Fakhri, Februari 2015
Bas yang aku naiki berhenti perlahan di Stesen Bas Bandar Chukai, Kemaman tepat pada pukul 6.20 pagi. Cahaya subuh yang masih pucat menyambut kedatanganku, bersama angin pagi yang membawa bau laut dari kejauhan. Selepas mengeluarkan barang dari ruang bagasi, aku melangkah mencari surau di sekitar stesen untuk menunaikan solat Subuh. Usai solat aku menadah tangan, memohon kepada-Nya agar perjalanan ku dan segala urusan ku selama di negeri orang ini, dipermudahkan.
Keluar dari surau, pagi masih tenang seperti halaman yang belum dipijak. Aku menahan sebuah teksi yang perlahan menghampiri, dan memberitahu pemandunya,
“IKBN Kemasik, bang.”
Perjalanan hampir tiga puluh minit itu aku habiskan dengan memandang keluar tingkap. Deretan rumah kayu, pokok-pokok yang bernafas perlahan dalam udara pagi, dan kabus nipis yang bergerak seperti hela nafas bumi sendiri. Dalam diam, aku terasa seakan sedang meninggalkan versi lama diriku beberapa kilometer di belakang.
Setiap kali teksi meluncur melewati selekoh, ada sedikit getaran halus dalam dada. Bukan takut, cuma rasa belum pasti. Tapi dalam masa yang sama, ada ruang kecil dalam hati yang terasa lapang, seperti membuka halaman buku baharu yang masih kosong.
Teksi berhenti tepat di hadapan pintu pagar besar IKBN Kemasik. Udara laut menyapa lembut, berbaur bau masin dan embun pagi. Suara pelajar baru bergema di sekeliling. Ada yang ketawa, ada yang diam terpinga-pinga seperti aku. Bila aku angkat kepala, bangunan kelabu di hadapan mata terasa asing, tapi tidak menakutkan. Dalam hati, aku ulang janji yang sama sejak aku meninggalkan Seremban malam tadi. Aku datang ke sini untuk belajar, bukan untuk lari.
Pendaftaran terasa seperti ritual kecil yang memisahkan hidup lama dengan yang baru. Kami beratur di dewan besar, isi borang, serah salinan kad pengenalan. Pegawai berseragam biru memberi taklimat tentang disiplin, jadual makan, dan peraturan asrama. Semua bergerak laju, tapi dalam kepala aku, masa terasa perlahan. Mungkin sebab setiap langkah ini mengingatkan aku betapa jauh aku telah datang.
Seorang staf wanita hulurkan kad pelajar dengan senyum tipis.
“Fakhri bin Ahmad. Kursus Pastri.” Aku angguk, ucap terima kasih, dan melangkah ke arah blok asrama.
Lorong menuju asrama panjang dan sunyi. Di kiri kanan, pokok kelapa berdiri tegak seperti menyambut pendatang baru. Sesekali, bunyi ombak dari kejauhan kedengaran samar. Aku tiba di bilik bernombor 2-08, tolak pintu kayu yang catnya sudah terkopek, dan disambut wajah cerah seorang lelaki yang sedang menyusun pakaian di atas katil.
“Kau roommate aku ke?”
“Ha’ah. Fakhri.”
“Aiman.”
Dia hulur tangan, senyum besar. Jenis yang cepat mesra. Dalam beberapa minit, dia sudah bercerita tentang dari mana asalnya, makanan asrama yang dia dengar tak sedap, dan betapa dia takut kalau kena bangun subuh setiap hari. Aku sekadar mengangguk, sesekali tersenyum kecil.
“Kau Pastri jugak kan?” tanya Aiman, sambil mengalihkan beg sandangnya dari katil ke lantai.
“Ya, Pastri,” jawabku.
Aiman mengeluh panjang, dramatik. “Cantiklah. Aku baru perasan. Aku tak tahu apa-apa pun pasal kursus ni. Aku daftar sebab terpaksa, sebab sepupu aku kata senang dapat kerja. Habislah aku, kita nanti asyik kena buat kek yang tinggi-tinggi tu. Aku takut nanti aku bakar dapur tu pulak!”
Aku ketawa kecil. Ketawa pertama sejak aku tinggalkan Seremban. “Relaks lah, Man. Baru hari pertama. Kita belajar sama-sama,” kataku, walaupun dalam hati aku tahu aku lebih bersedia daripada dia.
“Yalah. Kau nampak macam dah pro betul. Kau memang nak jadi chef ke?” Aiman duduk di birai katilnya, memandang aku ingin tahu.
Aku memegang beg galas aku, mencari sesuatu untuk diletakkan di atas meja. “Aku nak belajar betul-betul. Aku datang sini sebab aku rasa, ini peluang aku untuk buat sesuatu yang aku suka dan serius,” jelasku. Aku tidak menyebut tentang Seremban dan semua yang aku tinggalkan.
Aiman mengangkat bahu. “Untunglah kau dah jumpa passion kau. Aku? Aku harap aku boleh survive je. Aku harap cikgu kita nanti tak garang macam singa. Seram.” Dia membuat mimik muka takut.
Aku sekadar mengangguk, sesekali tersenyum kecil.
“Oh ya, asal mana? Aku dari Kedah. Jauh jugak migrate ke Terengganu ni,” Aiman bertanya sambil mula menyusun tuala di almari.
“Aku dari Seremban,” kataku ringkas.
Aiman terkejut sedikit. “Seremban? Jauh lagi kau melilau sampai sini.”
“Perlu la jauh sikit,” aku membalas, sedikit berahsia. “Dah alang-alang nak belajar, biar fokus. Aku tak nak ada gangguan.”
Aiman ketawa kecil. “Gangguan apa yang datang dari Seremban sampai ke Kemasik ni, brader? Ex-girlfriend ke?”
Aku hanya tersenyum nipis, tidak menjawab. Aku sibuk mengeluarkan buku nota tebal dan pen yang aku beli khas untuk kursusPastri ini. Aiman memerhati.
“Okay, okay. Aku faham. Serious mode on,” Aiman mengangkat tangan tanda mengalah. “Aku pun nak susun baju aku ni. Nanti class dah start kita study group sama-sama la. Tak pun, kita scroll IG Chef-Chef famous Korea, mana tahu dapat inspirasi.”
Aku angguk. Sejak menjejakkan kaki di bumi Kemasik ni, aku sudah tahu, inilah yang akan jadi rutin baru aku. Jauh dari segalanya.
Malam itu, aku baring di katil sambil pandang siling. Dari luar, kedengaran suara pelatih lain masih berbual. Aiman sudah lena, nafasnya teratur. Aku tarik nafas panjang. Hidup di sini tak sama. Dapur restoran dulu kecil, tapi dunia dalamnya luas. Di sini, dunia nampak luas, tapi aku terasa kecil semula.
“Dulu aku orang yang mengajar,” aku bisik perlahan, “sekarang aku yang perlu belajar semula.”
Hari-hari orientasi berlalu. Kami dikumpulkan di padang setiap pagi, berbaris, menyanyikan lagu rasmi institusi yang masih belum aku hafal betul-betul. Pegawai disiplin tegas tapi tidak garang. Ceramah demi ceramah, tentang etika, keselamatan, dan masa depan. Kadang aku hilang fokus, tapi aku catat juga sedikit-sedikit dalam buku nota yang aku bawa dari rumah.
Minggu pertama itu terasa panjang. Tapi bila minggu kedua bermula, aku mula rasa ringan. Kelas pertama kami diadakan di Bilik Kuliah 3. Ruangnya ringkas, hanya meja dan kerusi biasa, tetapi di atas meja pensyarah, terdapat beberapa sample Pastri yang siap dibakar.
Aku hanya memandang kotak display itu, tempat croissant dan tartlet diletakkan. Walaupun aku duduk jauh di belakang, bau mentega cair dan gula hangus yang dibawa dari dapur latihan ke sini sudah cukup membuat aku tidak senang duduk.
Chef Mazlan, pensyarah kursus kami, orangnya tinggi dan tegas tapi ada gaya sabar dalam cara dia bercakap.
Hari pertama, kami belajar asas. Bukannya mengadun, tetapi keselamatan dapur, pengurusan inventori, dan perbezaan jenis adunan secara teori. Bagi pelatih lain, mungkin ini membosankan. Tapi bagi aku, semua ini terasa macam balik semula ke tempat asal. Cuma kali ini, bukan untuk cari rezeki, tapi untuk cari ilmu.
Aku rajin mencatat setiap langkah, setiap nasihat kecil. Chef Mazlan sempat tegur,
“Awak ni suka menulis, ya? Bagus. Orang yang menulis, cepat tangkap.” Aku senyum, ucap terima kasih.
Aiman selalu usik, “Kau ni macam takut lupa.”
Aku jawab pendek, “Sebab kalau aku lupa, aku kena mula dari kosong lagi.” Dia ketawa. Tapi aku tahu, dalam setiap tawa, ada kebenaran yang hanya aku faham.
Beberapa minggu pertama kuliah akademik berlalu, dan aku tenggelam sepenuhnya dalam jadual kursus. Kursus Pastri ini agak santai namun menuntut fokus yang tinggi, dari menghafal istilah Perancis hingga memahami kimia ragi dan gula. Itu adalah rutin yang aku cari, sesuatu yang mengikat mental aku, agar aku tidak berpeluang berfikir ke belakang.
Namun, hidup di Kemasik ini bukan hanya tentang tepung dan oven.
Dan aku dapati, Aiman adalah teman yang sangat diperlukan. Dia sentiasa mencari peluang untuk berbual, sama ada sebelum kelas bermula, di kafeteria ketika waktu makan tengah hari, atau di bilik asrama pada waktu malam. Aiman sentiasa ada cerita. Walaupun aku lebih banyak mendengar, tawa Aiman yang tak pernah kering itu perlahan-lahan meredakan dinding ketat yang aku bina sejak tiba di Kemasik.
Aiman makin rapat, makin banyak berbual. Kadang dia ajak turun ke kafeteria malam-malam, beli air sejuk, duduk tepi koridor sambil cerita pasal hidup masing-masing.
Dia orang yang tak tahu diam, tapi aku suka tenang yang dia bawa. Dalam diam, aku bersyukur dapat teman sebilik yang mudah diterima.
Malam itu, kami duduk di bangku konkrit berhampiran mesin air sejuk. Aiman sibuk mengira duit syiling di tapak tangannya. Dia baru sahaja tewas dalam perdebatan tentang siapa yang patut bayar air malam itu.
“Tengok ni, Fakhri. Macam mana aku nak survive kat sini kalau duit syiling aku pun tak pernah cukup? Aku rasa aku kena start jual air jugak la esok,” rungut Aiman. Aku hanya geleng kepala, terhibur.
“Kau ni, nampak pendiam, tapi aku rasa kau banyak benda nak cakap,” kata Aiman tiba-tiba, meletakkan syilingnya ke dalam poket.
Aku senyum kecil. “Takdalah. Aku cakap bila perlu je. Kenapa kau cakap macam tu?”
“Yalah, aku tengok kau ni lain macam serious dia. Sampai sini pun bawa buku nota tebal,” ujar Aiman, menyandarkan belakangnya ke dinding. “Betul ke kau memang minat Pastri ni? Bukan sebab nak lari dari jodoh yang mak kau paksa ke?”
Aku ketawa. Tawa yang lebih lepas daripada biasa. “Bukanlah giler. Aku memang suka. Kalau nak tahu, dulu aku kerja runner kat restoran. Hari-hari tengok orang buat dessert. Dari situ aku tahu, aku nak belajar buat sendiri. Aku tak nak buat kerja yang sama saja setiap hari.”
“Kerja kat restoran? Cool,” kata Aiman. “So, restoran tu kat Seremban ke?”
“Ha’ah, kat Seremban.”
“Kenapa tak kerja je kat situ? Mesti gaji besar dah, ada pengalaman. Lepas tu hujung minggu boleh balik rumah,” tanya Aiman, penuh kehairanan.
Aku memandang jauh ke arah padang yang gelap. “Kadang-kadang, Man, kita kena pergi jauh untuk dapatkan apa yang kita betul-betul nak. Aku rasa, kalau aku kekal di sana, aku takkan ada peluang untuk fokus,” jelasku. “Aku nak start betul-betul dari kosong.”
Aiman mengangguk perlahan, menunjukkan pemahaman. “Faham. Kau macam... nak lupakan sesuatu, tapi dengan cara belajar benda baru.”
Aku tersentak sedikit, tetapi cepat-cepat mengawal riak wajah. Lupakan? Mustahil. Aku tidak pernah berniat untuk lupakan. Cuma aku perlu… menjauh? Ya, menjauh.
“Bukan nak lupakan, Man,” aku membalas, memilih kata-kata dengan hati-hati. “Aku nak fokus. Kadang-kadang, bila kita terlalu selesa dengan tempat lama, kita takkan pernah paksa diri kita untuk jadi lebih baik.”
Aku memandang Aiman, cuba mengukuhkan hujah logik ini. “Aku datang sini sebab aku tahu, tak ada jalan balik. Tak ada restoran, tak ada runner lagi. Hanya ada Pastry. Jadi aku kena paksa diri.”
Aiman terdiam sebentar, kemudian dia tersenyum. “Kau ni deep la Fakhri. Aku harap bila aku dah pro Pastry nanti, aku pun jadi deep macam kau.”
Aku geleng kepala sambil tersenyum. “Kau jadi pro sudahlah. Tak payah deep sangat.”
Aiman ketawa, kemudian menyandarkan kepalanya ke dinding dan memejamkan mata. “Penat lah bercakap dengan orang deep ni. Jomlah balik bilik. Dah sejuk gila ni, nanti kena demam pulak.”
Aku angguk. Kami berdiri serentak. Walaupun kami kembali ke bilik yang sama, aku tahu bahawa buat pertama kalinya, aku rasa ringan. Perbualan dengan Aiman tadi masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran. Keputusan untuk menjauh itu, walaupun menyakitkan, terasa tepat. Di tengah sunyi Kemasik, aku seolah sedang membina benteng antara aku dan kenangan yang ditinggalkan di Seremban.
Bunyi ombak dari kejauhan kedengaran lagi. Ia bukan bunyi tapak kaki yang aku kenal, bukan bunyi riuh rendah jalan raya yang aku tinggalkan. Ia adalah bunyi yang membenarkan aku untuk melangkah ke hadapan.
Malam-malam di asrama biasanya sepi. Kadang Aiman keluar lepak dengan kawan-kawan lain, dan aku tinggal di bilik, menulis sedikit nota atau baca semula resipi.
Sesekali, telefon aku bergetar. Notifikasi dari seseorang yang nombornya aku masih hafal luar kepala.
Dulu, kami ada berbalas. Sekurang-kurangnya sepatah dua. Kerana rindu itu terlalu berat untuk ditanggung sendiri. Kadang, aku taip balasan panjang. Aku cerita semua. Tapi bila jari sampai ke butang send, aku padam semula. Sebab aku takut. Takut kalau dia baca lebih dari apa yang aku maksud. Takut kalau dia terus menunggu jawapan yang aku tak pernah janji. Jadi aku balas sekadar perlu. Emoji. Ayat ringkas. Kadang cuma "hehe." Tapi aku baca semua. Satu pun aku tak abaikan. Aku simpan. Tiap satu.
“Kau okay kat sana?”
“Kat sini dah tak sama.”
Ayatnya pendek, tapi cukup untuk buat aku terdiam seketika. Aku baca, tapi tak balas. Beberapa hari kemudian, mesej baru datang lagi.
“Aku jumpa apron lama kau hari ni.”
Aku senyum kecil, tapi tetap biarkan tanpa balasan.
Aku tahu niatnya bukan sekadar bertanya khabar. Dia rindu. Dan aku faham. Sebab aku pun pernah rasa macam tu. Tapi aku juga tahu, kalau aku terus buka pintu walau sedikit, aku akan tarik dia semula ke dalam ruang yang kami dah susah payah lepaskan.
‘Kadang, menjaga hati orang lain bermula dengan belajar menjarakkan diri.’
Malam itu, aku padam notifikasi dan letak telefon di sisi. Aku tak benci dia. Aku cuma belajar menjaga kami, dengan cara yang paling sunyi.
Hari-hari berikutnya terasa lebih ringan. Kelas makin mencabar, tapi aku mula seronok. Aku belajar buat puff pastry, susun adunan croissant, dan setiap kali aku nampak hasil kerja aku naik cantik, aku rasa sedikit lega. Seolah-olah aku sedang membina sesuatu yang baru dalam hidup sendiri.
Tangan aku bekerja dengan cermat, menguli, melipat mentega, dan membiarkan adunan itu berehat. Aku suka ketenangan proses ini. Dalam setiap lipatan dan chill, aku rasa seperti aku sedang menyusun semula kehidupan aku yang berselerak. Aku tidak membenarkan ruang dalam kepala aku memikirkan hal lain, selain suhu oven, berat bahan, dan masa untuk proof adunan. Fokus, fokus, fokus.
Aiman sering gurau,
“Kau ni nampak serius bila buat kerja. Macam dunia ni cuma kau dengan adunan tu.” Aku ketawa kecil. “Mungkin sebab dunia aku memang tak besar mana.”
Petang itu, selepas kelas berakhir, aku naik ke balkoni asrama. Langit Kemasik berwarna jingga keemasan, laut di kejauhan berkilau lembut. Aku bersandar pada pagar, rasa angin laut menyapu pipi. Untuk pertama kali sejak aku di sini, aku rasa benar-benar tenang.
Aku pandang langit dan bisik perlahan,
‘Aku datang ke sini untuk belajar, bukan untuk lupa. Tapi kalau tenang ni termasuk lupa sedikit, mungkin itu juga sebahagian dari belajar.’
Aku tunduk, genggam tali beg yang lusuh. Dalam hati, masih ada sesuatu yang belum padam sepenuhnya. Bukan luka, bukan cinta, tapi rindu yang tahu tempatnya. Dan mungkin, itulah cara terbaik untuk meneruskan hidup, menyimpan sedikit rasa, tanpa perlu memiliki sepenuhnya.
ns216.73.216.208da2


