EDEN melangkah keluar dari bilik peribadi itu dengan wajah yang tidak menyimpan sebarang perasaan dan tampak dingin. Langkahnya tenang tetapi aura yang dibawa bersamanya membuatkan suasana terasa sesak.
Nazri yang dah beberapa tahun bekerja dengan Eden, mengikut langkah lelaki itu dari belakang. Tekaannya tak mungkin salah. Berdasarkan riak wajah dan ketegangan pada bahu Eden, Nazri yakin yang mood bosnya tidak berada dalam keadaan yang baik.
Berdasarkan tekaannya, individu yang menelefon Eden tadi dah semestinya isteri kepada Eden, Naria.
Siapa yang berani mengancam wanita itu? Nazri menghela nafas perlahan. Dalam hatinya, dia diam-diam berdoa supaya manusia yang malang dah mengusik Naria sempat bertaubat sebelum nyawanya ditarik dari jasad.
“Nazri, hubungi pengetua sekolah yang Naria kerja, sekarang.” Suara Eden kedengaran mendalam dan tenang, namun sarat dengan ancaman.
“Baik, Tuan Muda.” Nazri mengangguk, patuh dan segera melaksanakan arahan yang diberikan oleh Eden.
Sekolah Internasional itu cuma sebuah akademi swasta yang terletak tidak jauh dari lokasi rumah mereka. Namun pengetua sekolah itu cukup misteri orangnya. Dia jarang sangat nak munculkan diri atau nak uruskan apa-apa hal yang remeh.
Tambahan pula, dengar khabar, pengetua sekolah itu berasal dari keluarga yang berpengaruh dari Kuala Lumpur. Tapi apa yang istimewanya kalau dia datang dari keluarga yang berpengaruh kalau nak dibandingkan dengan kedudukan Eden Raimi?
SEBAIK sahaja pulang ke rumah mereka di PPR yang sibuk itu, mata Eden terhenti, melihat semua hidangan yang memenuhi ruangan meja makan. Beberapa lauk yang ringkas dan enak terhidang kemas untuk mata yang memandang. Dari dapur, Naria melangkah keluar dengan apron masih dipakai ke badan.
Wanita itu… nampak lebih kuat dari apa yang dia sangkakan. Sedikit pun Naria tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kerapuhan macam yang dibayangkannya sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi.
“Naria, awak okay?” suaranya rendah dan tenang, namun ada kebimbangan yang terselit dalam nada dan cara dia memandang wanita itu.
“Taklah okay juga,” balas Naria dengan jujur.
“Kalau macam tu, kenapa awak masak semua ni?” kening lelaki itu berkerut sedikit.
“Bila hati saya rasa tak tenang, saya lebih suka sibukkan diri saya.” Naria meletakkan lauk terakhir di meja, kemudian menanggalkan apron sebelum disangkut ke kerusi. Melihat mata lelaki itu menikamnya tajam, dia tersenyum kecil sambil menghulurkan sudu dan garfu. “Mungkin… lepas ni saya dah tak ada kerja lagi lepas ni.”
Eden menyambut sudu dan garfu yang dihulurkan. Pandangan matanya berubah menjadi semakin dingin. Tenungannya sama tajam macam bilah keris.
Siapa yang berani cuba untuk menjatuhkan maruah isterinya?
“Awak belum cerita dekat saya apa yang dah jadi.”
Naria baru sahaja hendak membuka mulut, tetapi telefonnya berdering. Dia angkat panggilan itu dan mendengar untuk beberapa ketika sebelum wajahnya berubah dingin.
“Apa? Dia buat laporan polis sebab saya belasah dia? Kalau dia nak satu Malaysia tahu yang penolong kanan sekolah berprestij ni pervert, silakan buat laporan. Sampai ke hujung dunia saya akan lawan dia!” Nada suaranya tenang tapi kedengaran tajam. Panggilan dimatikan, dan pandangannya bertembung semula dengan mata Eden.
“Isteriku yang tersayang,” senyuman kecil terukir pada bibir lelaki itu, penuh sinis. “Awak belasah orang?” Nada suaranya seakan bergurau, namun pada dasar matanya, jelas terpancar rasa cinta yang redup dan menenangkan.
Naria tunduk disebabkan rasa malu bercampur geram. Dah macam-macam yang dia lalui hari ini sampaikan ke tahap yang akhirnya dia kena ‘bersuara’ menggunakan keganasan.
“Jom,” kata Eden perlahan, senyumnya dingin. Auranya semakin tajam. “Biar saya yang tolong awak lepaskan kemarahan yang awak rasa sekarang.”
SEMENTARA itu di bilik rawatan sekolah, Shahrul terbaring dengan muka lebam dan kepala berbalut. Tiub IV bersambung dengan tangan. Namun, mulutnya yang tanpa gagal memaki hamun tanpa henti.
“Pecat dia! Cepat pecat budak tu! Polis dah datang? Aku nak perempuan tak guna tu kena buang kerja! Dia sengaja nak jatuhkan imej aku- ARGH!” makiannya terhenti bila kesakitannya tiba-tiba menerpa.
Pengarah jabatan yang berada di sebelah hanya mampu menunduk. “Patut tak agaknya kalau kita rujuk dulu kes ni dengan pengetua?” soalnya dengan berhati-hati.
“Kau nak cakap yang kau tak nak dengar arahan aku lagi?” bentak Shahrul.
Akhirnya, satu notis rasmi tersebar:
[Seorang guru praktikal, Naria Aulia, telah melanggar undang-undang di sekolah kami iaitu dengan menggunakan kekerasan terhadap pihak atasan. Dengan itu, beliau akan dipecat dengan serta-merta.]
Untuk sesiapa sahaja yang menjalankan latihan industri, hukuman itu sama seperti hukuman mati.
“NARIA sayang, tunggu saya dekat sini.” Ujar Eden dengan lembut, penuh keyakinan.
“Betul ke awak nak pergi sendiri?” soal Naria yang kerisauan.
“Benda macam ni biar saya yang uruskan. Awak tunggu je dekat sini.”
Dengan pakaian kasual sederhana, lelaki itu melangkah masuk ke kawasan sekolah.
Langkahnya perlahan dan santai sahaja, macam tengah bersiar-siar di tepi pantai untuk makan angin. Namun auranya, cukup untuk membuatkan semua yang memandang terpaku.
Beberapa pelajar berbisik sesama sendiri.
“Eh, itu... bukan ke pengetua kita?”
“Bukan ke pengetua kita jarang nak buat kemunculan macam ni? Kenapa hari ni dia datang sekolah tiba-tiba? Dah nak bersara ke?”
“Takkanlah nak bersara. Awal lagi. Tapi… siapa lelaki tu? Bukan main hormat dia dengan lelaki tu, kan?”
Mata mereka membulat. Pengetua mereka yang selama ini misteri, kini dilihat sedang berjalan di sebelah seorang lelaki yang tak pernah mereka lihat dengan penuh tunduk hormat.
Sebaik sahaja tiba di pejabat utama sekolah itu, Eden duduk di sofa. Walaupun berpakaian ringkas, auranya tetap mendominasi setiap sudut ruangan bilik itu.
“Tuan Muda Eden Raimi…” suara pengetua itu terketar sedikit, “Maaf saya tanya soalan ni, tapi... apa tujuan Tuan Muda datang untuk cari saya ke sini hari ni sebenarnya?”
Dia sedar yang walaupun dia dihormati dengan ramai orang, dia bukan sesiapa bila dia berdiri di depan mana-mana ahli keluarga ini. Lebih-lebih lagi anak ketiga daripada keluarga yang terkaya di Malaysia yang dikatakan yang paling kejam, paling muda, dan paling kaya.
“Saya ada urusan peribadi yang nak dibincangkan.” Suara Eden dingin, matanya bersinar tajam, membunuh. “Orang yang dekat dengan saya dah kena pecat dari sekolah ni.”
Singkat dan padat, tapi cukup untuk membuatkan jantung pengetua itu berdetak dengan kencang.
“Siapa yang Tuan Muda maksudkan?” tanyanya tanpa membuang masa.
‘Si bodoh mana yang berani sentuh orang yang berada di bawah jagaan Tuan Muda Eden?!’ panik pengetua itu dalam hati.
Dengan wajah yang pucat, dia segera menekan intercom ke individu yang dimaksudkan Eden. Dengan suara yang keras menahan gemuruh, dia memberi arahan:
“Shahrul Ridzwan, sila datang ke pejabat saya dalam masa lima minit!”
ns216.73.217.22da2


