Nadira tidak mampu lagi berpura-pura seolah-olah dunianya masih dalam keadaan tenang.
Kehadiran Luth di vila itu bukan sekadar satu kejutan, lelaki itu seolah-olah meracuni setiap ruang udara yang cuba Nadira sedut untuk kekal waras. Dia tidak bodoh. Dia tahu Luth bukan sekadar menumpang. Cara lelaki itu memandang, cara dia mendekat, dan setiap bait suaranya yang berlapis sinis adalah isyarat bahaya yang tidak boleh dipandang ringan.
Dan kini, Emir juga berada di bawah bumbung yang sama.
Nadira tidak berani membayangkan apa yang akan berlaku jika dua kutub yang berbeza itu bertembung dalam satu ruang. Dia segera menundukkan kepala, cuba menyusun langkah untuk melarikan diri.
“Tak… tak ada masalah,” katanya perlahan, suaranya hampir hilang. “Saya naik dulu. Buatlah macam rumah sendiri.”
Dia baru sahaja melangkah dua tapak apabila satu genggaman tiba-tiba mencengkam pergelangan tangannya. Tubuh Nadira menegang serta-merta, seolah-olah dipanah petir.
“Lepaskan.”
Suara itu datang dari arah belakang, terlalu hampir sehingga Nadira dapat merasakan deru nafas lelaki itu. Jemari Luth mencengkam sedikit kuat, manakala ibu jarinya menyentuh kulit halus Nadira dengan sengaja.
“Kenapa tergesa-gesa?” soal Luth perlahan, nadanya hampir berbisik di cuping telinga Nadira. “Aku belum makan. Kau tak rasa bersalah ke biarkan aku lapar?”
Nadira tersentak. Ingatannya kembali kepada luka tembakan di bahu lelaki itu tempoh hari. Peluru yang menembusi daging bukan hal kecil, namun cara Luth berdiri tegak saat ini terlalu santai untuk seseorang yang kononnya masih menanggung kesakitan.
Dia cuba merentap tangannya, tetapi genggaman itu semakin mengetat.
“Lepaskan saya,” tegas Nadira, biarpun suaranya jelas bergetar menahan gementar.
Luth tersenyum, sebuah senyuman yang membuatkan bulu roma Nadira meremang hebat. “Aku nak minta tolong kau untuk sediakan makanan je. Bukan nak buat apa pun.”
Nadira membeku. Dia hampir sahaja menolak lelaki itu menjauh dengan kasar, namun gerakannya mati apabila dia menangkap kelibat seseorang di hujung ruang tamu.
Bang Zul.
Wajahnya berubah pucat, jantungnya berdegup kencang dek rasa malu yang amat sangat. Dia segera menyentap tangannya dan berundur selangkah ke belakang, menjauhkan diri daripada Luth.
Luth hanya tersenyum nipis, langsung tidak menunjukkan riak terganggu biarpun perbuatan mereka disaksikan. “Cepatlah,” katanya selamba. “Aku lapar. Perut dah berkeroncong ni.”
Nada suaranya begitu ringan, seolah-olah adegan cengkam-mencengkam tadi hanyalah sebuah gurauan kecil.
Dari sisi, Bang Zul menyaksikan segalanya tanpa sepatah kata. Namun, sudut bibirnya bergerak halus, jelas sedang menahan sesuatu yang bergejolak di dalam hati. Dia menoleh ke arah Emir, berdiri tidak jauh dari situ dengan wajah dingin seperti biasa.
Emir mengangkat kening sedikit, memandang tajam ke arah Bang Zul. “Apa masalah kau?” soalnya pendek.
“Ta… tak ada apa-apa, bos,” balas Bang Zul pantas, namun jauh di sudut hatinya, dia dirundung rasa janggal yang luar biasa.
Apa yang dilakukan oleh majikannya langsung tidak mencerminkan prinsip seorang lelaki yang berwibawa. Begitu lapangnya masa Emir Ilhan sehingga sanggup menyamar menjadi ‘sepupu’, hanya untuk menyentuh dan mengusik isterinya sebegitu rupa?
“Bos aku ni, ada ransangan dengan hubungan terlarang ke?’ bisik hati kecil Bang Zul.
Fikiran itu segera ditepisnya jauh-jauh. Sepanjang bertahun-tahun dia berkhidmat untuk Emir Ilhan, tidak pernah sekali pun dia melihat lelaki itu memandang mana-mana wanita dengan pandangan yang begitu terus terang.
Sangat berbeza sehingga Bang Zul mula tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang sedang diperangkap dalam permainan ini?
Nadira tidak berani mengangkat wajah, apatah lagi mahu membalas renungan lelaki yang berada di ruang tamu itu. Dengan harapan kehadirannya tidak disedari atau sekurang-kurangnya adegan antara dia dan “Luth” sebentar tadi terlepas daripada pandangan, dia segera berpaling. Langkahnya diatur pantas menuju ke dapur, seolah-olah sedang melarikan diri daripada satu ancaman yang nyata.
Melihat kelibat wanita itu menghilang di sebalik dinding dapur, Emir terus melabuhkan punggung ke sofa dengan gaya yang cukup santai.
Di dapur, Nadira membuka pintu peti sejuk. Matanya tertancap pada deretan sayur-sayuran dan daging yang tersusun rapi, semuanya masih kelihatan segar. Setelah berfikir sejenak, dia mula mengeluarkan bahan-bahan tersebut satu persatu, niat di hati mahu memenuhi permintaan yang separuh memaksa tadi.
Namun, pergerakannya terhenti secara tiba-tiba apabila satu ingatan melintas di fikiran.
Luth pernah menyediakan sarapan pagi tempoh hari. Malah, masakannya tidak menghampakan. Itu bermakna lelaki itu memang tahu memasak dan punya kemahiran di dapur.
Kalau begitu, kenapa pula dia perlu bersusah payah membanting tulang untuk lelaki itu?
‘Hah. Dia fikir dia siapa?’
Bibir Nadira terjungki. Tanpa ragu, dia memasukkan semula semua bahan tadi ke dalam peti sejuk. Satu persatu disusun kembali ke tempat asal.
Dia melangkah keluar ke ruang tamu dan melirik sekilas ke arah “Luth” yang masih tekun menatap skrin telefon bimbitnya di sofa. Setelah memastikan keadaan sekeliling tenang dan lelaki itu tidak memberikan perhatian, Nadira terus mengatur langkah mendaki tangga ke tingkat atas dengan penuh berhati-hati.
Dalam hatinya, dia mula bermonolog. Semua ini berlaku kerana dia terlalu mudah beralah dan menonjolkan imej yang lemah. Disebabkan itulah, “Luth” begitu berani mengambil kesempatan dan mempermainkan perasaannya.
Jika benar “Luth” dibenarkan tinggal di vila ini, itu bermakna hubungan antara dia dan Emir sangat rapat. Dan jika mereka sedekat itu, mana mungkin seorang sepupu sanggup memfitnahnya dengan dakwaan menggoda hanya untuk menimbulkan permusuhan antara keluarga sendiri?
Semakin difikirkan, semakin Nadira yakin bahawa segala ugutan lelaki itu hanyalah gertakan kosong yang langsung tidak berasas.
Dengan perasaan yang sedikit lega, dia terus masuk ke dalam biliknya. Lagipun, dia sudah pun kenyang dengan hidangan makan malam tadi. Maka, lantaklah jika lelaki di bawah itu mahu kelaparan atau kebuluran sekalipun, itu bukan lagi masalah yang harus dia fikirkan.
Di tingkat bawah, Emir menunggu dengan penuh sabar. Namun setelah sekian lama, kelibat Nadira langsung tidak muncul-muncul bersama hidangan yang dipinta. Dia melirik ke arah dapur yang sunyi sepi tanpa sebarang bunyi dentingan kuali atau sudip.
Entah mengapa, satu firasat buruk mula menyelinap masuk ke dalam tangkai hatinya. Emir segera bangun dan melangkah pantas menuju ke dapur.
Kosong.
Tiada sesiapa di situ melainkan kesunyian.
“Boleh tahan licik juga perempuan ni!” dengus Emir, menahan geram yang mula memuncak.
*****
Sepanjang malam itu, Nadira Sofea dibuai perasaan puas yang sukar untuk digambarkan. Dalam benak fikirannya, dia membayangkan kejayaannya ‘mengatur’ keadaan, membiarkan Luth tenggelam dalam amarahnya sendiri sehingga lelaki itu tidak lagi mempunyai keinginan untuk mengganggunya.
Malam itu, dia tidur dengan sangat lena. Buat pertama kalinya sejak sekian lama, istirahatnya tidak diselangi dengan kegelisahan atau igauan buruk.
Namun, ketenangan itu hanyalah sebuah persinggahan sementara.
Keesokan paginya, deringan telefon bimbit yang nyaring memecah keheningan bilik. Nadira mengerang kecil, menyelak selimut lalu meraba-raba mencari peranti di sisi katil. Matanya masih kabur dan berpinar ketika cuba memfokuskan pandangan pada nama yang tertera di skrin.
Tsana.
Jantung Nadira berdegup sedikit laju. Dia segera menjawab panggilan tersebut. “Helo… Tsana?”
Nada suaranya kedengaran lembut, malah terselit sedikit kegembiraan. Sudah lama sahabat baiknya itu berada di luar negara untuk urusan penggambaran, hampir tiga bulan mereka tidak bersua muka. Namun, suara yang menyambut di hujung talian membuatkan Nadira terpaku serta-merta.
“Nadira Sofea! Apa yang kau dah buat, hah?!”
Nada Tsana kedengaran keras dan sarat dengan ancaman, hampir menjerit. Nadira tersentak lalu menjauhkan sedikit telefon daripada telinganya.
“Eh, kenapa ni? Aku baru bangun tidur, tau,” balas Nadira, cuba meredakan ketegangan.
“Baru bangun konon!” bentak Tsana lagi. “Kau tahu tak apa yang orang tengah cakap pasal kau sekarang?!”
Suara itu bergetar.
“Apa kau cakap ni?” soal Nadira perlahan. Jantungnya kini mula berdetak tidak menentu.
“Pergi buka Twitter sekarang. Se..ka…rang!” Perintah itu tidak memberi ruang untuk sebarang bantahan.
Jemari Nadira mula menggigil. Nafasnya terasa pendek dan sesak. “Apa maksud kau, Tsana?” bisiknya dengan suara yang hampir tenggelam.
Di hujung talian, suara Tsana kedengaran semakin tegang. “Baru je tiga bulan aku pergi oversea. Tapi kau kat situ dah jadi watak utama? ‘Isteri hodoh sanggup buat apa sahaja untuk kahwin orang kaya?’ Pergh!”
Air mata mula bergenang di kelopak mata Nadira. “Apa ni,” suaranya bergetar menahan hiba. “Kenapa diorang tulis macam ni!?”
“Sebab tu aku marah! Ada orang sengaja buat macam ni sebab nak jatuhkan kau.” Tsana memotong pantas.
Nadira menggenggam telefonnya sekuat hati.
Gambar-gambar dirinya bersama seorang lelaki telah tersebar luas. Walaupun sudut rakaman itu tidak begitu jelas, namun ia sudah cukup untuk mencetuskan fitnah dan salah faham yang dahsyat. Tulisan-tulisan yang mengiringi gambar tersebut membuatkan dada Nadira terasa hancur.
‘Perempuan kampung guna apa saja cara untuk hidup mewah.’
‘Simpanan lelaki kaya.’
‘Berlagak suci tapi perangai murahan.’
Jari-jemari Nadira kaku. “Apa… apa ni…” bisiknya dalam kepedihan.
Isi kandungan ciapan tersebut penuh dengan sindiran tajam, jelas menyasarkan dirinya sebagai wanita licik yang menggunakan cara kotor demi menyusup masuk ke dalam keluarga Ilhan. Lebih menyakitkan hati, naratif itu digambarkan seolah-olah dia telah merampas tempat kakaknya sendiri, Maya Amani.
Beberapa akaun lain turut menyemarakkan lagi api fitnah tersebut. Mereka melukiskan imej Maya sebagai seorang kakak yang suci, penyayang, dan sanggup berkorban demi adik, namun akhirnya dikhianati apabila tunang sendiri dirampas oleh darah daging sendiri.
Segala-galanya telah diputarbelitkan dengan begitu kejam. Nadira kini dilihat sebagai antagonis yang sanggup menggadaikan maruah demi status dan kekayaan. Dia menatal satu demi satu komen dengan hati yang hancur berkecai. Ada yang mengejek, ada yang mencaci-maki, dan ada juga yang menghukum tanpa sedikit pun usul periksa.
Nadira menggenggam telefon itu erat-erat. Dadanya terasa semakin sempit sehingga dia sukar untuk menyedut udara. Dia tidak pernah menyangka bahawa kebenaran boleh diputar belah sebegini rupa, dan namanya dihancurkan berkeping-keping hanya dengan beberapa baris ayat palsu yang direka oleh syaitan manusia.
ns216.73.217.22da2


