“KENAPA mak?” tanya Syawal dengan lembut. Puan Kamsiah memanggilnya untuk berjumpa dengannya di ruang luar rumah berdekatan taman mini mereka. Puan Kamsiah meminta Syawal duduk berhadapan dengannya.
“Ada apa-apa ke Syawal sorokkan daripada mak?” tanya Puan Kamsiah dengan nada lembut.
Syawal membuat wajah pelik lantas teringat pesan isterinya. “Boleh tak awak rahsiakan pasal kenaikkan gaji awak ni daripada emak. Awak bagi je duit bulanan macam biasa dekat mak. Tapi jangan bagitahu, boleh?”
“Tak ada mak kenapa?” balas Syawal dengan persoalan juga.
Lama Puan Kamsiah memandang anak keduanya ini. Seorang yang sangat lain daripada Syahrul dan Syazana. Syawal seorang yang lurus dan senang untuk memujuknya.
“Mak macam susah hati. Macam ada yang tak kena.”
“Maksud mak? Ada apa-apa yang Syawal boleh tolong?” pelawa Syawal.
Hati Puan Kamsiah mengembang. Anaknya yang seorang ini memang senang sangat untuk dipengaruhi.
“Nak masuk bulan puasa ni banyak nak kena pakai duit. Mak nak mintak kamu tambah sikit. Sebab mak ada cakap dengan Syahrul, Syahrul kata waktu macam ni company yang Syawal kerja tu memang bagi bonus. Betul ke?” Penuh sinar mata Puan Kamsiah.
Syawal petak untuk menjawab persoalan Puan Kamsiah.
MATA Liya tertancap pada tubuh dua beranak yang sedang masuk ke dalam rumah. Dia yang sedang membersihkan dapur hanya memerhati kelakuan Puan Kamsiah yang seperti berbaik-baik dengan Syawal.
“Tolong cuci botol susu anak I ya. Thank you. Sebab I tak tahu cuci. Selama ni maid I yang basuhkan,” kata Jeslina sambil meletakkan botol di tepi singki.
Sabar, sabar… Liya menenangkan hatinya. Tanpa membalas apa-apa Liya teruskan membersihkan dapur.
“Kau fikir aku maid kau ke?” kata Liya perlahan.
“Cakap dengan siapa tu?” tegur Encik Badrul.
Terkejung terus tubuh Liya. Sememangnya dia tidak biasa lagi dengan ayah mertuanya. Liya hanya menundukkan kepalanya.
“Nanti kat ruang atas tu tolong bersihkan budak-budak tu tertumpahkan air gas kat area karpet tu. Nah, ni cawan ayah minum. Sampai sini ayah hantar,” kata Encik Badrul tanpa ada perasaan serba salah.
Mata Liya tertangkap suaminya yang masuk ke dalam bilik dan keluar semula menemui Puan Kamsiah.
“Terima kasih,” balas Liya pendek. Hatinya sakit. Sakit diperlakukan seperti orang gaji. Tapi, dia tak akan menangis untuk semua ini. Hatinya kena kuat.
“SAYANG?” tegur Syawal bila Liya masuk ke dalam bilik kecil mereka. Sempit, namun itu saja yang ada. Bilik Syawal di atas telah dibuat sebagai bilik tetamu dan kini dihuni oleh dua orang anak buahnya.
Liya sangat keletihan, dia terus mendudukkan dirinya di birai katil.
Bagai memahami, Syawal terus duduk di belakang isterinya dan mengurut bahu serta badan belakang isterinya.
“Haaa, bestnya sayang urut. Terima kasih, sayang,” kata Liya perlahan.
Mereka hanya senyap. Sunyi memakan masa mereka.
Liya memegang tangan Syawal dan memberi isyarat yang dia ingin baring. Syawal bangun dan memadam lampu. Kini, mereka baring mengiring dan saling bertatapan.
“Tadi saya nampak awak dengan mak…” Liya memula bicara. Sakit kepalanya mahu tahu hal sebenar.
Keluhan kecil dilepaskan Syawal. Tangan Syawal mengelus lembut wajah Liya. Wajah orang yang dia cintai dan orang yang menyayanginya paling tulus.
Syawal membetulkan suaranya. “Mak mintak duit sikit, katanya nak masuk bulan puasa banyak pakai duit. Lepas tu, mak tahu yang saya dapat bonus sebab Abang Syahrul tahu company saya kerja tu tengah bagi bonus.”
“Lepas tu?” Geram je Liya dengan perangai ahli keluarga Syawal.
“Saya bagilah.”
Terus duduk dibuatnya Liya. Syawal juga menurut.
“Berapa?” tanya Liya penuh dengan kegeraman.
Syawal teguk air liur. “RM1000.”
Liya mengangguk. “Macam mana awak boleh bagi seribu tu?”
“Saya terpaksa tipu mak. Rasa serba salah pulak,” kata Syawal.
“Tipu apa?”
“Saya kata bonus saya dua ribu je.”
Berdekah terus Liya ketawa dan menepuk-nepuk bahu suaminya. “Saya bangga dengan awak.”
“Takkan bangga saya menipu?”
Liya gelengkan kepala dan mengajak suaminya tidur. Nampaknya Syawal betul-betul mendengar nasihatnya.
“LIYA!” jerit Puan Kamsiah ketika Liya sedang membersihkan tangga di dalam rumah.
“Siapa tumpahkan susu tu kat atas karpet mak baru beli?” tanya Puan Kamsiah bila terpandangkan Liya yang sedang menyapu di tangga.
Liya buat muka pelik. “Anak-anak Kak Jes lah tu,” balas Liya dan meneruskan kerjanya.
“Kau jangan nak menuduh. Budak-budak tu tak ada pun dah keluar,” marah Puan Kamsiah.
Aik, dia ni nak tuduh aku ke? kata hati Liya.
“Mak, Liya dah bersihkan dah pagi tadi. Memang semua clean je. Lepas tu Liya tak naik dah. Hanya nak bersihkan tangga je,” balas Liya mula tak puas hati.
Puan Kamsiah bercekak pinggang. “Habis tu kau nak tuduh aku?”
Liya mengeluh perlahan. “Tak, kenapa mak macam nak tuduh saya ya?”
“Aku nak kau ganti karpet tu.” Perlahan nada Puan Kamsiah.
“Hah? Apa ni? Mak tunggu semua orang balik…”
Percakapan Liya dipotong. “Tak payah. Kalau tak nak ganti tak apa. Pandailah mak mintak dengan Syawal nanti.” Terus saja Puan Kamsiah turun ke bawah meninggalkan Liya yang kebingungan.
Namun, mata Liya tertancap pada seluar hitam mak mertuanya itu yang seperti ada kesan putih dan basah di sepanjang seluar bahagian betis sehingga ke hujung bawah seluar.
SUASANA kampung yang mendamaikan ditemani angin yang ditiup dari laut membuatkan suasananya sungguh tenang. Sepiah tersenyum melihat anak sulungnya datang menghulurkan air kopi dan sepiring pisang goreng.
“Mak menung apa tu?” tanya Lisa.
“Teringat adik kau ha, Liya. Okey tak dia duduk sana. Macam mana hidup dia. Dah berapa bulan ni tak pernah tak kirim duit. Okeylah ya hidup dia kat sana,” kata Sepiah.
Tersenyum Lisa dibuatnya, lantas membuatkan dia teringat kenangan mereka bersama. Dibesarkan oleh ibu tunggal. Ayah mereka telah meninggalkan mereka ketika mereka di sekolah menengah. Lisa, Liya dan Lana. 3 beradik yang sentiasa bersama menemani hari Sepiah.
“Liya tu campak mana je confirm dia hidup. Jangan risaulah dengan Liya tu mak. Takkan boleh orang buli dia. Dia pun bukan jenis kacau orang kalau orang tak kacau dia,” balas Lisa sambil duduk berhadapan Sepiah di atas pangkin.
Sepiah mengangguk. “Yalah tu. Mak bukan nak fikir buruk. Tapi, takutlah kan kalau anak mak tu tak dilayan baik.”
“Kalau tak dilayan baik, siaplah orang yang buat dia tu,” tambah Lisa sambil tergelak.
Terangguk-angguk kepala Sepiah tanda setuju.
“MAK kata kat saya tadi, mak suruh saya ganti karpet kat atas.” Bulat terus mata Liya bila mendengar ayat itu keluar dari mulut Syawal.
“Saya dah bagi duit kat mak dah tadi. Sayang, hati-hati tau buat kerja,” pesan Syawal tetapi membuatkan Liya menganga mulut dan terus berasa geram dengan tindakan pantas Syawal. Kalau ikutkan Syawal ni bukan pantas mana pun kalau disuruh tapi kenapa kali ini suaminya sangat pantas.
Liya hanya diam sebab kalau dia bersuara memang derhaka terus dia nanti. Tapi dia mahu bertanya soalan ini.
“Berapa?”
“300.”
Terus saja Liya berdiri. Sebab dia tahu harga karpet itu bukanlah terlalu mahal pun. Itu karpet serupa dia nampak di pasaran borong. Dan kalau beli di Shopee pun baru berapa.
Suaminya seperti mahu menjelaskan lagi. “Itu pun mak dah bagi diskaun. Kalau tak mak nak mintak 500. Saya pun ada 300 je tadi.”
Prak!
Terus saja pintu bilik dibuka dan Liya keluar. “Panasnya…”
Syawal tercengang kerana ditinggalkan begitu saja.
LIYA termenung selepas menjawab panggilan daripada emaknya. Ya, kurang dari lima hari mereka akan menyambut Ramadan. Entah apa nasibnya untuk Ramadan ini. Berpuasa bersama keluarga mertua.
Keluhan dilepaskan, air mata jatuh satu per satu. Di balik tingkap dapur dia melihat Jeslina bergurau senda dan bahagia dengan mak mertuanya. Bahagia saja rasa.
"Mungkin bulan puasa ni setan dorang kurang sikit kut," bisik Liya perlahan.
Baru saja dia mahu menuju ke biliknya dia melihat suaminya memegang baju kerja yang sudah digosok dan digantung bersama hanger. "Sayang?"
"Ya?" jawab Syawal lembut.
"Kenapa tak suruh saya?" tanya Liya sedih.
"Tadi saya kat depan tu terus ambil baju dan gosok terus. Jangan risau okey," kata Syawal smabil kenyitk mata.
Liya mencebik sedih. Tadi dia lihat suaminya membersihkan ruang depan dengan menyapu dan tadi membantunya membasuh pinggan. Entah apalah nasib mereka di rumah ini.
Buka saja pintu bilik, Syawal sedang melipat dan menyusun pakaian mereka pula.
"Terima kasih," kata Liya dengan nada sebak.
Syawal senyum dan kenyitkan matanya. "Esok lepas saya balik kerja. Kita dating nak? Kira saya belanja makan sambut Ramadan. Nak?"
Bulat mata Liya dan mengangguk. Siapa saja tidak suka berjalan keluar selepas 24 jam terkurung di rumah.
"Tapi, awak kena cari restoran apa nak makan. Boleh?" kata Syawal lagi.
"Boleh!" Pantas saja Liya menyahut. Tanpa sedar ada seseorang mendengarnya dari luar bilik mereka.
ns216.73.217.22da2


