Fakhri, Januari 2015
Seremban.
Ada kenangan yang melekat pada setiap sudutnya, dari jalan berbatu di hadapan restoran, sampai ke langit senja yang aku biasa pandang dari balkoni rumah. Tapi hari itu, Seremban mula berubah jadi sesuatu yang lain; satu tempat yang telah aku tinggalkan.
Aku tak suka perpisahan. Tapi aku juga tahu hidup ini tak akan tunggu kita duduk diam di tempat yang sama. Masa akan bergerak, dan kita perlu ikut, walau hati berat melawan.
Bas bergerak perlahan meninggalkan stesen Terminal 1 Seremban, menembus kabus malam yang pekat. Aku bersandar di kerusi yang terasa keras dan sempit, tapi tak selelah perasaan yang sedang aku bawa. Di luar, pemandangan berlari dengan lampu jalan, cahaya dari kedai kecil, papan tanda, semuanya berganti seperti helaian kenangan yang aku tinggalkan satu demi satu. Seremban semakin jauh. Dan setiap kilometer yang bas ini tempuh, terasa seperti sehelai benang yang tercabut dari dada aku sendiri.
Dua tahun setengah. Itu bukan tempoh yang pendek untuk sebuah tempat yang menanam banyak kenangan. Aku meninggalkan Seremban bukan untuk lari, tapi untuk belajar berdiri sendiri. Aku bukan meninggalkan tempat asing. Aku meninggalkan rumah. Seremban ialah tanah yang membesarkan aku, tempat yang aku jatuh dan bangun, tempat di mana aku belajar bahawa sunyi pun boleh terasa hangat bila ada orang yang sudi duduk di sebelah tanpa berkata apa-apa.
Rasa sayu ini bukan sebab aku takut pada tempat baru. Bukan juga kerana masa depan yang samar. Tapi kerana aku meninggalkan rutin, suara, dan wajah yang sudah aku hafal. Semuanya terasa terlalu akrab untuk ditinggalkan begitu saja.
Aku masih ingat betapa kecilnya dunia aku selepas SPM. Satu demi satu kawan mula masuk universiti dan matrik, dan aku cuma mampu tersenyum bila ditanya,
“Kau bila nak sambung belajar?”
Aku selalu jawab,
“Aku nak cari pengalaman dulu.”
Padahal dalam hati, aku tahu, bukan pengalaman yang aku cari, tapi ruang. Ruang untuk bertahan. Untuk bantu keluarga. Untuk rasa berguna.
Bila tawaran ke IKBN Kemasik sampai, aku tak tunggu lama. Walau hanya kursus Pastry, walau jauh dari rumah, aku tetap bersyukur. Akhirnya, aku punya sesuatu untuk kejar.
Tapi kegembiraan itu datang bersama sayu. Kerana untuk pergi, aku perlu tinggalkan mereka, keluarga aku sendiri, mak ayah, dan juga mereka yang telah menjadi keluarga kecil aku, Kak Sally yang selalu jaga makan minum aku, Abang Syidi yang tak pernah berkira, Odah dengan kesopanannya… dan, tentu sekali, Abang Hazim.
Aku tak pernah cerita pada sesiapa, tapi Abang Hazim bukan sekadar rakan sekerja bagi aku. Dia lain. Ada sesuatu dalam dirinya yang tak pernah aku jumpa pada sesiapa sebelum ini. Ada ketenangan. Ada ruang selamat yang tak memaksa. Dan ada jiwa yang selalu buat aku rasa dihargai. Mula-mula dulu, dia nampak clumsy, canggung, macam orang baru yang tak tahu beza sos tiram dengan kicap. Tapi aku suka tengok cara dia belajar. Dia tak cepat marah bila disindir. Tak kecil hati bila ditegur. Dia buat semua dengan sabar yang jarang aku jumpa pada orang lain.
Lama-lama, aku mula perasan… aku cari dia dalam setiap ruang. Kalau dia tak ada di dapur, aku akan tengok ke pintu belakang. Kalau dia tak bercakap, aku akan tunggu. Sebab aku tahu, bila dia buka mulut, ada sesuatu yang menenangkan keluar dari bibir dia.
Aku masih ingat kali pertama dia tanya aku;
“Kau selalu balik jalan kaki, tak takut ke?”
Aku hanya ketawa kecil, “Takut tu biasa, tapi kalau lapar tak makan, lagi takut.”
Sejak hari tu, dia selalu tunggu aku siap. Dan setiap kali syif berakhir, kami akan berjalan pulang bersama. Jarak dari restoran ke rumah sewa aku bukannya jauh sangat, tapi bila dia ada di sebelah, setiap langkah terasa lebih perlahan dan lebih bermakna. Seolah-olah jalan yang sama itu membawa pulang lebih daripada sekadar tubuh yang penat… tapi juga satu rasa yang diam-diam tumbuh di antara sunyi kami.
Ada satu malam, hujan turun tiba-tiba. Kami tak bawa payung. Kami berteduh bawah bumbung sempit depan kedai tutup. Rambut aku basah, baju dia lencun. Tapi dia senyum saja.
“Esok kita dua-dua demam. Sama-sama cuti.”
Aku gelak. Tak tahu kenapa malam tu aku rasa sangat selesa, sangat hidup.
Hari demi hari, perasaan aku pada dia berubah. Bukan nafsu. Tapi sayang. Dalam diam, dalam takut, dalam reda. Dan tanpa aku sedar, kehadiran dia jadi sebahagian dari hari-hari aku.
Sebenarnya, aku dapat rasa yang Abang Hazim sayang pada aku. Bukan sekadar sayang terhadap sahabat, atau sayang seorang abang kepada adik, tapi sayang yang datang dengan keberanian yang disembunyikan. Sayang yang cuba dilawan, tapi semakin dibiarkan, semakin menuntut ruangnya sendiri.
Aku mula sedar tentang itu sejak dia tiba-tiba berubah, mula mengelak, tak pandang muka, tak bergurau macam selalu. Hampir seminggu aku tertanya-tanya apa salah aku. Aku ulang tayang setiap lawak bodoh, setiap gurauan ringan, takut kalau ada satu yang terlepas batas tanpa aku sedar. Tapi makin aku fikir, makin aku keliru. Dia dulu yang selalu tenang bila orang lain marah, dia dulu yang boleh gelak walau aku menyakat tanpa henti. Tapi kenapa tiba-tiba jadi begini?
Akhirnya aku beranikan diri. Aku tanya terus, apa yang sebenarnya tak kena? Mula-mula dia diam. Cuma pandang lantai, tarik nafas, lepas pandang ke arah lain. Tapi aku tak berhenti. Aku terus desak lembut, sampai akhirnya dia buka mulut. Dan walaupun dia tak pernah sebut dengan jelas, aku tahu.93Please respect copyright.PENANAXaPqD3XqOm
Aku tahu perubahan dia bukan sebab benci… tapi sebab dia sedang cuba melawan sesuatu dalam dirinya.
Sejak malam tu, dia mula nampak tenang semula. Kami kembali berbual, bekerja seperti biasa, tapi di antara kami ada ruang baru, ruang yang penuh dengan rahsia yang kami sama-sama tahu tapi pura-pura tak nampak. Dan di situlah firasat aku mula tumbuh. Bahawa Abang Hazim menyayangi aku, dengan cara yang lain. Cara yang lembut, berhati-hati, dan penuh rasa bersalah yang dia tak sepatutnya rasa.
Firasat tu makin kuat waktu kami ke Palm Mall bersama. Hari itu, aku lihat sisi dia yang lain. Dia banyak bercakap, tapi setiap kata terasa seperti terselit makna. Macam waktu dia berseloroh;
“Kalau aku ada adik perempuan, aku takkan kenalkan dia pada kau.”
Dan bila aku tanya kenapa,
“Sebab aku nak simpan kau untuk aku sorang.”
Dia ketawa lepas tu, konon bergurau. Tapi matanya tak menipu. Aku juga perasan bagaimana dia renung aku lama waktu aku ambil wuduk dan sewaktu dia mengamin kan doa yang aku baca selepas solat. Aku ada tanya dia petang tu, dia nampak gelabah, dia menidakkan. Tapi aku tahu apa yang aku nampak.
Sepanjang hari, aku mula perasan isyarat-isyarat kecil yang sebelumnya aku tak pernah fikir dalam-dalam. Renungan yang bertahan terlalu lama. Nada suaranya bila dia berbicara dengan aku. Cara dia diam bila aku berpaling. Semuanya seperti puisi yang dibaca perlahan oleh seseorang yang tak berani mengaku bahawa dialah penulisnya.
Sejak hari itu, aku tahu, rasa yang aku tangkap bukan khayalan. Ia nyata, tapi dijaga dengan sangat rapi. Dan aku… aku tak marah. Tak jijik. Tak juga menerima mahupun menolak. Aku hanya rasa terharu, sebab ada seseorang yang sanggup menyayangi aku dengan begitu lembut, tanpa pernah menyentuh garis batas.
Dan malam terakhir di rumahnya, firasat itu akhirnya jadi pasti. Kata-kata dia sebelum tidur, pelukan senyap yang tak punya niat selain untuk mengingati, dan nada suaranya waktu pagi, semua itu menjawab persoalan yang aku simpan dalam dada selama ini.
Abang Hazim memang sayang aku. Terlalu sayang, sampai dia sanggup diam. Dia pilih untuk menahan, untuk menjaga apa yang kami ada daripada mengubahnya jadi sesuatu yang dia tahu tak akan berpihak pada kami. Dan bagi aku, itu bukan kelemahan. Itu kekuatan. Kerana tak semua orang berani menyayangi tanpa memiliki. Dan tak semua orang sanggup diam demi menjaga sesuatu yang mereka tahu terlalu berharga untuk dirosakkan.
Aku tahu, aku takkan lupa semua itu. Sebab kadang-kadang, kasih yang paling tulus bukan datang dari suara yang lantang, tapi dari seseorang yang memilih untuk mencintai dalam senyap, dan pergi tanpa pernah minta untuk dikenang.
93Please respect copyright.PENANAc0pBOPLhgt
93Please respect copyright.PENANAKbDwB5ft0V
Bas yang aku naiki telah melintasi sempadan Terengganu. Dari tingkap, aku nampak laut di kejauhan berkilau seperti kaca di bawah sinar pagi. Aku tarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Aku tahu perjalanan ini bukan sekadar tentang belajar buat kek dan pastry. Ia perjalanan untuk menjadi seseorang yang layak pulang. Untuk membuktikan pada diri sendiri, dan mungkin pada semua, bahawa aku boleh berdiri sendiri.
Waktu begini, Abang Hazim pasti masih tidur. Atau mungkin dia baru terjaga, sedang duduk termenung di birai katil, atau sedang bersiap-siap untuk Solat Subuh. Fikirannya mungkin masih kosong, belum disibukkan dengan tugasnya di restoran nanti. Aku membayangkan ketenangan wajahnya yang selalu aku lihat. Ketenangan yang dia berikan kepada aku sewaktu aku goyah.
Aku genggam hujung lengan jaket. Dalam hati, aku berjanji;
‘Aku akan belajar sungguh-sungguh. Aku akan balik sebagai seseorang yang berjaya. Dan bila aku balik nanti, abang tak perlu risau tentang aku lagi.’
Aku tunduk, mata aku panas. Aku tak pasti sama ada ini rindu atau harapan. Tapi yang aku tahu, aku tak pergi untuk melupakan. Aku pergi untuk kembali.
Tunggu saya, bang.
Aku janji, aku akan balik. Mungkin bukan dalam bentuk yang abang harapkan, tapi sebagai seseorang yang pernah abang beri ruang selamat tanpa perkataan, dan yang tak pernah lupa bagaimana kasih yang ikhlas itu rupa dan rasanya.
93Please respect copyright.PENANAZBDrO3DPkK


