Nadira berdiri kaku di hadapan cermin besar itu, memandang refleksinya sendiri dengan pandangan yang kosong. Rambutnya dibiarkan kusut-masai, langsung tidak disentuh oleh jemari pendandan mahupun dihiasi tiara sepertimana lazimnya seorang pengantin. Tubuhnya hanya dibaluti jubah kapas kelabu yang sudah lusuh, jauh sekali daripada definisi seorang mempelai yang sepatutnya diraikan dalam kemewahan.
Belum sempat dia menenangkan gelora di dalam dada, pintu bilik dihentam kasar dari luar.
“Nadira! Apa benda kau buat lagi ni? Kenapa tak siap-siap lagi? Orang kuat keluarga Ilhan dah sampai kat bawah tu!” Suara ibunya, Tengku Maria, memetir memecah keheningan ruang.
Nadira hanya menolak bingkai kacamata hitamnya ke atas batang hidung. Dia berpaling perlahan, memandang ibunya tanpa sebarang reaksi wajah.
“Ma... tolonglah cakap yang semua ni tak betul. Mama gurau je, kan?” Suara Nadira mendatar, namun ada getar yang terselip di hujung kata. “Betul ke Mama nak saya kahwin dengan tunang Maya? Dah fikir masak-masak ke Ma? Benda ni tak masuk akal tau tak.”
Ada sisa air mata yang masih bertakung, menahan rasa pedih yang cuba diabaikan oleh orang di sekelilingnya.
“Eh, apa yang tak masuk akalnya? Kau dengar sini eh, Maya tu ada masa depan yang cerah. Dia tu berhak dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada ni!” Maria menjawab tanpa sedikit pun rasa bersalah. Malah, riak wajahnya jelas menunjukkan dia bangga kerana berjaya memastikan anak sulungnya, Maya, tetap menjadi bintang yang dipuja.
Nadira sedar, di rumah ini, dia bukanlah bintang. Dia hanyalah bayang-bayang yang tidak dipedulikan.
“Maya… tak boleh kahwin dengan Emir,” Maria menyambung dengan nada suara yang sengaja direndahkan, penuh dengan manipulasi.
“Mama dengar cerita, lelaki tu OKU. Cacat. Entah apa-apa lagi lah. Cuba kau bayangkan kalau Maya yang cantik tu kahwin dengan dia? Habis musnah hidup dia. Tapi kalau kau... kau boleh je kahwin dengan orang lain yang lebih 'sesuai' dengan kau nanti. Buat masa ni, kau kena berkorban.”
Nadira mengetap bibir. Rasa terhina itu semakin marak.
“Ooh... jadi sebab saya ni tak cantik, sebab saya ni 'tak sempurna' macam Maya, jadi saya ni layaklah jadi galang ganti? Sebab saya buruk, saya tak ada hak nak bersuara dan kata 'tak nak'?”
Tiba-tiba, situasi berubah di luar jangkaan. Maria jatuh melutut di hadapannya, satu pemandangan yang tidak pernah dilihat Nadira sepanjang hayatnya.
“Nadira, tolonglah Mama, sayang... Demi keluarga kita. Hanya kau je yang boleh selamatkan keadaan sekarang ni. Tolonglah, jangan bagi Mama malu. Kalau bukan kau, siapa lagi nak tolong Mama?”
Remuk.
Itulah yang dirasakan oleh hati Nadira saat itu.
Bukan kerana dia bakal melangkah masuk ke dalam neraka perkahwinan paksa, tetapi kerana ibu kandungnya sendiri sanggup menghumbannya ke jurang yang paling dalam semata-mata untuk menyelamatkan anak emasnya yang lain.
Ketukan keras di pintu mengejutkan mereka berdua.
“Datin, orang-orang keluarga Ilhan dah tunggu kat bawah.”
Maria pantas bangun. Dia menyapu air matanya dengan kasar, sebelum mengukir sebuah senyuman plastik yang cukup tipis.
“Dah, bangun Nadira. Malam ni kau jadi penyelamat keluarga kita.”
Penyelamat?
Lebih tepat lagi, kambing hitam.
Nadira menarik nafas panjang, cuba menelan segala rasa pahit yang tersangkut di kerongkongnya. Dia mencapai beg sandang kecilnya, satu-satunya harta yang dia miliki tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.
Tanpa menoleh lagi, dia melangkah keluar.
Di luar bilik, berdiri lima orang lelaki bertubuh sasa dalam persalinan sut hitam. Badan mereka tegap, wajah mereka beku tanpa sebarang emosi. Mereka adalah pengawal peribadi daripada keluarga Ilhan yang cukup berpengaruh, yang sering dikaitkan dengan dunia gelap dan tokoh politik berprofil tinggi.
“Cik Nadira. Kami bawa cik sekarang bersama rombongan pengantin,” ucap salah seorang daripada mereka dengan nada yang cukup tegas.
‘Rombongan? Ini bukan rombongan pengantin, tapi lebih kepada sekumpulan samseng nak kutip hutang,’ getus hati Nadira sinis.
Tiada pelamin indah.
Tiada alunan muzik atau doa restu yang mengiringi.
Nadira dibawa pergi tanpa sebarang keraian, seolah-olah dia hanyalah sebuah barang dagangan, bukannya seorang manusia yang punya nyawa dan perasaan.
Akhirnya, pintu kereta mewah itu tertutup rapat, memisahkan dia daripada kehidupan yang pernah dikenalinya. Mungkin, inilah hari terakhir dia berpeluang menjalani kehidupan sebagai manusia normal.
Malam kian melabuhkan tirainya di Vila Andara. Cahaya daripada chandelier kristal yang bergemerlapan menyinari segenap ruang tamu mewah itu, memantulkan kilauan elegan pada lantai marmar yang sejuk. Para pengawal hanya mengiringi Nadira sehingga ke hadapan sebuah bilik besar di tingkat atas sebelum mereka beredar sepantas kilat tanpa sepatah kata.
Nadira berdiri terpaku. Segala-galanya terasa asing. Kesunyian yang mencengkam di dalam rumah agam ini membuatkan dia rasa seperti seorang banduan yang sedang menanti hukuman, bukannya seorang tetamu terhormat.
“Aku ni mungkin terlebih fikir kut. Mungkin hidup aku lepas ni tak adalah seteruk mana,” Nadira cuba memujuk hatinya yang sedang berombak gundah.
Namun, satu persoalan tetap menghantui tangkai hatinya. Siapakah lelaki yang kini bergelar suaminya?
Nama Aydin Ilhan bukanlah nama yang asing, namun ia sering hadir bersama selubung misteri yang mengerikan. Khabar angin mengatakan wajahnya cacat berparut akibat tragedi penculikan sedekad lalu. Ada juga yang berbisik bahawa jiwanya jauh lebih rosak daripada fizikalnya, bahawa setiap wanita yang dikaitkan dengannya akan hilang tanpa jejak, seolah-olah ditelan bumi.
Nadira menelan liur yang terasa pahit. "Aku tak peduli kalau dia raksasa sekalipun," bisiknya perlahan sambil menggenggam jemari sendiri. "Sebab mulai hari ini, hati aku memang dah hancur pun. Kalau mak sendiri sanggup buang aku, apa lagi yang aku nak harapkan daripada orang asing?"
Dia melabuhkan duduk di hujung katil, menunggu dalam debaran yang seakan mahu memecahkan tulang rusuk. Masa terasa berputar dengan sangat perlahan, menyeksa setiap inci jiwanya. Sampailah akhirnya…
Keriut... Pintu bilik terbuka perlahan.
Nadira serta-merta bangkit. Seorang lelaki melangkah masuk dengan aura yang begitu dominan, seolah-olah seluruh ruang itu tunduk pada kehadirannya. Dia menutup pintu rapat di belakangnya tanpa berpaling. Cahaya lampu yang terlalu terang membuatkan Nadira terpaksa mengecilkan mata untuk melihat wajah tetamu misteri itu.
Apabila pandangannya semakin jelas, Nadira terpaku. Bukan wajah ngeri, bukan parut traumatik. Sebaliknya, lelaki di hadapannya itu memiliki rupa paras yang terlalu sempurna, persis ukiran seni di galeri Florence. Rahangnya keras, hidungnya tajam, dan sepasang mata gelapnya sedang meratah wajah Nadira dengan penuh penilaian.
“Hmm...” Lelaki itu mengerutkan dahi. “Jadi, kaulah pengantin simpanan tu? Atau lebih tepat lagi... ‘isteri celup’ yang diorang hantar ke sini?”
Nadira terkedu. ‘Isteri celup? Dia ingat aku ni apa? Ikan celup tepung?’ desis hatinya, terasa maruahnya diinjak-beras semurah itu.
“Ya, nama saya Nadira. Isteri sah kepada Emir Ilhan. Awak pula... siapa?”
Lelaki itu tidak menjawab, malah melangkah mendekat. Semakin hampir, sehingga hembusan nafasnya yang maskulin menyapa wajah Nadira.
“Isteri sah?” Dia mengulang perkataan itu dengan nada yang sangat sinis. Dia memandang Nadira dari atas ke bawah, seolah-olah sedang menghukum penampilannya. “Berani eh kau cakap besar depan aku? Sebab kalau ikut standard Emir, potongan kau ni memang tak lepas nak buat bini.”
Nadira mengetap bibir. Dia tahu dia tidak secantik Maya, tapi dia tidak datang ke sini untuk dihina.
“Saya sedar saya macam mana. Tapi untuk pengetahuan awak, saya pun tak hamaklah nak kahwin dengan Emir ni. Saya terpaksa, faham?” balas Nadira, cuba memberanikan diri.
Lelaki itu mengangkat kening, nampak sedikit terhibur. “Oh, ya ke? Jadi kau sebenarnya tak tahu kau kahwin dengan siapa?”
“Tahu sangat. Dengan seorang lelaki yang mungkin disisihkan keluarganya sendiri.”
Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nadira tadi, ketajaman di matanya perlahan-lahan mereda. Ada sinar yang berkilat singgah, seolah-olah satu teka-teki mula terjawab.
‘Oh… jadi dia percaya khabar angin itu.’
Khabar angin bahawa suaminya, Emir Ilhan seorang yang hodoh, cacat, dan tidak mampu menjadi lelaki.
Namun, reaksi Nadira terhadap semua itu…
Terlalu tenang. Terlalu… pasrah.
Sama sekali tidak gentar, Malah tidak ada tanda dia menyesal dikahwinkan dengan seseorang yang seluruh dunia anggap sebagai aib keluarga Ilhan.
Dan ketenangan itu entah kenapa membuatkan lelaki semakin berminat.
“Awak ni siapa?” Tanya Nadira dengan nada berhati-hati.
Melihat reaksi pasrah dan berani Nadira, ketajaman di mata lelaki itu mula mereda, digantikan dengan sinar muslihat yang licik. Dia mendekatkan bibirnya ke telinga Nadira, membisikkan sesuatu yang membuatkan jantung Nadira seolah-olah terhenti.
“Aku… bayang hitam kau.”
Nadira terasa dunianya berpusing. “A... apa maksud awak?”
Dia menjarakkan wajah, mengukir senyuman lebar yang penuh makna gelap. “Emir Ilhan tu abang sepupu aku.”
“Aku Luth. Orang yang akan tentukan nasib kau, sama ada kau layak duduk dalam rumah ni atau kena tendang keluar malam ni juga.”
Nadira cuba berundur, namun Luth lebih pantas. Dia mencengkam dagu Nadira dengan dua jari, memaksa wanita itu menatap matanya yang berbahaya.
“Jadi... kalau kau nak kekalkan status sebagai 'Puan Ilhan'...” Luth menjeda ayatnya, membiarkan keheningan menambah tekanan. “Kau kena buktikan sesuatu kat aku malam ni.”
“B-buktikan apa?” suara Nadira pecah, separuh berbisik.
Luth tersenyum nipis, sebuah senyuman psiko yang cukup menawan namun mematikan. “Buktikan yang kau bukan sekadar pengganti yang tak berguna.”
Nadira kaku. Baharulah dia faham kenapa orang bercerita tentang 'raksasa' di kediaman ini. Raksasa itu tidak semestinya berwajah buruk. Kadangkala, ia datang dalam rupa paras yang paling sempurna, menyembunyikan jiwa yang paling hitam.
Malam itu, Nadira belajar satu pengajaran penting. Neraka tidak selalunya nampak hodoh. Ada masanya, penghuni neraka itu memakai sut mahal dan tersenyum macam orang gila di depan mata.
ns216.73.216.23da2


