Wajah Nadira Sofea masih dibakar amarah yang belum sempat padam. Bukan malu yang menguasai dirinya, tetapi satu letusan emosi yang ditahan terlalu lama. Nafasnya turun naik, kasar dan tidak teratur, seolah-olah dadanya sedang menanggung beban yang terlalu berat untuk dipikul sendirian.
Jari-jarinya menggenggam hujung selimut dengan kuat, seakan-akan kain itu satu-satunya pegangan yang mampu menahan dirinya daripada runtuh sepenuhnya. Dalam diam, dia cuba mengumpul kembali serpihan kekuatan yang berselerak namun luka di hatinya masih segar, berdenyut tanpa belas.
Di hadapannya, berdiri seorang lelaki yang wajahnya sukar dibaca.
Luth, sepupu Emir Ilhan yang gatal, miang, annoying, parasit, menjengkelkan dan semua yang ada padanya.
Muka Nadira merah menyala menahan marah.
Tatapan lelaki itu tenang tetapi sangat menjengkelkan. Seolah-olah apa yang berlaku sebentar tadi langsung tidak memberi kesan kepadanya.
“Ada masalah?” soal Emir akhirnya, suaranya rendah dan bersahaja, seolah-olah dia
Nadira mendongak, matanya merah namun penuh penentangan. “Diam, tak payah sibuk. Ini bukan urusan awak.”
Nada suaranya dingin, tetapi ada getaran halus yang cuba disembunyikan. Dia menatap lelaki itu tanpa gentar, walaupun hatinya sebenarnya berombak hebat.
Emir mengangkat kening sedikit.
“Memanglah bukan urusan aku,” balasnya tenang. “Tapi kalau kau minta tolong, aku boleh pertimbangkan.”
Nada itu tidak menyembunyikan maksud tersembunyi, bagai ada sindiran, ada kuasa, dan ada keyakinan bahawa dia berada di posisi yang lebih tinggi.
Nadira mengetap bibir dengan pandangan tajam.
Dia tidak akan sesekali merayu pada lelaki ini.
Emir memerhatikannya lama, seolah-olah cuba membaca setiap reaksi kecil di wajah itu. Namun apabila Nadira tetap membisu, dia hanya menghela nafas kecil sebelum berpaling.
Selesai berkata begitu, Emir terus melangkah menuju ke bilik kerjanya. Namun langkahnya tidak setenang seperti biasa, sedikit tergesa, seolah-olah ada sesuatu yang mengusik fikirannya.
Bang Zul memandang dari belakang, dan hanya ketika itu dia sedar, nada suara bosnya tadi tidak setenang yang disangka. Ada getar halus yang cuba disembunyikan, seperti seseorang yang sedang menahan rasa tidak selesa.
Bukan marah. Bukan juga tenang sepenuhnya.
Lebih kepada, kegusaran yang cuba disembunyikan.
*****
Nadira tidak berniat langsung untuk melayan berita yang sedang berlegar di media sosial.
Dia tidak tahu mengapa Maya Amani, kakak tirinya itu tiba-tiba bertindak sedemikian, dan dia juga tidak berminat untuk mencari alasan.
Yang dia tahu, Tsana sudah mengetahui tentang perkahwinannya dengan keluarga Ilhan.
Dan Tsana pasti tidak akan berdiam diri.
Walaupun dia tahu Tsana mungkin akan memarahinya, Nadira tetap mahu bertemu sahabatnya itu.
Mereka berjanji untuk bertemu di sebuah kafe kecil yang agak tersorok, jauh dari tumpuan orang ramai. Tsana kini sudah dikenali sebagai pelakon baharu yang semakin meningkat naik, kehadirannya di tempat awam mudah menarik perhatian.
Ketika Nadira tiba, Tsana sudah pun menunggu.
Wanita itu mengenakan jaket putih nipis, rambutnya diikat kemas ke belakang. Wajahnya polos tanpa solekan tebal, namun tetap menyerlah.
Seperti biasa, kehadirannya mencuri pandangan.
Sejak zaman persekolahan lagi, Tsana memang begitu, ke mana sahaja dia melangkah, dia sentiasa menjadi tumpuan. Ada aura tersendiri pada dirinya, sesuatu yang membuatkan orang mudah memandang, mudah terpikat, dan sukar mengalihkan perhatian walau hanya sesaat.
Nadira duduk di hadapannya. “Maaf, aku lambat.”
Tsana melangkah rapat lalu memeluk tubuh Nadira erat, seolah-olah mahu menyerap seluruh keresahan yang bersarang dalam diri sahabatnya itu. Tubuhnya sedikit condong, dagunya hampir menyentuh bahu Nadira ketika dia bersandar malas di sofa.
Dia melirik ke arah Nadira dari sisi, bibirnya melengkung dengan senyuman kecil yang berbaur usikan.
“Kau ni sekarang dah jadi isteri keluarga Ilhan,” katanya perlahan, nada suaranya bersahaja tetapi menyengat. “Orang kecil macam aku ni… memang patut tunggu je. Mana layak duduk sama tinggi dengan puan besar macam kau.”
Pelukan itu tidak lama, namun cukup untuk menyampaikan rasa, bukan sindiran, tetapi gurauan yang sarat dengan keprihatinan yang cuba disembunyikan di sebalik nada selamba.
Nada sinis itu membuatkan Nadira terdiam.
Melihat reaksi itu, Tsana mengeluh kecil lalu menanggalkan pelitup mukanya. “Mak kau memang melampau,” katanya tiba-tiba. “Dia manjakan anak orang, tapi anak sendiri dipijak-pijak.”
Nadira tunduk.
“Aku dah cakap banyak kali, jauhkan diri dari dia. Sekarang tengok apa jadi. Kau dijual masuk keluarga orang.”
Dia mencapai gelas air dan meneguknya sekali gus.
Nadira menyentuh cermin matanya perlahan. “Minum perlahan-lahan.”
Tsana menjeling. “Keluarga Ilhan ada buat apa-apa tak kat kau?”
Nadira terdiam seketika. “Tak, keluarga Ilhan setakat ni baik, okay je,” jawab Nadira perlahan.
Cuma satu sahaja yang mengganggunya, Luth.
Tsana tiba-tiba terdiam, wajahnya berubah serius seolah-olah teringat sesuatu yang penting. Dia menegakkan duduk, nada suaranya juga berubah lebih tegas.
“Kau tahu tak kenapa Maya sanggup bayar orang untuk naikkan cerita pasal kau? Sampai kata kau rampas tunang dia?”
Nadira terhenti daripada menuang air. Tangannya kaku di udara. “Masa aku telefon dia, dia kata dia tak tahu langsung pasal cerita kat sosial media tu. Aku tahu dia memang kejam. Tapi aku tak tahu apa tujuan dia buat macam tu.”
Tsana memandangnya seperti melihat seseorang yang terlalu naif. “Kau ni pun satu, cuba kau fikir betul-betul, siapa yang nak buang masa kotorkan nama kau kalau tak ada untung?” katanya perlahan, tetapi jelas menusuk.
“Orang buat semua tu sebab ada manfaat. Kau cuma dijadikan batu loncatan untuk merialisasikan agenda dia sendiri.”
Nada suaranya tidak keras, tetapi cukup tajam untuk membuat Nadira terasa perit di dada.
“Apa untung yang dia dapat dari semua ni?” soal Nadira perlahan, benar-benar tidak mengerti kenapa Maya sanggup berbuat sejauh itu.
Tsana menyeringai kecil, senyumannya tidak membawa sebarang kehangatan.
“Sebab dia nak bersihkan nama dia sendiri depan Noah. Itulah yang dia nak buat, nak tunjuk yang dia tu ‘bidadari suci’ depan bekas crush kau tu. Kau tu cuma jadi alat untuk bersihkan imej dia je.”
Tsana duduk semakin merapat, cuba membuatkan Nadira faham. “Cuba kau fikir. Sebelum ni, Maya yang sepatutnya berkahwin dengan Emir. Tapi dia dengan mak kau tolak kau untuk kahwin sebab tak nak orang nampak macam dia yang nak kahwin dengan orang kaya cacat tu. Bila kau dah kahwin dengan Emir, dia buat cerita yang kau rampas tunang dia. Jadi, kaulah yang nampak mata duitan. Dia pula adalah mangsa.”
Kata-kata itu membuatkan Nadira terdiam.
Perlahan-lahan, semuanya mula masuk akal.
Pada saat itu, Maya memang perlu menyingkirkan Emir daripada hidupnya, dan cara paling mudah ialah dengan menjadikan Nadira kambing hitam. Dengan meviralkan cerita tentangnya, memijak maruahnya, dan menyiram lumpur ke atas namanya, Maya berjaya membentuk imej sebagai kakak yang baik hati, teraniaya, dan penuh pengorbanan.
Sedangkan Nadira pula dipersembahkan kepada dunia sebagai wanita licik yang sanggup melakukan apa sahaja demi naik ke taraf hidup yang lebih tinggi.
Bibir Nadira terkatup rapat.
Akhirnya, dia mulai faham segala yang terjadi.
“Cantik betul lakonan dia,” katanya perlahan, nada suaranya datar namun penuh makna.
“Jadi? Apa plan kau sekarang?” soal Tsana selepas terdiam seketika, nadanya berubah sedikit seolah-olah teringat sesuatu.
“Maksud aku, kau kahwin dengan anak Tengku Ilhan kot. Hubungan korang macam mana?”
Nadira faham maksud di sebalik soalan itu. Dia menghela nafas perlahan sebelum menjawab dengan nada yang tenang, hampir hambar.
“Entahlah. Dia langsung tak nak muka tengok aku. Aku tahu dia anggapa aku ni perempuan hodoh. Tak menarik. Jadi, kami buat hal sendiri masing-masing jelah.”
Tsana mendengus kecil, jelas tidak puas hati.
“Apa? Tak cantik? Kau ni memang suka merendah diri. Selalu macam tu dari dulu lagi. Nadira, kalau banding kau dengan aku, kau lagi lawa tahu tak? Cuba confident sikit macam aku ni. Mesti kau nampak yang diri kau ni cantik.” Balas Tsana pula sempat memuji diri sendiri.
Nadira cuma tersenyum kelat. Tsana memandang kawan baiknya semula dengan pandangan kasihan namun cepat-cepat dia buang perasaan itu.
Kerana menurutnya, tiada apa yang perlu dikasihan pada Nadira. Nadira cantik jelita cuma kurang keyakinan diri, sekarang dah masuk dalam keluarga ternama, dia harap Nadira menemukan kebahagian dan semangat yang hilang bertahun lamanya.
“Mulai hari ini, aku nak kau pakai elok-elok. Tak nak dah pakaian lusuh macam homeless ni. Kau anak Tan Sri, mak kau kerabat diraja. Sekarang pula kau kahwin dengan keluarga berpengaruh. Kau kena berhias sikit, bagi silau mata dia! Biar suami kau, kakak tiri, mak dan semua family kau tu tahu kau siapa. Hidup ni kena melawan babe!””
Nada Tsana penuh semangat, jelas terpengaruh dengan watak-watak balas dendam yang sering dilakonkannya kebelakangan ini.
Nadira tergelak kecil, kali ini lebih ringan. “Tak perlulah semua tu, Tsana. Macam ni pun dah cukup.”
Ada ketenangan dalam suaranya, bukan kerana dia tidak peduli, tetapi kerana dia sudah penat untuk membuktikan apa-apa.
“Biarlah hubungan kami sekadar saling menjaga jarak. Macam ais dengan ais,” ujar Nadira perlahan. “Tak saling mengganggu. Dan itu sudah cukup.”
Dia tidak marah, tidak juga kecewa, cuma letih. Ironinya, hubungan yang dingin itu, anehnya, memberi sedikit ruang untuk dia bernafas.
Tidak lama kemudian, Tsana menerima panggilan daripada pengurusnya.
“Hello…? Ya… Baik… Baik. Saya pergi sekarang.”
Wajahnya berubah serta-merta, nada profesional kembali menguasai dirinya. Dia bangkit dengan tergesa, mencapai beg dan terus menuju ke kaunter.
“Nadira, aku kena pergi dulu ya. Ada urusan. Nanti aku call kau lagi. Sorry babe. Kau jaga diri tau.”
“Eh” Nadira sempat bangun, namun Tsana sudah lebih dahulu menghulurkan kad dan membayar bil.
Seperti biasa, Nadira tidak sempat berbuat apa-apa.
Bukan kerana dia tidak mahu, tetapi sejak dulu lagi, Tsana sentiasa lebih pantas. Tubuhnya lebih tinggi, langkahnya lebih panjang, dan entah bagaimana, dia sentiasa berada selangkah di hadapan.
Walaupun sering kelihatan sambil lewa, Tsana sebenarnya sangat teliti dalam perkara kecil. Dia tahu keadaan Nadira tahu dia tidak semewah orang lain, tahu dia sentiasa berjimat, dan tahu dia akan rasa bersalah jika perlu berbelanja lebih.
Sebab itu, setiap kali mereka keluar bersama, Tsana akan pastikan dialah yang membayar terlebih dahulu, seolah-olah mahu melindungi sahabatnya dengan caranya sendiri.
Hati Nadira terasa hangat… dan sedikit sebak.
Tsana tahu segala-galanya, tentang keluarganya, tentang luka-luka yang tidak pernah sembuh, tentang beban yang terpaksa dipikul sendirian.
Dan hakikat itu membuatkan Nadira sedar sesuatu yang pahit namun jujur, di dunia ini, hanya segelintir yang benar-benar mengenalinya.
Saat melangkah keluar dari kafe, hatinya terasa berat.
Dia tahu, keluarganya tidak akan berhenti menenggelamkannya selagi dia masih bernyawa.
Dan firasat itu terbukti apabila telefonnya berdering.
Mama.
Nada suara Tengku Maria kedengaran luar biasa lembut. “Nadira, balik rumah malam ni. Makan sama-sama.”
Nada itu terlalu lembut untuk dipercayai.
“Maaf mama, saya busy sikit, ada hal,” jawab Nadira perlahan.
Nada suara di talian terus berubah. “Banyaklah kau punya busy? Kau tu jobless, apa yang kau sibukkan?”
Nadira menghela nafas. “Saya kan sekarang isteri Emir, ada suami. Jadi kena jaga suami dan keluarga Ilhan pula.”
Suasana di talian senyap seketika sebelum suara Tengku Maria meninggi. “Berani kau jawab macam tu!”
ns216.73.217.22da2


