Tidak mungkin seseorang mampu berlagak tenang selepas melihat semua itu.
Nadira Sofea memandang skrin telefon dengan jari yang menggigil. Dadanya terasa sesak, seolah-olah udara di sekelilingnya semakin menipis. Setiap baris ayat yang tertera di skrin itu menikam perasaannya tanpa belas.
Dia tidak tahu siapa yang memulakan cerita itu, namun jelas niatnya mahu menghancurkan maruahnya secara perlahan, menyeksa jiwanya tanpa sentuhan fizikal.
Tanpa berfikir panjang, Nadira membuka senarai kenalan dan menekan satu nama yang sudah lama tersemat di hatinya dengan perasaan bercampur-baur.
Maya Amani.
Panggilan itu berdering lama sebelum akhirnya dijawab.
“Helo?”
Suara di hujung talian lembut dan tenang seakan tidak tahu apa yang sudah berlaku padanya.
Nadira menarik nafas panjang, menahan segala rasa yang mendesak keluar.
“Kau! Apa yang kau dah buat, hah?”
Nada suaranya terkawal, namun jelas menahan getaran.
Di hujung talian, Maya diam seketika sebelum menjawab, nada suaranya santai seperti biasa.
“Eh, kenapa ni? Aku tengah sibuk tahu tak? Sejak abang kau tu sambung belajar kat luar negara, aku yang kena uruskan semua benda tahu tak? Tak macam kau. Dah la tak kerja. Hari-hari tengok gosip kat social media je.”
Nada itu menusuk.
Nadira mengetap bibir.
Nada suara Maya yang tenang itu bukan sekadar tenang, ia sarat dengan rasa angkuh yang tersembunyi, seolah-olah setiap perkataan yang keluar membuktikan kedudukannya jauh lebih tinggi daripada orang lain.
Selepas tamat pengajian, Maya Amani terus melangkah masuk ke dalam pengurusan syarikat tanpa sebarang halangan. Segalanya seakan tersedia untuknya, kabel yang mudah dan sokongan yang tidak pernah putus termasuklah beberapa pengiktirafan daripada pihak syarikat.
Ayahnya tidak peduli jika seisi pekerja bergosip tentang Maya yang berjaya menggunakan kabel walhal tidak selayak mana, namun semua itu tidak dipedulikan. Maya anak emas mereka.
Sedangkan Nadira, jangankan jawatan dalam syarikat, keinginannya untuk bermula dari bawah pun ditolak mentah-mentah.
Dia masih ingat bagaimana dia pernah memberanikan diri bersuara kepada Tengku Maria, menyatakan hasrat untuk berkerja, biarlah bermula sebagai kakitangan biasa dalam perniagaan keluarga. Namun jawapan yang diterimanya hanyalah satu tamparan halus yang menyakitkan.
“Kau tu bodoh. Tak macam kakak kau. Kami tak perlukan pekerja lembab macam kau. Pergi cari kerja kat luar. Jangan nak menyusahkan keluarga.”
Tiada sokongan. Tiada kepercayaan.
Dan ayahnya, Tan Sri Alexander, langsung tidak peduli sama ada dia belajar atau bekerja. Seolah-olah kewujudannya tidak pernah memberi makna.
Kenangan itu membuatkan dada Nadira terasa semakin sempit.
Api yang membara di dalam hatinya semakin marak bukan kerana cemburu semata-mata, tetapi kerana luka lama yang tak pernah sembuh.
Dia sedar, sejak dulu lagi, dia tidak pernah benar-benar diberi peluang.
“Kau jangan nak berlakon lah, Maya. Semua orang tengah cakap pasal aku kat sosial media. Sampai masuk dalam page gosip dengan berita hiburan!”
Nadira tahu, pasti orang ramai sedang bersuka ria menikmati drama pergolakan golongan berada, dan media hiburan pula sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk mengorek dan menyebarkannya seluas mungkin.
Hening seketika.
Kemudian suara Maya kembali, lebih ringan, seolah-olah perkara itu tidak penting.
“Cakap pasal apa ni? Aku dah kata aku sibuk. Kerja bertimbun. Mana sempat nak buka media sosial semua ni.”
Nada itu cukup untuk membuatkan dada Nadira membara.
Nadira meninggikan suara sedikit. “Pasal aku! Diorang cakap aku perempuan murahan. Rampas tunang orang. Kata aku guna tubuh aku untuk hidup mewah!”
Nada suaranya pecah di hujung ayat.
Di seberang talian, Maya terdiam seketika sebelum menghela nafas kecil.
“Ala… Nadira. Orang luar memang suka buat cerita. Kau tak boleh nak halang. Lagipun, ini gosip je. Bukan semua orang percaya dengan cerita gossip macam ni.”
Kata-kata itu seperti api yang menyambar.
“Dah lah Maya. Aku tahu semua ni kerja kau, kan? Tak kisahlah apa tujuan kau nak buat macam ni. Banyak mana pun fitnah yang nak buat, aku nak kau tahu, tak ada apa yang berubah. Sekarang orang tak pandang aku sebagai anak kepada Tan Sri Alexander. Tapi sebagai menantu dalam keluarga Ilhan. Kau ingat keluarga Ilhan akan biarkan je benda ni? Kau ingat diorang akan bairkan siapa-siapa pijak maruah aku dan rosakkan nama keluarga? Baik kau jaga-jaga, Maya.” Nadira bersuara dingin.
Suasana di talian seolah-olah membeku.
Kemudian Maya ketawa kecil. Perlahan. Halus. Menyakitkan. Selama ini dia menganggap adiknya seorang dungu dan hidup ibarat lembu yang sentiasa dicucuk hidungnya, sentiasa saja menurut setiap arahan orang sekeliling. Namun selepas berkahwin masuk ke dalam keluarga Ilhan, wanita itu seolah-olah mula menunjukkan sisi yang berbeza, Nadira tidak lagi sebodoh yang disangkakan.
Walau begitu, perubahan kecil itu langsung tidak menggentarkannya.
Bagi Maya, kebijaksanaan yang tiba-tiba muncul itu tidak membawa sebarang makna. Kerana dia tahu satu perkara yang tidak pernah berubah, dia masih memegang tali hayat dan tahu kelemahan Nadira. Senyum nipis terukir di bibirnya, lembut tetapi sarat dengan keyakinan yang berbahaya.
“Habis tu, apa yang kau nak buat?” tanyanya perlahan. “Atau… kau nak aku bagitahu kat mama?”
Dahulu, setiap kali dia mengarah Nadira melakukan sesuatu, cukuplah dengan satu kata, beritahu Ibu, dan Nadira akan menurut tanpa soal, setia seperti bayang yang tidak pernah membantah.
Sebab dia tahu, satu-satunya kelemahan Nadira adalah Tengku Maria.
Sebaik sahaja itu disebut, jari Nadira yang memegang telefon mengeras sedikit demi sedikit. Bibirnya terkatup rapat, menahan getaran dalam dada sebelum dia bersuara, tenang tetapi dingin.
“Apa aku nak buat?” Hening seketika. “Aku tak perlu nak buat apa-apa pun Maya. Kau tunggu jelah.”
Sebaik ayat itu berakhir, dia terus mematikan talian.
Namun sejurus telefon dimatikan, satu rasa yang tidak menyenangkan menyelinap masuk ke dalam dirinya dan seraya itu juga dia merasa seolah-olah ada sepasang mata sedang memerhatikannya dari kejauhan.
Sebaik sahaja dia memalingkan wajah, jantungnya bagai mahu terjatuh ke lantai.
Dia melihat pintu bilik itu sudah terbuka luas dan entah sejak bila dan di hadapannya seorang lelaki berdiri bersandar pada bingkai pintu, kedua-dua lengannya bersilang di dada.
Siapa lagi kalau bukan Luth.
“Luth?! Ma-Macam mana awak boleh masuk sini?” suara Nadira bergetar, wajahnya terus pucat. Dia pasti dia sudah mengunci pintunya. Semenjak insiden malam pertama dia di rumah ini, dia sudah sentiasa berjaga-jaga daripada didatangi lelaki bernama Luth ini.
Lelaki itu hanya mengangkat kunci di tangannya, menggoyangkannya perlahan sambil menaikkan kening, seolah-olah perkara itu langsung tidak perlu dijelaskan.
“Heh... kau rasa macam mana aku boleh buka pintu ni?”
Darah Nadira serta-merta berderau hingga terasa panasnya hingga ke pipi.
“Keluar!” bentaknya, suaranya bergetar namun tegas, cuba menutup gemuruh yang menggila di dadanya.
Bagaimana lelaki itu boleh memiliki kunci biliknya? Sejak bila dia mempunyai akses ke ruang paling peribadi miliknya?
Jantung Nadira berdegup semakin laju, seolah-olah mahu terlepas dari dadanya. Setiap degupan terasa seperti amaran, bahawa sesuatu yang berbahaya sedang menghampiri, dan dia sudah terperangkap di dalamnya.
Luth tidak berganjak.
Sebaliknya, dia melangkah setapak ke hadapan.
Dan ketika bayangnya menelan cahaya di sekeliling, Nadira sedar satu perkara yang membuatkan nafasnya tersekat.
Pintu itu telah tertutup rapat di belakang Luth. Nadira kini tidak lagi bersendirian, dan dia sedar... ruang untuknya melarikan diri sudah pun tertutup rapat.
ns216.73.217.22da2


