PINTU almari ditutup dan Puan Kamsiah terpandang wajah suaminya Encik Badrul.
“Kenapa pandang saya macam tu?”
Encik Badrul menggelengkan kepala. “Apa awak dah buat kat budak tu?” tanya Encik Badrul.
Puan Kamsiah menggeleng malas mahu melayan. Ya, dia tahu dia bersalah, namun Liya lagi bersalah kerana tidak menjalankan kerjanya dengan baik.
“Ala, sikit je pun. Mengada je lebih. Lagipun saya bukan sengaja. Saya tak sangka boleh tercampak sekuat tu,” kata Puan Kamsiah membela diri.
Berdecit mulut Encik Badrul, dia sangat tidak bersetuju dengan cara isterinya ini. “Awak buat macam tu, kalau tiba-tiba budak tu terus keluar dari rumah ni. Siapa nak tolong awak buat kerja rumah? Jes?”
Jelingan diberikan oleh Puan Kamsiah. “Yalah, saya salah. Yang awak ni nak pergi mana?”
Encik Badrul telan air liur. “Nak keluar kejap. Awak tak payah tunggu.”
“Balik lambat ke?”
Terus saja Encik Badrul keluar dari bilik membuatkan Puan Kamsiah panas hati.
“SAYA nak pergi klinik boleh tak sayang?” Liya meminta izin dengan suaminya. Badannya sehari dua ini memang tak sedap dan sentiasa lesu. Ditambah pula kejadian hari ini.
Terus saja Syawal mengangguk dan mencapai kunci motosikalnya. “Kita pergi sekarang. Lepas tu kita makan nak tak? Macam dulu-dulu.”
Liya terus senyum. Suaminya pandai mengambil hatinya.
Perlahan Syawal memakaikan topi keledar pada isterinya. Air muka isterinya kelihatan sangat sedih dan lesu. Wajah itu menyorok seribu kedukaan. Sampai hati emaknya berbuat sebegitu kepada orang yang dia sayang. Pinggangnya yang dipeluk kuat membuatkan dia mengusap perlahan lengan Liya.
Sesudah sampai di klinik mereka menunggu giliran untuk dipanggil. Liya dikehendaki untuk mengambil ujian air kencing. Selepas menunggu beberapa minit Liya dan Syawal masuk berjumpa dengan doktor sekali lagi.
Tersenyum wajah doktor itu memandang Syawal dan Liya.
“Macam mana doktor?” tanya Syawal.
Doktor masih tersenyum memandang Liya dan Syawal. “Alhamdulillah. Isteri awak mengandung dah 9 minggu sebenarnya.”
Bulat mata Syawal dan Liya. Mereka berpandangan dan rasa sedih serta gembira menggebu dalam hati. Tanpa sedar Syawal memeluk Liya.
“Allahuakbar. Terima kasih doktor,” ucap Syawal gembira.
“Isteri awak nampak sangat letih. Kena banyak rehat. Lagi-lagi di awal usia kandungan ni. Banyak yang kena jagalah. Saya akan beri beberapa ubat dan nanti boleh bukak buku pink dekat klinik berhampiran,” pesan doktor itu.
Syawal mengangguk. “Baik doktor. Terima kasih banyak-banyak.”
Doktor itu hanya mengangguk dan tersenyum melihat tingkah pasangan itu.
LAMA Syawal memandang Liya sampai meleleh air mata Syawal kerana sebak dan gembira dengan berita yang didengari tadi.
Liya yang sedap menikmati aiskrim cone vanila itu geleng kepala dengan suaminya. “Sayang, janganlah sampai macam ni. Saya lapar ni.”
Syawal tergelak dan memandang perut Liya.
“Baru lagilah sayang,” kata Liya dan mengusap wajah Syawal. Sedap betul aiskrim tu tatkala ini. Bermacam makanan yang dibeli oleh Syawal untuk mereka makan.
Hati Liya sangat bahagia, namun bila terkenangkan hal di rumah membuatkan dia berhenti makan. Bagai memahami Syawal terus menyentuh tangan isterinya.
“Nanti saya cakap dengan mak. Sayang tak boleh buat kerja. Okey?”
Liya ketawa menyindir. “Entahlah sayang. Perasaan saya dah tak tahu nak rasa apa. Nak balik rumah ni pun saya rasa takut.”
“Saya ada untuk sayang. Saya ada untuk anak kita.” Syawal tegas berkata-kata.
Lama Liya memandang wajah suaminya. Ya, Syawal kelihatan sangat yakin dan tegas kala ini.
“Kita makan lepas tu balik okay. Nanti saya urut sayang. Bengkak kat dahi ni pun nanti saya tuamkan,” kata Syawal dan mencuri cium di dahi yang bengkak itu.
“MANA Syawal dengan Liya? Motor dia pun tak nampak ni?” tanya Puan Kamsiah kepada Syazana.
Syazana angkat bahu tanda tidak tahu. “Telefonlah Abang Syawal.”
“Dah telefon dah. Tak berangkat. Makan malam tadi pun mak yang hidangkan. Ni pinggan mangkuk kat dapur tu siapa nak cuci. Kau pergi basuh Syazana?” arah Puan Kamsiah.
“Ala, penatlah. Baru sampai rumah tadi. Mak jelah yang basuh. Tak pun tunggu jelah Kak Liya balik,” balas Syazana. Dia sememangnya sejak kecil tak pernah disuruh untuk buat kerja rumah. Jadi, dia sudah malas dan mengelak untuk buat kerja di rumah.
Bunyi motosikal memasuki garaj membuatkan Puan Kamsiah dan Syazana berpandangan. “Hah, dah balik dah tu.” Syazana bersuara.
Baru saja Syawal dan Liya masuk ke dalam rumah wajah Puan Kamsiah yang garang kelihatan. Syawal menyuruh Liya masuk ke dalam bilik dahulu.
“Kenapa mak?” tanya Syawal senada.
“Mana Syawal pergi?”
Syawal mengeluh perlahan.
“Lain kali keluar bagilah tahu. Tinggalkan dapur macam tu, orang kat rumah nak makan pun susah. Dah mak yang kena buat. Syawal tak kesian dengan mak ke?” kata Puan Kamsiah cuba mendapat perhatian anaknya.
“Keluar pergi makan dengan Liya. Kesian dia asyik duduk rumah je. Lepas tu Syawal bawak pergi klinik takutlah ada kecederaan dalaman ke,” balas Syawal.
Terbeliak mata Puan Kamsiah kerana anaknya Syawal tidak pernah menjawab sebegitu rupa. Belum sempat Puan Kamsiah ingin berkata, Syawal telah beransur masuk menuju ke biliknya.
MELIHAT Liya yang seperti bersiap mahu keluar dari bilik, Syawal terus mencegah. “Nak pergi mana?”
“Settlekan kat dapur tu,” balas Liya dengan wajah yang keletihan.
“Tak payah. Saya yang buat. Sayang rehat okey. Nanti jangan lupa makan ubat dengan vitamin. Ingat ni arahan, faham?” kata Syawal dengan tegas.
Terus saja Syawal keluar dan menutup pintu. Liya tercengang dengan arahan suaminya itu. Lega sebenarnya bila suaminya menyuruh dia berehat di bilik kerana dia sudah keletihan dan mahu berbaring saja.
TEKUN Syawal menguruskan dapur dan membersihkan apa yang patut. Sememangnya sangat memenatkan, bagaimana isterinya boleh membuat semua kerja ini tanpa mengeluh?
Syawal mengambil cawan dan mengisi air sejuk dan meminumnya. Dia perasan ada seseorang masuk ke dapur.
“Kak Liya nanti tolong basuh pinggan ni. And esok Liya nak makan berat sikit. Spageti boleh tak?” Sesuka hati Syazana saja mengarah.
Sakit hati Syawal mendengarnya. Sebegini rupa ke isterinya dibuli?
“Buat sendiri. Tak pun oder je kat luar,” balas Syawal dengan ton suara yang tegas.
Syazana terkejut. “Apa Abang Syawal ni. Terkejut Syazana. Eh, mana Kak Liya?”
“Asal Syazana tanya Kak Liya? Nak mengarah dia buat apa yang Syazana suruh tu ke?”
“Mak yang suruh macam tu. Mak kata Kak Liya boleh buatkan just bagitahu dia je,” balas Syazana dengan rasa menyampah dalam pada masa yang sama kecut juga dengan Syawal bila dia disergah sebegitu.
“Esok Kak Liya tak ada. Seminggu dia tak ada. Pandai-pandai buat sendiri.” Syawal terus berjalan menuju ke bilik.
“Kak Liya nak pergi mana?” tanya Syazana ingin tahu.
Syawal berpusing menghadap adiknya. “Syazana keluar pun Kak Liya tak pernah tanya. Biarlah dia nak pergi mana pun.”
Terus saja Syawal masuk ke dalam bilik dan menutup pintu bilik. Saat itu dia terpandangkan Liya yang sedang merenungnya dengan wajah yang terkejut.
“Saya nak kena pergi mana seminggu ni?”
ns216.73.217.22da2


