“SAYA sejujurnya bangga sebab ada cikgu praktikal yang cantik dan bijak macam awak dekat sekolah ni.” Shahrul tersenyum halus. Ada sinaran yang pelik di matanya sepintas lalu, seolah-olah menyimpan maksud tersirat.
“Terima kasih, Encik Shahrul.” Naria membalas dengan nada yang sopan walaupun hatinya dah mula berdebar. Dia kehairanan, kenapa penolong kanan seorang ni panggil dia ke pejabat seorang diri?
Shahrul mengangkat senarai yang berada dalam tangannya dan berkata dengan nada yang berlagak, “Ini adalah senarai guru praktikal yang akan diserap jadi guru tetap. Naria, awak adalah seorang wanita yang bijak. Awak faham maksud saya, kan? Saya sangat… kagum dengan awak.”
Perkataan ‘kagum’ itu ditekan kuat, dan pandangan matanya penuh dengan kerakusan yang berselirat dengan nafsu.
Naria hanya tersenyum hambar. “Apa maksud Encik Shahrul sebenarnya, ya?”
Lelaki itu puas melihat reaksi yang disangka lembut. Hatinya dah kegembiraan, kononnya wanita jelita ini sudah faham isyaratnya. Dengan wajah yang halus dan tubuh yang menawan, dia dah boleh bayangkan keseronokan yang menanti.
“Mungkin kita boleh berbincang… lebih private. Kalau awak sudi tidur dengan saya—”
Sekelip mata, ayatnya terhenti.
Riak wajah Naria sekelip mata berubah dingin. Bibirnya mengukir senyum sinis. “Dah berapa ramai cikgu praktikal yang Encik Shahrul dah ajak buat benda ni?”
Shahrul tersentak, wajahnya berubah menjadi buruk. “Naria, biar saya bagitahu awak perkara sebenar. Saya adalah orang yang diamanahkan untuk tentukan siapa yang layak jadi guru tetap. Kalau awak dengar cakap saya, saya boleh bagi apa sahaja yang awak nak. Kalau awak melawan… jangan salahkan saya kalau saya bertindak kejam.”
Ancaman itu menusuk tajam, disuntik dengan penuh keyakinan sebab dia dah lama siasat latar belakang keluarga Naria. Dia adalah anak perempuan yang dibenci dan disisihkan oleh ibu bapanya dan telah dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki tua yang dah hampir maut.
Bukankah lebih elok kalau jadi ‘permainan’ dia sahaja?
Itulah apa yang difikirkan oleh Shahrul.
Namun Naria menjawab dengan tegas. “Maaf. Saya tak akan jual maruah diri saya semata untuk dapatkan jawatan sebagai guru tetap dekat sini.”
Wajahnya keras, dengan penuh bermaruah. Dia ada kebolehan, ada harga diri, dan sekarang dia juga sudah bersuami.
“Kalau macam tu, keluar. Awak bukan lagi guru dekat sekolah ni!” bentak Shahrul dengan kemarahan yang membuak-buak.
Naria hanya membalas sinis, “Saya boleh keluar? Kalau macam tu, saya akan berjumpa terus dengan Pengetua untuk bincangkan hal ni.”
Kata-kata yang keluar dari mulut Naria itu membuatkan Shahrul ketawa mengejek. “Jangan mimpi! Awak ingat awak siapa? Siapa je yang akan pedulikan cikgu praktikal muda macam awak?”
Ketika Naria berpaling untuk keluar, barulah dia perasan yang pintu bilik itu dah terkunci. Tombol pintu tak dapat dipulas walau satu sentimeter.
Shahrul bangun dari kerusinya dengan satu alat kawalan jauh dalam tangan. Senyumannya berubah jijik. “Kalau tadi awak terima ajakan saya, mungkin saya dah layan awak baik-baik. Tapi awak dah tolak tawaran saya dengan menghina saya, jadi, saya akan pastikan awak sengsara seumur hidup!”
Air muka Naria berubah menjadi gelap. Dia menggenggam tangannya menjadi buku lima. “Saya rasa Encik Shahrul tak siasat satu benda…”
“Apa dia?” Lelaki itu mendengus.
“Saya juara dalam pertandingan taekwondo masa dekat sekolah menengah dulu.”
Belum sempat Shahrul ketawa mengejek, satu jeritan kasar memecahkan suasana bilik.
“ARGH!”
Dengan menggunakan beberapa gerakan yang laju, Naria berjaya merampas alat kawalan jauh, buka pintu, dan lari meninggalkan lelaki itu terjelepok di lantai dengan wajah yang lebam dan kebiruan.
Dia berpaling seketika, bibirnya tersenyum sinis. “Encik Shahrul, anggap jelah ini sebagai satu pengajaran untuk encik.”
Shahrul yang separuh sedar, masih sempat menggumam, “Naria… tunggu kau!”
Naria melangkah pergi, tetapi dadanya terasa berat. Mungkin dia dah tersilap langkah. Disebabkan dia dah cederakan Penolong Kanan yang mempunyai jawatan yang besar, masa depannya sebagai cikgu praktikal, atau cikgu, boleh hancur.
Adakah ini titik noktah kepada kerjayanya sebagai seorang cikgu? Atau mungkin… lepas ni, dia dan Eden betul-betul akan hidup merempat, makan dan tidur bawah jambatan?
Disebabkan takut dengan bayangan begitu, dia terus menghubungi suaminya
“Eden…?” Suaranya bergetar, namun tetap kedengaran lembut.
Pada waktu itu, Eden berada di sebuah bilik khas, dikelilingi dengan pewaris muda golongan elit. Dia duduk di kerusi utama dengan wajah yang kaku, auranya dingin dan berkuasa. Pelayan wanita di sebelah cuba untuk menggodanya, tapi pandang pun Eden tak mahu.
Bila panggilan itu dijawab, suaranya berubah lembut. Jauh berbeza dari sikapnya yang selalu dingin. “Ada apa, sayang?”
Bilik itu serta-merta berubah senyap. Semua mata tertumpu padanya, terkejut dengan nada mesra yang tak pernah mereka dengar.
“Saya cuma nak tanya…” suara Naria serak, “Kalau satu hari nanti kita terpaksa merempat, awak sanggup tak… sanggup tak mengemis cari makan dengan saya?”
Soalan itu membuatkan hati Eden mengetat. Dahinya yang tadi berkerut, perlahan-lahan ditenangkan.
“Apa yang dah jadi?” suaranya lembut, namun jelas menyimpan emosi yang tegang.
Naria teragak-agak seketika. Air mata hampir menitis ke pipi. “Mungkin… mungkin saya akan kena buang kerja. Dan saya… mungkin dah tak mampu nak sara awak lagi.”
Pada saat itu, dia terasa pelik dan hairan macam mana ancaman dan penghinaan daripada Shahrul tadi membuatkan dia jadi sebak. Tapi sebaik sahaja dia berbicara dengan lelaki ini, hatinya retak, emosi yang ditahan akhirnya goyah.
Eden tak menunggu untuk bazirkan sesaat lagi. Dia bangun dari kerusinya, menyambar kotnya dari pembantu peribadinya, dan melangkah keluar.
Para pewaris muda di bilik itu terpinga-pinga. “Apa yang dah jadi dengan Tuan Muda Eden? Dia kena sampuk hantu ke?”
Ada salah seorang daripada mereka bersuara, “Saya rasa… kekasih dia ada dalam masalah.”
Eden selama ini langsung tak pernah nampak macam seorang lelaki yang ada kekasih hati.
Mereka yang berada di situ tahu sangat dengan reputasi lelaki itu; kejam, dingin, dan penuh dengan strategi. Sebagai pewaris ketiga keluarganya, dia digeruni walau di mana sahaja dia berada.
Jadi disebabkan itu, mereka semua berusaha sedaya upaya mencari ruang untuk mengambil hatinya, walaupun mereka hanya boleh mendapatkan secebis perhatian daripadanya.
Namun, tak disangka, ekspresi si dingin itu berubah sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon daripada seseorang. Aura elegan dan angkuh yang sentiasa menyelubungi dirinya lenyap dalam sekelip mata. Langkahnya ketika meninggalkan bilik itu sedikit terburu-buru, tak yang macam biasanya dilihat dengan penuh keyakinan.
“Tuan Muda Eden… nampak macam… ada kecemasan?” seorang daripada mereka berbisik, ragu-ragu.
“Apa yang kita patut buat sekarang? Dia dah pergi.”
“Nak buat apa lagi? Tanyalah dekat pembantu peribadi dia tu. Dia je yang berani buka mulut kalau dengan Tuan Muda Eden.”
Mereka semua sedar, kehadiran mereka di kelab pada malam itu bukanlah disebabkan kebetulan.
Orang-orang tua dalam keluarga Edenlah yang dah hantarkan mereka ke situ pada malam ini, sebagai pengiring untuk menemani pewaris dingin itu.
Tanpa pengaruh keluarga, orang macam mereka tak akan mampu menjejakkan kaki walau setapak pun ke dalam kawasan milik keluarga Eden di seluruh wilayah itu.
ns216.73.217.22da2


