“Apa yang Tengku nak dari saya?” soalnya perlahan, cuba mencari keberanian di sebalik debar yang kian menggila.
Tengku Ilhan menyandarkan tubuh ke belakang kerusi, membiarkan udara sunyi seketika sebelum membalas.
“Buat masa ni, saya cuma nak kenal-kenal je sebenarnya.” Senyuman nipis itu muncul lagi, namun kali ini ia terasa lebih bermakna. “But, trust me,” tambahnya perlahan, “your life right now, will be different than the one you had before.”
Nadira menelan liur. Satu hakikat mula menerpa benaknya, pertemuan ini bukan sekadar sebuah jamuan makan malam. Ia adalah upacara pembukaan bagi sebuah permainan yang jauh lebih besar dan kompleks. Mahu atau tidak, dia tidak punya pilihan selain terus melangkah ke hadapan.
Tengku Ilhan mengangguk perlahan. “Tak payahlah nak rasa kekok,” katanya tenang. “Awak dah berkahwin dengan anak saya. Awak secara rasmi adalah sebahagian daripada keluarga ini. Maksudnya sekarang, awak ni adalah anak perempuan saya.”
Sambil berkata begitu, Tengku Ilhan mencapai teko di sisi dan menuangkan segelas air untuk Nadira. Gerakannya tenang dan teratur, menterjemahkan sebuah layanan yang tulus.
Nadira memandang perbuatan itu dengan mata yang terbuka luas. Ingatannya melayang ke rumah keluarganya sendiri, tempat di mana ibunya jarang sekali memandang wajahnya seperti sekarang, apatah lagi melayaninya sebegitu rupa. Kasih sayang ibunya sentiasa tumpah kepada adik-beradik tirinya, meninggalkan Nadira dalam kedinginan.
Nada lembut seperti ini, layanan yang tidak dingin dan tidak juga palsu, adalah sesuatu yang asing buat Nadira. Untuk sesaat, dia terasa janggal, namun ada rasa sebak yang mula menghimpit dada. Dia menerima gelas itu dengan kedua-dua belah tangannya.
“Terima kasih.”
“Awak boleh panggil saya ayah, sama macam Emir. Kalau tak selesa, boleh je panggik abah ke, daddy ke, yang mana awak rasa sesuai,” ujar Tengku Ilhan sambil merenungnya lurus.
Nadira terkedu. Perkataan itu seolah-olah terlekat di hujung lidahnya. Panggilan yang tidak pernah benar-benar wujud secara bermakna dalam hidupnya.
“Baik... ayah,” panggilnya perlahan, hampir tidak bersuara.
Tengku Ilhan tersenyum kecil. Namun di sebalik senyuman itu, terselit satu riak yang sukar ditafsirkan, bukan kegembiraan, tetapi seakan satu kelegaan yang sudah lama terpendam.
“Saya minta maaf,” katanya kemudian, nada suaranya sedikit merendah. “Kamu dan Emir dah kahwin, tetapi tidak ada majlis yang sepatutnya. Sepatutnya kita makan malam sama-sama di rumah lama malam ni.”
Tengku Ilhan berhenti seketika sebelum menyambung kembali bicaranya.
“Tapi Emir... dia tak nak balik rumah tu, sejak kejadian melibatkan ibu dia. Hati dia betul-betul tertutup untuk balik rumah lama tu. Sebab tu saya harap, awak boleh buka hati dia semula, perlahan-lahan. Tapi bukan paksa dia, dia tak suka orang paksa. Maksud saya… buatkan dia berani untuk melangkah pulang ke rumah tu.”
Nadira hanya mendengar dalam diam. Keluarga Ilhan bukan sembarangan, mereka adalah bangsawan yang berakar umbi sejak ratusan tahun dengan tradisi tiga generasi di bawah satu bumbung. Rumah lama mereka khabarnya tidak ternilai harganya.
Tentang ibu Emir pula, Nadira hanya tahu melalui khabar angin. Lebih sedekad yang lalu, satu kes penculikan menggemparkan negara apabila Emir dan ibunya diculik bersama. Hanya Emir yang berjaya diselamatkan, manakala nasib ibunya kekal menjadi misteri yang dibisikkan dalam pelbagai versi yang menyakitkan hati.
Nadira menunduk seketika. Baginya, permintaan Tengku Ilhan agak berat. Lebih berat lagi apabila dia sendiri pun belum pernah berjumpa dengan Emir. Bagiamana dia mahu membantu?
Tengku Ilhan terdiam sejenak melihat tingkah Nadira. Perubahan halus pada wajah perempuan itu tidak terlepas daripada pandangan matanya. Oleh itu, TengkuI lhan tidak menyambung topik tersebut. Sebaliknya, dia mula bertanya tentang kehidupan seharian Nadira, rutinnya, tempat tinggalnya, dan perkara-perkara kecil yang nampak tidak penting namun ditanya dengan penuh perhatian.
Nadira menjawab semuanya dengan jujur. Biarpun kedengaran polos, namun kejujurannya itu lahir daripada hati yang tidak pandai bersandiwara.
Apabila makan malam berakhir, Tengku Ilhan bangun dan memanggil pemandunya.
“Pak Nik, hantar Nadira pulang ke Vila Andara.”
“Baik, tuan,” jawab Pak Nik dengan penuh tertib.
*****
Kenderaan mewah itu berhenti dengan tenang di hadapan pagar vila. Pak Nik tidak terus berlalu, dia kekal menanti di situ bagi memastikan Nadira benar-benar melangkah masuk ke dalam rumah dengan selamat.
Baru beberapa langkah kaki diatur, fikiran Nadira mula berputar ligat. Sepanjang majlis makan malam tadi, dia merasakan seolah-olah Tengku Ilhan sedang menguji sesuatu. Namun, bukan dirinya yang menjadi subjek ujian tersebut, sebaliknya Emir. Hubungan antara ayah dan anak itu jelas sekali tidak harmoni. Kata-kata Ilhan tentang luka lama Emir membuatkan Nadira tertanya-tanya, adakah tragedi penculikan itu yang telah memutuskan ikatan darah mereka?
“Puan.”
Nadira tersentak daripada lamunan. Seorang pengawal keselamatan sudah berdiri tidak jauh daripadanya. Wajah lelaki itu tidak asing lagi bagi Nadira, dialah yang menjemputnya dari rumah Tengku Maria tempoh hari.
“Tuan Muda nak berjumpa puan,” ujar lelaki itu dengan nada mendatar, tanpa sebarang riak.
Nadira mengerutkan dahi, sedikit keliru. “Tuan Muda?”
“Ya. Tuan Emir sedang menunggu di bilik kerja.”
Untuk beberapa saat, Nadira menyangka pendengarannya sedang memperdayakannya. Emir? Dia terdiam hampir tiga saat sebelum akhirnya mampu memberi jawapan.
“Baik.”
Jantungnya mula berdegup kencang. Akhirnya, setelah sekian lama menjadi ‘isteri celup’, Emir mahu bertemu dengannya secara rasmi.
Bilik kerja itu terletak di hujung koridor yang sunyi. Pintu kayunya yang berat tertutup rapat. Nadira berdiri kaku di hadapan pintu tersebut, menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum mengetuk perlahan.
“Tuan Muda, Puan dah sampai.”
“Masuk.”
Suara Emir kedengaran rendah, tenang, namun sarat dengan misteri yang sukar dibaca. Pengawal peribadi itu membuka pintu lalu mempersilakan Nadira melangkah masuk ke dalam ruang yang berbau aroma kayu dan maskulin itu.
Hanya pada ketika itulah Nadira menyedari kehadiran seorang lelaki di dalam bilik tersebut. Di sebalik meja besar yang tersusun kemas, sebuah kerusi kulit berwarna gelap menghadap ke arah tingkap, membelakangi pintu masuk. Di situ, seorang lelaki sedang duduk tenang. Dari sudut pandang Nadira, dia hanya mampu melihat bahagian belakang kepala yang sedikit terjulur melepasi sandaran kerusi serta sebelah lengan yang diletakkan santai di atas pemegang kerusi tersebut.
Walaupun hanya itu yang kelihatan, aura yang terpancar daripada lelaki itu sudah cukup untuk mendominasi ruang. Tinggi, tegap, dan entah mengapa, terasa begitu berat sekali tekanannya. Nadira menghentikan langkah. Jantungnya berdetak liar. ‘Itu... Emir?’
Lelaki itu tidak menoleh, malah tidak bergerak sedikit pun. Seolah-olah dia sudah sedia maklum akan kehadiran Nadira sejak awal lagi, namun sengaja membiarkan suasana itu tergantung sepi.
“Awak sudah jumpa dengan Tengku Ilhan?”
Nada suara itu cukup tenang. Nadira terdiam seketika sebelum menyedari bahawa soalan itu memang ditujukan khas kepadanya. Walaupun dia sudah mengetahui daripada Tengku Ilhan bahawa hubungan antara bapa dan anak itu dingin, cara Emir menyebut nama bapanya sendiri tanpa sebarang gelaran kehormat tetap menggetarkan tangkai hatinya.
“Ya... saya dah jumpa dia,” jawab Nadira perlahan.
Dia sendiri tidak pasti mengapa debarannya kian memuncak saat memberikan jawapan. Ada sesuatu pada cara Emir bertanya, seakan-akan lelaki itu tidak benar-benar mahu mendengar jawapan, sebaliknya hanya ingin memastikan jurang antara mereka kekal seperti sediakala. Nadira dapat merasakan dengan jelas bahawa Emir tidak berniat untuk menunjukkan sisi sebenar dirinya. Dia seolah-olah sedang berlindung di balik satu dinding kebal yang tidak membenarkan sesiapa pun menceroboh masuk untuk melihat wajahnya.
“Apa yang dia cakap?” Suara Emir kedengaran mendatar, tetapi terlalu tenang untuk sebuah soalan yang kedengaran biasa.
Nadira terdiam seketika, ligat memilih susunan kata. “Kami... cuma bual sikit je,” jawabnya perlahan. “Pasal urusan kerja awak.”
Dia berhenti sejenak, kemudian menyambung dengan nada yang lebih halus, hampir menyerupai bisikan. “Rasanya… dia risaukan awak.”
Kata-kata itu tergantung di udara bilik yang sunyi itu. Nadira sendiri tidak pasti sama ada apa yang dikatakan Ilhan itu lahir daripada keikhlasan atau sekadar lapisan yang menyembunyikan niat lain. Namun satu perkara yang pasti, lelaki itu masih mengambil berat tentang anaknya dengan caranya yang tersendiri.
Tanpa sedar, satu rasa halus menyelinap masuk ke dalam dadanya. Cemburu. Bukan kerana cinta, tetapi kerana Emir masih mempunyai seorang ayah yang peduli, meskipun hubungan mereka retak seribu. Berbeza dengan dirinya yang sentiasa dianggap tidak wujud.
Emir melepaskan tawa kecil. Bukan tawa yang menggambarkan kegembiraan, tetapi sebuah tawa yang dingin dan sinis.
“Risau?” ulangnya perlahan.
Kemudian dia mengangkat wajah, merenung ke hadapan tanpa menoleh ke arah Nadira, namun kata-katanya terasa seperti menusuk tepat ke arahnya. “Dengar-dengar, awak dengan Luth dah ‘rapat’.”
Nada itu kedengaran lembut, namun setiap patah perkataannya terasa seperti menikam. Seolah-olah ia adalah satu pertanyaan, atau mungkin sebuah tuduhan yang disembunyikan di balik ketenangan suaranya.
ns216.73.217.22da2


