Lepas dengar ayat 'lompatan jauh' Cikgu Bad tu, aku rasa macam nyawa aku dah terapung-apung kat siling bilik guru. Sebelum jantung aku betul-betul meletup, aku terus pusing menghadap dia.
"Cikgu... bagi... bagi saya masa untuk berfikir," kata aku, perlahan dan tersekat-sekat.
Tak tunggu langsung apa jawapan Cikgu Bad, aku terus pusing badan dan melangkah seribu keluar dari bilik guru. Lantaklah nampak kurang ajar ke apa, yang penting aku kena selamatkan diri dulu!
Sambil berjalan kat koridor, otak aku ligat berputar macam gasing. “Biar betul ni? Ke Cikgu Bad sengaja nak uji aku? Haah lah! Ini mesti ujian psikologi! Dia nak tengok aku ni jenis budak Form 5 yang mudah hilang fokus sebab cinta ke tak sebelum SPM! Mana ada cikgu nak merisik anak murid yang upsr dapat 2A macam aku ni, weii! Gila, gila!”
Kepala aku dah serabut tahap maksima. Aku berjalan punya lah laju sambil mata tertancap tepat kat hujung kasut sekolah sendiri. Langsung tak pandang kiri kanan, apa lagi pandang depan.
Dan... GEDUKKK!
Dahi aku terlanggar satu dada yang keras macam dinding konkrit. Kuat gila sampai aku terundur dua tapak ke belakang.
“Aduh…” aku pegang dahi sambil panggung kepala nak tengok tiang mana yang terpacak tengah koridor ni.
Nah kooo!
Cikgu Hakim tengah berdiri tegak depan aku. Lengkap dengan baju kemeja kemas yang dilipat hingga ke siku, lengan sasa dia bersilang kat dada, dan tangan kanan dia tengah pegang sebatang rotan. Muka dia? Jangan cakaplah, tajam dan garang macam singa tengah tunggu masa nak baham mangsa.
Pandangan mata Cikgu Hakim masa tu terus menusuk masuk ke dalam anak mata aku. Dia tak marah, tapi aura dia buat aku rasa nak ghaib dari bumi sekarang jugak.
"Jalan tu pakai mata, Balqis. Awak dari mana ni sampai tak tengok depan?" tanya Cikgu Hakim. Suara dia garau, dalam, dan kedengaran tegas gila.
"Eh... eh, minta maaf, cikgu! Minta maaf sangat-sangat! Saya tak sengaja!"
Tak sanggup nak hadap muka 'Pujaan Malaya' tu lama-lama, aku terus tunduk separuh tiang, lepas tu aku lari pecut kalahkan rekod lari 200 meter si Farid tadi, terus meluru masuk dalam kelas.
Aku duduk kat kerusi sambil tercorong-corong ambil nafas. Sumpah, hari ni hari gila sedunia untuk seorang budak bernama Balqis!
………………………….……………………………………………
Waktu loceng terakhir berbunyi menandakan tamat sesi persekolahan, otak aku masih lagi dalam fasa *loading*. Macam biasa, rutin balik sekolah aku adalah berjalan kaki berdua dengan Farid. Rumah kitorang satu taman, dekat sangat kalau setakat nak menapak. Sarah pula awal-awal lagi dah balik dengan mak dia naik kereta Kancil, lagipun rumah dia jauh sikit dekat area kampung hujung sana.
Sepanjang jalan, aku cuma heret kaki tanpa perasaan. Pandangan aku kosong memandang jalan tar.
"Nah," Farid tiba-tiba sua sebatang lidi yang penuh dengan lokching bercelup sos merah pekat depan muka aku. Sebelah tangan dia lagi satu tengah pegang plastik berisi keropok lekor panas yang dia sempat rembat kat motor pakcik guard luar sekolah tadi.
Aku pusing kepala, tapi mata aku melaut tengok lokching tu. Kosong.
Farid hulu lagi sekali. Masih tak ada respon dari aku. Akhirnya, dia mengeluh kecil lalu menyenggol lengan aku pakai siku dia.
“Wei, kau okey tak ni? Menung macam putus cinta je. Ni lokching kegemaran kau ni, ambil lah. Aku belanja,” kata Farid, pelik tengok aku yang tiba-tiba bertukar jadi tunggul.
Aku capai juga lidi lokching tu perlahan-lahan. Aku suap satu ketul masuk mulut, tapi kunyah pun acah-acah tak ada selera. Aku cuma mampu hadiahkan satu senyuman tawar kat dia.
Farid terus berhenti melangkah. Dia pusing badan menghadap aku, mata dia mengecil penuh curiga. "Kau ni biar betul, Balqis? Selalu pantang nampak lokching, ni mukjizat apa kau layan acik-acik gundah gulana ni? Kau ada sorok apa-apa dari aku ke?"
Aku pandang kiri, pandang kanan. Suasana jalan taman agak lengang. Aku hela nafas dalam-dalam, cuba nak kumpul kekuatan sbb kalau aku simpan sorang-sorang rahsia ni, sumpah otak aku boleh meletup sebelum sempat menduduki subjek Sejarah SPM.
"Farid... tadi... Cikgu Bad panggil aku masuk bilik guru," aku mulakan cerita, suara aku sengaja diperlahankan.
"Haa, lepas tu? Dia denda kau sbb ponteng tiga tahun lepas ke?" teka Farid, selamba mengunyah keropok lekor.
"Bukanlah gila!" aku ketuk lengan dia. Aku tarik nafas lagi. "Dia... dia cakap dia ada perasaan kat aku. Dia kata dia dah perhatikan aku sejak tiga tahun lepas... sejak kes lompat jauh tu. Dan dia cakap, lepas habis kertas terakhir SPM nanti... dia nak hantar rombongan merisik ke rumah aku."
*KRAKKK!*
Farid terkejut sampai tergigit lidi keropok lekor dia sendiri! Mata dia bulat gila macam nak terkeluar, mulut dia ternganga sampai nampak keropok lekor yang belum habis hancur kat dalam.
"Wei... kau... kau biar betul?!" Farid dah mula gagap.
"Betullah! Sumpah aku tak tipu! Tapi tulah..." aku dekatkan muka aku kat dia, memasang muka paling serius yang aku ada. "Aku tengah fikir tahu tak. Benda ni macam tak logik. Aku rasa... ini mesti ujian psikologi."
"Ha? Ujian apa?" Farid blur.
"Ujian psikologi lah! Kau tak tahu ke cikgu zaman sekarang kan kreatif. Aku rasa Cikgu Bad tu sengaja nak uji fokus aku. Dia nak tengok, kalau dia acah-acah cakap macam tu, aku sebagai budak kelas 5 Kreatif ni akan hilang arah dan tak boleh jawab SPM ke tak. Kan tahun ni SPM? Haah, konfirm! Ini eksperimen sosial sekolah nak test mental pelajar!"
Farid terkaku kejap dengar hujah panjang lebar aku. Dia pandang aku dari atas ke bawah, lepas tu…
"BHAHAHAHAHAHAHAHAHA! ADUHHH SAKIT PERUT AKU!"
Satu taman perumahan tu bergema dengan suara jantan si Farid tengah gelak besar! Dia punya gelak sampai terduduk kat tepi longkang, siap pegang perut dengan mata berair.
“Wei, Balqis! Otak kau ada letak kat lutut ke apa? Hahaha! Eksperimen sosial jadah apa sampai nak hantar rombongan merisik gila babi!” Farid sambung gelak sampai senak perut.
Aku mencerun pandang dia sambil peluk tubuh. Sakit pulak hati aku layan mamat sekor ni.
“Bukan ni je lawak gila, tahu tak!” Farid gagahkan juga diri dia untuk bercakap dalam sisa-sisa tawa dia yang tak habis lagi. Kali ni dia siap mencangkung-cangkung kat tepi jalan sebab dah tak larat nak tampung badan sendiri yang senak gelak. “Yang lagi lawak tu... macam mana si Cikgu Bad tu boleh terpikat dengan kau sebab lompat jauh kau tu, wei! Aduhhh, runtuh ego abang sasa sekolah ni kalau tahu cikgu sukan boleh tersangkut dekat budak genit yang mendarat atas pasir! Hahaha, pecah perut aku doo!”
“Farid! Jilake betul kau ni, Kau ni kalau aku sumbat keropok lekor panas ni dalam mulut baru tahu," ugut aku sambil acah-acah nak sua plastik makanan kat muka dia.
Farid kesat air mata dia kat bucu mata, masih bersisa sisa tawa yang tersengih-sengih. Dia bangun dan betulkan beg sekolah dia. "Aduh, okey, okey. Sumpah aku tak gelak dah. Habis tu, apa respon kau kat Cikgu Bad tadi?"
"Aku cakap... bagi saya masa untuk berfikir. Lepas tu aku terus pusing pusing badan, cabut lari keluar dari bilik guru," jawab aku, mengenangkan balik betapa kelam-kabutnya aku masa tu.
"Pergh, gila. Habis tu kau terus masuk kelas?"
"Tak... tu satu lagi hal. Masa aku tengah berjalan pening-pening lalat pandang kasut kat koridor tu, bam! Aku pergi terlanggar dada Cikgu Hakim pulak! Kuat gila wei. Terus aku gelabah minta maaf gila-gila, lepas tu aku lari masuk kelas." Aku hela nafas panjang. "Tapi masa aku tengah kelam-kabut minta maaf tu, aku ada perasan kelibat Sarah baru balik dari toilet. Dia tengah jalan menuju ke arah kitorang."
Aku berhenti melangkah, pandang muka Farid dengan penuh risau. "Wei, Farid. Agak-agak si Sarah sentap tak eh tengok aku terlanggar Cikgu Hakim tadi? Kau tahu-tahu jelah dia tu kan pantang nampak Cikgu Hakim, mesti dia ingat aku sengaja nak cari perhatian mamat tu. Sumpah aku bukan sengaja doo! Aku bukannya ada hati pun dengan abang singa disiplin dia tu!"
Farid buat muka toya, tangan dia selamba suap ketul lokching yang terakhir.
"Alah, kau tak payah kisahlah pasal Cikgu Hakim dengan si Sarah tu. Lantak pi lah kat diorang," balas Farid, menepis kerisauan aku dengan mudah. Dia kembali pasang muka serius, tapi mata dia masih bersinar nak menyakat.
"Sekarang ni, isu paling besar... kau kena fikir, kau nak terima ke tak Cikgu Bad tu? Mamat tu bukan sembang kencang nak ajak bercinta monyet sorok-sorok tau. Dia terus cakap nak merisik lepas kertas terakhir SPM. Bapak gentleman! Tapi aku berani kerat jarilah, benda ni memang bukan eksperimen psikologi ke, ujian sekolah ke apa lah. Cikgu Bad tu betul-betul syok kat kau, gila!"
Habis je dia cakap macam tu, Farid pandang muka aku yang dah mula blur balik. Dan tak sampai tiga saat...
"BHAHAHAHAHA! Ujian psikologi konon! Aduh Balqis, lawak bodoh kau ni boleh buat aku masuk maharaja lawak lah!"
Farid sambung gelak besar lagi sekali sambil berjalan laju tinggalkan aku kat belakang.
"Farid! Jilake betul kau ni, tunggulah!" jerit aku sambil heret kaki kejar langkah dia.
ns216.73.216.69da2


