Malam semakin menjauhkan diri, meninggalkan kesunyian yang tebal di koridor tingkat atas Vila Andara. Langkah kaki "Emir" terhenti apabila susuk tubuh seorang pengawal peribadi yang menjaga di hujung laluan itu tiba-tiba menegakkan badan, memberikan tabik hormat yang drastik.
Bang Zul, pengawal berpengalaman itu, terkebil-kebil apabila cahaya lampu koridor menyuluh tepat ke wajah majikannya. Ada kesan merah yang sangat jelas melatari pipi kiri lelaki itu.
“Err... Tuan Emir,” tegur Bang Zul, matanya tidak lepas memandang tanda tersebut. “Kenapa dengan muka Tuan? Merah semacam je?”
“Aku terlanggar pintu tadi. Dah, kau tak payah sibuk nak tanya lebih-lebih,” jawab Emir selamba, langsung tidak menunjukkan riak malu mahupun sakit.
Bang Zul terdiam seketika. ‘Terlanggar pintu?’ Dia mengecilkan mata, memerhatikan corak kemerahan itu. Lima jalur jari manusia tersusun rapi di atas kulit wajah majikannya. Melihat kepada saiznya yang kecil, ini sah saiz tamparan wanita.
‘Pintu manalah yang ada jari jemari macam ni?’
Mahu sahaja dia membidas, namun naluri sayangkan nyawa segera menendang logik itu jauh-jauh. Dia berdehem kecil, membetulkan kedudukannya dan pura-pura percaya seratus peratus.
“Uish Tuan, bahaya pintu tu. Lepas ni Tuan kena hati-hatilah sikit,” kata Bang Zul dengan nada paling profesional yang mampu dihasilkan oleh seorang manusia yang sedang berbohong dalam ketakutan.
Emir menjeling tajam. Dia tahu pengawal sado di hadapannya ini sedang memerlinya. “Amboi, sempat lagi kau perli aku ya? Tak padan dengan badan sado, mulut laser kau ni boleh tahan juga, Bang Zul.”
“Hehehe, mana ada Tuan. Saya cakap benda betul ni. Kat sini lampu malap, memang senang nak terlanggar pintu. Saya ingatkan je sebab saya risaukan keselamatan Tuan... Oh ya, ni fail yang Tuan minta tadi.”
Bang Zul menghulurkan sebuah fail tebal berwarna merah bertajuk, Maklumat Penuh: Nadira Sofea binti Alexander.
Emir menyambut fail itu dan segera menyelaknya di bawah cahaya lampu. Matanya meniti satu persatu maklumat di muka hadapan.
Ayah: Datuk Alexander Clifford Abdullah (Pelabur Asing).
Ibu: Tengku Maria.
Adik-beradik tiri: Maya Amani & Harris Faris.
Kening Emir berkerut nipis. “Anak kandung Alexander Clifford, tapi diserahkan jadi kambing hitam? Pelik...”
Dia menyelak helaian seterusnya.
Rekod Akademik: Sederhana.
Laporan Keluarga: 'Slow learner', lurus bendul, tidak pandai mengurus emosi dan diri.
Penilaian: Kurang cerdik, sering tercicir dalam pelajaran, lembap dan tidak sesuai memegang tanggungjawab besar.
Emir mengangkat wajah, memandang lurus ke arah Bang Zul dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. “Kurang cerdik? Lembap?”
Bang Zul menelan liur, terasa aura di koridor itu tiba-tiba mendingin. “Tuan... itu maklumat yang pihak keluarga dia bagi pada kami. Diorang kata Puan Nadira ni... jenis tak berapa pandai. Naif sangat. Senang kena pijak, senang kena tipu.”
Emir kembali menyandarkan tubuh pada pintu yang baru ditutupnya tadi. Mindanya ligat memutar semula memori tamparan padu yang diterimanya sebentar tadi. Dia teringat sinar mata Nadira yang tajam mencabarnya, mata yang tidak pernah tunduk walaupun dihina sehina-hinanya.
Naif? Senang kena pijak?
Emir ketawa kecil. Kali ini, ketawanya kedengaran ikhlas.
“Nampaknya pengantin simpanan tu ada otak juga sebenarnya,” gumam Emir sendiri.
Dia bukan naif. Dia cuma dipaksa masuk ke kandang serigala tanpa sebarang senjata, namun masih mempunyai keberanian untuk menggigit semula. Menarik. Sangat menarik.
Pakk! Fail itu dihentak kuat ke dada Bang Zul sehingga pengawal itu hampir terlepas pegangannya.
“Siasat balik,” arah Emir, suaranya kini bertukar dingin dan berwibawa. “Aku nak maklumat sebenar pasal dia. Aku tak nak skrip drama yang ditulis oleh keluarga yang sanggup
korbankan darah daging sendiri demi anak tiri. Anak tiri ditatang macam emas, anak kandung dicampak macam sampah? Something is not right here.”
Emir merapatkan wajahnya ke arah Bang Zul, memberikan amaran terakhir.
“Kali ni, aku nak kau cari maklumat yang lagi detail. Cari dari sumber luar, bukan dari keluarga toksik dia tu. Kalau kau gagal lagi bagi apa yang aku nak, kau tak payah datang kerja esok. Aku tak suka bela orang lembap. Faham?”
Bang Zul mengangguk laju, peluh sejuk mula memercik di dahi. “Ba... baik, Tuan. Saya buat sekarang juga!”
Sepantas kilat, Bang Zul berlalu pergi, meninggalkan Emir sendirian di koridor yang sunyi. Emir menyentuh pipi kirinya yang masih terasa hangat. Sebuah senyuman misteri terukir di bibirnya.
Emir berpaling sejenak, memandang pintu bilik yang menempatkan Nadira dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Wanita itu datang sebagai isteri celup, sepatutnya hanya menjadi boneka yang kaku. Namun, dalam tempoh beberapa minit, dia sudah berjaya meninggalkan kesan bukan sahaja pada pipinya, malah pada fikirannya.
“Menarik, Nadira Sofea...” gumamnya perlahan. Jarinya menyentuh bekas tamparan yang masih terasa hangat. Satu senyuman nipis terukir, terselit sedikit rasa teruja yang jarang sekali dirasainya. “Sangat berani. Tapi kau salah pilih lawan, Nadira.”
*****
Subuh mula merangkak naik di ufuk timur, membawa cahaya samar yang menyelinap masuk melalui tirai tebal. Suasana itu terasa sangat janggal buat Nadira, seolah-olah dia terjaga dalam kehidupan orang lain. Dia masih berharap agar segala-galanya hanyalah sebuah mimpi ngeri yang akan tamat sebaik sahaja dia mencelikkan mata.
Dia terlentok di hujung katil dengan pakaian semalam yang sudah renyuk. Matanya kuyu, namun dadanya tetap berdebar kencang. Suami sahnya, Emir Ilhan, langsung tidak memunculkan diri malam tadi. Vila itu terlalu sunyi, seolah-olah dia sedang menunggu hukuman gantung yang bergerak perlahan ke arahnya.
“Aku masih hidup, jadi mungkin hari ni bukan hari terakhir aku. Relax Nadira, chill girl. Baru hari pertama. You got this,” dia berbisik sendiri, cuba memujuk hati.
Selepas mandi ringkas dan mengikat rambut secara asal-asalan, Nadira melangkah turun. Belum sempat dia mencari dapur, seorang pengawal peribadi muncul dan tunduk sopan.
“Puan, sarapan dah sedia. Sila ke ruang makan.”
Ruang makan itu sangat luas, dengan chandelier kristal yang memantulkan cahaya pagi. Mewah, tetapi terasa menyesakkan. Saat itu, susuk tubuh lelaki yang sangat dikenalinya muncul dari arah dapur membawa dulang sarapan.
Nafas Nadira seakan terhenti. Luth! Spontan, Nadira berpaling untuk melarikan diri, namun suara lelaki itu terlebih dahulu menyapa.
“Hi cousin! Morning!” Sapa Emir, yang masih memakai topeng sebagai Luth, dengan sut hitam yang kemas. Wajahnya tenang, senyumannya nipis, dan renungannya sukar dibaca. “Selamat pagi.”
Nada itu kedengaran mesra, namun bagi Nadira, ia sangat menakutkan. Bang Zul yang berdiri di belakang hampir terbatuk menahan gelak gugup. Matanya terkebil-kebil melihat fenomena langka itu, tuan mereka sedang tersenyum menyapa 'Puan Pengantin'.
Nadira menelan liur, cuba mengawal riak wajah. Dia berasa sangat tidak selesa dengan kehadiran 'sepupu' Emir ini selepas kejadian malam tadi. ‘Apa dia buat kat sini? Takkan dia pun tinggal sini sekali?’
“Selamat pagi...” suara Nadira tenggelam dalam keraguan. Dia mengerling ke arah Bang Zul. “Tuan awak... dia tak balik ke?”
Bang Zul mencuri pandang ke arah Emir. Lelaki itu hanya duduk relaks sambil meletakkan dulang di atas meja.
“Err... Tuan Muda tak berapa sihat semalam. Sekarang dia ada kat hospital,” jawab Bang Zul teragak-agak.
Nadira memandang polos, namun di dalam hati, dia hampir mahu tergelak. Seumur hidupnya, dia sudah dilatih untuk nampak "bodoh" dan "lembap" supaya tidak menenggelamkan sinar Maya. Wajah polos itu sebenarnya hanyalah topeng. Jadi, apabila pengawal sado ini memberi alasan hospital, Nadira tahu itu adalah pembohongan paling lemah abad ini.
“Oh, kalau macam tu... boleh saya melawat dia? Lagipun saya kan isteri dia?” Nadira menguji, senyumannya kelat.
Bang Zul mula panik. Peluh jantan mula menitik di dahi. “N-nanti Puan... tak boleh, sebabnya...”
“Dia perlukan rehat yang cukup,” Emir memintas dengan selamba.
Nadira tahu lelaki itu sengaja mengelak. Apabila 'Luth' mula menghampirinya, Nadira segera mengelak ke tepi. Namun, lelaki itu tetap menarik kerusi untuknya.
“Mari duduk. Makan.”
Arahan itu kedengaran lebih kepada satu perintah. Nadira memerhatikan sekeliling. Pelik. Rumah sebesar ini, tetapi tiada kelibat pembantu rumah mahupun tukang masak. Hanya ada mereka dan beberapa pengawal.
Dia memandang hidangan di atas meja, roti bakar, bihun goreng, sup cendawan, dan sandwich. Semuanya masih berasap hangat.
“Awak... awak ke yang masak semua ni?” Nadira bertanya untuk kepastian.
Emir mengangkat kening, senyum sinis menghiasi bibirnya. “Kenapa? Takut saya letak racun ke?”
Suaranya rendah, menusuk terus ke tangkai hati. Nadira terasa bahang di tengkuk apabila Emir merapatkan wajahnya, hanya sejengkal daripada wajahnya sendiri. Tatapan mata gelap itu seolah-olah mampu menelan kewarasannya.
“T-terima kasih susah-susah siapkan sarapan, tapi saya tak lapar,” jawab Nadira pantas. Dia berpaling dan segera melangkah keluar. Dia perlukan udara. Dia perlu bernafas.
Sebaik tiba di pintu utama, Nadira menarik nafas lega. Matanya tertumpu pada Bang Zul yang sedang berjaga di luar.
“Encik!” panggilnya.
“Ya, Puan? Ada apa-apa yang saya boleh bantu?”
“Saya nak minta tolong hantarkan saya balik rumah sekejap. Saya nak ambil barang sikit. Boleh?”
Bang Zul tidak terus menjawab. Wajahnya nampak serba salah. Matanya tidak memandang Nadira, sebaliknya tertumpu tepat pada susuk tubuh di belakang wanita itu.
Nadira kaku. Dia tahu tanpa perlu menoleh. Emir sedang berdiri tegak di belakangnya, kedua-dua tangan di dalam poket, memerhati dengan pandangan yang tajam dan mengancam.
ns216.73.216.23da2


