319Please respect copyright.PENANAdPGCfpdvxVMalam itu, kawasan parkir berhampiran Eco Plus kelihatan lebih sunyi daripada kebiasaannya. Lampu jalan yang malap hanya menerangi sebahagian ruang parkir, manakala deretan kedai di hujung jalan mula menutup operasi satu demi satu.
Aman memarkir Toyota Vios miliknya sebelum melangkah menuju ke arah kedai. Baru beberapa langkah berjalan, dia ditegur oleh seorang lelaki yang berdiri di sisi sebuah kereta lama.
"Bos, boleh tolong tengok kereta saya tak? Tak boleh hidup langsung ni."
Aman berhenti seketika lalu menghampiri.
"Saya bukan mekanik. Tapi boleh tengok apa yang patut."
Lelaki itu terus membuka pintu pemandu dan meminta Aman mencuba menghidupkan enjin. Aman masuk ke dalam kereta dan memulas kunci.
Klik... klik...
Tiada tanda-tanda enjin mahu hidup.
"Kalau ikut bunyi macam ni, mungkin bateri lemah. Tapi saya tak pasti. Kena periksa dulu."
Lelaki itu mengerutkan dahi.
"Awak cakap bateri. Jadi awak tahulah macam mana nak hidupkan balik."
Aman menghela nafas perlahan.
"Saya cuma buat andaian. Nak sahkan kena cuba jumper dulu."
Dia keluar dari kereta dan memandang sekeliling. Di tempat duduk belakang, seorang wanita tua sedang duduk diam sambil mengipas dua kanak-kanak perempuan yang kelihatan tidak selesa akibat cuaca panas.
Di sebelah pintu belakang pula berdiri seorang wanita berusia sekitar tiga puluhan. Wajahnya kelihatan letih, namun masih cuba bertenang.
Aman memandang wanita itu.
"Bateri kereta ni dah berapa lama pakai?"
Wanita itu mengangkat bahu.
"Saya tak tahu. Dari mula beli memang tak pernah tukar."
"Bila beli kereta ni?"
"Kereta second hand. Lebih kurang dua tahun lalu."
Aman mengangguk perlahan.
"Kalau macam tu memang ada kemungkinan bateri. Tapi boleh juga jadi alternator atau sistem lain. Kena panggil wireman atau mekanik untuk sahkan."
Belum sempat wanita itu membalas, lelaki tadi mencelah dengan nada yang semakin meninggi.
"Haa... awak ni banyak cakap. Tadi cakap bateri. Sekarang cakap alternator pula. Kalau pandai sangat, buatlah sampai hidup."
Suasana yang pada awalnya tenang mula terasa tegang.
Aman memandang lelaki itu beberapa saat tanpa berkata apa-apa. Nada suara lelaki tersebut semakin menjengkelkan.
"Saya dari awal dah cakap saya bukan mekanik," jawab Aman dengan tenang.
"Tapi awak yang cakap tahu."
"Saya cuba bantu. Itu saja."
Lelaki itu mendengus kuat sambil menghempas pintu kereta.
Dalam hati, Aman mula hilang sabar. Dia memandang lelaki itu dari atas ke bawah.
'Kenapa dia ni lebih panik daripada orang lain dalam kereta tu?'
Wanita tersebut pula kelihatan serba salah, seolah-olah sudah biasa berhadapan dengan perangai lelaki berkenaan.
Malam yang sunyi itu tiba-tiba terasa jauh lebih tidak selesa daripada yang Aman sangkakan ketika dia keluar rumah sebentar tadi.
"Macam ni lah, bang," kata Aman sambil memandang sekeluarga itu.
"Memandangkan hari ni Ahad, kebanyakan bengkel tutup. Lagipun dah malam. Saya cadangkan abang hantar semua balik dulu. Lepas tu kita fikir macam mana nak uruskan kereta ni."
"Tak nak." Jawapan lelaki itu datang pantas.
"Saya tunggu sini. Awak yang cadang, awaklah hantar diorang semua balik."
Nada suaranya yang sedikit melengking membuatkan Aman terdiam seketika.
"Okey... jom semua."
Wanita itu segera menggeleng.
"Eh, tak menyusahkan awak ke?"
Aman tersenyum nipis.
"Tak apa. Takkan saya nak biarkan akak dengan makcik dan budak-budak tunggu kat sini. Hari pun macam nak hujan."
Seolah-olah mengiyakan kata-katanya, titisan pertama mula jatuh ke atas cermin kereta.
Di dalam Toyota Vios milik Aman, suasana agak sunyi.
Wanita itu duduk di tempat penumpang hadapan. Ibunya bersama dua orang anak kecil berada di belakang.
Perjalanan menuju ke rumah mereka mengambil masa hampir tiga puluh lima minit.
Jalan yang dilalui semakin lama semakin sepi.
Lampu jalan mula berkurangan.
Di kiri dan kanan hanya kelihatan deretan pokok getah, ladang sawit dan kawasan hutan yang gelap di bawah langit mendung.
Sesekali wanita itu hanya mengangkat tangan menunjukkan simpang yang perlu diambil.
"Depan tu belok kiri."
Aman sekadar mengangguk.
Tiada perbualan panjang.
Hanya bunyi enjin, deruan penghawa dingin dan hujan renyai yang mula membasahi cermin hadapan.
Sebaik tiba di halaman rumah, wanita itu turun terlebih dahulu.
Dia memastikan kedua-dua anaknya masuk ke dalam rumah bersama ibunya.
Aman yang menunggu di dalam kereta memandang jam tangan.
Dia perlu berpatah balik untuk membantu lelaki tadi.
Baru sahaja dia ingin mengundurkan kereta, wanita itu kembali menghampiri.
"Saya ikut."
Aman sedikit terkejut.
"Eh? Tak apalah. Akak duduk sini je. Saya pergi tengok abang tu."
Wanita itu menggeleng.
"Tak. Biar saya ikut sekali."
Kemudian dia menoleh ke arah ibunya yang berdiri di beranda rumah.
"Mak, saya pergi tengok dia kejap."
Ibunya hanya menghela nafas.
"Haa... pergilah. Mak bukan tak kenal perangai menantu mak tu."
Wanita itu ketawa kecil sambil menggeleng kepala.
"Tu lah masalahnya.
"Tidak lama kemudian, mereka kembali berada di dalam kereta.
Kali ini hujan turun semakin lebat.
Wiper bergerak tanpa henti menyapu air yang membasahi cermin hadapan.
Jalan menjadi semakin sunyi.
Masing-masing seakan tenggelam dalam fikiran sendiri.
Beberapa minit berlalu sebelum wanita itu akhirnya bersuara.
"Saya minta maaf ya pasal perangai suami saya tadi."
Aman mengalihkan pandangan seketika sebelum kembali fokus ke jalan.
"Tak apa."
"Kadang-kadang saya sendiri pening nak faham dia."
Aman ketawa kecil.
"Saya okey je. Bukan salah akak."
Wanita itu memandang ke luar tingkap.
Lampu-lampu jalan yang samar memantul pada wajahnya.
Buat pertama kali sejak mereka berkenalan, Aman dapat melihat dengan jelas raut wajah wanita itu.
Ada keletihan di matanya.
Ada kesabaran yang sukar digambarkan.
Dan ada sesuatu yang membuatkan dia kelihatan lebih matang daripada usianya.
Di dalam kereta yang dingin itu, haruman lembut daripada minyak wangi wanita tersebut sesekali dibawa oleh aliran penghawa dingin.
Aman menarik nafas perlahan.
Bukan kerana tertarik secara tiba-tiba.
Tetapi kerana suasana malam itu terasa aneh.
Sunyi.
Tenang.
Dan entah mengapa, perbualan yang bermula sebagai bantuan kepada orang asing kini terasa seperti permulaan kepada satu kisah yang belum diketahui penghujungnya.319Please respect copyright.PENANANKr2AZDijk


