Matahari baru menanjak di ufuk timur, memantulkan cahaya keemasan ke atas bumbung-bumbung tanah liat Qom. Udara pagi masih dingin, namun sinarnya cukup hangat untuk membangkitkan semangat. Hasan keluar dari asrama dengan buku catatan di tangan, sementara Firdaus menguap kecil sambil menutup mulut dengan selendang.
“Hang bangun awal betul hari ni,” Firdaus berseloroh, matanya masih separuh terpejam.192Please respect copyright.PENANAY2wNutOUBJ
192Please respect copyright.PENANAWqKOpDRcyR
“Tak sabar nak tengok perpustakaan,” jawab Hasan, senyum kecil terbit di wajahnya. 192Please respect copyright.PENANA2fJA9fGVxo
“Kata Reza, sana macam lautan kitab.”
Lorong menuju Hauzah masih sepi. Kedai-kedai belum semuanya dibuka; hanya beberapa penjaja roti berdiri di hadapan ketuhar tanah, menepuk doh panas ke dindingnya. Bau roti sangak yang baru masak mengiringi langkah mereka. Angin musim luruh meniup guguran daun berwarna kuning dan perang, menari di kaki jalan.
Mereka melewati pelajar Iran yang berjalan sambil membawa buku, ada juga yang berbual dalam Parsi cepat. Hasan cuba menangkap beberapa perkataan yang dikenali dari kelas bahasa, namun rentaknya terlalu pantas.
“Laju betul depa cakap,” gumamnya.
Firdaus tertawa. “Sabar, kita baru belajar ucap ‘chetore’. Jangan berangan nak faham kuliah falsafah lagi.”
Di kejauhan, kubah hijau Masjid Jamkaran kelihatan samar, seolah-olah melindungi kota. Bunyi azan dhuha berkumandang perlahan, bercampur dengan kicau burung yang hinggap di atas kabel elektrik di tepi jalan. Semua itu memberikan suasana damai, seakan kota ini sedang membuka halaman baru untuk mereka.
Apabila sampai di perkarangan perpustakaan, Hasan terpegun. Bangunan itu megah tetapi sederhana, dindingnya dihiasi jubin biru yang berkilau di bawah matahari. Pintu kayu besar diukir ayat-ayat hikmah dalam kaligrafi Parsi, sementara halaman depannya ditanam dengan pokok bunga mawar yang masih segar walaupun musim luruh.
Firdaus memandang kagum. “Macam masuk ke taman ilmu,” katanya.
Hasan mengangguk, menatap pintu yang bakal membawa mereka ke dunia ilmu yang lebih mendalam. “Hari ni kita mula langkah sebenar,” katanya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri daripada kepada Firdaus.
Hasan menolak pintu kayu besar itu perlahan-lahan. Bunyi engselnya yang sedikit berat bercampur dengan aroma kertas lama yang segera menyerbu ke dalam hidung. Udara di dalam lebih sejuk, berbeza dengan sinar hangat di luar. Mereka melangkah ke ruang legar yang luas; lantainya dilapisi permaidani kelabu lembut, dan di tengah ruangan berdiri meja kayu rendah dengan pasu bunga kering.
Di hadapan, dua sayap perpustakaan terbentang. Rak-rak tinggi dari kayu walnut penuh dengan kitab — jilid kulit coklat, hijau, hitam, ada yang keemasan di tepinya. Judulnya dalam Parsi, Arab, dan sedikit bahasa Inggeris. Dari tingkat atas, tangga spiral membawa ke galeri kedua yang dipenuhi buku sejarah dan falsafah. Hasan berdiri terpaku, matanya membesar seolah-olah cuba memeluk seluruh pemandangan itu.
Firdaus bersiul perlahan. “Masya-Allah… banyaknya buku. Kalau tersesat kat dalam ni, mungkin orang jumpa kita minggu depan.”
Hasan ketawa kecil. “Kalau sesat pun, aku tak kisah. Biar mati dalam timbunan ilmu.”
Mereka berjalan ke meja pendaftaran di sebelah kanan. Seorang pustakawan lelaki berusia lima puluhan, berjanggut putih nipis, duduk di belakang kaunter. Namanya — menurut kad nama di dada bajunya — ialah Rahimi. Wajahnya mesra, dengan kacamata bulat yang tergantung di hujung hidung.
“Salām, khosh amadid,” sapanya. “Selamat datang.”
Hasan cuba membalas dengan Parsi yang masih kasar bunyinya. “Salām… ma—man… mikhāham… kitab?”
Ustaz Rahimi ketawa kecil. “Tak mengapa, bahasa kamu sedang bertunas. Kalian mahu cari kitab apa?”
Hasan menoleh pada Firdaus. “Kita pun belum pasti, kan?”
Firdaus mengangkat bahu. “Fiqh mungkin, atau tafsir.”
Pustakawan itu menunjuk ke arah papan tanda di dinding yang memaparkan kod rak: FA untuk fiqh, TS untuk tafsir, SY untuk sejarah. “Gunakan katalog komputer di sana,” katanya sambil menunjuk ke satu sudut.
“Taip nama pengarang atau tajuk, kemudian catat nombor rujukan. Buku yang lebih lama disimpan di bahagian bawah, yang baharu di tingkat atas.”
Hasan melangkah ke arah komputer, cuba menaip dengan huruf Parsi di papan kekunci. Sesekali dia tersilap tekan, keluar simbol pelik di skrin. Firdaus cuba membantu tetapi sama-sama keliru. Mereka ketawa, menarik perhatian seorang pelajar Iran yang duduk berhampiran.
Pelajar itu bangun, memperkenalkan diri sebagai Ali, pelajar tahun akhir bidang usul fiqh. Dengan sabar, dia menunjukkan bagaimana mencari tajuk dalam bahasa Arab atau Parsi.
“Kalau mahu kitab lama, cari nama pengarang dalam bentuk klasik. Kadang-kadang ejaan berubah,” katanya.
Hasan akhirnya menemui entri untuk “Tahrir al-Wasilah” dan “Al-Kafi”, dua kitab yang disebut ustaz dalam kuliah pengenalan. Rasa puas hati menyelinap ketika dia mencatat kod rak di buku catatannya. Firdaus pula mencari kitab asas fiqh untuk pemula.
Mereka berdua mengekori Ali ke lorong rak yang tinggi. Bau kertas lama bercampur bau kayu memenuhi udara. Hasan berhenti di hadapan rak “FA-02”, menarik keluar satu jilid tebal berkulit hijau. Debu halus berterbangan, namun kulit buku itu masih utuh, judulnya timbul dengan tulisan emas. Dia membelek halaman pertama; tulisan Arab bercampur Parsi dengan catatan pinggir yang halus.
“Macam pegang sejarah,” bisik Hasan, matanya bersinar.
Firdaus mengeluarkan sebuah buku lebih nipis tentang kaedah asas fiqh. “Ini sesuai untuk aku,” katanya. “Tak sanggup terus baca kitab yang ada sepuluh jilid.”
Hasan ketawa kecil, kemudian memandang sekeliling sekali lagi. Dia merasakan perpustakaan itu seperti sebuah taman luas, setiap buku bagaikan pohon yang menyimpan rahsia ilmu yang menunggu untuk ditemui.
Cabaran Bahasa Akademik
Hasan duduk di meja panjang berhampiran tingkap, meletakkan kitab tebal hijau di hadapannya. Cahaya pagi yang menembusi kaca berwarna membentuk corak di atas helaian kertas. Firdaus mengambil tempat bertentangan, membuka buku fiqh nipis yang baru dipilihnya. Bunyi perlahan halaman dibalik, sesekali bercampur suara pelajar Iran berbisik membaca nota.
Hasan memandang helaian pertama kitabnya — tulisan Arab kecil, dengan catatan Parsi di tepi. Dia cuba membaca baris awal, namun terhenti pada perkataan yang kelihatan asing: “مباشرت”. Dia berkerut, mencari maksud dalam kamus kecil yang dibawanya. Tetapi penjelasan dalam Parsi klasik pula lebih sukar.
“Fir, hang tahu apa maksud ni?” Hasan menolak kitab itu ke arah kawannya.192Please respect copyright.PENANAf63MxXkm4m
Firdaus menjeling, kemudian mengangkat bahu. “Aku pun tak pasti. Bunyi macam istilah hukum.”
Hasan berdiri, membawa kitab itu ke kaunter. Ustaz Rahimi masih duduk di situ, memeriksa senarai peminjam. Hasan bertanya dengan bahasa Parsi yang dipelajarinya: “Bebakhshid, in… mobasharat… yani che?”
Ustaz Rahimi melihat perkataan itu lalu tersenyum. “Ah, ini istilah fiqh,” katanya dalam nada lembut.
“Maknanya interaksi langsung, dalam konteks hukum ia merujuk kepada hubungan yang memerlukan niat tertentu. Jangan risau, kamu akan jumpa banyak istilah seperti ini. Simpan senarai dan bincang dengan ustaz awak di kelas.”
Hasan mengangguk, sedikit lega. “Merci, ustaz.”
Sementara itu, Firdaus sedang menyusuri rak berhampiran untuk mencari jilid kedua buku fiqhnya. Dia mengikut kod di slip kertas, tetapi salah masuk ke lorong “SY” — bahagian sejarah. Dia menarik keluar sebuah buku lusuh bertajuk “Tarikh Qadim-e Iran”. Matanya terbeliak melihat ilustrasi raja purba dengan mahkota emas.
“Err… ni bukan fiqh.” Firdaus ketawa kecil, kemudian menoleh ke arah Hasan. “Hang tengok, aku tersasar ke zaman purba.”
Hasan menahan ketawa kuat supaya tidak mengganggu suasana sunyi. “Kau jangan-jangan nanti balik dengan kitab tentang dinasti lama pula.”
Mereka kembali ke meja sambil membawa buku masing-masing. Firdaus akhirnya menemui jilid sebenar yang lebih tipis. Hasan menyalin beberapa istilah asing di tepi nota, cuba menyalin dengan tulisan yang lebih kemas.
Tak lama kemudian, seorang pelajar Iran yang duduk berhampiran datang menghampiri. “Kamu baru mula baca teks fiqh?” tanyanya ramah.
“Awal-awal memang terasa sukar. Cuba baca bersama glosari Parsi klasik. Di rak hujung ada ‘Farhang-e Fiqhi’ — kamus fiqh.”
Hasan berterima kasih. Dia menyedari bahawa membaca kitab bukan sekadar tahu huruf; ada dunia istilah khusus yang memerlukan sabar dan strategi. Sekali lagi, dia teringat kata-kata Ustaz Mehdi : bahasa ialah jambatan kepada hati bangsa ini. Di sini, dia belajar bahawa bahasa juga jambatan kepada ilmu yang tersimpan berabad-abad lamanya.
Firdaus mengeluh kecil, tetapi wajahnya tetap ceria. “Kalau kita berjaya faham semua ni, mungkin kita boleh buka kelas penterjemahan pula.”
Hasan ketawa kecil, menyedari perjalanan mereka baru bermula.
Dialog dengan Pelajar Senior
Selesai menyemak beberapa istilah fiqh, Hasan menyandarkan tubuhnya ke kerusi kayu, membiarkan matanya memandang keluar melalui tingkap kaca berwarna. Cahaya matahari yang condong membuat helaian kitab di depannya kelihatan seperti helaian emas. Firdaus pula masih berjuang dengan ayat-ayat panjang dalam bukunya; pensil di tangannya bergerak, namun wajahnya jelas menunjukkan pertarungan dengan istilah baharu.
“Fir,” bisik Hasan, “kalau kita terus baca macam ni, mungkin sampai Asar baru habis dua baris.”
Firdaus mengangkat muka, mengeluh lalu ketawa kecil. “Aku dah cuba baca ayat yang sama tiga kali, tapi rasa macam otak kena reboot.”
Pada saat itu, Ali — pelajar Iran yang tadi membantu mereka di katalog — melintas sambil membawa timbunan buku. Dia menoleh, kemudian tersenyum apabila melihat wajah mereka yang jelas penat.
“Kamu berdua nampak seperti baru pulang dari medan perang,” gurau Ali dalam bahasa Arab yang fasih. “Boleh saya duduk?”
“Silakan,” jawab Hasan sambil menepuk kerusi kosong di sebelahnya.
Ali meletakkan buku-buku di meja: jilid usul fiqh, tafsir, dan satu buku nota tebal dengan kulit hitam. Dia menanggalkan kaca matanya, mengelap sedikit debu, kemudian memandang mereka dengan senyum penuh sabar.
“Awal-awal memang begitu,” katanya lembut. “Kitab fiqh dan usul bukan seperti surat khabar. Ada struktur, istilah, dan disiplin sendiri. Kamu kena latih mata membaca sambil meneka maksud berdasarkan konteks.”
Firdaus mengangguk, matanya bulat. “Saya rasa macam belajar bahasa baru lagi, walaupun dah belajar Parsi.”
Ali ketawa kecil. “Ya, bahasa fiqh memang bahasa lain. Malah orang Iran sendiri kadang-kadang sukar memahaminya jika tak pernah belajar.”
Dia membuka buku notanya, menunjukkan catatan tersusun kemas — tulisan Parsi yang rapi, dengan anak panah dan nota kaki berwarna. “Catatan ini kawan baik kamu. Jangan cuma baca dan harap ingat. Setiap kali guru jelaskan maksud istilah, tulis segera.”
Hasan memandang catatan itu dengan kagum. “Cantik dan teratur… Macam seni.”
“Ilmu memang seni,” balas Ali. “Kalau kamu menghormatinya, kamu akan dapat keberkatan. Di sini, kami diajar bahawa kitab adalah amanah. Jangan letak di lantai, jangan balas dengan nada tinggi pada guru, dan jangan lupa niat — semua ini untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan sekadar untuk lulus ujian.”
Firdaus menyandarkan tubuhnya, kelihatan semakin berminat. “Macam mana Ali mula belajar sampai tahap ni?”
“Saya datang dari Isfahan,” jawab Ali sambil melipat hujung buku notanya. “Awalnya saya hanya mahu belajar asas agama. Tapi guru saya di madrasah kecil selalu kata: ‘Kalau kamu mahu faham rahsia agama, masuklah ke dunia usul fiqh.’ Jadi saya datang ke Qom. Tiga tahun pertama sukar, banyak kali saya mahu menyerah. Tapi setiap kali teringat tujuan asal — mencari keredaan Allah — saya kuatkan diri.”
Hasan menatap wajah Ali yang tenang, cuba menyerap nasihat itu. “Macam mana kamu atur masa antara kelas, baca kitab, dan kehidupan harian?”
Ali tersenyum. “Perpustakaan ini kawan paling baik. Setiap pagi saya datang selepas Subuh, baca dua jam sebelum kelas bermula. Tengah hari saya ulang kaji, malam saya tulis semula nota dengan lebih kemas. Kalau penat, saya keluar ke halaman, hirup udara, atau minum teh. Jangan paksa diri sehingga hilang nikmat belajar.”
Firdaus ketawa kecil. “Minum teh tu penting ya?”
“Penting!” balas Ali dengan nada bergurau. “Di Qom, teh adalah bahan bakar ilmu.”
Mereka sama-sama ketawa. Bunyi itu lembut, tidak mengganggu suasana tenang sekitar. Di sudut bilik, beberapa pelajar lain masih khusyuk, seolah-olah dunia luar tidak wujud.
Ali kemudian menyelak satu halaman kitab di hadapannya, menunjukkan kepada Hasan satu baris teks yang tadi membuatnya keliru. “Kalau baca begini,” katanya sambil menuding, “pisahkan ayat hukum dengan syarah. Kadang-kadang penulis meletakkan syarah di tengah, membuat kita hilang jejak ayat utama.”
Hasan meneliti, kemudian mengangguk perlahan. “Oh, patutlah tadi saya rasa ayat tu macam tak ada hujung.”
“Betul,” ujar Ali. “Belajar fiqh seperti mendaki gunung. Kamu tak boleh melompat terus ke puncak. Kena ikut jalan, langkah demi langkah.”
Firdaus menyandar, wajahnya sudah kurang tegang. “Aku rasa macam dapat oksigen baru lepas dengar nasihat ni,” katanya kepada Hasan.
Ali memandang mereka dengan mata bersinar. “Jangan lupa, perjalanan ini bukan hanya untuk kamu. Apa yang kamu pelajari suatu hari nanti mungkin menjadi jawapan bagi orang lain. Setiap nota yang kamu tulis boleh menjadi sebab hidayah kepada seseorang.”
Hasan merasakan kata-kata itu menembusi hatinya. Dia teringat kembali perjalanan dari Kedah ke Qom, segala harapan dan kerisauan. Semua itu kini terasa lebih jelas: dia tidak datang hanya untuk menjadi pelajar, tetapi untuk memikul amanah ilmu.
Jam di dinding berdetik perlahan. Cahaya matahari sudah bergeser, memberi warna keemasan di lantai. Ali menutup bukunya perlahan, bangun untuk pergi ke kelas seterusnya.
“Saya kena pergi sekarang,” katanya. “Tapi kamu berdua teruskan membaca. Ingat, setiap halaman yang kamu buka hari ini, esok ia akan menjadi cahaya dalam fikiran.”
Hasan berdiri, berjabat tangan dengannya. “Terima kasih, Ali. Nasihat kamu banyak membantu.”
Firdaus juga berdiri, wajahnya kembali segar. “Nampaknya kita kena cari buku nota yang lebih kemas,” katanya sambil mengangkat kertas contengnya yang penuh coretan rawak.
Ali ketawa besar sebelum berlalu, meninggalkan mereka dengan semangat yang baharu.
Hasan memandang kitab di hadapannya dengan pandangan berbeza. Huruf-huruf yang tadi kelihatan seperti tembok kini seperti pintu kecil yang menunggu untuk diketuk. Dia sedar bahawa ilmu bukan sekadar hafalan; ia perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, adab, dan hati yang ikhlas.
Renungan
Petang merangkak perlahan ke senja, mewarnai langit Qom dengan jalur jingga dan ungu. Dari tingkap besar perpustakaan, Hasan melihat bayang kubah masjid yang berkilau di bawah cahaya terakhir matahari. Di dalam, suasana semakin lengang; hanya tinggal beberapa pelajar yang masih tekun membaca, sementara pustakawan sibuk menyusun buku ke tempatnya.
Hasan menutup kitabnya perlahan, meletakkan telapak tangan di atas kulit hijau yang hangat disentuh cahaya. Dalam hatinya ada rasa puas tetapi juga rendah hati — seolah-olah buku itu telah berbicara dengannya sepanjang hari, mengajar bahawa ilmu tidak datang sekali gus, melainkan setitis demi setitis kepada mereka yang sabar.
Firdaus mengeliat kecil di kerusi sebelah. “Fuh…. Otak aku penuh dengan istilah fiqh yang aku tak sangka wujud.”
Hasan ketawa kecil. Mereka duduk dalam diam seketika, menikmati bau buku lama. Di luar, dedaunan yang luruh kelihatan seperti kepingan emas bertebaran di halaman. Hasan membuka buku catatan kecil yang sentiasa dibawanya. Tangannya yang sedikit bergetar kerana penat mula menulis baris demi baris:
“Hari pertama menjejak perpustakaan Hauzah. Lautan kitab di hadapan memanggil jiwa untuk berenang jauh. Bahasa hanyalah pintu; ilmu adalah taman luas yang memerlukan hati yang tenang. Setiap istilah fiqh, setiap huruf yang sukar, sebenarnya sedang mendidik kesabaran. Aku datang ke sini bukan untuk sekadar tahu, tetapi untuk menjadi lebih dekat kepada Tuhan melalui pengetahuan.”
Firdaus menjeling tulisan itu, kemudian tersenyum. “Hang ni… selalu tulis macam penyair.”
Hasan hanya tersengih. “Kalau tak tulis, nanti hilang begitu saja apa yang kita rasa.”
Mereka berdua berdiri, mengemaskan meja dan mengembalikan buku-buku ke rak. Hasan berhenti sejenak di hadapan rak yang tinggi, matanya menelusuri judul-judul yang berbaris kemas. Ada sesuatu yang membuatnya merendah diri — menyedari betapa kecil dirinya di tengah samudera ilmu yang dikumpulkan oleh generasi ulama sejak berabad-abad lalu.
Sebelum keluar, Hasan memandang lagi ke arah ruang bacaan yang kini hampir sunyi. Dia teringat kata-kata Ali : Setiap halaman yang kamu buka hari ini, esok ia akan menjadi cahaya dalam fikiran. Kata-kata itu terasa menetap di sudut hatinya.
Di halaman luar, angin petang membawa bau manis delima dari pasar yang tidak jauh. Matahari perlahan-lahan melabuhkan tirainya di sebalik gunung, meninggalkan langit yang disimbah rona merah dan emas. Firdaus menarik nafas panjang, kemudian menepuk bahu Hasan.
“Esok kita datang lagi?” soalnya.
“Esok, lusa, dan mungkin setiap hari,” balas Hasan dengan senyuman. “Kalau nak jadi murid sebenar, kaki kita kena rajin datang ke sini.”
Mereka melangkah keluar dari halaman perpustakaan. Jalan berbatu yang tadi basah dengan embun pagi kini berkilau oleh cahaya senja. Hasan berjalan perlahan, menikmati setiap detik — angin yang menyapu wajah, bunyi tapak kaki mereka, dan kesedaran bahawa langkah kecil hari ini adalah sebahagian daripada perjalanan panjang.
Firdaus di sebelahnya masih berseloroh. “Harap-harap dalam perjalanan kita belajar ni, ada juga kantin yang jual kebab sedap macam semalam.”
Hasan ketawa, gelengan kepalanya ringan. “Percayalah, kau dan kebab takkan terpisah.”
Ketawa mereka bergema kecil di jalan yang semakin lengang. Hasan memeluk buku catatannya, melangkah pulang dengan hati yang lebih teguh daripada pagi tadi. Dia tahu setiap hari akan menjadi halaman baharu yang menanti untuk ditulis dengan sabar dan tekad.
192Please respect copyright.PENANAcyJuELfOgy
192Please respect copyright.PENANArKqGXXPG9l


