersih. Tidak berlebihan.
Sesuai untuk orang sakit.
Nadira meletakkan pinggan di hadapannya tanpa berkata apa-apa, lalu duduk bertentangan. Dia makan perlahan, enggan membuat sebarang perbualan hatta perbualan kosong. Dia mahu menganggap hanya dia seorang sahaja di rumah itu dan lebih baik jika Luth juga menganggapnya halimunan.
Emir menyuap beberapa suapan sebelum pergerakannya terhenti.
Wajahnya berubah.
Kelam.
Nadira menggenggam sudu sedikit kuat.
‘Dah kenapa pula mamat ni tiba-tiba mellow? Dia membatu termenung jauh pula. Tak selesa aku nak makan. Ada masalah ke makanan aku?’
Emir meletakkan sudu, bangun tanpa sepatah kata, lalu melangkah keluar. Langkahnya stabil, terlalu stabil bagi seseorang yang kononnya masih cedera.
Nadira terpinga-pinga. Tangannya terhenti di udara, tetapi dia tidak mengejar.
Di balkoni kecil itu, Emir menyeluk poket, mengeluarkan sebungkus rokok, sebelum menyedari ia kosong.
Dia ketawa kecil tanpa humor.
Rasa yang masih melekat di lidahnya tadi ringkas, juadah biasa tapi cukup mengingatkannya pada seseorang.
Ibunya.
Wanita yang penuh lembut dan berwibawa, seorang yang berada dan terkenal tetapi gemar memasak sendiri walaupun dikelilingi pembantu. Sup ikan buatan ibunya juga lebih kurang dengan masakan Nadira, ringkas dan biasa.
Dan akhirnya…
Fikirannya melayang ke ruang bawah tanah yang lembap dan kotor.
Emir menggenggam penumbuknya dan menghentam dinding.
Bang!
Bunyi itu cukup kuat hingga membuatkan Nadira tersentak di dalam rumah.
Dia serta merta berlari panik, seakan trauma pada kejadian Luth ditembak tempoh hari datang lagi. Jantungnya bagai mahu jatuh..
Nadira membuka pintu dan melangkah keluar.
“Awak… kenapa?” soalnya perlahan. “Apa yang jadi?”
ns216.73.217.22da2


