Ayah Emir Ilhan?
Nama itu bergema dalam fikiran Nadira Sofea buat beberapa ketika. Tengku Ilhan. Sosok itu bukan sekadar nama biasa, dia adalah sebuah legenda hidup di kota elit. Seorang lelaki masyhur yang pengaruhnya merentasi sempadan perniagaan, namun kisahnya lebih banyak mewarnai ruang gosip kelas atasan. Ketika mudanya, Ilhan adalah buruan wanita, seorang playboy legenda yang wajahnya sering dikaitkan dengan barisan permaisuri kecantikan.
Nadira tersedar daripada lamunannya apabila menyedari talian masih terbuka.
“H-Helo, Tengku Ilhan,” jawabnya akhirnya. Nada suaranya kedengaran janggal di telinga sendiri. Mana mungkin dia mampu memanggil lelaki sehebat itu dengan panggilan ‘Ayah’ pada perkenalan pertama ini?
“Malam ni awak free tak? Saya ingat nak ajak untuk makan malam sama-sama.” Suara Ilhan kedengaran tenang dan dalam. Ia tidak kedengaran mendesak, namun nadanya langsung tidak memberi ruang untuk sebarang penolakan.
Itu bukan sebuah permintaan. Ia adalah satu perintah yang dibalut kemas dengan kata-kata penuh kesopanan. Nadira mengerti hal itu serta-merta. Walaupun ajakan itu kedengaran mesra dan hangat, dia tahu dia tidak mempunyai pilihan.
“Saya free malam ni. Boleh, boleh Tengku,” jawab Nadira perlahan. Dia merendahkan diri tanpa sedar. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menolak, namun seolah-olah sudah ada template di dalam dirinya yang sukar untuk berkata ‘tidak’ kepada sesiapa, mungkin kesan didikan ibu bapanya yang mahukan dia sentiasa menurut kata.
“Bagus. Saya akan suruh pemandu jemput awak. Kita jumpa malam ni.”
Panggilan itu berakhir sebaik sahaja ayat terakhir dilontarkan. Ringkas, tepat, dan muktamad, nada yang sama seperti Emir. Nadira memandang telefon di tangannya lama.
Jantungnya berdegup tidak sekata. Jika pemandu dihantar untuk menjemputnya, destinasi mereka sudah pasti ke Vila Andara.
Tanpa membuang masa, Nadira segera bersiap. Dia tidak mahu membuatkan orang berprofil tinggi seperti Tengku Ilhan menunggu.
Vila Andara berdiri megah dan sunyi di lereng bukit, terasing daripada hiruk-piruk kejiranan biasa. Bangunan putih itu tampak kontras dengan kehijauan alam di sekelilingnya, terlalu bersih, terlalu dingin.
Nadira melangkah masuk ke bilik kecilnya. Dia tidak berhias berlebihan, sekadar membasuh wajah, menyikat rambutnya yang hitam lebat, lalu menyarung sebuah gaun ringkas berwarna lembut. Gaun itu sudah berusia hampir enam tahun, jarang sekali dipakai dan pastinya bukan fesyen terkini, namun ia cukup sopan agar dia tidak kelihatan selekeh di mata bapa mertuanya.
Di hadapan cermin, dia menatap pantulan dirinya. Wajahnya tampak pucat, matanya sedikit letih, namun ada ketenangan yang cuba dipaksakan. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melangkah keluar.
Di luar, malam semakin menebal. Udara dingin menyapa kulit, membuatkan tubuh kecilnya menggigil halus. Nadira berdiri di hadapan pagar, tangan digenggam kemas seolah-olah cuba meredakan debaran jantung yang kian memacu laju.
Cuaca malam itu dingin, namun Nadira terasa lebih pucat daripada biasa. Dia merasakan seolah-olah ada sesuatu yang sedang menantinya di sebalik pertemuan ini.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta hitam mewah meluncur tenang dan berhenti tepat di hadapannya.
Pintu pemandu dibuka, dan seorang lelaki pertengahan usia dengan raut wajah yang lembut melangkah turun. Sebaik sahaja pandangannya jatuh pada susuk Nadira, terselit sekelumit kejutan di sebalik matanya, mungkin tidak menyangka menantu keluarga Ilhan hanya berpakaian seringkas itu, namun riak tersebut segera disembunyikan di sebalik senyuman profesional.
Lelaki itu menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. \"Puan,\" sapaan itu kedengaran sangat sopan. \"Saya Pak Nik. Tengku Ilhan meminta saya menjemput puan untuk makan malam.\"
\"Oh... baik,\" balas Nadira dengan senyuman kecil yang kelihatan janggal, malah hampir kosong.
Pak Nik sedikit tersentak melihat senyuman itu, namun dia tetap tertib menjalankan tugasnya. Pintu kereta dibuka luas. \"Silakan, puan.\"
Kereta itu mula bergerak meninggalkan perkarangan Vila Andara. Namun, tanpa Nadira sedari, di tingkat dua vila tersebut, langsir tingkap diselak sedikit. Bang Zul berdiri di sisi Emir Ilhan, memerhati ekor lampu kereta yang semakin menjauh ditelan kegelapan malam.
“Tuan,” soal Bang Zul perlahan, nada suaranya sarat dengan kerisauan. “Betul ke tuan nak biarkan isteri tuan jumpa dengan Tengku Ilhan dalam keadaan macam ni?”
Emir menyarungkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar sutnya. Pandangannya gelap dan sukar dibaca. “Kau ingat aku ada pilihan lain?” balas Emir dingin. “Cepat atau lambat, dia tetap akan berhadapan dengan ayah aku.”
“Tapi, tuan, puan nampak… kesian.”
“Itu memang kemahiran dia,” jawab Emir tanpa sebarang emosi. “Lagipun, apa sangatlah yang ayah aku boleh buat kat perempuan macam dia?”
Bang Zul terdiam, tidak berani menyanggah. Emir kemudian berpaling dan melangkah pergi tanpa menoleh lagi, seolah-olah nasib Nadira malam itu bukan lagi urusannya.
Restoran yang dipilih terletak di kawasan yang sangat eksklusif, terselindung daripada hiruk-piruk kota. Lampu kuning keemasan yang malap menerangi laluan masuk, mewujudkan suasana yang sangat tenang dan tertib.
Pak Nik membawa Nadira menuju ke sebuah bilik peribadi. Di hadapan pintu kayu yang berat itu, dia berhenti dan memberikan isyarat jemputan. “Tengku Tengku Ilhan sedang menunggu di dalam.”
“Terima kasih, Pak Nik,” kata Nadira perlahan.
Pak Nik memerhati langkah Nadira yang masuk ke dalam sebelum dia menutup pintu itu semula. Dia menghela nafas kecil sambil menggeleng kepala, seolah-olah ada sesuatu yang berat sedang difikirkannya namun sukar untuk diluahkan.
Di dalam bilik itu, seorang lelaki pertengahan usia sedang tenang meneliti menu. Aura yang terpancar daripada lelaki itu tidaklah keras, namun sangat menenangkan, jenis ketenangan yang hanya dimiliki oleh seseorang yang sudah lama berada di puncak kuasa dan tidak lagi perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Apabila mendengar bunyi langkah kaki, lelaki itu meletakkan menu dan mengangkat wajah. Nadira terpaku seketika. Dia menjangkakan wajah yang tegang atau pandangan yang menghina, namun yang diterimanya hanyalah sepasang renungan yang sangat tenang.
“Nadira Sofea?” tanya lelaki itu bersama senyuman nipis.
“Y-Ya,” jawab Nadira ringkas.
“Silakan duduk.” Nada suaranya lembut, namun berautoriti.
Nadira duduk dengan penuh berhati-hati, menjaga setiap gerak-gerinya.
“Akhirnya kita jumpa juga,” katanya memulakan bicara. “Terima kasih sebab sudi datang, walaupun saya jemput dalam masa yang singkat.”
“Tak apa, Tengku,” jawab Nadira jujur. “Lagipun, saya memang tak ada buat apa-apa tadi.”
Ilhan tersenyum kecil. “Jawapan yang jujur.” Dia memandang Nadira lama, bukan seperti seorang lelaki memandang menantu, tetapi lebih kepada seorang ahli perniagaan yang sedang menilai aset yang belum dikenal pasti nilainya.
“Awak tahu kenapa saya panggil awak, kan?”
Nadira menggeleng perlahan, jujur dengan ketidaktahuannya.
“Sebab Emir,” sambung Tengku Ilhan. “Dan sebab awak juga adalah sebahagian daripada keluarga ini.”
Ayat itu membuatkan Nadira menggenggam jari-jemarinya di bawah meja. Rasa gementar mula menjalar.
“Saya tak pandai nak berbunga-bunga bahasa ni,” ujar Tengku Ilhan tenang. “Jadi saya akan berterus terang. Sebenarnya, saya langsung tak rancang pun untuk Emir kahwin dengan awak.”
Nadira terdiam, hanya menjadi pendengar setia.
“Tapi, benda dah jadi,” sambung lelaki itu lagi. “Nak tak nak, saya kena pastikan yang perkara ni memberi manfaat kepada keluarga saya.”
‘Manfaat.’
Perkataan itu seakan-akan satu beban besar yang menghempap telinga Nadira. Dia sedar, dalam dunia elit ini, tiada apa yang dilakukan tanpa tujuan, dan dia hanyalah sebahagian daripada catur yang sedang disusun.
ns216.73.217.22da2


