Nadira tersentak kecil sebaik sahaja nama itu meniti bibir suaminya.
“Luth…”
Nada suaranya hampir tidak kedengaran. Dia segera menggeleng, seolah-olah mahu menepis bayangan lelaki misteri itu daripada terus menghuni ruang fikirannya.
“Saya cuma… terserempak dengan dia,” katanya perlahan, cuba menyusun pembelaan. “Itu je.”
Nadira sedar, dari sudut pandang Emir, segala tindak-tanduknya mudah sahaja disalah tafsir. Namun, ada satu desakan halus di dalam hatinya yang memaksa dia untuk menjelaskan keadaan, biarpun dia sendiri tidak pasti mengapa dia perlu berbuat demikian.
“Kami tak berbual lama pun. Sekejap je. Bual-bual kosong. Dia… cuma nak kenal saya.” tambahnya lagi.
Emir masih tetap berdiri membelakanginya, namun Nadira dapat merasakan perubahan suhu udara di sekeliling mereka. Suasana tiba-tiba menjadi tegang, seolah-olah ada arus elektrik yang sedang mengalir di antara mereka.
“Oh… macam tu ke?” Suara Emir kedengaran rendah, namun ada getaran yang tidak sepenuhnya tenang di sebalik nada tersebut.
Respon itu membuatkan Nadira tanpa sedar menggenggam hujung bajunya. Dia tahu lelaki itu sedang menahan sesuatu, entah cemburu, curiga, atau mungkin satu emosi yang jauh lebih rumit daripada itu.
“Ya,” jawab Nadira dengan suara yang lebih halus. “Saya tak tahu awak dengar semua ni dari mana, tapi saya dengan Luth langsung tak ‘rapat’ pun.”
Dia tidak menoleh, namun dia dapat membayangkan raut wajah Emir yang pasti sedang bergelut dengan rahsia sendiri. Beberapa saat berlalu dalam keheningan yang menyesakkan. Kemudian, suara Emir kembali memecah sunyi, kali ini nadanya jauh lebih dingin daripada tadi.
“Baik. Awak boleh keluar.”
Nada itu bukan amarah, bukan juga ketenangan. Ia terasa kosong, seolah-olah pintu komunikasi telah ditutup rapat. Nadira terpaku seketika.
Dia tetap berdiri tidak bergerak, seolah-olah sedang menanti sesuatu. Mungkin satu ayat penjelasan, atau mungkin sekadar isyarat bahawa kehadirannya masih diperlukan di situ. Namun, penantiannya sia-sia. Emir tetap membelakanginya dengan tubuh yang tegak dan bahu yang kaku. Seolah-olah kewujudan Nadira di dalam bilik itu tidak lagi membawa sebarang makna.
Nadira menelan air liur yang terasa pahit. “Kalau macam tu… saya pergi dulu.”
Tiada sebarang jawapan. Dia berpaling perlahan, mengatur langkah menuju ke pintu dengan hati yang terasa lebih berat daripada sebelumnya. Namun, saat hujung jarinya baru sahaja menyentuh tombol pintu, suara Emir kembali kedengaran.
“Nadira.”
Langkahnya terhenti serta-merta. “Ya?”
Emir berpaling buat pertama kali. Dia menatap Nadira dengan satu renungan yang sukar ditafsirkan. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang bergelut di kerongkongnya, mahu diluahkan namun tertahan.
Akhirnya, hanya satu pesanan yang keluar. “Jangan buat apa-apa yang buat orang salah faham.”
Nadira sekadar mengangguk kecil. “Baik.”
Walaupun dia tidak dapat melihat wajah Emir sepenuhnya dalam keremangan cahaya bilik kerja itu, Nadira dapat merasakan satu jarak yang amat jauh memisahkan mereka. Seolah-olah lelaki itu berdiri beribu batu daripadanya, biarpun secara fizikalnya mereka hanya berjarak beberapa langkah.
Sebahagian daripada perkahwinan ini berlaku kerana desakan dan paksaan Tengku Maria. Sebahagian lagi mungkin kerana kelemahan hatinya sendiri. Sejak melangkah masuk ke dalam keluarga Ilhan, tidak pernah terlintas di fikiran Nadira untuk melarikan diri. Baginya, sekali ikatan itu terjalin, maka itulah takdir yang harus dipikulnya sehingga ke penghujung, walau apa pun badai yang menanti. Pilihan untuk “berundur” tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.
Perlahan-lahan, Nadira menggigit bibirnya. Jari-jemarinya menggenggam hujung kain gaunnya, sebelum dia memberanikan diri untuk melangkah dua tapak ke hadapan. Lebih dekat. Cukup dekat untuk dia merasakan aura dingin yang menyelubungi suaminya.
“Emir…” suaranya hampir tenggelam dalam kesunyian bilik. “Boleh… boleh tak awak tengok saya?”
Hanya itu permintaannya. Permintaan yang kedengaran begitu kecil, namun sangat besar maknanya.
Saat kata-kata itu terlepas, udara di dalam bilik terasa berubah secara drastik. Seolah-olah ada sesuatu yang amat berat baru sahaja jatuh dan menekan ruang di antara mereka. Nadira menelan air liur, cuba mengumpul sisa kekuatan.
“Saya… saya tak maksudkan apa-apa,” katanya cepat, cuba menenangkan suasana yang kian tegang. “Saya cuma fikir yang kita dah kahwin. Cepat atau lambat, kita akan berhadapan juga. Saya tak kisah pun dengan keadaan awak.”
Dia berhenti sejenak, menarik nafas dalam sebelum menyambung dengan jujur.
“Walau apa pun kekurangan awak.”
Kata-kata itu jatuh satu persatu, tulus tanpa sebarang niat untuk melukai.
Namun, reaksi Emir langsung tidak seperti yang diharapkan.
Lelaki yang berdiri membelakanginya itu terdiam seketika, seolah-olah kata-kata Nadira baru sahaja menyentuh satu titik saraf yang tidak dijangka. Sudut bibirnya terangkat sedikit, bukan sebuah senyuman, tetapi satu lengkungan sinis yang menyakitkan.
“Masalahnya,” kata Emir perlahan, suaranya rendah dan berlapis sindiran tajam, “aku yang kisah kalau rupa kau hodoh, atau kalau perangai kau menjengkelkan.”
Nada itu tidak meninggi, tidak juga kasar, namun ia cukup berbisa untuk menikam tepat ke jantung. Seolah-olah kata-kata itu bukan sekadar satu penilaian rupa paras, tetapi satu cubaan untuk meranapkan terus harga diri Nadira sebagai seorang manusia.
Nadira terdiam. Matanya berkedip sekali dua. Secara refleks, dia membetulkan kedudukan cermin mata di batang hidungnya, sebuah gerakan kecil yang sering dilakukan apabila dia cuba menyembunyikan rasa malu yang amat sangat.
“Oh…” suaranya perlahan, hampir tidak kedengaran. “Baiklah.”
Tiada tangisan yang pecah. Tiada bantahan yang keluar. Nadira menerima hinaan itu dengan tenang, seolah-olah kata-kata keji itu memang sudah dijangka sejak awal lagi.
“Saya keluar dulu.”
Dia berpusing perlahan, melangkah pergi tanpa menoleh semula. Pintu bilik kerja itu tertutup dengan bunyi yang sangat lembut, namun impaknya cukup untuk meninggalkan kesan yang mendalam di dalam ruang tersebut.
Emir kekal berdiri di situ untuk satu tempoh yang lama. Matanya tertumpu pada daun pintu yang sudah tertutup rapat, manakala rahangnya mengeras.
“Aduh! Perempuan ‘naif’ ni betul-betul…. unpredictable!” gerutu Emir sendirian. Namun entah kenapa, kata-kata itu tidak kedengaran seperti satu ejekan. Ia lebih kepada sesuatu yang... mengganggu ketenangan fikirannya.
*****
Koridor vila itu terasa terlalu sunyi, seolah-olah setiap inci ruang tersebut sedang memerhatikan langkah Nadira. Jantungnya masih berdegup laju, bukan kerana takut, tetapi kerana satu rasa hiba yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Dia tidak tahu kenapa kata-kata Emir tadi terasa seperti satu amaran, dan pada masa yang sama, satu pengakuan yang tidak sempurna. Sampai di ruang tamu, Nadira melabuhkan punggung perlahan di sofa. Dia menyandarkan tubuhnya yang letih, memejam mata seketika cuba mencari sisa kekuatan.
Hatinya terasa berat. Walaupun Emir jelas-jelas menunjukkan rasa tidak suka, bagi Nadira, Emir masih punya \'ihsan\' kerana sudi bertemu dengannya tanpa memalukannya di hadapan orang lain. Bagi Nadira, itu sudah jauh lebih baik berbanding layanan keluarga sendiri yang langsung tidak peduli. Sekurang-kurangnya Emir tidak berpura-pura baik. Dia tidak mempermainkan emosi dengan kepalsuan.
Tiba-tiba, satu siulan pendek kedengaran dari arah belakang. Nadira tersentak lalu berpaling pantas. Di hadapannya, berdiri lelaki yang paling tidak mahu dia lihat saat itu.
Luth.
Lelaki itu melangkah santai, wajahnya tenang seolah-olah dia memang berhak berada di ruang itu sepenuhnya. Jantung Nadira berdegup kencang semula. ‘Kenapalah mamat ni ada kat sini lagi!?’ Rasa tidak selamat mula mencengkam dada.
Luth tersenyum kecil, senyuman yang terlalu bersahaja bagi situasi yang kian tegang ini.
“Where have you been, cousin-in-law?”
Nada suaranya ringan, tetapi matanya tajam memerhati setiap inci reaksi pada wajah Nadira.
“Apa awak buat kat sini?” tanya Nadira, segera bangkit berdiri untuk mencari jarak selamat.
Luth menyeluk poket seluarnya, melangkah setapak demi setapak menghampiri. “Eh, suka hati aku lah nak buat apa kat sini,” ujar Luth selamba. “Aku nak tinggal beberapa hari kat sini. Ada masalah?”
Jarak antara mereka kini terlalu dekat. Sudah tentu tiada masalah jika Luth berada di rumah Emir, kerana itu adalah rumah keluarganya juga. Namun masalah sebenar bagi Nadira adalah dirinya sendiri.
Dia sedar akan hakikat itu dengan tiba-tiba. Kehadiran Luth bukan sekadar mengganggu ruang, tetapi menggugat seluruh ketenangannya. Cara lelaki itu berdiri, cara matanya menilai seolah-olah sedang membaca setiap degupan jantung Nadira, semuanya membuatkan dada wanita itu terasa sesak. Dalam rumah mewah yang asing ini, dialah satu-satunya yang tidak punya tempat berpijak.
ns216.73.217.22da2


