Sudah dua bulan aku di Fika & Co. Aku bukan lagi budak baru yang kekok di station prep. Aku dah tahu rentak setiap kuali, setiap pelanggan. Kami berenam telah menjadi unit yang utuh. Tapi dalam tempoh dua bulan yang singkat inilah aku sedar, perasaan yang aku simpan sejak hari pertama bertemu Fakhri itu bukan lagi sekadar ingin tahu. Ia telah menjadi satu akar yang terlalu cepat tumbuh.
Malam itu, restoran akhirnya senyap selepas gelora pelanggan yang tidak putus-putus sejak maghrib. Dapur bersepah. Bau mentega, minyak dan kicap pekat bercampur dalam udara yang masih hangat. Aku duduk di kerusi dekat peti ais, tuala kecil di tangan, baju lencun peluh. Tapi bukan itu yang buat aku rasa berat malam tu.
Fakhri masih lap meja luar. Sambil bersiul kecil, dia alihkan kerusi satu-satu ke tempat asal. Aku tenung dia lama. Tanpa niat. Tanpa rancang. Tapi mata aku tak mampu alih ke tempat lain. Dia bukan orang yang luar biasa pun, tapi setiap benda kecil yang dia buat terasa macam lebih daripada cukup. Entah kenapa. Entah sejak bila.
Dan waktu dia angkat muka, pandang aku sambil senyum, aku rasa dada aku mengetuk laju. Tapi bukannya bahagia.
Yang aku rasa… adalah takut.
Takut kalau aku mula sayang dia lebih dari apa yang aku patut.
Aku tunduk. Tangan aku kuat, cepat lap peluh di dahi. Tapi dalam hati, ribut tak reda. Aku cuba istighfar dalam diam. Tapi nama dia muncul juga. Bukan sebagai rakan sekerja, bukan sebagai adik. Tapi sebagai seseorang yang aku mula tak mampu lepaskan.
Di rumah, aku baring atas tilam bujang aku. Lampu tak aku buka. Cuma kipas perlahan, dan bunyi jam berdetik yang kedengaran jelas.
Aku cuba senaraikan dalam kepala, apa beza kami. Bukan pada umur, tetapi pada hakikatnya. Aku tahu, perasaan yang aku simpan ini tidak punya ruang dalam tuntutan agama. Ia bertentangan dengan norma masyarakat Melayu yang aku pegang.
Namun, aku juga sedar batasnya. Aku sering memujuk diri, bahawa agama hanya menghukum perbuatan, bukan rasa. Selagi aku simpan rasa ini dalam hati, dan tidak dizahirkan menjadi perbuatan yang melampaui batas seperti zina atau seumpamanya, mungkin aku masih selamat. Mungkin pendaman ini tidak salah.
Tetapi, perasaan itu takkan ada makna jika hanya aku saja yang merasakannya. Dan jika aku meluahkannya… aku tahu, Fakhri tidak seperti aku. Meluahkan mungkin akan merosakkan segalanya. Hubungan yang kami ada sekarang, persahabatan, ketenangan yang dia berikan, semuanya akan musnah. Dan aku takkan sanggup untuk hadapi itu.
Aku cuba mencari alasan, kenapa perasaan ini salah? Kenapa tidak boleh berlaku? Tetapi setiap alasan yang aku jumpa, hanya kembali kepada satu fakta: Dia baik. Terlalu baik. Dan aku, takut jika bayang aku yang gelap ini akan mencemari halamannya.
Aku buka nota dalam telefon. Tulis sesuatu.
‘Andai dia tahu perasaan sebenar aku, mungkin dia tak akan pandang aku lagi. Mungkin dia akan undur. Dan aku takkan sanggup.’
Aku bayangkan wajahnya. Wajah Fakhri yang akan berpaling, setiap kali berselisih di dapur. Itu sudah cukup untuk membuat perut aku sebu.
Aku tutup aplikasi nota, tutup skrin. Tapi jari aku gatal juga buka galeri. Gambar dia yang tak sengaja aku ambil waktu dia tengah ketawa dengan tangan masih pegang pinggan. Gambar paling random, tapi paling aku simpan macam rahsia negara.
Aku geleng kepala sendiri. Letak telefon di dada. Mata aku pejam. Tapi malam tu aku tahu, aku tengah berperang dengan sesuatu yang aku tak berani nak kalah… dan aku tak tahu macam mana nak menang.
Aku rasa bersalah. Teramat bersalah.
Sebab dia baik. Terlalu baik.
Dan aku mula rasa kasih aku ni… satu kesalahan yang dia tak pernah minta.
Esoknya aku cuba buat-buat sibuk. Aku kurang tegur dia. Aku elakkan dari berdiri terlalu dekat. Bila dia cakap, aku jawab sepatah. Tapi dia tetap senyum. Dia tetap hulur air masa aku haus. Tetap tanya, “Abang okay?” bila aku nampak penat.
Dan setiap kali dia buat macam tu, aku rasa macam nak jerit dalam hati;
‘Tolong jangan baik sangat. Tolong jangan buat aku sayang lebih dari yang aku mampu.’
Tapi aku hanya diam. Senyum palsu. Pandang ke tempat lain.
Satu hari tu, pelanggan tak ramai. Jadi, untuk mengisi masa lapang, kami semua buat kerja-kerja spring cleaning. Sally dengan Syidi sama-sama kemas stor dan kira stok bahan. Odah pula bantu lap cermin kaca di ruang makan, manakala Fakhri mengemas chiller dan freezer, buang barang yang dah tak boleh pakai, dan susun semula yang masih elok dengan lebih teratur.
Mula-mula aku cuma sapu dan mop seperti biasa, tapi bila tengok celah jubin yang dah mula berkerak, aku terus ambil berus dan mula gosok satu-satu. Peluh dah mula menitik, tapi rasa puas setiap kali tengok lantai tu makin bersih. Bau sabun yang segar bercampur dengan aroma kopi dari mesin di kaunter depan buat suasana kerja hari tu terasa tenang, lain dari biasa.
Masa aku tengah cuci lantai di laluan belakang, Fakhri datang. Aku dengar tapak kasutnya di lantai simen. Aku tahu itu dia.
“Abang Hazim.”
Aku menyahut sekejap tapi tanganku tak berhenti menggosok lantai. Mataku hanya memandang buih sabun di lantai, menolak untuk mendongak.
“Nah keropok lekor. Buat kudap-kudap waktu kerja. Saya ada beli lebih ni. Ambillah.” Dia hulurkan plastik keropok lekor goreng yang masih hangat, bau ikan dan tepung menusuk hidung aku.
Aku tahu aku lapar. Dan aku tahu dia sengaja belikan untuk aku. Aku tak mahu bersikap kasar, jadi aku ambil plastik itu.
“Terima kasih bro...” Aku membalas sepatah, tapi mataku masih terpaku pada lantai. Bungkusan itu aku letakkan di rak bersebelahan aku. Aku tak berani memandangnya, bimbang jika bertentang mata, semua usaha penjarakan aku akan runtuh.
"Tarapapa..." Dia jawab pendek. Suara dia tenang, santai, seolah-olah dia langsung tak perasan kelakuan janggal aku. Yang berubah... hanya aku.
Aku merasakan dia berdiri di situ sejenak. Mungkin dia menunggu aku untuk senyum seperti selalu, atau menunggu aku untuk bertanya, 'Beli kat mana?'.
Tapi aku hanya diam, membiarkan bunyi penyental aku dan kipas ekzos memenuhi ruang.
“Okeylah, saya settle kan station saya dulu.”
Langkah Fakhri perlahan, senyap. Aku hanya angkat sedikit bahu, tanda mengiyakan, tanpa membalas pandangan.
Sebaik sahaja dia berlalu, aku menghembus nafas yang aku tahan. Aku cuci tangan dan membelek bungkusan yang Fakhri berikan tadi. Plastik keropok itu terasa panas di tangan aku, bukan kerana minyaknya, tetapi kerana rasa bersalah yang mencengkam.
Aku diam sejenak. Aku pandang plastik di tangan, kemudian pandang ke arah Fakhri di hujung dapur, yang sudah kembali ke tugasnya.
Aku tak patut buat begini. Aku tunduk. Nafas terasa berat. Aku tahu, aku tak patut hukum dia atas rasa yang dia tak pernah minta. Tapi aku takut. Takut kalau aku terus layan dia seperti biasa... aku akan makin sayang. Dan makin sukar untuk aku lepaskan.
Namun dalam cubaan aku untuk lindungi hati sendiri... aku sedar, aku mula melukakan hati dia. Dan itulah yang paling buat aku benci diri aku sendiri.
Malam tu aku buka surah Al-Insyirah. Ulang-ulang ayat yang sama.
‘Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan...’
Tapi malam tu, ayat itu terasa seperti bukan milik aku. Sebab apa yang aku lalui bukan sekadar susah, tapi sesuatu yang aku tak mampu luah, tak mampu batal, tak mampu betulkan.
Aku bisikkan satu doa;
‘Ya Allah… kalau rasa ini salah, Kau ampunkan aku. Tapi kalau ini rindu, tolong jangan seksakan aku dengan diam yang panjang.’
Aku tak pernah tahu, doa yang paling kuat... adalah doa yang tak disuarakan. Itu malam pertama aku betul-betul sedar, aku sedang jatuh sayang.
Dan malam itu juga aku tahu, rasa yang aku rasa ini aku takkan pernah berani beritahu sesiapa pun. Tapi tak kiralah berapa banyak aku cuba elak... rasa tu tetap datang. Kadang dalam tawa dia, kadang dalam suara dia waktu panggil nama aku, kadang cuma dalam diam dia berdiri di sebelah.
Ia tak pernah minta izin untuk tinggal dalam dada aku. Tapi perlahan-lahan, ia bertapak... seperti bayang-bayang yang wujud hanya bila ada cahaya. Aku tahu, aku tak boleh padamkan cahaya tu tanpa padamkan dia sekali.
Dan dalam terang yang tak pernah betul-betul penuh, aku nampak bayang itu makin jelas.
Aku mungkin takkan pernah sebut rasa ini pada dia. Tapi aku juga tahu... aku tak akan mampu bohong pada diri sendiri lagi.
Ini bukan sekadar sayang. Dan aku, sedang tenggelam perlahan-lahan dalam sesuatu yang aku sendiri tak tahu ke mana akhirnya.
ns216.73.216.243da2


