Hazim, September 2014
Aku tak pernah bayangkan hidup aku akan berlabuh di Seremban.
Bukan kota besar, bukan juga desa kecil. Ia hanyalah satu simpang yang aku temui selepas terlalu banyak jalan yang tertutup. Sejak selesai diploma tiga bulan lepas, hidup aku terasa seperti ruang kosong yang luas tanpa tingkap. Warna-warni masa depan yang dijanjikan di universiti telah pudar, meninggalkan kelabu yang menjemukan. Aku melayang tanpa nama, tanpa hala. Cuma perut yang perlu diisi, dan bil telefon yang perlu dibayar.
Aku telah mencuba di Kuala Lumpur. Puluhan permohonan. Puluhan penolakan. Aku mula menerima hakikat, mungkin aku bukan jenis yang ditakdirkan untuk berimpian. Aku hanya mahu bertahan.
Rezeki datang dari panggilan telefon tak dikenali pada petang yang panas dan lesu.
“Hai, ini Firdaus dari restoran Fika & Co. Awak hantar permohonan semalam, kan?”
Suara lelaki itu kasar tapi tak sombong. Ada bunyi letih, seperti geseran batu kasar, tetapi di hujungnya terselit nada yang masih mahu memberi peluang. Telefon terasa panas di telinga, seolah-olah ia memegang satu-satunya talian hayat aku.
“Kerja kami biasa-biasa saja. Kalau awak sanggup mula esok, datanglah. Bukan kerja hebat mana, tapi boleh buat hidup terus berjalan.”
Dia tidak tanya kelayakan, tidak tanya pengalaman. Hanya kesanggupan untuk datang. Dan begitulah, pagi itu aku pun naik bas ke Seremban. Dalam beg sandang usang aku hanya ada dua helai baju bersih dan wang yang cukup untuk seminggu pertama. Aku bawa sedikit harapan, bukan impian yang membara. Harapan untuk kekal di atas air, walau apa pun badai yang datang. Sepanjang perjalanan, aku perhatikan jalan raya di Negeri Sembilan yang lurus. Aku berdoa dalam hati, moga-moga hidup aku juga akan menemui jalan lurus yang tidak berkelok lagi.
Restoran Fika & Co. terletak di baris kedai dua tingkat yang nampak usang, sederet dengan dobi layan diri dan klinik gigi yang papannya hampir tanggal. Dari luar, ia nampak biasa, seperti mana-mana kedai makan lain.
Tapi bila aku tolak pintu dapur belakang, bau dia... lain. Bau yang menyerang dan memeluk serentak. Kombinasi mentega yang cair di kuali, daging panggang yang diselaputi lada hitam, dan kopi pekat yang membangkitkan saraf. Udara di sini lembap dan berat, dilimpahi bunyi berdesir minyak panas dan suara kipas ekzos yang berdengung kuat. Dapur itu kecil, tetapi setiap alat dan stesen diatur dengan kemas. Dindingnya kelabu, lantai kasar, dan setiap inci ruang dipenuhi dengan kerja.
Aku perkenalkan diri pada Firdaus. Lelaki kurus, kulit sawo matang, t-shirt hitam kusam dan rambut yang sentiasa disorokkan di bawah topi baseball yang lusuh. Dia berdiri dengan bahu yang agak bongkok, seolah-olah beban restoran itu terletak di atasnya. Dia sambut dengan salam pantas, matanya yang merah letih tidak pernah fokus pada aku lebih daripada dua saat.
“Ok Hazim, hari ni kau observe dulu. Esok kita bagi kau mula di prep station. Potong sayur, timbang ayam, cuci barang. Kalau tahan seminggu, kita kira kau anak kandung sini.”
Dia senyum senget, tetapi senyumannya tidak sampai ke mata. Senyuman seorang yang tahu harga kerja keras. Aku tidak nampak kejahatan padanya, hanya keterbatasan. Dia bukan bos yang kejam, dia cuma manusia yang dah banyak hari tak cukup tidur.
Petang tu dia bawa aku keliling dapur. Suasana bising itu bukan huru-hara, tetapi harmoni yang kasar. Macam orkestra yang setiap alatnya mainkan lagu sendiri. Hentakan kuali, bunyi ais pecah, jeritan order, tapi entah bagaimana, semuanya berpadu menjadi satu irama kerja yang pantas.
“Tu Sally, dia tukang masak yang fokus pada hidangan ringan seperti salad atau pasta. Mulut dia macam cili api, tapi kerja jalan.”
Firdaus menunjuk ke arah gadis bertudung yang memakai apron corak tomato. Aku perhatikan dia bergerak dengan pantas di stesen memasaknya.
“Sebelah tu pula Syidi, tukang grill dan masakan berat. Kalau dia marah, biar je. Dia tak akan marah lama.”
Syidi mengangkat tangan yang disarungi sarung tangan tahan panas dan sambung menekan timer di dapurnya yang berasap.
“Kedua-dua mereka bekerjasama untuk settle bab masakan.”
“Yang tu pula Odah. Dia pegang dessert dan juga bar. Jangan sentuh puding dia kalau kau sayang nyawa. Kalau baik dengan dia, nanti dia bancuhkan cappucino untuk kau tiap hari. Kan odah??”
Odah angkat kening ketika Firdaus berkata begitu. Muka senyum sedikit, mata dia curi pandang tapi cepat beralih.
Dan akhirnya...
“Fakhri.”
Dia tengah basuh dulang besar di sinki belakang. Air di sinki itu keruh dengan sisa makanan. Lengan bajunya dilipat kemas ke siku. Aku perhatikan air sabun memercik ke apronnya, dan pergerakan tangannya yang teliti mencuci setiap sudut dulang. Dia kelihatan begitu fokus pada tugas yang paling kasar itu.
Suara Firdaus menyapa dia, dan dia berpaling.
“Fakhri ni, dia runner utama kita,” terang Firdaus kepadaku. “Dia jaga bahagian plating makanan, bersihkan stesen, dan semua urusan cuci-mencuci. Kau dan dia akan jadi pasangan.”
“Maksudnya?” aku bertanya, sedikit keliru.
Firdaus senyum. “Maksudnya, bila kau habis prep, kau akan bantu dia. Bila dia ada masa, dia akan tolong kau prep bahan mentah. Korang berdua ni backbone dapur. Kena saling bantu. Faham, Fakhri?”
Fakhri mengangguk perlahan kepada Firdaus, kemudian memandang aku.
Tak ada senyum lebar. Hanya senyum kecil yang cukup untuk tunjuk dia bukan orang asing.
“Nama saya Fakhri,” dia kata. Suaranya sederhana tapi jelas.
Aku angguk. “Hazim.”
Dia kembali ke dulang tanpa tanya lebih. Dalam ringkas itu, ada sesuatu yang aku tak dapat tentukan. Mungkin aura sunyi, atau mungkin rasa tenang yang aneh di tengah-tengah keriuhan dapur. Dan mungkin... memang belum masa untuk aku faham.
Malam pertama aku habis kerja, aku duduk sendiri di bangku belakang. Walaupun aku observe saja hari tu, tapi takkan aku datang tengok saja, jadi aku tolong juga apa yang boleh dan bantu mereka kemas waktu closing. Penat yang mencengkam setiap urat. Tangan aku rasa macam nak tanggal, dan kasut aku basah kena sup tumpah. Bau keju hangit, peluh, dan minyak sudah melekat di rambut dan pakaian, menandakan hari pertama aku sebagai sebahagian daripada dapur ini.
Tapi waktu aku pandang ke dapur, aku nampak mereka masih gelak-gelak kecil. Masih bertikam lidah tentang order yang salah, tentang pelanggan yang cerewet, tentang siapa yang menukar lagu dangdut di radio usang itu. Mereka bising, letih, tapi saling memerlukan. Mereka adalah satu unit yang bekerja dan berperang bersama.
Dan aku tahu, walaupun aku belum ada tempat dalam keluarga kecil itu, aku mahu cuba.
Bukan untuk disayangi atau diterima serta-merta.
Tapi untuk bertahan, ya. Dan mungkin juga, untuk menemui sedikit cahaya dalam kekosongan yang aku rasai selama ini.
Dan di tengah dapur kecil itulah, dengan spatula, peluh, dan bau keju hangit, aku akan belajar tentang satu perasaan yang aku sendiri tak pernah sangka akan singgah. Perasaan yang terasa seperti akar yang mula mencengkam tanah baru.
ns216.73.216.243da2


