Nadira Sofea memaku pandangan pada susuk tubuh yang membelakanginya itu. Tubuh tegap Emir seolah-olah diselubungi aura kelam yang sangat berat, sejenis kegelapan yang belum pernah Nadira saksikan sebelum ini. Apabila Emir berpaling sedikit, mata Nadira membulat.
Darah.
Warna merah pekat itu mula merembas di celah buku jari lelaki itu, kesan daripada tumbukan padu pada dinding batu tadi.
“Awak…” Suara Nadira mati di kerongkong.
Dia tidak tahu hantu apa yang sedang mengejar lelaki ini. Dia pasti tiada apa yang aneh dalam masakannya tadi, namun reaksi Emir seolah-olah baru sahaja menelan racun memori yang paling pahit. Lelaki itu kelihatan seperti sedang cuba melarikan diri daripada jasadnya sendiri.
Emir tidak menjawab. Dia hanya memalingkan wajah, mahu mengatur langkah pergi tanpa sebarang penjelasan. Namun, deringan telefon bimbit yang nyaring mematikan niatnya.
Emir melirik skrin. ‘Private Number’. Namun, dia sudah kenal siapa pemanggil misteri itu. Tanpa ragu, dia menekan butang tamat. Senyap.
Nadira masih kaku di ambang pintu balkoni, dadanya turun naik tidak sekata. Dia tersepit antara mahu bertanya atau berpura-pura menjadi halimunan. Keadaan Emir ketika ini terlalu dingin, seakan-akan stres yang ditanggungnya sudah mencapai tahap kritikal.
Baru setapak Emir melangkah, telefon itu berpekik lagi. Kali ini, nama yang tertera di skrin membuatkan rahang Emir semakin mengetat.
Villa Adara.
Panggilan telefon dari rumahnya.
Emir mengangkat wajah, memandang tepat ke arah Nadira dengan renungan yang membuatkan jantung wanita itu mengecut.
“Masuk,” arah Emir ringkas. Nada suaranya rendah, ditekan dengan sisa emosi yang masih berbaki.
Nadira menelan liur. Tanpa membantah, dia berundur masuk ke dalam rumah. Tangannya memegang daun pintu yang separuh terbuka. Ada satu detik kecil di mana dia terfikir untuk menutup terus pintu itu dan mengunci Emir di luar.
Namun, dia tidak berani. Otaknya mula melakar senario buruk. Bagaimana jika lelaki ini tiba-tiba mahu membunuh diri? Terjun dari balkoni? Naya jadinya jika rumah sewa yang selama ini tenang tiba-tiba diserbu polis dan wartawan hanya kerana seorang lelaki terjun bangunan. Dia sudah dapat membayangkan betapa huru-haranya hidupnya nanti.
‘Cukuplah mamat seorang ni datang ganggu keamanan aku, janganlah pula dia pilih nak mati kat sini,’ dengus hati kecil Nadira.
Di luar, Emir langsung tidak mempedulikan kegusaran wanita itu. Dia menjawab panggilan tersebut dengan nada yang sangat tajam.
“Apa lagi yang dia nak?” soal Emir, terus ke sasaran.
Suara Bang Zul di hujung talian kedengaran ringkas dan profesional, namun ada nada berhati-hati di situ. “Dia nak tuan bawa isteri tuan pulang makan malam. Malam ini.”
Emir melepaskan tawa kecil, sebuah tawa sinis yang kosong tanpa sebarang humor.
“Hah.” Suaranya kedengaran begitu benci. “Lepas ni, tak payah sampaikan pesannan dia kat aku.”
Bang Zul terdiam seketika sebelum membalas, “Baik, Tuan. Lagipun, dia tak pernah bayar gaji saya pun.”
Emir terus memutuskan talian. Dia berdiri diam di balkoni, memandang langit malam yang gelap sebelum kembali masuk ke dalam rumah. Matanya bertemu semula dengan mata Nadira yang penuh dengan tanda tanya.
Apabila Emir menoleh semula, dia mendapati Nadira masih membatu di situ. Tangan wanita itu masih melekat pada daun pintu, manakala raut wajahnya terpeta seribu keraguan yang cuba disembunyikan.
“Kau curi-curi dengar perbualan aku ke?” soal Emir. Nadanya mendatar, namun cukup tajam untuk menghiris kesunyian antara mereka.
Nadira menggeleng pantas, seolah-olah kepalanya dipasang spring. “Eh, mana ada! Tak. Saya tak dengar apa-apa pun!”
Hakikatnya, dia memang tidak berani mencampuri urusan lelaki itu. Melihat emosi Emir yang tidak stabil sebentar tadi sudah cukup untuk membuatkan Nadira mahu menjauhkan diri sejauh mungkin.
“Habis tu,” Emir melangkah setapak ke hadapan. Tubuhnya yang tinggi lampai terasa mengancam dalam ruang yang sempit itu. “Kenapa masih berdiri tercegat di sini?”
Nada suaranya menurun, menjadi kabur dan sarat dengan helah yang sukar dibaca. “Atau... awak dah buat keputusan nak lepaskan ‘sepupu aku’, dan ikut aku pula?”
Ayat itu persis sebilah pisau yang dilontar tepat ke arah jantung tanpa sebarang amaran. Nadira tidak membalas. Dia memilih untuk tidak memberi sebarang reaksi. Dengan pantas, dia berpaling dan menutup pintu bilik dengan tegas.
Klik.
Bunyi kunci itu jelas dan muktamad. Emir hanya memandang daun pintu yang tertutup rapat itu tanpa sebarang perubahan riak. Tiada amarah, tiada juga rasa kecewa. Hanya satu keputusan sunyi yang kini terpahat di dalam kepalanya.
Dia akan menetap di situ untuk beberapa hari lagi. Tempoh itu dirasakan cukup untuk dia memastikan sama ada individu yang dijejakinya benar-benar bersembunyi di sekitar kawasan tersebut. Jika bayang itu tidak muncul, tiada lagi alasan untuk dia terus berada di sisi Nadira.
Isteri baharunya itu ternyata tidak sebodoh yang digambarkan dalam laporan awal. Nadira tahu menjaga diri, bijak membaca keadaan, dan yang paling penting, hatinya tidak busuk. Setakat ini, kehadiran wanita itu langsung tidak mengganggu rancangannya. Maka, buat sementara waktu, dia akan membiarkan Nadira menjalani hidup dengan caranya sendiri, selagi wanita itu tidak melampaui batas yang ditetapkan.
*****
Di pintu masuk lorong yang tidak jauh dari rumah Nadira, sebuah kereta hitam sudah sedia menanti. Bang Zul berdiri tegak di sisi kenderaan, sesekali memerhati jam tangan sebelum mengangkat kepala sebaik melihat kelibat Emir mendekat.
“Tuan,” sapa Bang Zul, nada risaunya cuba disembunyikan sebaik mungkin. “Macam mana keadaan Tuan. Sihat tak? Ada sakit mana-mana tak? Tuan nak saya bawa ke hospital?”
“Tak apa,” potong Emir pantas, menepis tangan Bang Zul yang cuba menyokong tubuhnya. “Aku masih boleh berjalan.”
Bang Zul segera membuka pintu kereta. Emir meloloskan diri ke dalam dan menyandarkan kepala ke belakang kerusi sambil memejam mata seketika.
“Bang Zul,” suara Emir kedengaran datar. “Dia ada call kau sejak dua hari ni?”
Bang Zul tahu siapa yang dimaksudkan. Dia mengangguk perlahan. “Tengku Ilhan kata nombor bos disekat. Jadi dia tukar nombor lain dan cuba call tuan, tapi tuan tak jawab. Itu yang call saya.”
“Hmm.” Emir tidak sedikit pun terkejut.
“Masa dia call tadi,” sambung Bang Zul lagi, “dia kata kalau tuan tak bawa isteri tuan balik makan malam, dia sendiri akan datang jumpa isteri tuan.”
Bang Zul menunggu reaksi daripada tuannya. Lama. Suasana di dalam kereta itu sepi seketika sebelum suara Emir memecah sunyi, tenang, dingin, dan kosong daripada sebarang emosi.
“Ah. Biarlah. Buatlah apa dia nak buat.”
Bang Zul menoleh, sedikit terkejut namun dia tidak berani untuk membantah.
Malam semakin larut apabila Nadira kembali ke dapur untuk membasuh pinggan. Fikirannya masih berselubung dengan kejadian petang tadi. Bayangan darah di tangan Emir, dentuman kuat pada dinding, dan perubahan drastik suara lelaki itu terus menghantuinya.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering nyaring. Tertera tulisan ‘Private Number’ pada skrin. Panggilan itu terus berdering tanpa henti, seolah-olah si pemanggil sangat terdesak. Nadira mengelap tangannya yang basah sebelum mengangkat panggilan tersebut.
“Hello,” katanya perlahan. “Siapa ni?”
Hening untuk beberapa saat. Kemudian, satu suara lelaki yang kedengaran matang dan sarat dengan wibawa menyapa hujung talian.
“Hello, saya Tengku Ilhan,” katanya. “Ayah Emir.”
Nadira tergamam. Lidahnya seakan terkunci rapat. Degupan jantungnya kini bergendang hebat, seolah-olah mahu melompat keluar dari dada. Tanpa dia sedari, satu lagi pintu dalam hidupnya baru sahaja terbuka, membawa bersamanya badai yang jauh lebih besar daripada apa yang mampu dia bayangkan.
Barangkali, inilah permulaan kepada satu takdir yang tidak lagi mampu dia elakkan.
ns216.73.217.22da2


