-Biar aku yang menjagamu-
SYAZANA memerhatikan Puan Kamsiah yang sedang berehat di ruang tamu atas.
“Senang betul hati mak sekarang.”
Tergelak Puan Kamsiah. “Macam ni jelah mak. Dah penat besarkan korang. Sekarang ni koranglah pulak bekerja keras.”
“Eleh, sebenarnya mak untungkan ada Kak Liya? Tak payah bayar maid,” balas Syazana.
Puan Kamsiah menjeling. “Ada kau pun pemalas. Semua mana nak tolong mak.”
Syazana tergelak. “Nasib Abang Syawal tu lurus je mak. Senang je nak kenakan Abang Syawal.”
Puan Kamsiah menggeleng.
Tanpa mereka sedari, Liya mendengar setiap patah perkataan itu dan membuatkan hatinya sangat sedih dan pilu. Bagaimana seorang mak tergamak berkata begitu kepada seorang anak yang sangat baik dan patuh?
Perlahan Liya turun semula ke bawah dan menahan mulutnya daripada mengeluarkan perkataan yang tidak baik.
SYAWAL termenung panjang. Dia yang sedang membawa motosikal hanya membuang pandang ke arah jalan. Terkenang akan ayat-ayat kawan sepejabatnya. Ada benar juga apa yang dikatakan oleh mereka. Tapi, entah kenapa dia seperti tidak sampai hati dan berasa takut dengan emaknya.
“Bini kau tak kisah ke tinggal dengan mak kau?” tanya Karina yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
Disokong pula oleh Ghaffar yang baru saja menikah bulan lepas. “Betul tu weh. Aku pun baru tahu ni.”
Tergelak Syawal sambil garukan kepala. “Ada masalah ke kalau duduk bersama?”
Pap!
Tangan Karina menghentak meja. “Aku ni kalau bab mertua menantu. Aku trauma sikit ya. Aku memang galakkan pergilah duduk sendiri walau sempit ya. Kejap, aku nak tanya. Bini kau dengan mak kau okey ke? Maksud aku rapat tak?”
Lama Syawal memikirkan dan membuatkan Karina serta Ghaffar tergelak. “Susah betul nak jawab ya,” kata Ghaffar.
“Dia macam ni kalau tak ada masalah okeylah. Tapi ingat. Jauh bau wangi, dekat bau tahi. Ni yang mak aku cakaplah,” tambah Ghaffar.
Disokong pula dengan anggukkan daripada Karina.
“Tapi, aku ni nak berbakti dengan parents jugak. Yalah, habis belajar terus kahwin. Mana sempat nak berbakti,” kata Syawal membela diri.
“Berbakti apa maksud kau ni?” tanya Karina.
“Jaga mak ayah aku. Bagi duit belanja. Teman mak ayah kat rumah…”
Ghaffar tersenyum dan mengangguk sambil pandang Karina. “Bertuah mak ayah kau dapat anak macam kau. Tapi ingat perasaan isteri pun kena jaga.”
“Betul tu. Dia setuju ke Syawal?” tanya Karina.
Syawal berfikir sebentar cuba mengingat. “Adalah dia ajak duduk rumah lain. Dia tak kisah rumah tu macam mana pun.”
“See…” kata Karina dengan nada geram.
Tergelak Syawal. Dia hanya memendam cerita. Takkan dia mahu khabarkan yang isterinya habis dibuli di rumahnya. Ya, dia tahu isterinya seakan-akan dibuli, namun dia hanya seorang lelaki yang lemah.
PUAN KAMSIAH marah sungguh hari ni bila Liya ditangkap tertidur dan tidak sempat buat minum petang untuk diri dia dan suaminya. Sakit hatinya bertambah bila melihat Liya yang sedap diulit mimpi di biliknya.
Dengan rasa geram dan mengikut kemarahan Puan Kamsiah terus mencampakkan penyapu yang ada di tangannya ke arah Liya yang sedang tidur. Batang penyapu itu terkena pada kepala Liya dan membuatkan Liya tersentak dan mengaduh.
“Aduh…”
“Rasakan kau. Aku dari tadi panggil kau, tapi kau tak menyahut langsung. Rupanya sedap tidur, apa yang penat sangat pun aku tak tahu. Buat kerja biasa-biasa je pun. Bukan kena pergi kerja macam orang lain. Tak sedar diri!” hamun Puan Kamsiah dengan nada yang sangat marah.
Perlahan Liya bangun dan mengalihkan penyapu itu ketepi sambil memegang dahinya. Perit dan sakit. Berpinar sekejap kepalanya yang sememangnya sedang sakit. Entah kenapa hari ini dia merasakan tubuhnya sangat lemah.
“Bangun! Pergi buat apa yang patut.” Terus saja Puan Kamsiah berlalu pergi.
Air mata Liya jatuh berlinangan. Dia mahu melawan, sangat mahu melawan. Hatinya sangat sakit ketika ini. Dia tertidur kerana dia berasa sangat lesu dan tidak bermaya. Perlahan dia menuju ke cermin dan melihat dahinya. Ya, bengkak kebiruan. Walaupun kecil kesannya namun sakit baginya.
Ya Allah, aku dah tak tahan untuk berada kat sini ya Allah. Ampunkan aku jika perbuatan aku selepas ini akan melukakan banyak hati.
Ya, kali ini Liya nekad.
JESLINA tersenyum masuk ke dalam bilik yang disediakan untuknya dan keluarga di rumah mertuanya itu. Di sini dia agak senang sedikit berbanding di rumah sendiri. Keselamatan juga terjamin.
Dia hanya perlu pergi ke tempat kerja dan balik kerja saja. Ambil anak-anak semua kerja suaminya, Syahrul. Di rumah ini dia tidak perlu buat apa-apa kerana semuanya Liya akan buat.
“Senanglah hati ya dapat duduk sini,” tegur Syahrul dengan nada guraunya.
Mulut Jeslina berdecit. “Ala, saje nak puasa dengan mak pulak.” Jeslina memberi alasan.
Tergelak Syahrul. “Yalah, kalau kat rumah mummy you ni habis you tak boleh bersenang lenang.”
“Nak cakap I pemalas ke?” Jeslina terasa hati kerana apa yang dikatakan suaminya itu benar.
Sememangnya dia tersangat penat kalau menguruskan rumahnya sendiri dengan anak-anak yang sedang membesar. Jika di sini dia lihat semuanya Liya akan buatkan. Lagipun, mak mertuanya juga suruh dia duduk di sini sepanjang bulan puasa.
“Dahlah. Jangan lupa siapkan baju I. Takkan nak suruh Liya siapkan,” kata Syahrul terus meninggalkan bilik.
Jeslina menjeling geram.
SYAWAL yang baru saja tiba rumah terus mencari isterinya di bilik, namun tiada. Hari ini dia tiba rumah lewat sedikit kerana ada tuntutan kerja yang perlu disiapkan. Mesejnya petang tadi tidak balas oleh Liya.
“Mana Liya ni?” tanyanya sendiri. Di dapur tiada. Risau hatinya kerana tengah hari tadi isterinya ada mengirim mesej yang berasa badan tidak sihat.
Baru saja dia mahu pergi ke tempat menjemur baju, Liya muncul bersama bakul di tangan. Hanya memandang sepi wajah suaminya, lama mata mereka bertatapan dan Syawal tahu bila-bila masa saja tangisan Liya bakal terhambur dengan wajah pucat Liya serta dahi…
Pap!
Tangan Liya dicapai dan dibawa terus ke dalam bilik. Pintu dikunci dan Syawal mendudukkan isterinya di birai katil. Syawal melutut berdepan dengan Liya yang memalingkan muka sambil mengemam bibir.
Perlahan bengkak di dahi Liya diusap perlahan. Air mata Liya mengalir perlahan.
“Kenapa ni?” tanya Syawal sebak.
Liya menggeleng. Dia tidak mampu untuk bersuara.
Syawal memegang kedua-dua belah pipi Liya dan mahu Liya menatap matanya.
“Siapa buat?” Pertanyaan itu terus membuatkan air mata Liya laju mengalir. Tersedu-sedu Liya, terus saja Syawal memeluk isterinya dengan kuat.
“Sayang jatuh ke? Atau ada orang buat?” tanya Syawal perlahan sambil mengusap belakang Liya dan kerap mencium dahi Liya.
Liya masih dalam tangisan. Entah kenapa kali ini dia berasa sangat kecil hati dan sedih meruntun jiwa.
Hanya tangisan yang bergema di dalam bilik kecil yang tersorok di sudut dapur.
ns216.73.217.22da2


