[Lokasi : Ulee Lheue, Banda Aceh] 248Please respect copyright.PENANAJskW4wEHSW
[Masa: 07:59 Pagi]
Langit di atas Banda Aceh pagi itu terbentang biru, bersih tanpa secalit awan hitam yang berani menumpang teduh. Cahaya matahari pagi Ahad memancar garang, menyepuh kubah-kubah masjid dan atap zink rumah penduduk dengan warna keemasan yang silau. Angin bertiup malas dari arah laut, membelai pipi dengan membawa bau masin yang menenangkan, seolah-olah alam sedang berehat panjang.
Segalanya kelihatan sempurna. Terlalu sempurna. Ketenangan itu terasa ganjil, seperti hening sebelum nota pertama sebuah orkestra dimainkan.
Di Warung Kopi Cek Mat, kehidupan berjalan dalam rentak gerak perlahan yang mendamaikan. Aroma kopi Robusta yang pekat, hangit dan manis, bersatu mesra dengan kepulan asap rokok kretek yang bertebaran di udara. Bunyi sudu besi berdenting melaga dinding gelas kaca —ting, ting, ting— menjadi satu-satunya irama latar yang mengiringi perbualan pagi itu.
Di meja tengah, Bang Ramli sedang ketawa mengekek mendengar jenaka Pak Cik Daud. Mulutnya terbuka luas, badannya terhinggut-hinggut menahan geli hati.
Tiba-tiba, tawanya mati di kerongkong.
Dunia senget.
Ia berlaku dalam sekelip mata. Graviti seolah-olah ditarik dari bawah kaki. Gelas kopi saring di hadapannya bukan sekadar bergetar, tetapi melompat setinggi dua inci dari piring alasnya. Cecair hitam yang masih panas mendidih itu terpercik keluar dengan ganas, mendarat tepat di atas dada baju Pagoda putihnya.
"Aduh!"
Rasa panas air kopi itu menyengat kulit, tetapi rasa pening yang menyerang jauh lebih menakutkan.
“Eh? Pening that ulee lon nyoe...” (Eh? Pening sangat kepala aku ni...) getus Bang Ramli. Tangannya pantas memegang dahi, matanya dipejam celik berkali-kali. Jantungnya berdegup laju. Dia menyangka penyakit darah tingginya menyerang lagi akibat terlalu banyak makan daging kambing semalam. Dia cuba mengimbangi badan, mencengkam sisi meja kayu yang terasa licin.
"Daud, lon rasa lagee neuk pitam..." (Daud, aku rasa macam nak pitam...) bisiknya, cuba mencari wajah rakannya.
Tetapi apabila dia membuka mata dan memandang ke bawah, dia melihat sesuatu yang menafikan logik akal sihatnya.
Lantai simen warung yang keras dan padu itu sedang beralun.
Ia bukan bergegar ke kiri dan ke kanan dengan kasar seperti ketika lori balak lalu di jalan hadapan. Tidak. Ia bergerak lembut, panjang, dan beralun seperti tikar getah yang dikibas angin. Lantai konkrit itu seolah-olah bertukar sifat menjadi cecair, menggeliat malas seperti ombak di lautan luas.
Bang Ramli terpaku. Otaknya gagal memproses maklumat visual itu. Bagaimana mungkin simen boleh menjadi air? Bagaimana mungkin tanah tempat dia berpijak, benda paling kukuh dalam hidupnya kini beralun seperti perut ular gergasi yang sedang bergerak?
Lamunan Bang Ramli disentak oleh cengkaman kuat pada lengannya. Cengkaman itu menyakitkan, seolah-olah kuku jari mahu menembusi daging.
"Ramli! Kalon tiang nyan!" (Ramli! Tengok tiang tu!) jerit Pak Cik Daud, suaranya cemas.
Orang tua itu langsung tidak peduli tentang keadaan Bang Ramli yang sedang memicit dahi. Tangan kirinya mencengkam bucu meja kayu yang sedang bergetar hebat, manakala tangan kanannya menunjuk lurus ke arah tiang seri warung. Tiang konkrit yang sepatutnya teguh itu kini sedang meliuk-liuk, bergoyang seperti pohon kelapa dipukul ribut.
"Linon! Linon rayek!" (Gempa! Gempa besar!)
Satu jeritan nyaring dari arah jalan raya memecah gegendang telinga, mengubah suasana bingung menjadi panik total.
Dalam sekelip mata, alunan lembut di lantai tadi berubah watak. Ia tidak lagi mendodoi atau beralun seperti air. Ia menyentak dengan keganasan yang tidak masuk akal.
DUM! DUM! KRITTT!
Warung kopi Cek Mat yang tadinya damai kini bertukar menjadi kotak mancis yang digoncang tangan gergasi. Bunyi atap zink bergegar melaga kekuda kayu menghasilkan bunyi bising yang memekakkan telinga, seolah-olah ribuan batu sedang dihujani ke atas bumbung dari langit.
Di kaunter air, Cek Mat hilang imbangan. Dia terhuyung-hayang, tangannya terkapai-kapai cuba mencapai tiang untuk berpaut, tetapi lantai di bawah kakinya bergerak liar, menendang ke kiri dan ke kanan.
"Allah! Allah!" jerit Cek Mat apabila rak kaca tempat dia menyusun kuih-muih tiba-tiba terbalik.
PRAANGGG!
Bunyi kaca pecah berderai bersatu dengan bunyi cerek air panas yang jatuh terhumban. Air mendidih melimpah ke lantai yang sedang bergoncang, wap panas naik berkepul-kepul, memaksa pelanggan yang berhampiran melompat naik ke atas kerusi dengan wajah pucat lesi. Kopi yang sedang dibancuh tumpah, mengubah lantai kedai menjadi lopak hitam yang melekit dan penuh serpihan kaca tajam.
Di sudut terpencil warung, dua lelaki yang tadi bersemangat membincangkan kemerdekaan Aceh dan 'Si Pai' kini tidak lagi peduli tentang politik. Tiada lagi retorik perjuangan, tiada lagi impian tentang hasil bumi.
Kerusi mereka terbalik dengan kasar. Salah seorang daripada mereka terpelanting jatuh, merangkak di atas lantai yang bergoyang, cuba mencari pegangan. Rakannya cuba berdiri, tetapi graviti seolah-olah telah hilang fungsi. Dia terhuyung-hayang seperti orang mabuk di tengah lautan badai, sebelum akhirnya rebah melutut, memeluk tiang seri warung itu sambil melaungkan azan dengan suara yang terketar-ketar dan penuh ketakutan.
"Allahuakbar! Allahuakbar!"
Bang Ramli dan Pak Cik Daud masih di meja mereka, tetapi meja itu kini sedang 'berjalan' sendiri akibat getaran yang kuat, bergeser di atas lantai simen yang retak.
"Teubiet! Tanyoe beu teubiet!" (Keluar! Kita kena keluar!) jerit Bang Ramli, naluri survival-nya mengambil alih. Dia cuba menarik Pak Cik Daud bangun.
Namun, bumi enggan bekerjasama. Goncangan itu menjadi vertical, atas dan bawah. Setiap kali mereka cuba melangkah, lantai seakan-akan ditumbuk dari bawah. Debu-debu plaster mula gugur dari siling, jatuh seperti salji kotor, meliputi rambut dan baju mereka. Dinding batu warung itu mula menampakkan retakan halus yang menjalar pantas seperti akar pokok yang ganas.
Di luar warung, dunia lebih huru-hara. Motosikal yang diparkir tumbang berderet seperti domino. Orang ramai berlari lintang-pukang tanpa arah tuju, berlanggar sesama sendiri. Ada yang jatuh dan sukar untuk bangkit semula kerana tanah tempat mereka berpijak sedang mengombak mencipta rekahan-rekahan kecil yang terbuka dan tertutup seperti mulut yang lapar.
Dan di sebalik jeritan manusia serta bunyi runtuhan, satu bunyi lain mula mengatasi segalanya. Bunyi humming rendah dari perut bumi.
GRRRRRRRRRRRRRR...
Ia bunyi geseran lempeng benua yang sedang mematahkan tulang-tulang geologi Sumatera. Ia adalah bunyi ngauman raksasa yang baru terjaga dari tidur panjangnya.
[Kampung Jawa, Meulaboh]
[Masa: 08:02 Pagi]
Tiga minit telah berlalu. Seratus lapan puluh saat yang terasa seperti seabad. Dan bumi masih belum berhenti marah.
Biasanya, gempa di Sumatera hanyalah satu sapaan ringkas alam. Satu, dua, sepuluh saat... kemudian ia berhenti. Mereka tarik nafas lega, betulkan bingkai gambar yang senget, dan sambung hidup seperti biasa. Tapi kali ini berbeza. Kali ini ia bukan sapaan. Ia adalah satu penyeksaan.
Cut Aishah sedang memeluk erat tubuh kecil Sarah di bawah jenang pintu bilik tidur, satu-satunya struktur yang dia percaya masih kukuh. Di sekeliling mereka, rumah pusaka itu sedang mengerang kesakitan. Kayu-kayu tiang menjerit nyaring —kraakkk... krakkk...— bunyi sendi-sendi rumah yang sedang dipulas oleh tangan ghaib. Paku-paku lama terpelanting keluar dari dinding seperti peluru, dan dinding papan itu meliuk-liuk bagaikan kertas nipis yang ditiup angin ribut.
“Mak... adek takot...” (Mak... adik takut...) Sarah menangis teresak-esak, wajahnya disembunyikan rapat di dada Aishah, air matanya membasahi baju kurung ibunya.
“Syhh... Na Allah. Na Allah, sayang,” (Syhh... Allah ada. Allah ada, sayang,) bisik Aishah. Dia cuba memujuk, walau suaranya sendiri bergetar hebat menahan tangis dan ngeri. Tangan Aishah menekan kepala anaknya, melindungi daripada habuk dan cat yang gugur dari siling.
Tiba-tiba, Aishah menekup mulutnya. Dia dapat merasakan perutnya memulas hebat. Rasa mual yang amat sangat menusuk tekak, cecair asid naik ke kerongkong.
Ini bukan sekadar takut, ini mabuk darat.
Durasi gempa yang terlalu lama dan jenis gelombang yang mengalun (rolling waves) telah mengacau sistem keseimbangan badan manusia. Cecair dalam telinganya berkocak ganas, menghantar isyarat keliru ke otak. Walaupun dia duduk diam memeluk lutut, otaknya memberitahu bahawa dia sedang diputar di dalam gasing. Aishah memejamkan mata rapat-rapat, cuba menahan isi perutnya daripada keluar, cuba mencari titik keseimbangan yang sudah hilang dari dunia ini.
Apabila dia memberanikan diri membuka mata dan memandang ke luar tingkap nako yang sudah pecah berderai, dia melihat pemandangan yang menafikan hukum fizik.
Pokok mangga tua di halaman rumahnya yang teguh berdiri sejak dia kecil sedang ‘bersujud’ menyembah bumi. Akar-akarnya terburai keluar dari tanah yang merekah dengan bunyi kriuk yang mengerikan, sebelum batang pokok gergasi itu terpelanting tumbang menyembah tanah.
Lebih jauh di jalan besar, tiang elektrik konkrit tidak patah, tetapi meliuk-lentuk seperti batang mancis getah yang lembut. Kabel-kabel voltan tinggi putus, melibas liar di udara, memercikkan api biru yang menyambar-nyambar sebelum padam ditelan debu runtuhan yang tebal.
Aishah faham sekarang. Bumi bukan sekadar bergoncang; ia sedang membuka mulutnya yang luas dan mengunyah apa sahaja yang ada di atasnya.248Please respect copyright.PENANAS8dLWBYoAN
[Masa: 08:08 Pagi]
Sembilan minit.
Hanya sembilan minit pada jam dinding, tetapi bagi mereka yang bernafas di Aceh pagi itu, ia adalah satu keabadian dalam neraka.
Di tengah-tengah pusat bandar Banda Aceh, mercu tanda kebanggaan kota, Hotel Kuala Tripa, kini berdiri dalam keadaan nazak. Dindingnya retak seribu, memuntahkan debu dan serpihan konkrit ke jalanan.
Orang ramai berhamburan keluar dari bangunan-bangunan pejabat dan kedai, berlari tanpa arah seperti semut yang sarangnya disimbah air panas. Suasana cacamarba. Jeritan histeria bercampur dengan tangisan, dan di sana sini kedengaran laungan azan yang tidak menentu waktunya—laungan suci yang dilaungkan bukan untuk memanggil solat, tetapi memohon perlindungan daripada Kiamat.
Di tepi-tepi longkang besar, ramai warga kota jatuh tersungkur. Mereka bukan cedera, tetapi mabuk. Sistem keseimbangan badan mereka hancur. Mereka muntah-muntah, membuang segala isi perut ke atas jalan tar yang retak, tidak tahan dengan pening yang melampau akibat bumi yang berayun terlalu lama.
Di kejauhan, satu dentuman kuat tiba-tiba memecah bunyi riuh-rendah.
BOOOM!
Sebuah menara masjid di kampung seberang tidak mampu lagi bertahan. Ia menyembah bumi, runtuh menyebah debu putih tebal yang naik berkepul-kepul ke angkasa. Debu itu bertebaran, menodai langit biru yang cerah itu, satu calit luka pada wajah pagi Ahad yang sempurna.
Kemudian, perlahan-lahan... kegilaan itu mula surut.
Ayunan ganas tanah bertukar menjadi getaran halus. Bunyi ngauman GRRRROOOOMMMM dari perut bumi tadi bertukar menjadi dengusan lemah, seperti raksasa yang kepenatan setelah mengamuk sakan.
Dan akhirnya... senyap.
Bukan senyap biasa. Ia adalah hening.
Keheningan yang mencekik dan menekan dada.
Burung-burung tidak lagi kelihatan di langit; mereka sudah lama lari. Angin mati secara tiba-tiba, menjadikan udara terasa berat dan berdebu. Malah bunyi enjin kenderaan juga seolah-olah hilang ditelan vakum masa.
Yang tinggal hanyalah bunyi nafas manusia yang tercungap-cungap, bunyi tapak kaki yang menyeret di atas serpihan kaca, dan tangisan bayi yang ketakutan, bergema aneh di celah-celah bangunan yang retak.
Alam sedang menahan nafas.
Bang Ramli terbatuk-batuk, merangkak keluar dari celah sisa runtuhan dinding Warung Kopi Cek Mat yang separa ranap. Debu simen memutihkan bulu mata dan rambutnya, menjadikannya kelihatan seperti orang tua dalam sekelip mata.
Bajunya yang tadi putih kini kotor bertompok hitam kopi dan kelabu debu. Lutut seluarnya koyak, menampakkan kulit yang berdarah akibat bergeser dengan serpihan kaca, namun adrenalin mematikan rasa sakit itu. Dia berdiri terhuyung-hayang, memandang sekeliling.
Jalan raya Ulee Lheue kini seperti zon perang. Orang kampung mula keluar dari rumah masing-masing dengan langkah perlahan, wajah mereka pucat lesi seperti mayat hidup. Mereka mendongak, memandang ke langit biru yang masih cerah dan tenang, seolah-olah bertanya dalam diam : Apa dosa kami sehingga digoncang sebegini rupa?
“Ka abeh keu, Ramli?” (Dah habis ke, Ramli?) tanya Pak Cik Daud. Suara orang tua itu lemah, tangannya masih memegang dada yang berombak kencang. Dia berpaut pada sisa tiang, lututnya masih menggigil.
Bang Ramli tidak menjawab. Lidahnya kelu. Matanya bukan pada langit, tetapi tertancap ke arah ufuk laut.
Jarak warung mereka dengan pantai Ulee Lheue tidak jauh, hanya sepelaung. Dan dari celah-celah bangunan kedai yang runtuh itu, dia boleh nampak garis ufuk.
Ada sesuatu yang pelik. Sangat pelik.
“Ie...” (Air...) bisik Bang Ramli, matanya membulat, anak matanya mengecil.
“Pakoen ie nyan?” (Kenapa dengan air tu?)
“Ie laot nyan... jih jipluang. Jipluang tinggai pantai.” (Air laut tu... dia lari. Dia lari tinggal pantai.)
Di kejauhan, pemandangan yang menyalahi hukum alam sedang berlaku. Garisan pantai yang sepatutnya memutih dengan buih ombak kini kelihatan hitam legam. Laut sedang disedut.
Ia bukan surut biasa seperti waktu petang. Air laut sedang ditarik jauh ke tengah samudera dengan kepantasan yang tidak logik, seolah-olah plag di dasar lautan telah dicabut. Bunyi air menyedut —siiiuuuuuhhh— kedengaran sayup-sayup, bunyi jutaan liter air bergeser dengan pasir, berlumba-lumba lari meninggalkan daratan.
Dalam masa beberapa saat, dasar laut yang selama ini menjadi rahsia tersembunyi kini terdedah bogel di bawah matahari pagi. Karang-karang tajam mencuat keluar seperti tulang-tulang bumi. Ikan-ikan, dari sekecil bilis hingga tongkol sebesar lengan menggelepar panik di atas pasir basah dan lumpur hitam, tercungap-cungap mencari nyawa. Beberapa buah perahu nelayan yang tadi terapung kini tersadai senget, terdampar di atas padang pasir basah yang asing itu.
Ramai orang kampung mula berjalan ke arah pantai, terpesona dengan fenomena ganjil itu. Ada yang menunjuk-nunjuk ke arah ikan yang melompat-lompat, terlupa seketika pada gempa tadi.
Tetapi tidak bagi Bang Ramli.
Dia melihat fenomena itu bukan sebagai keajaiban, tetapi sebagai ancaman. Kata-kata orang tua-tua, cerita dongeng tentang Smong yang pernah didengarinya sewaktu kecil, tiba-tiba menerjah masuk ke dalam kotak ingatannya.
Ia bukan surut. Laut sedang menarik nafas panjang. Ia sedang mengumpulkan segala kekuatannya, menarik busur air ke tahap paling tegang, sebelum melepaskan satu hembusan maut yang akan memadamkan sejarah.
Bang Ramli, seorang tukang rumah yang tidak pernah belajar sains geologi, tiba-tiba merasakan bulu romanya meremang tegak di tengkuk. Satu firasat sejuk menjalar di tulang belakangnya. Naluri purbanya, naluri mangsa yang sedang diperhatikan pemangsa menjerit satu amaran yang dia sendiri tidak faham, tetapi sangat jelas.
Lari.
248Please respect copyright.PENANAUzZav6r7G1


