Sudah seminggu aku cuba berlakon sibuk. Aku berjaya mengelak Fakhri sehabis mungkin. Di dapur, aku sentiasa ada prep yang takkan pernah habis. Kalau ada waktu senggang yang tiada pelanggan, aku akan cepat-cepat duduk jauh. Selalunya aku akan memencilkan diri dan tak akan bersama dengan yang lain jika Fakhri pun ada.
Hari itu, aku sedang mengunyah nasi sambil membelek telefon, cuba tunjuk yang aku sibuk dengan dunia sendiri. Tiba-tiba, telefon aku ditarik.
“Woi!” Aku terkejut. Sally memegang telefon aku.
“Kau berlakon sibuk tengok Instagram tu, padahal kau tengok resipi dessert Odah semalam, kan. Stop it.” Sally letak telefon di meja dengan kuat. Dia pandang aku, kemudian matanya beralih meja di hujung dapur, di mana Fakhri sedang berbual ringkas dengan Syidi.
Odah duduk di sebelah Sally, tangannya memegang cawan mug. Dia adalah orang yang paling jarang bersuara, tetapi hari ini, dia bersuara.
“Hazim,” panggilnya perlahan. “Awak ada masalah dengan Fakhri ke?”
Tengkok aku terasa tegang. Aku panik. Ini bukan Sally yang bertanya. Ini Odah.
“Mana ada. Tak adalah. Kenapa pula?” Aku cuba ketawa, tetapi kedengaran palsu di telingaku sendiri.
“Jangan buat-buat tak tahu,” sambung Sally. “Sejak seminggu ni, kau elak dia macam dia tu kuali yang penuh minyak panas. Kau tak tegur dia, kau tak minta tolong dia. Kalau dulu, kau orang berdua macam ‘kembar senyap’ di dapur. Sekarang? Dah macam dua orang asing yang tersesat.”
“Aku sibuk la, Sally. Prep banyak. Firdaus nak aku potong bawang, kupas kentang dan lain-lain tiga kali ganda banyak minggu ni,” auta aku menidakkan. Kebohongan itu keluar dengan mudah, tetapi ia terasa kotor di lidah.
Odah meletakkan cawannya. “Awak boleh bohong kat Syidi, sebab Syidi memang tak perasan. Tapi kami perasan, Hazim. Fakhri ada tanya saya, ‘Odah, saya ada buat salah apa-apa ke?’ Sian la kat dia.”
Jantung aku terasa seperti terhenti. Dia risaukan aku? Dan rasa bersalah menyerang aku lagi.
“Aku... aku tak ada masalah dengan dia. Betul. Mungkin aku penat. " aku cuba melencongkan topik.
Sally menyilangkan tangan di dada. "Sebab kau penat, kau lari? Bullshit, Hazim. Kalau kau ada masalah kerja, kau cakap. Kalau kau ada masalah hati, kau diamkan. Tapi jangan hukum Fakhri sebab masalah kau sendiri. Dia tak bersalah."
Aku tunduk. Aku tahu Sally dan Odah betul. Tapi aku takkan pernah berani luahkan jawapan yang sebenar. Macam mana aku nak jelaskan yang aku dah tak mampu tahan pandangan dia? Aku dah tak mampu terima kebaikan yang dia beri. Aku teringat apron yang dia pulangkan, dibasuh bersih. Aku simpan apron itu. Sebab aku mahu simpan sentuhan dia.
Konfrontasi dengan Sally dan Odah itu tidak membantu. Ia cuma buat aku lebih berhati-hati dalam menjaga jarak.
Sepanjang shift petang itu, kejanggalan kami berdua terasa macam kabus tebal yang mengisi setiap inci ruang dapur. Walaupun kami bekerja di stesen yang berjiran, aku mengelak dari meminta bantuan Fakhri. Apabila dia menghulurkan bahan yang aku perlukan, aku akan ambil tanpa pandang muka. Setiap saat terasa diseret panjang, seolah-olah aku sedang menunggu loceng sekolah berbunyi untuk membolehkan aku melarikan diri.
Malam itu, selepas shift tamat, kami seperti biasa mengemas dapur dan ruang makan. Bunyi pinggan beradu dan percikan air sinki menjadi latar terakhir sebelum tempat itu kembali sunyi. Bila semuanya selesai, cepat-cepat aku capai beg dan bersiap untuk pulang. Namun firasat aku mengatakan aku takkan dapat lari malam ini.
Tepat seperti yang aku jangkakan, Fakhri muncul dari pintu belakang, membawa dua botol air mineral sejuk.
“Abang Hazim,” panggilnya. Suara dia tenang, tetapi ada nada berhati-hati yang membuat aku risau.
“Ya,” Aku tersentak. Akhirnya.
Dia hulurkan air sejuk. “Boleh kita cakap sikit?”
Kami duduk di bangku kayu di belakang restoran. Bau mint dari air sejuk itu terasa melegakan, tetapi hatiku terasa membara.
“Abang... saya nak tanya. Kalau abang rasa tak selesa, tak perlu jawab.” Dia memandang tangannya. “Sejak seminggu ni, saya perasan abang macam elak saya. Saya ada buat salah ke? Ada kata-kata saya yang kasar ke?”
Aku rasa air mata aku bergenang sekejap. Alangkah baiknya kalau dia marah aku. Kalau dia menjerit kat aku. Itu akan buat aku lebih mudah untuk menjauh.
“Takdalah. Kau tak buat salah apa-apa.” Aku tarik nafas. “Ini masalah aku sendiri. Bukan kau.”
“Masalah apa, bang? Kalau masalah kerja, kita kongsi. Kalau masalah duit, kita tolong. Tapi saya tak selesa bila abang tiba-tiba jadi dingin. Kita kawan, kan? Dan saya pun dah anggap abang macam abang saya sendiri. Kalau tiba-tiba tak nak pandang muka, mesti ada sebab.”
Kata-kata 'Kita kawan, kan?' itu menikam aku. Aku tahu itu adalah batasan yang aku tak patut langgar. Tapi, ‘abang’ tu buat aku rasa... dunia ni tiba-tiba jadi perlahan. Macam masa berhenti sekejap, dan cuma ada aku dengan dia dalam ruang yang tak sepatutnya wujud. Aku tahu perasaan ni salah, tapi tak mampu aku tolak bila hati sendiri yang memilih untuk luka.
“Aku minta maaf,” aku berbisik. “Aku tak tahu kenapa. Mungkin... mungkin aku stress pasal nak hantar resume ke tempat lain. Aku rasa macam aku dah buang masa kat Seremban.” Aku terpaksa berbohong lagi.
Fakhri tidak terus membalas. Dia minum air sejuknya, memberikan keheningan yang lama di antara kami. Keheningan itu menekan aku.
“Resume?” Fakhri akhirnya bersuara, suaranya lembut tapi teliti. “Tapi... abang dah tak mention pasal KL sejak dua bulan lepas. Abang dah mula bercakap pasal nak cat bilik sewa abang. Abang mula senyum bila Syidi panggil abang 'budak Seremban'. Abang bukan jenis orang yang stress kerja bila abang dah selesa.”
Aku terpana. Dia perasan semua benda itu. Dia bukan sekadar mengambil berat, dia memerhati aku.
“Saya tak paksa abang cerita,” sambung Fakhri. “Saya cuma nak abang tahu. Kalau abang ada masalah dengan saya, ia lebih mudah untuk diselesaikan. Tapi kalau abang ada masalah yang abang sorok, ia akan jadi lebih berat jika kita tak cuba selesaikan."
Aku tunduk, rasa seperti topeng yang aku pakai selama seminggu ditarik kasar. Aku tak boleh berbohong lagi. Tapi aku juga tak boleh luah.
“Sumpah,” aku berkata, suara aku separuh tersekat. “Aku janji ini bukan pasal kau. Aku... aku cuma ada masalah untuk... bertenang. Aku minta maaf. Aku tak patut layan kau macam tu. Aku janji, aku takkan dingin lagi. Aku janji.”
Fakhri memandang aku lama. Matanya yang jernih itu seolah-olah cuba membaca jawapan yang sebenar di sebalik mataku. Akhirnya, dia angguk, senyum nipis.
"Baiklah, bang. Saya pegang janji tu. Saya cuma nak abang saya ni kembali ceria macam selalu. Kalau ada apa-apa masalah, kita selesailah elok-elok. Okey?”
Aku mengangguk dan tersenyum lega, melepaskan nafas panjang. Malam itu, kedinginan itu hilang. Semuanya terasa kembali normal. Tapi bagi aku, ia adalah kedamaian yang dibuat-buat. Sebab gelora dalam hati ini tak pernah mereda.
Sejak malam tu, rasa yang pernah aku cuba sembunyikan dan cuba menidakkan mula bertunas diam-diam. Aku cuba lari, tapi semakin aku elak, semakin ia tumbuh perlahan dan semakin dalam.
Ada rasa yang datang macam hujan, tiba-tiba lebat, membasah terus ke hati. Tapi rasa aku pada Fakhri… datang seperti kabus. Tak terus nampak. Tapi diam-diam menyelubung segala.
Aku mula takut.
Takut kalau rasa ini menjerat aku. Takut kalau aku sayang lebih, aku akan sakit lebih. Tapi aku juga tahu, tak buat apa-apa pun aku tetap akan rasa perit yang sama.
Aku takut jika satu hari nanti, bila aku buka mata, dia dah tiada di sisi. Bukan kerana benci, tapi kerana takdir tak beri ruang untuk aku simpan dia lebih lama.
Ada malam-malam yang aku habiskan dengan kepala menekur meja. Terfikir, sampai bila aku boleh simpan rasa ini sendiri? Sampai bila aku boleh tengok dia pergi kerja, balik kerja, senyum dan ketawa… tanpa aku mampu kata;
‘Aku sayang kau, Fakhri.’
Tapi aku tahu, kalau aku luah, semua yang indah mungkin akan hancur. Dan aku tak sanggup kehilangan dia dalam bentuk apa pun.
Jadi aku simpan. Aku bungkus rasa tu dengan doa. Walau aku tahu, tak semua doa akan naik ke langit. Kadang-kadang ia tersangkut pada dinding dada sendiri dan jatuh semula sebagai tangisan paling senyap.
Dan diam aku… jadi tempat paling bising dalam hidup aku.
ns216.73.216.243da2


