*Seorang manusia yang kehilangan arah dan puteri alam bunian yang terjerat dalam ikatan jiwa purba, memicu perlumbaan melawan masa di mana sehari di dunianya bersamaan sepuluh tahun di duniamu.*
Kabut pagi masih melekat pada kaca tingkap pangsapuri kecil di tengah gemuruh Kuala Lumpur. Adam Hassan menatap jalanan di bawahnya, di mana kereta-kereta sudah mula memenuhi jalan raya seperti semut yang tidak pernah rehat. Dia menarik nafas panjang. Lapan tahun bekerja sebagai akauntan di syarikat korporat itu hanya meninggalkannya dengan jam tangan mahal, apartmen sederhana dan satu perasaan hampa yang semakin menggigit. Doktor menyebutnya sebagai 'burnout', tapi Adam tahu ia lebih dalam dari itu, jiwanya kelaparan akan sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh wang bonusnya.
"Lepas ni cuti panjanglah, Adam. Pergi jauh," bisiknya pada bayangannya sendiri di cermin, sambil mengikat tali kasut trekking barunya. Keputusan sudah dibuat. Dia akan menyepi ke Taman Negara selama seminggu. Tiada laptop. Tiada panggilan telefon. Hanya dia, 'bacpack' dan hutan rimba yang pernah menjadi impian masa kecilnya.
******************************
Kereta sewa Honda Civic putih yang dipandunya berhenti di Kampung Meranti, perkampungan terakhir sebelum masuk ke dalam hutan simpan. Udara lembap dan bau tanah basah menyambutnya. Seorang tua berjubah putih iaitu Tok Batin, ketua adat kampung itu mendekatinya dengan mata tajam.
"Orang bandar? Hutan bukan tempat main-main," suaranya parau tapi penuh wibawa. "Banyak bunian berkeliaran di sini. Mereka tak suka diganggu."
Adam tersenyum sopan. "Saya hanya nak cari ketenangan, Tok."
Tok Batin mengerutkan kening. "Ketenangan? Bunian pun cari ketenangan. Tapi alam mereka bukan alam kita. Di sini, satu hari mereka, sepuluh tahun kita. Kau faham risiko?" Adam mengangguk, tidak terlalu mempercayai amaran mistik itu. Tok Batin menghela nafas. "Jangan ikut alunan suara merdu. Jangan sentuh cahaya aneh. Dan pulang sebelum purnama penuh, malam itu alam mereka paling kuat."
******************************
Hari pertama di dalam hutan terasa seperti kembali semula ke dasar rahim. Bunyi cengkerik, desir dedaunan dan jeritan monyet liar dari jauh, menjadi simfoni yang mencuci kotornya fikiran kota. Adam mendaki bukit, menyusur sungai dan merekodkan tumbuhan aneh dalam 'sketchbook'nya. Tapi menjelang hari ketiga, kesunyian mula terasa berat. Bayangan kegagalan kerjaya, hubungan cinta yang kandas dan kesepian bandar raya kembali menghantui.
Malam ketiga. Purnama penuh menggantung di langit seperti lampu perak raksasa, menyinari anak sungai sehingga airnya kelihatan mengalirkan susu. Adam duduk di atas batu besar, memegang segelas kopi panas. Tiba-tiba angin berhenti. Bunyi serangga lenyap. Seluruh hutan menahan nafas.
Kemudian... terdengar.
Suara itu.
Bukan sekadar merdu. Ia seperti tetesan air mata bulan ke dalam jiwanya yang retak. Sebuah alunan tanpa lirik, mengalun dalam bahasa purba yang hanya difahami hatinya. Ia memanggil dengan lembut, menyuruhnya melupakan segala kesakitan. Adam bangkit, kakinya bergerak sendiri mengikuti muzik syurgawi itu, jauh lebih dalam ke hutan yang tidak pernah dijejakinya.
******************************
Di tepi satu dataran kecil, terlihat kawasan sekitarnya disinari cahaya purnama secara aneh. Cahaya di tempat lain redup, tapi di sini terang benderang. Di tengah lingkaran cahaya itu, di atas permadani lumut hijau kebiruan. Dia berdiri.
Bunian.
Perempuan itu adalah Melia, tampak seperti mimpi yang dihidupkan. Kulitnya pucat seperti batu karang yang disinari bulan, rambutnya hitam legam terjuntai hingga ke paras pinggang, bergerak sendiri oleh angin yang tidak terasa. Matanya besar dan dalam seperti telaga malam, memancarkan cahaya hijau pucat. Dia memakai pakaian yang bukan dari dunia ini. Kain sutera halus berwarna biru kelasi, disulam benang emas dan perak membentuk corak akar dan daun. Di kepalanya, sebentuk mahkota kecil dari kristal lutsinar berkilauan.
Adam terpaku. Seluruh ilmu logiknya runtuh. Melia berpaling. Matanya melebar.
"Manusia?" bisiknya, suaranya seperti loceng kristal. "Bagaimana kau temui tempat ini? Ini kawasan larangan!"
Adam tidak mampu berkata-kata. Dia hanya mampu mengagumi keindahan yang membuatkan lukisan dewa-dewi kelihatan kerdil. Melia melangkah mundur, wajahnya menunjukkan ketakutan asing.
"Jangan... jangan dekat! Jika Penjaga Rimba tahu..."
"Aku tidak bermaksud apa-apa," akhirnya Adam mampu bersuara, suaranya serak. "Aku cuma... dengar suara kau. Ia sangat indah."
Melia berhenti. Ketakutan di matanya bercampur kehairanan. "Kau... dengar nyanyian hatiku? Manusia biasa tidak boleh..."
Tanpa disangka, akar pokok besar tiba-tiba tersembul dari bawah tanah. Adam tersandung! Badannya terjatuh ke hadapan. Tangan kanannya secara tidak sengaja menyentuh lengan Melia.
RENJATAN!
Bukan elektrik. Tapi gelombang hangat dan sejuk sekaligus, mengalir dari titik sentuhan itu. Adam melihat tenaga keperakan dan keemasan berpusar di sekitar tangan mereka, seperti dua sungai yang bertemu. Melia menarik nafas tajam, matanya bersinar lebih terang. Adam merasakan seluruh hidupnya disalut kegembiraan manakala kesedihan dan harapan, mengalir keluar dan memasuki tangan Melia. Kemudian dia merasakan kekuatan purba, kesunyian rimba dan kebijaksanaan abadi Melia membanjiri dirinya.
Melia menarik tangannya seperti tersentuh api. "Ikatan...?" bisiknya ngeri. "Tidak mungkin! Ikatan Jiwa hanya mitos!"
Adam masih terpinga-pinga, tangannya yang menyentuh Melia terasa hangat dan berdenyut-denyut. "Apa... apa itu?"
"Kau harus pergi SEKARANG!" suara Melia mendesak, penuh ketakutan. "Jika Penjaga Rimba mengesan sentuhan kita..."
Dari jauh, satu jeritan melengking memecah malam, seperti gabungan serigala dan helang. Muka Melia pucat.
"Itu dia! LARI! Ikut jalan balik yang kau datang!"
Adam tidak perlu disuruh dua kali. Dia berpusing lalu kakinya berlari sekuat hati. Di belakangnya, dia dengar Melia berseru dalam bahasa yang tidak difahami. Angin tiba-tiba berputar, membawa kabus tebal menyelimuti kawasan itu.
******************************
Adam berlari sehingga dadanya terasa sakit. Jeritan mengerikan itu semakin dekat. Dia terserempak ke satu cabang jalan, lalu memilih kiri. Tiba-tiba dia terjatuh ke dalam parit kecil. Kesakitan menikam di buku lalinya. Dia menyembunyikan diri di balik akar pokok gergasi. Menahan nafas.
Di atasnya, bayangan besar melintas. Penjaga Rimba. Makhluk itu setinggi dua meter, bertubuh manusia tetapi berkulit seperti kulit kayu dengan tanduk seperti rusa dan mata merah menyala. Ia menghidu udara sekeliling lalu mengaum marah sebelum melompat ke arah lain.
Adam menunggu sehingga semua jadi sunyi. Perlahan-lahan dia merangkak keluar. Jam tangan mahalnya, sebuah hadiah bonus kerjaya tiba-tiba berdetik gila sebelum mati. Dia menggelengkan kepala kemudian bangkit dan mula berjalan mencari jalan keluar.
******************************
Fajar mula menyingsing ketika Adam tiba di tepi hutan, dekat dengan Kampung Meranti. Dia rasa hanya beberapa jam berlalu sejak terjumpa dengan Melia, tapi tubuhnya letih seolah-olah berjalan berhari-hari. Seorang nelayan tua memandangnya dengan aneh.
"Kau dari hutan? **Hilang selama lima bulan, ingatkan kau dah jadi mangsa binatang buas!"
Adam terkejut. "? Saya cuma masuk tiga hari lepas..."
Nelayan itu ketawa. "Haha! Kau dah kena tipu dengan bunian kot. Perjalanan masa dekat dalam hutan memang lain. Tok Batin ada cakap, kan?"
Adam melihat jam tangannya yang mati. Ingatannya bermain kembali. Sentuhan tangan dengan Melia, renjatan misteri, Penjaga Rimba... dan sinar mata hijau pucat itu yang kini terpateri dalam jiwanya.
******************************
Di dalam istana kristal Alam Bunian, Melia berdiri di balkoni menaranya. Dia memandang ke arah Pintu Kabus yang menuju alam manusia. Tangannya masih terasa hangat di tempat Adam menyentuhnya. Di lengannya, satu corak halus seperti akar keemasan mula kelihatan. Tanda fizikal Ikatan Jiwa yang dikatakan mitos itu.
Ibunya Ratu Bunian, muncul di sampingnya. "Ada sesuatu yang mengganggu fikiranmu, anakku?"
Melia menutup lengannya cepat. "Tiada apa, Ibu. Cuma... mimpi pelik."
Tapi Ratu sudah mengesan ketegangan di udara. Matanya yang lebih tua dan bijak meneliti wajah Melia. "Mimpi tentang dunia manusia? Ingatlah, Melia. Mereka itu fana. Satu hari di sini, sepuluh tahun bagi mereka. Apa pun yang kau impikan... ia hanya akan jadi debu dalam masa."
Ketika Ratu pergi, Melia menatap corak keemasan di lengannya. Ia berdenyut perlahan seperti denyutan jantung yang jauh. Dalam hatinya, dia mendengar gema perasaan Adam. Kekaguman, ketakutan dan satu kerinduan yang mencairkan tembok istananya.
"Adam..." bisiknya pada angin malam. "Kau telah sentuh alam yang bukan milikmu. Dan sekarang... kita berdua terikat pada satu nasib yang mungkin memusnahkan kita."
Di bawah. Di taman bunga bercahaya, seekor burung bunian berkicau. Melia tahu perjalanan mereka baru bermula. Dan malam purnama pertama itu hanya permulaan badai.
******************************
Adam terduduk di dalam pondok, badannya masih menggigil. Dia membuka 'sketchbook'nya. Dengan tangan yang gementar, dia mula melukis. Mata hijau pucat. Rambut hitam legam panjang. Kain biru kelasi bersulam emas dan corak seperti akar keemasan di lengannya. Corak yang muncul dalam mimpinya semasa dia pengsan sekejap di parit.
Dia menatap lukisan itu. Dunia korporat, bonus, apartmen - semuanya tiba-tasa terasa kosong dan palsu. Hanya satu perkara yang nyata, dia harus kembali ke hutan itu. Dia harus menemui Melia lagi.
Tanpa disedarinya di halaman 'sketchbook'nya itu, satu bunga kristal halus yang tidak wujud di alam manusia - tumbuh kecil di tepi kertas.
**Nota: Anggaran 5 bulan (152 hari) di dunia manusia adalah masa yang bersamaan satu jam di alam bunian, bermula kejadian-kejadian semasa Adam ternampak Melia hingga jam tangannya berdetik gila sebelum mati (hampir satu jam).
BERSAMBUNG******************************
ns216.73.217.22da2


