Kanak-kanak berkejaran sesama sendiri. Bilik tersebut riuh dengan kanak-kanak. Ada yang bermain anak patung Barbie, ada yang main kereta mainan, dan ada juga yang melukis dan mewarna. Waktu rehat ialah waktu yang dinanti-nantikan mereka kerana cikgu akan berikan masa untuk mereka bermain sebelum kelas seterusnya. Ratna di tepi sudut bilik tersebut memerhati rakan-rakan sekelasnya berseronok. Matanya tercari-carikan sesuatu. Dia mahu bermain dengan lego.
Selepas beberapa kali mencari, akhirnya dia jumpa di mana lego itu berada. Ada seorang kanak-kanak lelaki berkaca mata sedang bermain seorang diri. Tanpa berfikir panjang, Ratna pergi ke arah budak lelaki itu.
“Saya hendak main.” Kata Ratna pada lelaki itu.
“Tidak boleh! Saya jumpa dulu.” Kata budak itu.
Tanpa berfikir panjang, Ratna menolak budak lelaki itu sehingga dia jatuh dari kerusi. Kepalanya terhantuk pada lantai. Perkara ini membuatkan dia menangis dengan kuat.
“Cikgu!” Seorang kanak-kanak perempuan berlari keluar dari kelas. Tidak lama kemudian, cikgu Salwah, seorang cikgu muda berbadan kecil masuk ke dalam kelas itu. Dia terus berjalan ke arah budak lelaki yang menangis tadi. Dalam kekecohan ini, Ratna hanya fokus pada lego tanpa mengendahkan apa yang berlaku di sekelilingnya.
“Ratna! Kenapa kamu tolak Adam?” Kata cikgu itu dengan tegas. Ratna hanya berdiam diri. Hal ini membuatkan cikgu itu berasa tidak puas hati. Dia memegang bahu Ratna dengan kuat untuk memaksanya melihatnya.
“Kalau orang tengah bercakap, pandang muka! Cikgu tanya, kenapa kamu tolak Adam?” Kata cikgu itu lagi. Ratna memberi pandangan kosong sebelum menjawab. “Sebab saya hendak main lego.”
Cikgu itu kelihatan bingung. Hanya kerana lego dia menolak rakan sekelasnya? Kenapa?
“Dengar sini. Kamu tidak boleh berkasar dengan rakan sekelas kamu. Minta maaf pada Adam sekarang.” Arah cikgu itu pada Ratna. Dalam terpaksa, Ratna berkata “Maaf.”, kemudian dia terus sambung bermain dengan lego.
“Bukan macam itu kamu minta maaf.” Cikgu itu mencapai tangan kanan Ratna untuk memaksanya berjabat tangan dengan budak lelaki tadi. “Salam dia, kemudian kata ‘minta maaf’.” Kata cikgu itu.
Mata Ratna menggelengkan mata. “Saya minta maaf.” Katanya sambil bersalaman dengan budak lelaki tadi. Kemudian, dia sambung semula bermain dengan lego.
Cikgu Salwah hanya menggelengkan kepala. Selepas dia memujuk budak lelaki tadi untuk berhenti menangis dan menyuruhnya bermain dengan rakan-rakan lain, dia kembali ke mejanya yang berada di bilik sebelah.
“Pada hari ini, kita akan belajar mengenai emosi. Hani, edarkan kertas ini. Seorang akan dapat satu kertas.” Kata cikgu Salwah sambil menghulurkan beberapa kertas saiz A4 pada seorang murid perempuan. Dengan gembira, kanak-kanak itu membahagikan kertas tersebut pada rakan sekelasnya.
“Sementara tunggu Hani edarkan kertas, jom cikgu lukis beberapa muka.” Cikgu Salwah menampal lima gambar emoji dengan emosi berbeza. “Setiap hari, kita merasai pelbagai jenis emosi. Ha, siapa boleh teka ini emosi apa?” Cikgu itu menunjukkan lukisan pertamanya menggunakan jari telunjuk.
“Gembira!” Kata semua pelajar. Ratna hanya mendiamkan diri. Dia memberikan tumpuan pada pembelajaran, namun dia tidak tahu hendak kata apa. Cikgu Salwah perasan, namun dia endahkan.
“Betul itu! Pandai kamu semua. Kita akan rasa gembira bila kita dapat sesuatu ganjaran atau berita baik. Contohnya sewaktu hari jadi. Kan kita akan dapat kek dan hadiah. Siapa dekat sini suka dapat hadiah? Angkat tangan!” Kata cikgu Salwah sambil mengangkat tangannya. Semua pelajar mengangkat tangan kecuali Ratna. Pada waktu ini, cikgu itu tidak dapat berpura-pura tidak perasan kerana ianya sangat ketara yang Ratna tidak memberi respon pada apa-apa.
“Ratna, kamu tidak suka ke bila dapat hadiah?” Cikgu Salwah menegurnya membuatkan Ratna sedikit terkejut. Dia tidak menjawab soalah cikgunya itu. Dia hanya membalas dengan mengangkat bahunya. Cikgu itu berasa agak pelik dengan reaksi Ratna. Namun kelas harus diteruskan.
Sepanjang kelas itu berlangsung, cikgu itu tidak dapat berhenti daripada perasan gerak-geri Ratna. Dia menumpukan perhatian, namun tidak memberikan reaksi pada soalan yang diajukan kecuali jika dipanggil. Tidak boleh jadi. Dia perlu beritahu ibunya tentang perkara ini. Fikir cikgu itu.
Pada waktu habi persekolahan, kanak-kanak itu dipindahkan ke taska yang berada di sebelah tadika itu. Di sana, pelajar akan mandi dan menukar pakaian kepada pakaian harian sebelum menyertai kanak-kanak lain untuk tidur pada waktu tengahari. Selalunya, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang sibuk akan duduk di sana hingga waktu petang, manakala sebahagian lain terus balik dengan menaiki van sekolah atau ibu bapa yang datang ambil sendiri anak mereka. Ratna merupakan salah satu kanak-kanak yang duduk di taska. Ibu bapanya sibuk dengan kerja di pejabat. Mereka tidak dapat mengambil Ratna walaupun pada waktu rehat kerana tempat kerja mereka yang jauh.
Selepas Ratna mandi dan menukar baju, dia terus ke ruang utama di mana pelajar tadika tidur. Bayi dan kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun tidur di tingkat atas, manakala yang lain-lain tidur di tingkat bawah.
Ratna hanya terbaring dan menatap siling. Dia tidak mengantuk langsung. Kanak-kanak lain sudahpun tidur kecuali dia. Selalunya, pada waktu sebegini Ratna akan berimaginasi. Dia akan bayangkan pelbagai babak yang menarik di fikirannya.
Ratna agak lain dari rakan-rakanya. Dia tidak bercampur dengan pelajar lain. Malah, dia sering berkasar dengan rakan sekelasnya. Dia juga tidak endahkan perasaan orang. Dia seperti hanyut dalam dunianya sendiri sahaja. Perkara ini membuatkan Ratna tidak mempunyai kawan. Semua rakan sekelasnya cuba untuk menjauhi diri mereka dariapda Ratna supaya mereka tidak disakiti. Namun, Ratna tidak menghiraukannya. Baginya, dia sudah cukup bahagia dengan dunianya tersendiri.
Semua kanak-kanak di taska itu bermain di taman permainan yang terletak di kawasan luar taska. Taska tersebut menyediakan jongkang jongkit, peluncur dan rumah plastik kecil di halaman luar. Kedudukan taska yang berada di tepi kawasan perumahan membuatkan kawasan itu mempunyai tanah lapang di sebelahnya.
Ratna menonton televisyen yang berada di ruang utama bersama kanak-kanak lain. Mereka sedang menonton kartun yang disiarkan di TV9. Sewaktu dia sedang asyik dengan kartun di televisyen, cikgu Salwah memanggilnya. “Ratna! Mak awak sudah sampai.”
Ratna berpaling ke belakang. Dia lihat ibunya sedang berbual dengan cikgu Salwah. Tanpa berlengah, Ratna mengambil beg galasnya berwarna hitam yang berada di rak luar. Sambil dia menyusun baju yang ada di dalam beg tersebut, dia terdengar perbualan mereka sedikit.
“Puan pasti ke Ratna bukan anak istimewa? Bukan apa, kalau kita dapat mengesan awal lebih bagus.” Pujuk cikgu Salwah.
“Eh, anak saya normal saja. Dekat rumah dia bukannya tantrum pun.” Ibu Ratna menidakkannya. Cikgu Salwah mahu memujuknya lagi untuk dapatkan rawatan demi kebaikan Ratna, namun mulutnya berat untuk membalas apa-apa. Lagipun, dia masih lagi cikgu baru di tadika dan taska tersebut. Dia takut jika dia tersilap kata dan dimarahi si ibu. Pada akhirnya, dia hanya melihat Ratna dan ibunya menaiki kereta Mazda hitam.
“Cikgu tadi kata Ratna bergaduh dengan rakan sekelas. Kenapa?” Kata Puan Asma dengan nada sedikit tegas.
“Ratna bukannya bergaduh dengan dia. Ratna cuma tolak dia saja.” Katanya dengan bersahaja.
“Sudah kenapa pula Ratna tolak dia? Dia ada buli Ratna ke?” Tanya Puan Asma lagi. Dengan tenang, Ratna membalas. “Sebab dia tidak mahu berkongsi mainan dengan Ratna. Jadi Ratna tolaklah.”
Puan Asma hanya mengeluh panjang. Dia tidak tahu mahu kata apa pada anaknya itu. Jelas kelihatan anaknya langsung tidak berasa serba salah atas tindakannya.
“Mana boleh tolak orang sesuka hati. Kalau budak itu cedera macam mana? Nanti keluarga dia mesti salahkan mak ayah. Ratna tidak boleh bertindak ikut perasaan saja. Kesiankan mak ayah. Malu tahu bila cikgu itu kata Ratna bergaduh dengan rakan sekelas.” Bebel ibunya. Ratna hanya mendiamkan diri. Dia melihat luar tingkap dan sengaja tidak fokus pada leteran ibunya itu.
ns216.73.216.250da2


