Hazim, Disember 2014
Selepas janji yang aku berikan kepada Fakhri, kejanggalan memang berkurangan. Tapi, ia tidak hilang sepenuhnya. Selama hampir dua minggu aku mengelak, kini aku pula yang merasa canggung. Aku rasa gugup untuk bergurau dengannya, takut sentuhan ringkas pun akan membuka kembali pintu hati yang aku cuba kunci mati-mati.
Di dapur, walaupun kami kembali bekerja bahu-membahu seperti dahulu, ada ruang yang terasa kosong. Kami hanya bertegur sapa tentang kerja. “Bang, cili api habis,” atau “Weh, plating ni dah betul ke?” Hilang sudah gurauan 'kembar senyap' yang Sally pernah sebut. Aku tahu, Fakhri cuba bersabar. Dia tidak mendesak, sebaliknya memberikan aku masa untuk kembali normal.
Suatu petang yang panas, tekak aku terasa kering hingga ke pangkal. Aku bergerak ke bar minuman, tempat Odah bertugas, dan mencapai jag air sirap. Aku bancuh air untuk diri sendiri, dan tanpa aku sedar Fakhri berdiri di stesennya, memandang aku dengan senyuman yang aku cuba tafsir.
‘Dia mesti nak tumpang sekaki,’ fikirku.
Tapi aku buat-buat tak nampak. Aku bancuh secawan penuh, kemudian aku letak cawan itu di penjuru stesen sambil aku bergerak ke stor untuk mengambil sekilo bawang yang Sally perlukan. Aku tinggalkan minuman tadi sebentar.
Apabila aku kembali, Fakhri masih di tempatnya, khusyuk memotong ayam untuk grill. Senyuman di bibirnya nampak lebih lebar. Aku tidak ambil peduli. Aku capai cawan sirap, angkat dan sedut dalam-dalam, mengharapkan kesejukan dan kemanisan.
“PHUAH!”
Aku tersembur sedikit. Bukan sejuk, bukan manis. Rasa yang menyerang lidahku adalah masin yang teramat sangat, seperti air laut dicampur pemanis tiruan. Aku pegang cawan, memandang air sirap merah itu dengan kehairanan.
‘Aku letak gula tadi. Bukan garam. Kenapa rasa macam ni?’
Aku berpaling ke arah Fakhri. Dia masih memotong ayam, tetapi bahunya bergegar menahan ketawa. Matanya merah, dan dia cuba sedaya upaya menundukkan muka ke arah papan pemotong.
“Woi, Fakhri!” panggilku, cuba menahan rasa marah yang bercampur dengan rasa lucu.
Fakhri tidak tahan lagi. Dia berhenti memotong, menegakkan badan, dan ketawa terbahak-bahak sambil memegang perut. Ketawa dia kuat dan ikhlas, seperti bunyi loceng yang lama tidak berbunyi.
“A-apa... apa kau buat?” tanyaku, masih tergamam dengan garam yang menyerang.
“Sirap Power!” katanya antara sela ketawa. “Saya bancuh semula. Letak kasih sayang. Dengan sesudu garam halus!”
Aku pandang cawan itu, kemudian pandang Fakhri. Dia nampak sangat gembira dapat mengenakan aku. Wajahnya yang ceria membuatkan aku terlupa seketika tentang batas dan rasa sakit. Kejanggalan yang selama ini menyelimuti kami, tiba-tiba cair dan lenyap seperti ais di bawah mentari. Aku cuba untuk marah, tetapi bibirku sendiri mengukir senyuman. Senyuman yang jujur, kali pertama dalam dua minggu, dan aku sedar betapa dalamnya aku telah menyimpan rasa ini untuknya.
“Siot la kau,” aku berkata, tetapi tiada kemarahan dalam nada. “Sirap garam kau ni memang takde class!”
“Ala, bukan saya suruh Abang habiskan pun. Nak tengok reaction Abang je,” Fakhri membalas, menyeka air mata ketawa, mendekati aku. “Dah la tu. Jom saya bancuhkan yang baru, yang betul-betul manis.”
Aku menyandar ke kaunter, masih senyum. “Kau ni memang bijak, Fakhri. Pandai cari idea nak prank orang.”
“Habis tu? Abang tu yang pro sangat dengan silent treatment dia. Saya terpaksa la guna kaedah terapi kejutan,” Fakhri membalas gurauan, tetapi ada nada serius yang halus terselit. “Saya rindu nak tengok Abang gelak. Bukan muka serius macam supervisor tu.”
Aku memandang matanya, menyedari keikhlasan di sebalik kata-katanya. Aku mengambil nafas, berpuas hati kerana dinding yang aku bina telah dirobohkan oleh jenaka yang bodoh.
“Takpe, takpe. Ada ubi ada batas, ada hari aku balas. Kau tunggu!”
“Hahaha! Eeee... takutnya...” Fakhri membalas, sambil menjeling ke arahku sebelum berpaling semula ke papan pemotongnya.
Sejak momen air garam itu, segalanya terasa kembali normal. Hubungan kami seperti sebelum ini, disulam dengan gurauan dan bekerjasama. Fakhri berjaya membuang kabus yang aku sendiri bina. Namun, dalam diam, aku tahu, kebiasaan ini hanyalah topeng bagi perasaan yang semakin hari semakin bertunas.
Beberapa hari selepas insiden air garam tu, keadaan di dapur kembali rancak. Pada satu waktu, aku sedang sibuk di stesen prep sambil memerhati Fakhri yang bertugas sebagai runner dan food server.
Seorang lelaki bertubuh agak tegap dan berpakaian kasual tetapi kemas melangkah masuk. Dia mengambil tempat di meja sudut, wajahnya agak bengis dan pandangannya seolah-olah menilai setiap inci restoran. Aku hanya memerhati lelaki itu, mencatat dalam hati bahawa dia bukan pelanggan biasa yang mesra.
Apabila hidangan lelaki itu siap, Fakhri mengambil dulang dan bergerak ke meja pelanggan tersebut. Aku memerhati.
Sebaik sahaja Fakhri menghampiri meja itu, langkahnya tiba-tiba terhenti seketika. Tubuhnya sedikit menegang. Fakhri yang biasanya tenang dan profesional menyapa pelanggan, tiba-tiba bertukar serba tak kena. Dia tidak menoleh langsung kepada pelanggan bermuka bengis itu, cepat-cepat dia letak pinggan dan cawan, kemudian berpaling dengan pantas.
Pelanggan itu pula membuat muka senyum sinis sambil memandang belakang Fakhri.
Aku yang memerhati tertanya-tanya siapa lelaki itu dan mengapa Fakhri bertindak begitu. Sebaik Fakhri kembali ke kaunter, aku menghampirinya.
“Woi, kenapa tu? Macam nampak hantu.” aku berbisik.
Fakhri menggosok perutnya, riak wajahnya cuba disembunyikan di sebalik lakonan yang dibuat-buat.
“Tarapappa, saya nak ke tandas la... sakit perut!” katanya dengan nada melawak, walaupun gelagatnya nampak sangat tidak meyakinkan, sebelum dia cepat-cepat berlalu ke pintu belakang. Aku hanya mampu menggeleng, tahu Fakhri sedang menyembunyikan sesuatu.
Aku pandang semula ke meja sudut itu. Lelaki bengis itu sedang makan sambil matanya sekali-sekala mengerling ke kaunter. Ada sesuatu dalam pandangannya. Bukan sekadar menghakimi makanan, tetapi menghakimi Fakhri.
Aku mahu kejar Fakhri dan desak dia. Aku mahu tanya, "Siapa lelaki ni, dan kenapa dia buat kau macam ni?" Tetapi aku menahan diri. Fakhri akan beritahu aku bila dia bersedia.
Namun, aku tahu, apa sahaja yang Fakhri sedang hadapi, aku tidak boleh biarkan dia melaluinya sendirian. Entah sejak bila, rasa ingin melindungi ini sudah menjadi sebahagian daripada diri aku.
Malam itu, kami berdua sepakat mahu ubah angin. Bosan menghirup bau minyak masak lama dari tong sampah belakang, kami putuskan untuk singgah di restoran mamak yang tak jauh dari tempat kerja. Fakhri kata, “Sesekali, bang. Kita lari sekejap dari realiti.”
Kami duduk di meja tepi, dengan kipas siling yang berpusing perlahan. Aku pesan nescafe tarik, Fakhri pesan teh o ais limau. Kami berborak tentang rancangan esok dan filem yang kami tonton hari Ahad lepas. Keadaan sangat tenang, santai, dan aku mula berfikir, inilah kebahagiaan. Hanya duduk dengannya, tanpa perlu berbuat apa-apa.
Waktu kami sedang ketawa tentang salah faham Sally di dapur tadi, satu suara lantang memecah hening.
“Fakhri? Eh, kau Fakhri kan?”
Aku menoleh. Seorang lelaki tinggi, berjaket denim yang kemas dan bertopi snapback, berdiri di sebelah meja kami. Wajahnya tidak nampak gembira, malah lebih kepada rasa superior yang menyakitkan mata. Aku perhatikan wajah lelaki itu. Lelaki itu memandang Fakhri dengan ekspresi bengis dan sinis, sama seperti yang aku nampak di meja sudut restoran tempoh hari. Tak mungkin aku salah orang.
Fakhri serta-merta berubah. Senyuman di wajahnya hilang. Bahunya sedikit jatuh. Dia menarik nafas panjang, cuba untuk bertenang.
“Razlan,” Fakhri menyambut pendek, tiada riang dalam suaranya.
Razlan mengambil kerusi kosong dari meja sebelah tanpa dijemput, dan duduk. Dia memandang Fakhri dari atas ke bawah, kemudian memandangku sekilas. Matanya kembali terarah pada Fakhri, penuh penghinaan.
“Kau buat apa kat sini? Kerja kat restoran tu ke? Ingatkan dah jadi businessman?” Razlan ketawa sinis. “Aku dah agak dah. Tak habis-habis dengan Seremban ni. Aku dengar kau masih runner kat restoran belakang tu?”
Fakhri tunduk sedikit, memandang air tehnya yang masih berasap. “Ya. Masih lagi.”
“Dah berapa lama? Setahun?” Razlan menggeleng perlahan, seolah-olah Fakhri adalah kegagalan yang menyedihkan. “Aku tak sangka. Kalau tak silap aku, kau dulu kan yang bercita-cita besar sangat? Kami semua dah di universiti. Aku dah semester empat Kejuruteraan di UPM. Kau?” Razlan mendongak, menunjukkan bangga diri yang melampau. “Masih angkat dulang kotor?”
Aku rasa satu gelombang panas naik dari dada ke kepala. Aku pandang Fakhri. Dia kelihatan goyah. Dia menggigit bibir, dan aku nampak tangannya yang memegang cawan mula menggigil sedikit. Fakhri yang aku kenal sentiasa tenang, tetapi malam itu, dia tercemas. Tubuhnya sedikit menggeletar, mungkin kerana terasa maruahnya seperti diinjak.
Tangan aku yang tadinya sejuk memegang gelas nescafe, kini terasa panas. Aku tak boleh biarkan ini berterusan. Walaupun aku tahu Fakhri mampu melawan, aku tak mahu dia terluka lagi. Dia adalah tanggungjawab emosi aku.
“Bro, cukup,” aku mencelah, suaraku rendah dan tegas. Razlan terkejut, memandang aku dengan pandangan kau-siapa.
“Kau ni siapa?” tanya Razlan, angkuh.
“Aku Abang dia,” aku jawab. Aku sandar ke kerusi, membalas pandangan Razlan tanpa berkedip. “Kau datang ke sini tengah malam nak berlagak bagus ke nak belajar adab? Sebelum kau sambung bebel, kau jelaskan dulu apa masalah kau datang nak ganggu kami.”
Razlan terdiam.
“Kalau kau datang nak meremehkan orang, kau buang masa kitorang je, bro !” aku menyambung, menjaga nada agar tidak menjerit. “Dia penat bekerja. Kau mungkin belajar Kejuruteraan, tapi kau tak diajar adab, ke? Setidak-tidaknya dia ni tak duduk di sini dengan niat nak merendahkan orang lain untuk rasa bangga dengan diri sendiri.”
Aku memandang Fakhri di sebelah. “Dia mungkin runner hari ini, tapi dia bekerja keras. Dia tak curi. Dia tak susahkan orang. Dan pada aku, itu adalah kemajuan yang lebih berharga daripada semua yang kau ada. Setakat semester empat diploma, tak menjaminkan pun kau boleh pass semester enam dan Final Year Project kau nanti. Baru diploma dah berlagak. Datang balik kalau dah berjaya genggam ijazah kat tangan kau, bro !”
Wajah Razlan berubah merah. Dia memandang Fakhri yang masih terkejut, kemudian dia bangkit. “Kau cakap dengan orang yang salah,” dia mendesis, sebelum berpaling dan melangkah pergi dengan marah.
“GOOD LUCK, BRO !!” Jerit ku kepada Razlan yang dah menjauh dari meja kami.
Selepas itu, Fakhri dan aku hanya diam. Aku menunggu sehingga Razlan hilang dari pandangan. Aku capai gelas airnya dan menolak sedikit ke arahnya.
“Minum,” aku suruh perlahan.
Kami habiskan sisa minuman tanpa kata. Kehangatan yang kami nikmati tadi telah hilang, diganti dengan rasa pahit yang Razlan tinggalkan.
Kami berjalan kaki pulang, malam itu sepi dan hanya diterangi lampu jalan. Fakhri berjalan senyap, membiarkan aku memulakan perbualan.
“Siapa dia?” aku tanya.
Fakhri hela nafas. “Kenalan lama, waktu sekolah menengah dulu. Dia batch atas dari saya. Dia selalu rasa dia lebih bagus daripada orang lain. Dulu pun kami pernah berbalah tentang hal yang tak penting.”
“Dan dia simpan dendam sampai sekarang?” Tanya ku.
“Mungkin dia tak simpan dendam,” Fakhri membalas, suaranya kembali tenang, walaupun aku tahu dia masih goyah. “Mungkin dia cuma perlu tempat untuk dia show off yang dia lebih berjaya. Dan saya pula target paling mudah.”
Aku dengar dan aku angguk. Aku faham.
“Weh,” aku memulakan, berhenti di bawah lampu jalan. “Dengar sini. Aku tahu kau rasa apa. Kau rasa tercabar, kau rasa kecil. Tapi kau kena ingat, setiap orang ada jalan cerita dia sendiri. Kejayaan bukan diukur bila kau masuk universiti, tapi bila kau tak pernah putus asa. Kau tak gagal, belum lagi. Kau cuma belum sampai. Masanya akan tiba untuk kau pula melangit. Yang penting kau jangan pernah putus usaha.”
Fakhri memandang aku. Ada sesuatu yang bergenang di matanya, tetapi dia menahannya.
“Terima kasih, Abang Hazim,” katanya perlahan. “Saya yang biasanya tak ambil pusing bila orang cakap apa, malam ni betul-betul rasa tercabar. Dia buat saya goyah.”
Dia menarik nafas dalam-dalam, kemudian memandang aku dengan mata yang penuh makna.
“Saya... saya tak tahu nak cakap apa. Abang buat saya rasa macam... saya ada hak untuk tak perlu dengar semua kata-kata dia tadi.” Dia memegang lenganku sekejap, isyarat keharuan yang tidak ternilai. “Saya rasa macam... ada orang yang ambil berat dan perhatian pada saya. Pada semua perkara yang saya sendiri pun kadang-kadang tak sedar.”
Sentuhan dia ringan, tetapi ia terasa seperti sumpahan. Jantung aku bergetar, mendengar pengakuan kebergantungan itu. Fakhri yang kuat dan tenang, kini mengakui bahawa dia perlukan benteng.
“Tarapappa... Aku akan sentiasa ada untuk jadi benteng kau,” aku bisik, membalas sentuhan ringkas itu dengan tatapan mata.
Fakhri tersenyum. Senyuman lega yang membuatkan aku tahu, aku telah menunaikan janji yang dia tak pernah pinta.
Kami berpisah di simpang jalan. Fakhri memusingkan badan, melangkah pergi dalam cahaya lampu jalan yang samar. Aku berdiri kaku, memerhatikan belakangnya.
Malam itu terasa lebih sunyi daripada biasa, bukan kerana tiada bunyi, tetapi kerana suara janji itu masih bergema kuat dalam telinga aku:
'Aku akan sentiasa ada untuk jadi benteng kau.'
Janji itu bukan sekadar kata-kata kosong untuk menenangkan Fakhri. Janji itu adalah ikrar kepada diri sendiri. Aku kini tahu, aku bukan hanya mencintai dia dalam diam. Fakhri adalah keseimbangan aku. Dia adalah pusat graviti yang membuatkan hidup aku yang huru-hara ini terasa stabil.
Aku tahu, perpisahan di simpang jalan ini akan berulang setiap hari. Namun, janji yang aku buat malam ini adalah simpang jalan yang paling penting. Aku mungkin tidak dapat meluahkan perasaan ini, tetapi aku akan pastikan aku berada di sisinya.
Aku tidak akan berganjak. Walaupun perasaannya salah, cintanya tidak.
97Please respect copyright.PENANArkFR31cyAV
97Please respect copyright.PENANAKq532n7XRh


