Bermulalah kehidupan Ratna dalam wad pediatrik. Seorang jururawat menyapanya. “Hai! Jom ikut kakak. Kakak tunjukkan mana katil awak.”
Ratna hanya mengikutinya dengan senyap. Semua pesakit sedang tidur. Jam pada waktu itu menunjukkan 3.40 pagi. Wad itu gelap. Satu-satunya lampu yang terbuka ialah di bahagian meja jururawat. Kelihatan jururawat lain sedang menulis sesuatu pada fail laporan pesakit.
Mereka berhenti pada katil paling hadapan sekali. Pada katil itu ada baju hospital. “Awak tukar baju ya.” Kata jururawat itu. Ratna masih tidak menjawab. Dia terus mengambil baju hospital dan berjalan ke bilik air untuk tukar baju. Selepas menukar baju, Ratna terus baring di katil. Dia termenung lama pada waktu itu. Dia tidak boleh tidur. Pelbagai enda jadi pada hari ini membuatkan Ratna masih dalam keadaan terkejut.
Beberapa jam kemudian, cahaya matahari menembusi wad itu. Kawasan itu menjadi terang. Beberapa kanak-kanak sudahpun terbangun manakala yang lain-lain masih tidur. Ratna masih tidak tidur pada waktu itu. Ratna bangun dan terduduk di katil. Dia melihat sekeliling. Ada kanak-kanak yang bangun dari katil dan pergi ke bilik air untuk mandi. Ada segelintir pesakit yang memakai oksigen pada hidungnya. Ada juga yang tangannya disambung dengan beg infusi pada tangannya. Suasana di wad itu agak sunyi walaupun ada yang sudah bangun.
Pada pukul 7.30 pagi, troli makanan sampai. Sarapan mereka ialah roti yang disapu dengan planta beserta air teh o. Ada juga kanak-kanak yang dapat roti yang lain dari yang lain. Ratna makan dengan diam. Dia menjamah roti itu dengan perlahan. Sewaktu dia sedang makan, dia disapa oleh seorang budak perempuan di sebelah katilnya.
“Awak baru masuk ya? Awak sakit apa ya?” Kata budak itu.
“Saya demam saja.” Ratna menipu. Dia sendiri tidak tahu dia sakit apa sampai dia perlu dimasukkan ke dalam wad bersama kanak-kanak sakit yang lain.
Budak perempuan itu mengangguk. “Siapa nama awak? Saya Sumaya!” Tanya budak itu lagi.
Ratna mengeluh panjang. Dia betul-betul tiada mood untuk berbual kosong dengan sesiapa. “Saya…” Sebelum sempat Ratna menjawab, seorang doktor datang ke katilnya.
“Selamat pagi, Ratna. Saya doktor Aina. Apa perasaan kamu hari ini?” Tanya doktor Aina. Ratna memikirkan jawapan. Dia tidak tahu emosi apa yang dia rasa sekarang ini. “Saya… Keliru. Itu saja.” Jawabnya.
“Dan kenapa itu?” Tanya doktor Aina lagi. Ratna mendesis. “Manalah saya tahu.” Balasnya. Doktor Aina mencatat jawapannya pada fail.
Makin lama Ratna duduk di dalam wad, makin dia fahami sesuatu tentang dirinya. Sesuatu yang membuatkan dia lain daripada kanak-kanak biasa. Dan benda itu adalah emosi.
Sebelum ini, Ratna ada cuba untuk mencuri lihat fail-fail pesakit. Dia dapat lihat apabila dia menipu semua jururawat untuk membuatkan mereka pergi dari meja mereka. Pada waktu itu, Ratna mencuri lihat fail-fail pesakit. Dia cuba untuk mencari fail dirinya. Selepas membelek timbunan fail itu, barulah dia jumpa fail yang ada namanya. Dalam fail tersebut, ada cacatan harian doktor. Dalam catatan itu, doktor menulis yang Ratna seperti mempunyai alexithymia(?). Ratna menyengetkan kepala. Dia tidak faham apa itu alexithymia dan perkataan medikal yang lain. Namun apa yang konsisten dalam catatan doktor ialah dia tidak menunjukkan emosi pada kebanyakan masa. Adakah keadaan dia teruk? Adakah apa yang cikgu-cikgunya kata pada ibunya adalah betul yang dia lain daripada kanak-kanak biasa?
“Ratna, awak buat apa dekat sini?” Suara jururawat membuatkan dia terkejut. Fail yang ada di tangannya jatuh. Jururawat itu menarik tangannya. “Pesakit tidak boleh berada di meja ini. Jom, kakak bawa awak ke katil awak semula.” Katanya dengan lembut. Pada waktu ini, jururawat yang lain pun datang. Mereka hanya melihat mereka berdua jalan ke arah katil Ratna.
“Hai, Ratna! Awak pergi mana tadi?” Tanya Sumaya. Dia berhenti dari membaca komik.
“Saya ke tandas.” Ratna menipu. “Ooh…” Sumaya mengangguk.
“Sumaya!” Tiba-tiba ada suara perempuan dari belakang Ratna. “Mama! Sumaya sudah boleh balik!” Kata Sumaya dengan gembira. Ibunya muncul bersama sebuah beg tote besar berwarna hitam.
“Awak sudah boleh balik?” Tanya Ratna.
“Ya! Saya sudah sihat, jadi doktor bagi saya balik.” Kata Sumaya dengan gembira. Namun dia berhenti tersenyum bila tengok riak wajah Ratna. Dia salah faham riak wajah kosong Ratna dengan kesedihan.
“Nah, awak ambillah!” Sumaya menghulurkan buku komik yang dia baca tadi. “Cerita ini mengenai seorang gadis yang sedang mencari kegembiraan dalam hidupnya. Saya hadiahkan buku ini pada awak tanda persahabatan kita!” Katanya.
Ratna berasa pelik. Mereka jarang berborak, namun kenapa Sumaya sudah anggap dia seperti kawan? Layanannya membuatkan Ratna teringatkan Hana yang juga cuba untuk berkawan dengannya semasa dia darjah 1.
“Terima kasih.” Tanpa sedar, Ratna mengatakan ayat tersebut tanpa disuruh. Sumaya kelihatan gembira mendengarnya. Dia kemudiannya mengambil baju yang ibunya bawa dan terus ke bilik air untuk bertukar baju.
Selepas menukar baju dan mencabut jarum branula oleh jururawat, dia melambai pada Ratna. “Jika Tuhan izinkan, kita akan berjumpa semula. Saya senang ingat muka orang. Bye!” Kata Sumaya. Ratna hanya melihatnya pergi keluar dari wad bersama ibunya. Ratna melihat buku komik yang diberinya tadi. Tajuk buku itu ialah ‘Cahaya Di Hujung Jalan’. Jujurnya, Ratna tidak berminat untuk membaca. Malah, dia tiada hobi yang tetap. Dia selalunya menghabiskan masanya dengan belajar sahaja selama ini.
Ratna meletakkan buku tersebut di meja. Nantilah dia baca. Atau mungkin dia akan buang buku tersebut.
Satu per satu kanak-kanak balik dengan ahli keluarganya. Kini, hanya ada tiga orang sahaja pesakit di wad itu termasuk Ratna. Pada waktu itu ialah 12 tengahari. Kedua-dua budak yang ada dalam wad itu dilawati oleh ahli keluarga mereka. Ada ibu yang menyuap anaknya makan, dan ada yang gembira bercakap dengan keluarganya. Sepanjang Ratna di wad tersebut, ibu bapanya langsung tidak datang untuk melawatnya. Kalau mereka datang pun, mereka hanya akan berbual dengan doktor di sana. Kemudian, mereka terus balik.
Ratna tidak tahu apa yang dia rasakan sekarang ini. Adakah ianya sedih? Marah? Kecewa?
Tidak, dia rasa kosong. Hatinya kosong. Dia sunyi. Buat pertama kali, dia rasa sepi. Sebelum ini, dia anggap berkawan ini membuang masa. Namun kini, dia tidak tahu apa yang dia rasakan sebenarnya. Mungkin juga dia rasa sedih, dia tidak tahu.
“Hai, Ratna. Jom, kita ke bilik kaunseling.” Seorang jururawat menegurnya. Ratna mengikutnya dengan senyap. Apabila sampai ke bilik tersebut, jururawat itu mengetuk pintu dan memberi salam. Pintu bilik dibuka serta merta.
“Hai! Ini Ratna, kan?” kata orang yang berada di pintu itu. Jururawat mengangguk. Orang itu memanggil Ratna untuk masuk ke dalam biliknya.
“Hai, Ratna. Saya Puan Maryam, seorang psikologist. Awak tahu ke tidak siapa psikologist?” Tanya Puan Maryam. Ratna hanya menggelengkan kepala. “Psikologis ni macam doktor untuk fikiran dan perasaan. Saya akan bantu Ratna fahami perasaan sendiri.” Katanya. Ratna hanya terdiam. Dia tidak tahu mahu kata apa.
“Baiklah, Ratna. Di depan awak ada gambar badan manusia. Ada kepala, tangan, badan dan kaki. Dan ini saya ada 12 batang krayon. Pertama sekali, kamu pilih empat warna yang mewakili emosi gembira, sedih, marah dan lain-lain.” Balas Puan Maryam, kaunselor yang ditugaskan untuk menjalani terapi kognitif perilaku pada Ratna. Ratna mengambil warna merah jambu, biru, merah dan hitam dari kotak krayon.
“Baik, boleh kamu beritahu setiap warna tu mewakili apa? Hendak buat atas kertas pun tidak mengapa.” Tanya Puan Maryam. Ratna melukis bulat menggunakan warna yang diambilnya seperti palet warna di tepi kertas. Kemudian, dia melabelkan keempat-empat warna itu mengikut emosi. Warna merah jambu mewakili emosi gembira, biru mewakili emosi sedih dan merah mewakili emosi marah. Apabila sampai pada warna hitam, dia hanya biarkan kosong.
“Kenapa Ratna biarkan hitam kosong? Warna hitam ini mewakili emosi apa?” Tanya Puan Maryam padanya.
“Kosong. Tiada perasaan. Saya tidak tahu hendak letak apa untuk warna itu.” Balas Ratna. Puan Maryam hanya mengangguk. Dia tidak mengatakan apa yang Ratna buat itu salah kerana sepanjang terapi, dia memang perasan yang Ratna tidak memahami emosi manusia.
Terapi berjalan dengan lancar pada waktu itu. Puan Maryam meminta Ratna mewarnakan telinga, mata, mulut, tangan, kaki dan dada menggunakan warna yang dipilih. Pada mulut, mata, telinga, tangan dan kaki, Ratna mewarnakan dengan warna hitam. Untuk dada pula, ratna mewarnakan dengan warna merah. Puan Maryam bertanya padanya apa yang dia buat pada anggota badan tersebut apabila dia merasai emosi tersebut.
“Saya rasa kosong pada mata, telinga, mulut dan dada. Jadi saya tidak buat apa-apa. Untuk dada, saya tidak tahu hendak terangkan macam mana. Saya cuma rasa yang saya lain dari yang lain, dan itu buatkan saya rasa terganggu.” Jelas Ratna pada Puan Maryam.
Selepas mendengar penerangan Ratna, Puan Maryam membalas. “Baiklah, sekarang jom kita fikirkan apa yang kita boleh buat untuk hilangkan rasa kosong ni.” Puan Maryam mengambil krayon warna merah jambu dan sambung. “Dengan gunakan apa kita belajar tentang emosi dua hari lepas, apa kata kamu buat benda yang kamu suka untuk tukarkan rasa kosong ni dengan suatu yang positif iaitu gembira.” Puan Maryam kemudiannya mewarnakan beberapa anggota badan di atas kertas menggunakan warna merah jambu itu. “Kamu ada hobi? Aktiviti yang kamu suka?”
“Saya tidak ada hobi.” Balas Ratna. Puan Maryam mencubit dagunya sambil berfikir.
“Kalau macam itu, apa kata awak mulakan hobi baru? Macam membaca? Ratna suka buku ke?” Kata Puan Maryam. Ratna tidak membalas. Melihat Ratna terdiam, Puan Maryam menyambung. “Kita boleh cuba dengan membaca buku. Sebentar ya, saya ambil satu buku.” Puan Ratna bangun dan pergi ke raknya. Dia membelek setiap buku yang ada di rak tersebut sehinggalah dia jumpa dengan buku novel remaja yang lama yang disimpannya. Tajuk buku tersebut ialah “Gadis Tanpa Latar”.
“Nah, ini buku yang saya beli masa zaman remaja. Saya hadiahkan buku ni pada awak.” Kata Puan Maryam sambil menghulurkan buku tersebut pada Ratna. Ratna mengambil buku tersebut tanpa mengucapkan apa-apa. Sesi terapi selesai dan Ratna dihantar semula ke wad.
Suara seorang kanak-kanak lelaki kedengaran dari hujung bilik wad. Kanak-kanak tersebut dalam keadaan ketakutan setiap kali jururawat mendekatinya untuk mencuci luka. Ratna dan budak lain hanya melihatnya dari katil masing-masing. Hal ini tiba-tiba mengingatkannya pada nasihat yang diberi Puan Maryam mengenai keinginan menyakiti makhluk lain. “Menyakiti makhluk lain seperti manusia dan binatang adalah salah. Selepas ini awak cuba elakkan diri dari menyakiti orang lain.”
Entah dari mana, Ratna mendapat akal. Kalau dia tidak dapat lihat emosi orang lain, macam mana kalau dia sendiri yang menyakiti dirinya sendiri? Ianya tidak salah kan? Memandangkan dia bukannya menyakiti orang lain. Lagipun, dia tidak pernah buat sesuatu oada dirinya. Mungkin dia juga dapat rasa sedih bila sakit.
Sewaktu jururawat sedang fokus merawat budak yang meraung tadi, Ratna mendekati troli ubat dan mengambil sebuah picagari. Kemudian, dia berjalan ke ruang solat. Ruang solat itu berada berdekatan dengan pintu keluar masuk di bahagian depan wad. Di ruang solat itu, tiada orang kelihatan. Biliknya kecil sahaja dan mampu untuk memuatkan lima orang untuk solat. Ratna memandang picagari tersebut. Dia menarik picagari supaya angin masuk ke dalam dan memasukkannya pada jarum branula yang terlekat di tangan kanannya.
Belum sempat dia memicit, seorang wanita tua masuk ke ruang solat itu. Wanita itu sangat terkejut melihat Ratna sehingga dia melatak dengan kuat. Latahannya membuatkan jururawat datang ke ruang solat untuk melihat apa yang berlaku.
“RATNA!! JANGAN!!” Kata jururawat itu. Dia merampas picagari itu dari tangan Ratna. Ia menyebabkan jarum branula yang melekat di tangan Ratna tertarik sekali. Mukanya kelihatan takut melihat Ratna. jururawat itu memegang bahu Ratna dengan agak kuat. “Berapa banyak udara awak picit?!” Tanya jururawat itu.
“Entah.” Balas Ratna pendek sambil mengangkat bahu. jururawat itu menarik tangan Ratna keluar dari ruang solat. Jururawat-jururawat lain melihat mereka berdua. Mereka bertanya apa yang terjadi tadi. Jururawat itu menerangkan kembali apa yang Ratna buat, dan mereka turut menjadi takut. Sejak itu, mereka memantau Ratna dengan kerap pada hari itu.
ns216.73.216.250da2


