Aku lahir pada hari yang tenang, di bulan yang penuh berkat—bulan puasa. Kata mak, petang sebelum azan Maghrib berkumandang, aku datang ke dunia ini. Aku dilahirkan putih seperti warna kulit ibuku, suci dipandang. Bumi terasa indah, seolah-olah segalanya menanti kehadiran aku.
Mak dan ayah aku, dua-duanya seorang tentera ketika itu. Hidup aku bermula dalam keluarga yang penuh dengan disiplin dan ketegasan. Aku membesar dengan bunyi kasut but yang berderap di atas lantai, dengan cerita keringat dan pengorbanan yang aku dengar sejak kecil. Walaupun mereka garang bila perlu, aku tahu hati mereka lembut—lebih lembut daripada apa yang ditunjukkan.
Aku tak banyak ingat zaman aku kecil. Tapi yang aku tahu, aku dulu comel je—putih melepak macam hantu, kata orang. Waktu tadika, rambut aku panjang sampai ke pinggang. Disebabkan mak ayah sibuk bekerja, aku belajar bersiap sendiri sejak kecil. Setiap hari aku cuba macam-macam style rambut, tapi yang paling aku suka ialah ikatan toncang.
Tapi bukan semua orang suka aku masa tu. Aku masih ingat, ada orang pernah sepak belakang aku. Katanya… sebab aku cantik sangat. Masa tu aku kecil lagi, mana faham kenapa orang sanggup benci aku hanya kerana rupa. Sakit memang sakit, tapi aku tak pernah beritahu mak ayah. Bukan sebab aku berani, tapi aku tahu mereka sibuk, jadi aku simpan sendiri. Dari situlah aku belajar—kadang-kadang luka paling dalam tak nampak pada badan, tapi tersimpan diam dalam hati.
Masuk sekolah rendah, hidup aku jadi lain sikit. Cikgu-cikgu selalu puji aku sebab suka senyum dalam kelas. Aku bukanlah pelajar paling pandai, tapi aku juga tak pernah jatuh nombor 15 ke bawah. Orangnya pendiam, tapi ada masa aku bising juga. Suka usik orang, suka kacau kawan sebelah.
Tapi ada juga cerita yang aku tak boleh lupa. Satu hari di rumah, tengah main-main dengan kawan di tangga, aku ditolak sampai berguling ke bawah. Bunyi gedebuk-gedebuk tu masih terngiang kalau aku cuba bayangkan balik. Sakit memang sakit, tapi macam biasa… aku tak cerita pada sesiapa pun. Hehe.
Sejak itu, aku mula takut-takut untuk percaya sesiapa. Tapi peliknya, aku tetap berkawan dengan semua orang. Aku pernah ada seorang kawan baik yang rapatnya macam bayang. Ke mana-mana mesti berkepit bersama. Aku fikir persahabatan tu kukuh.
Sampailah satu hari, aku tak layan dia kerana sibuk dengan kawan-kawan lain. Dari situlah semuanya berubah. Dia mula membuka cerita buruk tentang aku pada orang lain. Perlahan-lahan, semua orang menjauh. Pandangan mereka berubah. Senyum mereka hilang.
Aku tak tahan lagi. Aku berlari ke bilik air. Air mata turun deras, tangisan aku pecah—tangisan paling sakit pernah aku rasa masa tu. Mujur ada dua orang sahabat yang menghampiri. Mereka tak banyak cakap, cuma ada di sisi, menenangkan aku. Dan waktu itu aku belajar… kadang-kadang bila sepuluh orang tinggalkan kita, Tuhan hantar dua orang yang lebih bermakna untuk kita hargai.
Itulah secebis perjalanan awal hidup aku. Dari lahir penuh drama, membesar dengan senyuman, sampai belajar erti luka dari kawan sendiri. Semua tu nampak kecil kalau dibandingkan dengan apa yang aku lalui kemudian hari… tapi di situlah bermula. Titik pertama yang membentuk siapa aku hari ini.
ns216.73.216.175da2


