Minggu ini merupakan minggu pertama persekolahan untuk Ratna. Semua ibu bapa pelajar berdiri di belakang dewan melihat anak-anak mereka beratur. Beberapa cikgu di pentas mengucapkan selamat datang pada kanak-kanak itu. Ada yang kelihatan gembira kerana dapat masuk ke sekolah rendah, dan ada juga yang masih berasa mengantuk. Semua pelajar datang dengan ibu atau bapa mereka, kecuali Ratna. Selepas Puan Asma menghantar Ratna di pagar sekolah, dia terus memandu pergi. Ratna hanya melihat kereta Mazda tersebut hilang dari pandangannya sebelum dia masuk ke dalam dewan bersama pelajar lain.
Semua murid berjalan mengikut barisan kelas mereka. Ratna masuk ke kelas 1 Jasmin bersama pelajar lain. Dia memilih untuk duduk di meja hadapan paling dekat dengan pintu masuk. Ada beberapa ibu yang menyuruh anak mereka duduk di meja hadapan juga.
“Hai!” Seorang pelajar perempuan menegur Ratna. Dia duduk di sebelahnya. “Nama saya Hana. Mama saya orang Jepun. Siapa nama awak?” Kata gadis itu. Ratna memandangnya dengan agak lama sebelum membalas. “Ratna.” Balasnya.
“Hai, Ratna! Cantik nama awak.” Hana memujinya. Ratna kembali fokus pada tingkap daripada berborak dengan Hana. Hana perasan yang Ratna seperti tidak mahu bercakap dengannya. Air mukanya berubah. Dia kelihatan tidak puas hati apabila Ratna tidak mengendahkannya.
Pada waktu rehat, ada segelintir ibu pergi ke kantin bersama anak mereka. Pada waktu ini, ada beberapa pelajar yang sudahpun berkawan dengan pelajar lain. Ada yang mengenalkan rakan mereka pada ibunya. Semua pelajar kelihatan gembira pada hari pertama mereka di sekolah.
Ratna hanya bersendirian di kantin. Dia makan nasi goreng yang dibeli di kantin. Sambil makan, dia melihat keadaan sekeliling.
Sejak kejadian di tadika, Ratna tertanya apa yang membuatkan dia lain daripada pelajar lain. Kenapa cikgunya beritahu ibunya yang dirinya lain? Apa yang bezakan dirinya dengan pelajar lain? Sampai kini, dia tidak tahu jawapannya.
Hana, Arjun, Haikal dan Ratna duduk dalam satu kumpulan. Guru kelas mereka yang juga cikgu bahasa Melayu mereka, cikgu Fitri menyusun semula kedudukan semua pelajar dalam kelas Satu Jasmin. Dia tidak mahu pelajarnya duduk berkelompok mengikut jantina atau kaum. Dia mahu anak muridnya bercampur sesama sendiri. Dari kecillah mereka perlu dilatih sebegini.
“Hai semua! Selamat datang ke meja hadapan.” Kata Hana pada Arjun dan Haikal. Mereka berdua melambai padanya.
“Wah, duduk dekat depan lebih jelas!” Kata Haikal sambil membetulkan cermin matanya. Arjun melihata sekeliling. Sesekali dia menjeling pada rakan-rakan bangsa India yang lain. Haikal mahu berbisik pada Hana.
“Hei, kawan awak dekat sebelah itu memang pendiam ke?” bisik Haikal pada Hana. Hana mengangkat bahu. “Dia memang tidak bercampur. Kalau cakap dengan dia pun macam tengah bercakap dengan tembok.” Bisik Hana semula. Ratna tidak mendengar bisikan mereka, namun dia mengagak yang mereka sedang berbisik mengenainya kerana mereka menjeling sedikit padanya. Bagi Ratna, dia tidak kisah apa yang rakan kelas bercakap di belakangnya.
“Bangun!” Ketua kelas mengarahkan mereka semua untuk bangun. Semua pelajar mengucapkan terima kasih pada cikgu Fitri. Cikgu Aisyah, yakni cikgu seni mereka masuk. Cikgu itu membawa kertas putih saiz A5 bersama kotak pensel yang penuh dengan pensel warna.
“Hari ini kita akan melukis!” Kata cikgu Aisyah. Semua pelajar bersorak. Mereka sangat sukakan aktiviti melukis. Malah, mereka sangat tertunggu-tunggu waktu subjek seni kerana mereka dapat berkarya. Cikgu Aisyah menghulurkan kertas tadi pada ketua kelas dan menyuruhnya mengedar satu kertas untuk setiap kumpulan meja.
“Baiklah, hari ini saya nak kamu semua lukis kawan kamu. Saya ada bawa pensel warna sekali kalau ada yang tidak bawa pensel warna mereka. Jangan hilangkan pula ya.” Katanya. Hana mengeluarkan kotak pensel warna jenama Faber Castell. Ianya kotak warna besar yang mempunyai 60 batang.
“Wah, banyaknya pensel warna yang awak ada!” Kata Haikal. Hana tersenyum. “Papa saya yang belikan untuk saya. Kita boleh berkongsi. Jom melukis!” Kata Hana dengan gembira.
Sementara mereka bertiga mula melukis pada kertas itu, Ratna hanya mendiamkan diri dan tidak menyertai mereka. “Ratna, jomlah melukis.” ajak Hana. Dalam keadaan terpaksa, Ratna pun mengambil penselnya dan mula melukis.
“Hana, nanti warnakan baju saya warna kuning! Saya suka warna kuning.” Kata Arjun. Hana mengangguk.
Beberapa minit berjalan, Hana siap melukis Arjun dan Haikal. Tiba-tiba, dia berasa seperti mahu buang air kecil. Dia mahu siapkan lukisan dahulu, namun dia tidak dapat tahan lagi. Hana terus berjalan ke arah cikgu untuk meminta izin ke tandas. Selepas cikgu Aisyah memberi keizinan, dia terus berlari ke tandas. Arjun bangun untuk ambil pensel warna yang telah disediakan oleh cikgu tadi. Maka tinggallah Haikal dan Ratna berdua di meja. Ratna cuba untuk mencapai pensel warna biru laut dari kotak pensel warna Hana. Namun, dia terlanggar bekas penselnya ke lantai. Dia menunduk ke bawah untuk kutip alat tulis yang terkeluar dari bekas penselnya. Semasa dia sedang sibuk mengambil alat tulis tadi, kepalanya terlanggar meja dengan kuat. Perkara ini menyebabkan Haikal terconteng lukisan dirinya dan Hana dengan pensel warna hitam.
“Ratna! Tengok apa awak sudah buat!” Tengking Haikal pada Ratna. Dia bangun dan melihatnya. “Saya buat apa pula?” Kata Ratna.
“Tengok ini! Habis lukisan kita. Semua ni salah awak!” Kata Haikal. Pada waktu ini, Hana baru sahaja kembali dari tandas. Apabila dia sampai ke tempat duduknya, dia kelihatan terkejut.
“Siapa conteng lukisan ini?” Katanya. Hana cuba tahan daripada menangis.
“Ratna yang buat!” Kata Haikal tanpa berfikir panjang. Dia menuding jari padanya. Cikgu Aisyah datang ke meja mereka.
“Kenapa kecoh-kecoh ini?” Tanya cikgu tersebut. Pada waktu ini, Hana tidak dapat tahan daripada menangis.
“Buat apa menangis, bukannya penting pun.” Kata Ratna. Hana berasa geram mendengar kata-katanya. “Penat saya melukis semua ini, tahu tidak?! Apa masalah awak? Saya cuba untuk jadi kawan awak, saya cuba jadi baik dengan awak, tetapi apa yang saya dapat?!” Tengking Hana padanya. Ratna tidak faham dengan tindakan Hana.
“Ratna, minta maaf pada Hana sekarang.” Arah cikgu Aisyah.
“Tetapi, bukan saya yang conteng.” Balas Ratna tidak puas hati.
“Jangan hendak berdolak dalik. Minta maaf saja pada Hana.” Arahnya lagi. Ratna tidak faham. Apa masalahnya dengan semua orang? Apa yang pentingnya aktiviti melukis ini? Ratna tidak puas hati dengan layanan mereka terhadapnya.
Sejak kejadian itu, Hana berhenti cuba untuk berkawan dengannya. Pelajar lain juga melabelnya sebagai pelajar yang bermasalah. Hal ini menyebabkan Ratna tidak mempunyai kawan di kelasnya itu. Perkara ini berlarutan hinggalah dia berumur 10 tahun.
Hari ini merupakan hari perjumpaan ibu bapa. Beberapa minit sebelum habis waktu persekolahan, barulah Puan Asma datang ke kelas untuk berjumpa dengan guru kelas Ratna.
“Saya mengajar Ratna sejak dia darjah 1 lagi. Saya tidak tahu kalau puan pernah dengar komen ini ataupun tidak, tetapi saya syak Ratna merupakan anak yang lain daripada lain. Ya, dia bagus dalam akademik, tetapi saya tidak pernah nampak Ratna ada kawan. Malah, saya ada dengar rakan-rakannya yang lain berkata negatif di belakangnya. Bukan apa, andai kata betul yang Ratna ini anak istimewa, lebih bagus kalau kita hantar dia ke sekolah yang sepatutnya.” Komen cikgu Aisyah pada Puan Asma.
Puan Asma kelihatan tidak puas hati. “Cikgu, anak kakak saya autisme. Saya tahu macam mana rupa anak istimewa ini bagaimana. Saya tidak faham kenapa cikgu-cikgu suka kata yang anak saya ini lain daripada lain. Mungkin memang Ratna ini tidak suka berkawan, kita mana tahu.”
“Tetapi untuk masa depan Ratna, tidak salah jika kita mengambil langkah pertama. Kanak-kanak normal tidak akan mencari gaduh dan menipu rakan sekelasnya. Macam-macam dia telah buat pada kawan-kawannya tanpa rasa serba salah.” Balas cikgu Aisyah. Dia cuba untuk kekal kelihatan tenang.
“Cikgu sendiri kata dia okey dalam akademik. Maknanya dia tiada masalah!” suara Puan Asma makin meninggi. Cikgu Aisyah menarik nafas panjang. Dia perlu sabar menghadapi ibu Ratna.
“Puan, pernah ke tidak guru kelasnya yang sebelum ini kata yang Ratna mengganggu pelajar lain? Malah, dalam kelas saya sendiri pun Ratna asyik bergaduh dengan rakan sekelasnya. Yang buat saya terkejut, Ratna tidak menunjukkan rasa empati pada rakan sekelasnya.” Pujuk cikgu Aisyah lagi. Puan Asma bangun secara tiba-tiba membuatkan cikgu Aisyah terkejut.
“Saya akan bercakap dengan Ratna sendiri tentang ini. Ratna, jom balik.” Kata Puan Asma. Ratna terus mengemas barangnya yang ada di meja dan mengikut ibunya keluar dari kelas. Cikgu Aisyah mengeluh panjang.
Di dalam kereta, Puan Asma membebel. “Kenapa Ratna suka sangat buat masalah di sekolah? Ratna bukan budak tadika lagi. Ratna sudah besar. Mak penatlah asyik dengar cikgu kata Ratna ini budak bermasalah. Ada yang sampai kata Ratna kena dirawat. Ratna suka ke malukan mak ayah macam ini?”
Ratna hanya duduk terkaku di tempat duduk penumpang hadapan. Dia tidak ada apa untuk membalas. Lebih baik dia diam daripada menjawab.
Puan Asma bertambah lagi. “Nanti mak bagitahu ayah tentang Ratna.”
Ratna hanya menjeling pada ibunya, kemudian dia lihat di tingkap.
“Ratna, datang sini.” Encik Argo memanggil anaknya. Ratna datang ke ruang tamu. Ratna mengagak yang ibunya telah beritahu semuanya pada ayahnya.
“Mak Ratna kata Ratna asyik bergaduh di sekolah dan Ratna tiada kawan di kelas. Kenapa?” Tanya Encik Argo. Suaranya tegas, namun masih kekal tenang.
“Berkawan itu membuang masa saja.” Balas Ratna. Ibu bapanya terkejut mendengar jawapannya.
“Siapa yang ajar Ratna sebegini? Siapa kata berkawan itu membuang masa? Ratna, semua orang di dunia ini perlukan kawan. Kita makhluk sosial. Lagipun mak ayah tidak pernah ajar menipu orang dan sengaja buat orang bergaduh sesama sendiri.ma sendiri.” Balas ayahnya lagi. Ratna hanya terdiam.
Balas ayahnya lagi. Ratna hanya terdiam. Dia tidak puas hati dengan komen ayahnya. Secara tidak sengaja, Ratna menjeling ke tempat lain seperti dia malas untuk dengar kata-kata ayahnya. Encik Argo berang melihat tindakan anaknya itu. “Bila orang tua tengah bercakap jangan menjeling!”
Suara ayahnya yang tiba-tiba kasar membuatkan Ratna berasa terkejut. Ratna memandang wajah ayahnya itu. Namun, apa yang Ratna cakap selepas ini membuatkan dia lebih geram. “Apa masalahnya kalau saya tidak mahu berkawan? Apa masalahnya kalau saya buat mereka bergaduh? Saya bukannya mereka cerita. Saya cakap apa yang saya tahu. Selebihnya mereka sendiri yang bergaduh.”
“Jangan hendak menjawab!” Tengking Encik Argo. Selama ini, Encik Argo bukanlah seorang yang senang marah. Malah, dia lebih lembut daripada Puan Asma. Namun, apa yang Ratna buat sekarang ini sangat mencabar kesabarannya.
“Ratna, kalau ada masalah bagitahu kami. Kami boleh tolong…” Sebelum sempat Puan Asma habiskan ayatnya, Ratna menjawab dengan nada kuat. “Saya tidak perlukan bantuan!” Kali ini, Ratna berasa sangat tidak puas hati. Tanpa berfikir panjang, dia pergi ke dapur. Puan Asma dan Encik Argo mengejarnya. Apabila mereka sampai di dapur, mereka terkejut dengan apa yang Ratna buat. Dia sedang memegang pisau seperti mahu menyerang orang.
“Ratna, letak balik pisau itu.” Kata ibunya.
“Kenapa mak ayah malu sangat dapat anak macam saya? Kenapa saya kena berlagak macam budak-budak lain? Saya tidak mahu berpura-pura macam orang lain! Mereka yang ada masalah dengan saya, sama juga dengan mak ayah!” Kata Ratna. Tanpa dia sedar, dia baru sahaja merasakan emosi pertamanya. Jantungnya berdegup kencang, genggamannya sangat kuat, dan dahinya berkerut. Dia menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
“Ratna, bagi pisau itu sekarang!” Kata Encik Argo. Tiba-tiba, dia terus berjalan ke arah Ratna. Tanpa berfikir, Ratna menghayun pisau itu ke kiri dan ke kanan hingga ia terkena peha kanan ayahnya. Ayahnya mengerang kesakitan. Pisau tersebut tertikam dalam. Puan Asma terkejut dengan apa yang terjadi. Tanpa berlengah, dia menolong suaminya itu dengan memapahnya ke kereta. Ratna juga berasa tersentak dengan apa yang dia buat sebentar tadi. Dia sudah terbiasa menyakiti orang lain, namun menyakiti bapanya sendiri? Dengan rasa cemas, dia mengikuti ibunya dan masuk ke dalam kereta. Dia duduk di tempat duduk belakang dan duduk diam.
Sesudah sampai di bahagian kecemasan, Encik Argo dihantar ke zon merah. Puan Asma memberitahu Ratna untuk tunggu di ruang menunggu yang berada di zon hijau. Ratna menunggu dengan lama. Sambil menunggu berita, Ratna memikirkan apa yang dia rasa di rumah sebentar tadi. Dia tidak faham emosi apa yang dia rasakan. Ratna berasa sangat keliru. Dia tidak tahu apa yang dia rasa sekarang ini. Adakah ianya sesuatu yang negatif atau positif? Emosi apa yang sesuai dengan perasaan ini? Selepas beberapa jam menunggu, Puan Binar dan seorang doktor perempuan datang kearahnya.
“Ratna, saya doktor Iman. Boleh doktor cakap dengan Ratna sekejap?” Kata doktor itu. Ratna tidak memberikan reaksi. Jelas kelihatan dia sangat keliru.
Doktor Iman mengajak Ratna ke sebuah ruang yang jauh dari keramaian orang. Dia bertanyakan pelbagai jenis soalan. Ratna cuba untuk menjawab semua soalan yang ditanya. Sambil itu, doktor Iman sedang mencatat sesuatu di atas kertas, merekod semua yang Ratna katakan. Selepas 45 minit sesi soal jawab, doktor itu tanya pada Puan Binar.
“Puan okey ke kalau kami masukkan dia dalam wad kanak-kanak?” Tanya doktor Iman pada Puan Binar. Ratna berasa pelik. Kenapa dia pula yang kena masuk wad? Dia ada banyak persoalan, tetapi mulutnya berat untuk bertanya. Terlalu banyak benda yang dia tidak faham membuatkan otaknya seakan tepu.
ns216.73.216.250da2


