[Lokasi: 3.316°U, 95.854°T — Jurang Sunda, 160km dari pantai Sumatera]
[Kedalaman : 30 Kilometer di bawah dasar laut]
[Masa : Ribuan tahun dalam kegelapan]
Di sini, di dunia yang tidak pernah dijamah cahaya matahari, masa tidak diukur dengan detik jam atau kalendar manusia. Di sini, masa diukur dengan tekanan.
Jauh di kedalaman samudera yang gelap gelita dan dingin beku, wujud sebuah medan tempur geologi yang sunyi. Dua raksasa purba sedang terkunci dalam pelukan maut yang tidak berkesudahan. Lempeng Indo-Australia, sebuah kepingan kerak bumi yang padat dan maha berat, sedang mendesak masuk secara paksa ke bawah perut Lempeng Eurasia (khususnya Lempeng Mikro Burma).
Ia adalah pergerakan subduksi yang menyakitkan, hanya kira-kira 60 milimeter setahun. Kadar ini mungkin terdengar remeh, sekadar kepanjangan pertumbuhan kuku jari manusia dalam setahun. Namun, dalam bahasa geologi, ini adalah perlanggaran perlahan yang mematikan. Ia konsisten. Ia tidak pernah tidur. Ia tidak pernah memaafkan.
Selama beratus-ratus tahun sejak kali terakhir ia melepaskan amarahnya pada tahun 1833 dan 1861, Lempeng Burma telah bertahan. Ia 'terkunci' akibat geseran batuan yang kasar, enggan mengalah kepada desakan lempeng di bawahnya.
Batuan-batuan gergasi di zon Megathrust itu melengkung dan ‘berjuang’ dalam diam. Mereka menyimpan tenaga regangan elastik yang tidak terbayangkan iaitu bersamaan dengan letupan 23,000 butir bom atom Hiroshima. Ia laksana sebuah busur panah raksasa milik Tuhan yang ditarik ke tahap maksimum, getarannya menunggu satu sentuhan paling halus untuk melepaskan anak panah kiamat.
Tekanan sudah sampai ke kemuncak. Geseran tidak lagi mampu menahan beban.
[Lokasi : Banda Aceh dan Sekitarnya]
[Masa: Menjelang Subuh]
Di permukaan, 160 kilometer ke timur, dunia manusia berjalan seperti biasa.
Di Banda Aceh, azan Subuh baru sahaja berlalu, namun gema syahdunya seakan masih menempel di dinding-dinding kota. Embun dingin masih membasahi kubah masjid dan dedaun pokok. Di perkarangan masjid, bunyi air memercik memecah keheningan pagi.
Para jemaah, dengan kain pelikat yang disimpul kemas dan kopiah di kepala, beratur di kolam wuduk. Air yang dingin menyentuh kulit muka dan lengan, menyegarkan mata yang masih berat sisa tidur. Titisan air wuduk jatuh menitik ke lantai batu, seirama dengan nafas pagi yang tenang.
Di dalam dewan solat, saf-saf diluruskan rapat bahu ke bahu. Mereka berdiri sebagai hamba yang tunduk menyembah Tuhan sekalian alam. Suara imam mengalunkan ayat suci bergema lembut, meresap ke dalam jiwa yang mencari ketenangan.
Dalam sujud yang hening itu, dahi-dahi mencium sejadah dengan penuh tawaduk. Mereka menyangka akan bertemu lagi dengan waktu Zuhur, merancang hari seperti biasa, tanpa sedikit pun menyedari rahsia takdir yang sedang menanti. Bagi kebanyakan jemaah yang memenuhi saf pagi itu, inilah solat terakhir mereka di dunia fana ini.
Usai salam diberi, suasana kembali hening. Sebahagian jemaah bangkit, bersalaman erat sesama sendiri dengan senyuman ikhlas, sebelum melangkah keluar mencapai selipar untuk pulang ke rumah atau memulakan kerja. Namun, sebahagian lagi masih setia duduk di atas sejadah. Jari-jemari mereka bergerak perlahan memutar butir tasbih, hanyut dalam zikir kepada Yang Maha Esa.
[Masa : 26 Disember 2004, 07:30 Pagi]
Matahari mula meninggi. Langit di atas Banda Aceh pagi itu mendedahkan definisi kedamaian. Warna birunya bersih, seolah-olah baru disapu cat, tanpa secebis awan pun yang berani mengganggu. Cahaya matahari pagi Ahad tumpah ke atas kubah hitam Masjid Raya Baiturrahman, membiaskan kilauan yang memukau.
Di Lapangan Blang Padang, suasana riuh-rendah dengan gelak tawa mula mengisi udara. Memandangkan hari ini hari libur, ramai warga kota keluar beriadah. Anak-anak kecil berlari mengejar bola, manakala golongan bapa berjoging santai, peluh jantan mula membasahi dahi.
Di sudut jalan, penjual bubur ayam sibuk melayan pelanggan yang beratur panjang. Aroma bawang goreng yang rangup dan wap sup ayam yang gurih menusuk hidung, membangkitkan selera. Segalanya indah. Segalanya tenang. Tiada siapa yang menyangka bahawa di bawah kaki mereka, "busur" itu sedang bersedia untuk putus.
[Menjelang Detik 07:58 Pagi]
Sementara itu, di Pasar Peunayong, denyut nadi ekonomi Aceh sedang rancak berdegup. Lantai pasar yang basah dan licin dipenuhi jejak langkah manusia yang mencari rezeki dan keperluan harian. Udara di sini tebal dengan campuran bau hanyir laut, aroma rempah ratus, dan peluh manusia yang bekerja keras.
"Nyoe pat eungkot paling baro, Bu! Baro teuka dari laot!" (Ini ikan paling segar, Bu! Baru sampai dari laut!) laung seorang peniaga ikan. Tangannya yang kasar dan basah lincah menyusun hasil tangkapan, sambil menunjuk ke arah seekor tongkol gemuk yang matanya masih jernih bersinar, tanda ia baru sahaja ditarik dari samudera.
Tawar-menawar berlaku dalam nada yang bingit namun mesra, satu tarian harian yang menghidupkan pasar itu. Bunyi pisau memotong daging di atas papan kayu berpadu dengan bunyi hon motosikal dan riuh suara manusia, mencipta simfoni kehidupan yang bising namun harmoni.
Namun, pusat graviti pagi itu tentulah di warung-warung kopi.
Di Kedai Kopi Ulee Lheue yang terletak betul-betul menghadap selat, suasana lebih santai. Angin laut bertiup lembut, membawa bau masin yang menyegarkan. Di dapur warung, wap panas naik berkepul-kepul daripada cerek besar dan gelas-gelas kopi saring. Bau Kopi Gayo yang pekat, manis, dan sedikit hangit berbaur mesra dengan asap rokok kretek yang bertebaran di udara. Bunyi sudu berdenting melaga dinding gelas kaca adalah muzik latar yang menenangkan.
Di salah satu meja kayu yang agak lusuh, Bang Ramli, seorang tukang rumah yang kulitnya agak gelap disengat matahari, sedang mengusik Pak Cik Daud. Lelaki tua itu, seorang pesara kerajaan, kelihatan sedang termenung jauh memandang gelas kopinya yang masih berasap, seolah-olah mencari jawapan di dasar hitam pekat itu.
"Pak Cik, pakoen masam that muka nyan? Lagee ureung hana peng," (Pak Cik, kenapa masam sangat muka tu? Macam orang tak ada duit,) tegur Bang Ramli sambil menyalakan rokoknya. Asap putih dihembus perlahan, matanya mengerling nakal ke arah rakan-rakan semeja.
Seisi warung ketawa kecil mendengar usikan itu. Pak Cik Daud mendengus, pura-pura marah, tetapi bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman nipis. Lamunannya pecah. Dia kemudian mengangkat muka memandang ke arah kaunter, tempat Cek Mat, tauke warung itu sedang ligat membancuh air, menarik stoking kopi tinggi-tinggi dengan gaya tersendiri.
"Hana but. Lon teungoh pike, Cek Mat... pakoen kupi gata leubeh mangat dari kupi di rumoh," (Tak ada apa. Aku tengah fikir, Cek Mat... kenapa kopi kau lebih sedap dari kopi di rumah,) laung Pak Cik Daud, suaranya sedikit serak namun kuat.
Cek Mat ketawa besar, tangannya tidak berhenti bekerja. Dia sempat mengelap peluh di dahi dengan tuala kecil "Good Morning" yang tersangkut di lehernya. "Rahsia jari, Pak Cik! Hana sama!" (Rahsia jari, Pak Cik! Tak sama!) balasnya sambil mengenyit mata.
Bang Ramli pantas menyampuk, tidak mahu kalah, "Kon rahsia jari! Kupi warung na rahsia laen. Rahsia jih... hana bebelan inong!" (Bukan rahsia jari! Kopi warung ada rahsia lain. Rahsianya... tak ada bebelan bini!)
Pecah berderai ketawa di warung itu. Beberapa lelaki menepuk meja tanda setuju, gelak tawa mereka bersatu, membubung naik ke angkasa, melawan bunyi ombak yang menghempas lembut di pantai seberang jalan.
Mereka ketawa sepuas-puasnya, menikmati persaudaraan pagi Ahad yang indah itu. Tidak seorang pun tahu, bahawa tawa itu adalah tawa terakhir yang akan kedengaran di Ulee Lheue.
Di satu sudut yang agak terpencil, jauh sedikit dari riuh-rendah ketawa Bang Ramli tadi, wujud satu gelembung perbincangan yang berbeza. Nadanya lebih serius, berat, dan penuh dengan harapan yang dipendam lama.
Dua lelaki separuh umur duduk berhadapan. Pakaian mereka lusuh, namun mata mereka bersinar dengan semangat patriotisme yang kental. Mereka bercakap separuh berbisik, sedar bahawa di zaman darurat ini, dinding pun mungkin bertelinga.
"Haba baro, ureung di gunong maken kukoeh. Jakarta hana sanggop le geu lawan," (Khabar baru, orang di gunung [Gerakan Aceh Merdeka - GAM] makin kukuh. Jakarta dah tak sanggup lagi nak lawan,) bisik salah seorang lelaki itu. Dia mendekatkan wajahnya ke tengah meja, suaranya ditekan rendah, namun sarat dengan kebanggaan.
Rakannya mengangguk yakin. Matanya meliar seketika, mengimbas sekeliling warung untuk memastikan tiada perisik atau telinga asing yang mendengar perbualan sensitif itu. Setelah yakin aman, dia membalas.
"Nyoe, beu sunggoh. Siat teuk teuntee 'Si Pai' nyan geuwoe u Jawa. Geutanyoe akan ta urus nanggroe keudroe." (Ya, betul tu. Sekejap lagi tentulah 'Si Pai' [Tentera Nasional Indonesia - TNI/Jawa] tu akan balik ke Jawa. Kita akan urus negeri kita sendiri.)
Istilah 'Si Pai' meluncur keluar dengan nada jengkel, merujuk kepada tentera luar yang dianggap penjajah di tanah rencong itu. Di mata mereka, kebebasan sudah nampak di ufuk.
"Insya-Allah. Nanggroe Aceh beu Meurdheka. Hasil bumoe geutanyoe, hak geutanyoe," (Insya-Allah. Negeri Aceh akan Merdeka. Hasil bumi kita, hak kita,) balas rakannya tadi. Dia mengangkat gelas kopinya perlahan-lahan, seolah-olah menjulang tuah dan membuat perjanjian bisu dengan masa depan.
Mereka tersenyum lebar, menghirup kopi dengan nikmat kemenangan yang belum pasti. Di benak fikiran, mereka membayangkan masa depan Aceh yang bebas, makmur, dan berdaulat, di mana hasil minyak dan gas dinikmati anak watan.
Mereka tidak menyedari bahawa takdir sedang merancang sesuatu yang jauh lebih besar daripada politik. Bahawa dalam masa beberapa detik sahaja lagi, tidak akan ada lagi istilah "orang gunung" atau "orang kota", tiada lagi GAM atau TNI. Yang ada hanyalah manusia kerdil yang berhadapan dengan takdir Allah.
[Kampung Jawa, Pesisir Pantai Meulaboh]
Sementara itu, di sebuah rumah kayu yang berdiri pasrah berhampiran pantai Meulaboh, Aceh Barat, masa seolah-olah bergerak lebih perlahan.
Cut Aishah sedang duduk bersimpuh di anjung kayu yang lantai papannya sudah dimamah usia. Angin laut dari Samudera Hindi bertiup lembut, membelai pipinya yang cengkung, membawa aroma garam yang sudah sebati dengan jiwanya sejak kecil.
Di hadapannya, Sarah, permata hatinya yang baru berusia lima tahun, sedang leka bermain. Di tangan kecilnya tergenggam erat sebuah patung beruang lusuh yang sudah koyak sebelah telinganya, satu-satunya "harta" yang mampu dibeli oleh Aishah setahun lalu. Sarah berceloteh sendirian, melakonkan watak ibu dan anak dengan patung bisu itu.
Tiba-tiba Sarah mendongak, matanya yang bulat dan bersinar memandang ibunya penuh harapan.
"Mak, euntreuk ta jak u laot neuk?" (Mak, nanti kita pergi ke laut ya?)
Aishah tersenyum. Senyuman yang menyembunyikan seribu kelelahan. Tangannya naik menyisir rambut ikal anaknya yang mengerbang ditiup angin.
"Nyoe, sayang. Euntreuk ta jak mita siput. Tapi beu abeh dile bu, beh?" (Ya, sayang. Nanti kita pergi cari siput. Tapi habiskan nasi dulu, ya?)
Sarah bersorak girang, kembali memeluk beruangnya. Aishah mengalihkan pandangannya kembali ke ufuk laut.
Air laut pagi itu tenang, berkilau-kilau ditimpa cahaya matahari seperti sebuah cermin gergasi yang mahu memantulkan wajah langit. Bagi Aishah, laut adalah satu-satunya perkara yang konsisten dalam hidupnya yang penuh ketidaktentuan. Tanah daratan ini penuh dengan bahaya, penuh dengan lelaki bersenjata, bunyi tembakan dan ketukan pintu di tengah malam yang menakutkan.
Harapannya sama seperti doa-doa bisu ramai perempuan Aceh lain agar perang tamat dan tanah air ini aman. Siapa pun yang memerintah, sama ada Jakarta atau ureung gunong, dia tidak peduli. Asalkan tiada lagi suami yang "hilang" dijemput orang tak dikenali di pekat malam, meninggalkan isteri menunggu tanpa kubur untuk ditangisi.
Dia memandang laut itu dengan rasa percaya. Laut adalah sahabat. Laut adalah tempat dia mencari rezeki siput untuk menyuap mulut Sarah.
Dia tidak tahu, dan tidak mungkin dapat meneka, bahawa di bawah ketenangan cermin gergasi itu, sebuah takdir besar sedang bersedia untuk menelan segala-galanya.
[Masa: 07:58:53 Pagi]
Di dasar jurang yang gelap itu, gencatan senjata fizik berakhir.
Batuan Megathrust yang selama ratusan tahun mengerang menahan asakan dua lempeng gergasi itu mencapai titik putusnya. Ia bukan sekadar retak. Ia adalah kegagalan struktur bumi yang total.
KRAAAAAKKK!!!
Bunyi itu bukan seperti ranting yang patah. Ia adalah bunyi tulang belakang bumi yang remuk.
Dua raksasa geologi itu — Indo-Australia dan Eurasia — yang selama ini terkunci dalam pergustian diam, melepaskan pautan mereka dengan keganasan yang tidak masuk akal.
Lempeng yang terperangkap di bawah meluncur laju, manakala lempeng di atas melenting naik setinggi bangunan dua tingkat, menampar berbilion tan air laut ke atas dengan daya yang mengerikan. Gelombang maut telah lahir.
Bunyi kehancuran itu tidak didengari oleh telinga manusia di daratan, kerana ia ditelan oleh kedalaman laut. Tetapi gelombang kejutan (shockwave) daripadanya meluru keluar pada kelajuan 8,000 kilometer sejam, merobek dasar laut sepanjang 1,200 kilometer.
Alam serta-merta menjerit kesakitan.
Di atas dahan-dahan pokok mangga di Banda Aceh, burung-burung yang sedang berkicau tiba-tiba terdiam serentak. Seminit kemudian, tanpa amaran, ratusan burung terbang lari ke angkasa dalam kepanikan bisu, membentuk awan hitam yang melarikan diri dari takdir.
Di bawah meja warung kopi Cek Mat, seekor kucing kurus yang sedang tidur melompat bangun. Bulunya meremang tegak seperti jarum, ekornya kembang, dan matanya terbeliak memandang ke tanah seolah-olah ia melihat hantu yang sedang merangkak naik dari perut bumi.
Di Warung Kopi Ulee Lheue, masa seakan terhenti.
Gelas kopi di tangan Pak Cik Daud mula bergetar. Tring... tring... tring... Bunyi kaca berlaga dengan piring kecil semakin laju. Mata Pak Cik Daud terpaku pada permukaan air kopi hitam pekat itu. Riak-riak kecil terbentuk dari tengah, semakin lama semakin liar, memecahkan bayang wajahnya di dalam air itu.
Senyuman bangga tentang "Merdeka" di wajah lelaki di sudut warung tadi mati perlahan-lahan. Kata-kata semangat mereka tersekat di kerongkong apabila kerusi kayu yang mereka duduki mula bergoncang.
Di Meulaboh, yang paling hampir dengan pusat bencana, Cut Aishah di anjung rumahnya merasakan lantai kayunya bergoyang. Mulanya lembut, berirama, seperti dodoian bayi dalam buaian.
"Gempa..." bisiknya perlahan. Dia tidak panik. Dia anak Sumatera. Gegaran kecil adalah mainan tidur mereka.
Namun, goyang itu tidak berhenti. Ia bukan sekadar lalu.
Dodoian lembut itu bertukar rentak. Lantai papan mula berkeriut tajam. Tiang rumah berbunyi seakan mahu patah. Goyangan itu menjadi sentakan kasar yang melempar barang-barang dari rak.
Dari perut bumi, bunyi gemuruh yang rendah dan menakutkan mula kedengaran, semakin lama semakin kuat, seperti bunyi pesawat yang sedang terbang rendah hendak menghentam desa yang damai.
Bumi Aceh mula mengaum.
328Please respect copyright.PENANAhgVXHzXzkT
328Please respect copyright.PENANAj3nEZOdnRP


