Hazim, Mei 2014
Kain jubah terasa panas dan menyesakkan di leher. Di luar dewan konvokesyen yang bising, aku berdiri bersama sekumpulan kawan yang tawa dan janji mereka kini berbau perpisahan.
“Nanti contactlah! Jangan senyap pula!” pekik Faris, memeluk aku dengan kuat.
“Aku akan try cari kerja dekat KL dulu, kalau tak dapat, aku balik kampung,” jawab Liza sambil mengelap tepi matanya yang basah.
Kami saling bertukar janji untuk bertemu, tetapi di sebalik senyuman itu, kami tahu kebenaran yang dingin, pusingan jam telah tamat. Kami telah berjalan bersama untuk tiga tahun. Kini, jalan di hadapan kami bercabang, dan entah bila atau jika ia akan bertemu lagi. Setiap pelukan terasa berat, seperti melepaskan sauh kapal yang tidak akan berlayar di laut yang sama lagi.
Aku mengangguk, melambai, dan berpusing.
Saat aku berjalan melintasi koridor utama, mata aku terpaut pada sosok yang familiar. Zaki.
Dia tidak memakai jubah. Dia junior dua semester di bawah aku, dan sedang bertugas di belakang kaunter cenderamata. Dia memakai kemeja kampus yang kemas, rambutnya disisir rapi.
Zaki. Ada satu ketika, kami berdua seperti kepingan teka-teki yang muat di tempat yang betul. Itu terjadi sewaktu kami bekerjasama dalam acara sukan kampus. Kami tidaklah rapat, tetapi cara kami bertukar idea dan kritikan terasa mudah dan jujur. Dia adalah orang pertama yang betul-betul aku rasa 'klik' dengannya di kampus.
Namun, semua itu pecah berderai sewaktu konflik pengurusan acara lain, beberapa bulan kemudian. Kata-kata keras dilemparkan, salah faham berakar, dan kami berpisah tanpa resolusi. Ia bukan sengketa yang besar, tetapi ia cukup untuk kami tidak bertegur sapa, menjadi dua orang asing yang sering berselisih di kafeteria.
Kini, pandangan kami bertemu. Ada satu jeda yang tergantung di udara, kejanggalan yang lama tetapi sudah beku.
Aku memaksakan diri tersenyum. Senyum yang kekok, separuh ikhlas.
Zaki membalasnya dengan anggukan kecil, senyum yang sama nipisnya. Tiada kemarahan. Tiada lagi kepahitan. Seolah-olah sengketa lama itu telah luntur dengan masa. Kami berdua tahu, perbezaan kecil itu kini tidak lagi relevan. Kami akan membawa haluan masing-masing.
‘Selamat tinggal, Zaki. Terima kasih kerana pernah hadir, walau sementara. Untuk segala kejujuran yang pernah kita kongsi, aku tak akan lupa.’
Aku berjalan terus tanpa berhenti. Perpisahan itu terasa manis dan pahit. Manis kerana tiada lagi sengketa. Pahit kerana tiada lagi sebab untuk kami merapatkan jarak. Aku meninggalkan dewan, dan membiarkan dia kekal di dalamnya.
Aku melangkah keluar dari kampus, membiarkan jubah hitam itu bergayut di tangan. Segalanya terasa sunyi tiba-tiba. Jalan di hadapanku terbentang luas, tetapi ia adalah jalan tanpa peta, tanpa kompas. Tiga tahun telah tamat, dan kini, tiada lagi jadual kelas untuk aku ikut, tiada lagi tarikh akhir tugasan yang perlu aku kejar. Hanya kekosongan.
Aku sedar, waktu ini adalah permulaan yang sebenar. Di luar sana, dunia tidak peduli tentang diploma atau senyuman aku. Ia menuntut sesuatu. Aku tidak tahu apa yang bakal aku tempuh. Sama ada laluan yang terang atau lorong yang gelap. Aku tidak tahu ke mana aku akan pergi, tetapi aku harus tetap melangkah. Masa depan terasa seperti tirai tebal. Aku cuma berharap aku tidak akan tersesat di sebalik tirai itu.
ns216.73.216.243da2


