Kebiasaan aku kalau baru balik dari sekolah, rutin aku memang dah tersusun kemas. Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam rumah, aku akan terus berkurung dalam bilik, mandi, dan tunaikan solat Zohor. Lepas selesai semua tu, baru aku akan turun ke dapur untuk masak makanan tengahari untuk adik aku yang berumur 12 tahun tu.
Memandangkan kakak sulung aku dah bekerja kat ibu kota dan abang aku pulak sambung belajar kat universiti, akulah yang digalaskan tanggungjawab untuk jaga adik kat rumah sebab mak dengan ayah dua-dua keluar bekerja. Selalunya aku cuma masak menu yang simple-simple je—ayam masak kicap, masak sambal, nasi goreng, janji adik aku tu boleh makan lepas balik dari sekolah rendah.
Tapi hari ni... rutin aku terus kelaut.
Selesai solat, aku langsung tak ada daya nak bangun pergi dapur. Aku terus hempaskan badan atas katil, terlentang memandang siling kipas bilik yang berpusing ligat. Otak aku jauh lebih ligat berputar, mengulang tayang setiap bait perbualan dalam kereta Honda Jazz Cikgu Bad tadi.
'Cikgu betul-betul dah tertarik dengan awak, Balqis... Sebenarnya cikgu memang taste saya...'
"Arrghhh!" aku tekup muka pakai bantal. Sumpah, rasa malu dengan pengakuan berani mati aku sendiri tadi masih belum surut! Pipih aku rasa membahang panas gila. Betul ke apa aku buat ni? Macam mimpi pun ada!
Ting!
Tiba-tiba telefon bimbit aku di atas meja belajar bergetar, menandakan ada mesej WhatsApp masuk. Aku capai telefon tu dengan malas. Di skrin, tertera satu baris nombor yang tak dikenali. Dah kenapa pulak ada nombor asing WhatsApp aku petang-petang macam ni?
Sebaik saja aku buka, gambar profil memaparkan sekeping gambar pemandangan gunung-ganang yang cukup tenang. Dan baris ayat yang dihantar... terus buat jantung aku berdegup kencang semula.
"Assalamualaikum, Balqis. Ini Cikgu Badrul. Cikgu cuma nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi terima cikgu dalam hidup awak. Dan cikgu juga setuju dengan cadangan awak untuk kita berkenalan dulu secara biasa. Kita ada masa tak sampai setahun sebelum SPM untuk kenal hati budi masing-masing. Andai kata dalam tempoh ni kita rasa tak ada keserasian, kita tak perlu teruskan dengan niat risikan tu. Cikgu tak kisah. Dan cikgu juga terima permintaan awak untuk rahsiakan hubungan ni daripada pengetahuan pihak sekolah, cikgu-cikgu lain, mahupun keluarga masing-masing buat masa sekarang. Awak jangan risau ya. Fokus pada SPM awak."
Aku hela nafas panjang, panjang gila sampai rasa macam segala beban dekat bahu aku ni terbang melayang. Fuh... terima kasih daun keladi lah Cikgu Bad sebab memahami!
Memang itu pun sebab utama kenapa aku beria-ia minta hubungan ni dirahsiakan sedalam-dalamnya. Almaklumlah, kitorang baru je nak start fasa 'kenal hati budi'. Andai kata separuh jalan nanti kitorang rasa tak serasi, lepas tu tak jadi merisik... aduhhh, malu wei! Malu gila babi kalau satu sekolah dah tahu, lepas tu family masing-masing pun dah bising, alih-alih plot twist tak jadi kahwin. Mau aku tak keluar bilik sebulan sebab tebal muka punya pasal. Better kitorang simpan rahsia ni ketat-ketat dulu.
Dengan tangan yang masih sedikit menggigil, aku terus tekan butang save contact untuk nombor baru Cikgu Bad tu.
Takkan aku nak letak nama 'Cikgu Badrul' pulak? Nanti kalau kantoi ada notification WhatsApp masuk masa tengah lepak dengan Sarah, konfirm radar pick-me dia tu dapat hidu sesuatu yang tak kena. Nak letak 'Cikgu Bad' lagi lah cari nahas, nampak sangat mencurigakan.
Sambil guling atas katil, otak aku ligat fikir nama samaran yang paling selamat. Ha! Aku senyum senget. Aku taip nama baru kat skrin phone: 'WRQ 8878'.
Haah, aku save guna nombor plat kereta Honda Jazz silver dia je! Biar nampak macam nombor scammer or nombor agensi jualan kereta. Bijak tak bijak aku?
Lepas setel balas WhatsApp dia dengan ayat pendek, "Baik cikgu, terima kasih sebab faham," aku terus campak phone atas katil. Baru aku teringat perut adik aku kat bawah mesti dah berkeroncong tunggu kakak dia ni masak.
Sambil potong ayam kat dapur nak buat ayam masak kicap, otak aku dah mula terbayang sesi persekolahan esok hari. Sumpah, fasa trial kitorang ni mesti gila punya suspen. Aku kena berlakon macam biasa depan Farid dengan Sarah, dan yang paling penting... aku kena pastikan watak aku natural gila-gila bila bertembung dengan Cikgu Bad kat sekolah. Tak boleh ada buat-buat mata bertentang mata ke, tersenyum sorok-sorok ke.
Dan... macam mana pulak dengan Cikgu Hakim? Singa disiplin tu semalam dah nampak semacam masa aku terlanggar dia. Harap-harap radar dia tak tajam sangatlah sampai boleh bau konspirasi Honda Jazz kitorang ni!
………………………….……………………………………………
Keesokan paginya, dugaan pertama kitorang terus tiba tanpa mukadimah. Jadual waktu pagi-pagi buta dah terpampang subjek Pendidikan Jasmani (PJ).
Sumpah, masa aku tengah tukar baju sukan kat dalam kelas, jantung aku dah rasa semacam. Awkward wei! Bayangkan, semalam baru je 'ter-confess' dalam kereta, hari ni aku kena menghadap muka mamat nerd tu kat tengah padang dengan kolar baju sukan dia.
Tapi nasib baik, aku dengan Cikgu Bad play it well. Kat padang, kitorang berlakon sebijik macam cikgu dengan murid biasa. Dia buat muka tegas macam biasa sambil tiup wisel arahan, dan aku pulak buat-buat sibuk bersembang dengan Sarah masa aktiviti memanaskan badan. Langsung tak ada adegan jeling-jeling manja ke, tersenyum sorok-sorok ke. Farid yang tahu rahsia tu pun cuma mampu buat muka tahan gelak kat hujung padang sambil buat-buat hantaran bola sepak. Fuh, setel satu bab!
Pejam celik, pejam celik, beberapa bulan pun berlalu dengan sangat pantas. Hubungan rahsia aku dengan 'WRQ 8878' berjalan dengan sangat baik dan tenang.
Sepanjang beberapa bulan ni, Cikgu Bad tak pernah hantar aku balik dari sekolah. Memang aku yang tak nak, sbb aku tak nak ambil risiko ada mata-mata ulat bulu kat sekolah ni yang nampak kitorang. Biarlah kitorang simpan fasa kenal hati budi ni betul-betul di balik tabir.
Jadi, hujung-hujung aku terpaksa juga menapak balik sorang-sorang. Sebab apa? Sebab mamat sekor bernama Farid tu elok pula 'terbang' ke hulu ke hilir mengusung anak dara orang! Haah, mak ayah dia baru je belikan dia motor. Apa lagi, makin ligat lah si Farid tu jadi pak guard tak bertauliah menghantar awek junior Form 4 dia tu balik rumah hari-hari. Kawan baik dia yang genit ni? Ditinggalkannya macam tu je, bertuah punya kawan!
Tapi aku okey je balik sorang-sorang, tak ada hal lah. Rutin hidup aku pun dah makin teratur sekarang. Lagipun, baru-baru ni bapa aku ada belikan sebuah kereta Myvi baru untuk aku. Kata bapa, senang kalau ada apa-apa kecemasan berlaku kat rumah, yelah... memandangkan aku dengan adik aku je yang tinggal berdua kat rumah sebelum mak dengan ayah balik kerja lewat petang.
Setiap hari, lepas je aku setel masakkan lauk simple untuk adik aku makan, aku akan pandu Myvi tu pergi pickup Sarah kat rumah area kampung dia. Kitorang akan duduk bertapa kat rumah aku, bertungkus-lumus study sama-sama menghadap buku rujukan SPM sampai lah ke lewat petang.
Pasal kisah aku dengan Cikgu Bad? Haa, Sarah dengan Farid akhirnya dah tahu semuanya. Diorang pun okey dan sangat supportive, tak ada nak bising-bising atau buat kecoh. Pendek cerita, buat masa sekarang... segala-galanya berjalan dengan sangat normal, tenang, dan teratur.
Sampailah pada satu hari tu…
ns216.73.216.69da2


